Sunday, 13 January 2013

ambo sibuk weeeiiii....


Pantun orang busy....macam busy beeeeee
.
.
.
.
.
.
.
.
.

masak acar masuk cuka
kasi pedas potong cili
sekolah baru buka
lebih sibuk dari menteri
.
.
.
.
.
.
.
 
pergi pasar beli cabai
susah jalan belok-belok
masak cincai-cincai
malu nak masuk blog
.
.
.
.
.
.
.
 
bangun pagi masak kari
jangan lupa masukkan bendi
kalau nanti dah hilang busy
nanti saya upload resepi lagi
 
.
.
.
.
.
.
.
.
 jangan marah daaaa....:-)

Saturday, 29 December 2012

Ayam Paprik Ringkas-Ringkas Aje..

Kadang-kadang putus idea macam mana nak masak supaya anak-anak berselera makan. Ini salah satu resepi mudah bagaimana nak masak ayam selain daripada yang biasa-biasa kita buat tu. Paprik ayam ringkas tanpa sayur-mayur melainkan serai dan daun limau purut saja. Kalau rasa nak tambah sayur tu dipersilakanlah yer...

Bahan-bahannya:
Sebelah ayam dipotong kecil- garam kunyitkan dan goreng sebentar sahaja untuk hilangkan hanyir.
5-7 ulas bawang merah
3 ulas bawang putih
5-7 biji cili kering (nak pedas boleh tambah)
Sedikit halia
3-4 helai daun limau purut-dikoyak-koyakkan
2 batang serai diketuk
2 sudu sos tomato
3 sudu sos cili
1 sudu sos tiram
Sedikit air asam limau nipis
Garam
Gula

Cara-caranya;
1. Blendkan bawang merah, bawang putih, cili dan halia hingga lumat.
2. Tumiskan bahan blend hingga naik minyak.
3. Masukkan semua bahan sos bersama-sama dengan serai dan daun limau purut. Tumis lagi.
4. Masukkan ayam bersama-sama semangkuk air. Masak hingga pekat. Perisakan garam dan gulanya.
5. Bila kuah pekat dan ayam masak boleh diperah sedikit asam limau nipis. Siap.



Friday, 28 December 2012

Air Asam Ikan Bakar

Air asam..ooo..air asam, huh kecur mulut bila mengenangkan sedapnya air asam ni dicicah dengan ikan atau daging bakar...alamak!! boleh hancus diet kalau macam ni..hehehee.
Buat air asam ni kena berani bermain dengan garam, gula dan asam..kalau tak, hasilnya tak menjadi..tak kow kata orang. Resepinya sangat mudah dan cepat disediakan, tengok bahan-bahannya yer..
Bahan-bahannya;

5-6 biji cili padi
2-4 biji cili merah besar
1-2 sudu besar asam jawa dibancuh dengan 1/2 cawan air masak
Sedikit belacan dibakar dahulu
1 sudu garam
3 sudu gula
Sedikit ajinomoto kalau suka
-semua bahan diblend halus.

1 labu bawang besar-didadu halus
1 biji tomato-didadu halus
Sedikit sahaja air limau nipis untuk membangkitkan aroma

Cara-cara;
Masukkan bahan yang diblend dalam mangkuk.
Masukkan buah tomato dan bawang besar yang telah didadu.
Perahkan asam limau nipis. Kacau, kalau pekat sangat boleh tambah air masak lagi.
Perisakan supaya ada rasa masin, manis dan masam. (Lebihkan rasa manis berbanding masin)
Siap.
* Kalau suka;
-boleh tambahkan sos cili
-boleh blendkan sekali dengan udang geragau
-boleh potong-potong aje cili dan semua bahan-gaul/ramaskan dengan tangan semua bahan hingga sebati..no problema..:-)

Sedapnya kalau makan dengan ikan bakar macam ni..


Tambah-tambah kalau ada lagi benda ni..

hehehehe...sahlah..mentua lalu kat belakang sure tak nampak..sebab kat belakang la kan..!!!
Yang ni versi potong dan ramas..curah atas pari rebus..

Ok, selamat mencuba air asam versi Cik Wan ye...

Thursday, 27 December 2012

Kari Kicap Ayam

Waduhhh, hari ini hati manyak susah...buat apapun tak boleh..alahaiii.
Daripada dok tension-tension tu, baik saya tulis resepi yang bagus ni..supaya masa cepat berlalu dan tak adalah kepala dok pikir benda-benda yang hempeh tu...insyaAllah ada jalannya..:-)

Resepi ni saya belajar daripada seorang kawan semasa sambung Master di UKM tahun 2006 dulu..cikgu ni dari Batu Pahat dan keluarganya memiliki restoran dan perniagaan katering. Mudah saja cara memasak dan bahan-bahannya tapi rasanya sangat sedap dan sesuai untuk dihidang bersama nasi, roti jala, roti biasa ataupun roti Arab.

Bahan-bahannya;
1 ekor ayam dipotong kecil- bersihkan dan letak garam kunyit.

6-10 ulas bawang merah
3 ulas bawang putih
Seinci halia
5-7 biji cili kering
(Semua bahan di atas diblender)

1 peket serbuk kari ayam/daging-bancuh dengan air
Sedikit air asam jawa
3 helai daun limau purut
2 biji tomato, potong empat
1 labu bawang besar dipotong.
2 biji cili merah dan hijau dibelah dua
Kicap manis secukupnya
Garam dan gula jika perlu.

Cara memasaknya:
1. Goreng ayam separuh masak untuk hilangkan hanyir sahaja.
2. Tumiskan bahan blender hingga naik minyak dan berbau wangi. Masukkan daun limau purut.
3. Masukkan bancuhan rempah kari, tumis lagi hingga naik minyak.
4. Masukkan ayam yang telah digoreng tadi. Masukkan juga air asam jawa dan semangkuk air. Kacau
5. Masukkan kicap manis hingga warna kuah menjadi hitam kemerahan. Perisakan.
6. Kacau hingga ayam masak dan kuah pekat. Masukkan bahan hiasan seperti bawang dan buah tomato serta cili yang telah dibelah. Siap.

*dalam versi asal resepi ini, ayam tidak digoreng dahulu, tetapi saya dapati lebih baik kalau digoreng kerana isi ayamnya lebih pejal dan berbau wangi.
Boleh ditukar kepada daging tetapi kalau gunakan daging tidak perlu digoreng terlebih dahulu.



Thursday, 13 December 2012

Kerabu Sare Mek


Mek saya menyara anak-anak dengan menjual kuih-muih dan lauk-pauk. Malahan pekerjaan itu telah diwarisi daripada dua generasi sebelum beliau iaitu arwah nenek dan arwah moyang yang kita panggil Wa @ Wo Che Mah. Pekerjaan yang sangat berat kerana pada masa itu semua proses membuat kuih dilakukan secara tradisional seperti mengisar tepung, mengukus dan membakar menggunakan dapur kayu dan sebagainya. Jadi kami anak-anak beliau akan turut serta dalam proses membuat kuih-muih dan lauk-pauk tersebut dari awal hingga siap. Memang labour intensive betul..hehehe. Tapi budak-budak masa itu tak pernah kenal erti merungut atau malas..kami lakukan sebab ia ibarat tugas hakiki sebagai seorang ahli keluarga. Alhamdulillah.

Hari ini saya akan berkongsi sejenis lauk kerabu jualan Mek dulu. Hehehehe, saya masih ingat lagi bagaimana tangan-tangan kami menggelupas dan luka masa membersihkan rumpai-rumpai laut yang kami panggil Sare. Masa dulu sare tu kotor, penuh dengan siput-siput laut dan sampah sarap. Memang jenuh nak membersihkannya. Maklumlah, bukan sedikit malah berkilo-kilo banyaknya.

Resepi yang Cik Wan kongsikan ini adalah cara turun temurun daripada keluarga Cik Wan. Mungkin berbeza sedikit dari tempat2 lain di Kelantan. Juadah yang rumit tapi berbaloi2 untuk dicuba. Selamat mencuba.

Kerabu sare mentah/kering


Basuh bersih dn toskan airnya dan dijemur sekejap

Jemur untuk jadikan sare lebih putih/lebih nampak bersih


Boleh tambah parutan mangga muda untuk lebih sedap.

Cara menyediakan Kerabu Sare.

Langkah 1

.
Tumis Kerabu Sare/Nasi Kerabu:

1 biji kelapa- ambil santan pekat
5 ulas bawang merah
3 ulas bawang puti
5-8 biji cili kering
3 batang serai
1 inci halia
2 keping asam
Sedikit gula dan garam.



Cara-caranya:
  1. Blend semua bahan di atas.
  2. Masukkan dalam santan.
  3. Masak atas api, kacau sekali-sekala hingga rupanya seperti di atas.
  4. *Kalau masak untuk nasi kerabu, jangan lupa masukan sedikit budu.

Sambal kelapa:

Resepi sambal kelapa boleh tengok di SINI



Renjiskan sedikit cuka makan dan budu ke atas kerabu sare 
yang hendak dihidangkan.

Sebelum dihidang potong atau gunting pendek-pendek sare...
baru diletakkan sambal kelapa, tumis, sesudu kecil  cuka, air lada
dan sesudu kecil  budu..gaul mesra...done!!


Rasa sare ni istimewa, tak jumpa pada kerabu-kerabu lain..bila kunyah krup krap bunyi ranggupnya...hehehe tak kenal maka tak cinta. Kalau anda semua ke Kelantan, cuba beli untuk sama-sama merasa kerabu yang femes ni..terima kasih Mek.

update : Kerabu sare boleh dibeli melalui shopee. 

Wednesday, 12 December 2012

Kerabu Apa Yang Ada di Dapur

Dalam usaha berdiet sekarang ni banyak betul dugaan dan cabaran yang terpaksa saya hadapi. Maklumlah berat badan saya adalah yang paling berat seumur hidup ni..masya Allah, mungkin faktor usia yang semakin bertambah, kadar metabolisme yang rendah menyebabkan pembakaran kalori tidak sebanyak jumlah pengambilannya.
Minggu ni dan moga-moga minggu seterusnya juga saya bertahan untuk mengawal pengambilan nasi, kedua-duanya dari segi kuantiti juga hanya makan nasi sehari sekali. Bertemankan Alis, saya cuba jogging keliling taman setiap pagi. Harap-harap sebelum buka sekolah ini saya akan dapat mengurangkan berat badan dalam 3-5kg, insyaAllah.
Tengah hari ni terasa lapar pula perut ni...dah habis keroncong, dia dah mula menari gangnam pulakk. Tinjau-tinjau dalam peti sejuk dah tak ada apa yang boleh dimasak..malas pulak nak ke pasar. Budak-budak tu dah kenyang makan nasi berlaukkan tumis sardin. Tak selera pulak tekak ni nak mengadap nasi dengan sardin sahaja. Yang ada dalam peti tu cuma mangga muda, dua tiga tangkai selom dan timun. Keluarkan, potong-potong..ingat nak buat kerabu siam..tup-tup jadi kerabu lain..hehehe
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.

Bahan-bahannya;
1 biji timun di hiris halus -kulitnya sahaja (saya pakai sagat)
1 biji mangga muda-disagat
2-3 tangkai daun selom-dihiris halus
2-3 daun selasih dihiris halus-tak adapun tak apa-pokok ni saya tanam sebab suka buat ulam.
1 biji bawang besar merah-dimayang
2 genggam udang kering-disangrai
1 inci belacan
3 biji cili api
1 biji asam limau nipis-ambil airnya
Garam
Gula

Cara-cara membuatnya;
1. Satukan semua bahan sayur yang telah dipotong/sagat/mayang
2. Tumbuk belacan, udang kering, cili api dan garam dan gula hingga lumat.
3. Masukkan kedalam bahan sayur.
4. Gaul rata sambil diperahkan asam limau nipis ke dalamnya.
5. Perisakan  garam gula dan asam secukup rasa. Siap!!!

Ini hidangan tengah hari saya. Sesenduk nasi, seekor ikan sardin dan sepiring kerabu apa-apa ajer..alhamdulillah!!!



Tuesday, 11 December 2012

Me and my precious loves

Kakak Alis  dan Aifaa


Suka bergaya..Zahirah...

Yang ditunggu-tungu..Zikry!!


Me and my lovely Mum!!!

and lastly..introducing my hu...ooopppssssss!!!!! Jangan marah ye bang....hehehe
 

 

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...