Saturday, 22 November 2014

Butter Prawn (3)


Menu yang nampak susah tapi sebenarnya sangat senang sekali membuatnya. Jom tengok resepi dan cara membuatnya.

Bahan-bahannya:

Udangnya,

1 mangkuk besar udang harimau. Basuh dan toskan kering.
Perap dengan garam dan lada sulah.


Sarang telur/egg floss,

3 biji telur kuning
Secubit garam
Sedikit lada sulah-optional
Minyak untuk menggoreng.
Chopstik atau senduk- saya gunakan senduk kali ni.

Cara-cara;
  1. Pukul telur kuning bersama garam dan lada sulah dalam mangkuk kecil.
  2. Panaskan minyak.
  3. Tangan kiri pegang mangkuk berisi telur, tangan kanan pegang senduk, sedia untuk menggoreng.
  4. Angkat tinggi sedikit mangkuk yang berisi telur kuning, sambil kacau dulu minyak secara bulatan tanpa henti, baru tuangkan telur secara halus jatuhannya ke dalam minyak hingga habis.
  5. Kacau dengan arah yang sama tanpa henti.
  6. Bila masak, minyak akan berbuih dan telur akan garing. 
  7. Jika suka warna agak kekuningan goreng sebentar sahaja tapi saya suka warna agak perang.
  8. Ambil senduk dan penapis santan/besi.
  9. Sendukkan semua telur ke dalam penapis santan dan toskan.
  10. Menggunakan minyak yang sama , goreng pula udang hingga garing.
  11. Siap, toskan kering.

Bahan-bahan untuk goreng udang mentega:

Udang yang digoreng garing.
Sarang telur/egg floss

2 sudu mentega
2 biji cili padi-potong
1 tangkai daun kari
1/4 cawan susu segar
Secubit dua gula.

Cara-caranya;
  1. Cairkan mentega.
  2. Kacau.
  3. Masukkan daun kari dan cili padi yang dipotong.Kacau lagi.
  4. Masukkan susu. Kacau hingga berbuih/menggelegak.
  5. Masukkan udang dan separuh sarang telur/egg floss. Kacau sebati.
  6. Taburkan sedikit gula.
  7. Boleh angkat dan masukkan dalam pinggan hidangan. Taburkan dengan lebihan sarang telur/egg floss. Siap.
  8. Sedap ratah macam tu saja...


Monday, 17 November 2014

Nasi Kerabu Biru


Hari ini ada potluck lagi di Anjung Santai dengan menunya Nasi Kerabu...amboii..yang berat2 saje menu kami semenjak dua menjak ni...patutlah semuanya makin gebus gebas hahaha...
Bahagian saya hanya menyediakan sambal kelapa, yang lain2nya disediakan oleh cikgu2 lain pulak. Tapi alang2 buat sambal kelapa, saya sediakan sekali untuk sarapan merangkap lunch seisi rumah. Saya hanya hidangkan dengan budu yang diperah asam limau dan beberapa biji cili padi, ulam-ulaman serta keropok goreng..simple! Namun begitu ulam hari ini agak istimewa kerana selain daripada kubis, kesom, kacang panjang serta bunga kantan...saya masukkan juga pucuk sulung pokok daun serai kayu@daun samak yang saya tanam...alhamdulillah..hidup subur dia tambah2 musim hujan ni.
Untuk nasinya, saya bercadang nak gunakan daun telang yang lebat berbunga di dalam pasu, tapi saya terlupa memetiknya semalam...lepas solat Subuh pagi tadi saya terus ke pasu...alamakkk...sekuntumpun belum berkembang lagi...cari2 bunga semalampun tak wujud..hahahaha kantoi. Akhirnya saya gunakan pewarna biru Star Brand...

Sebenarnya, kalau kita masak nasi kerabu hitam (kat Kelantan kita tak panggil biru tau!), kita tidak perlu sediakan tumis/kuah tumis..memadai dengan sambal kelapa, budu dan air lada sahaja. Tapi sekarang saya tengok, tak kira warna putih, biru atau kuning..semua letak kuah tumis...terpulanglahh. Jom tengok resepi sambal kelapa Cik Wan, my late grandmother's style....

Bahan-bahan untuk sambal kelapa;

1 biji kelapa parut- digoreng tanpa minyak hingga perang, tumbuk halus semasa panas2 untuk mudahkan lumat. (jangan sampai pecah minyak)
5 ekor ikan sardin- dibakar*
5 ulas bawang merah-mayang*
1/2 sudu lada hitam*
3 batang serai- hiris nipis*
5 sudu kecil gula
3 sudu kecil garam
*semua nya ditumbuk lumat.

Cara menyediakannya;
  1. Masukkan semua bahan yang telah ditumbuk tadi ke dalam mangkuk.
  2. Masukkan gula dan garam.
  3. Ramas kuat hingga semuanya sebati/mesra.
  4. Rasakan masin manisnya.
  5. Jika sudah ok, tekan2 atau mampatkan sambal dalam mangkuk.
  6. Bila nak dihidangkan, gembur2 sambal tadi dan masukkan ke dalam pinggan hidang. Siap.
Nota: ikan sardin boleh juga direbus, tapi tidak tahan lama berbanding dengan menggunakan ikan bakar. Bau sambal yang menggunakan ikan bakar lebih wangi dan menyelerakan.

Air Lada;

10 biji cili padi
2 1/2 sudu besar gula
2 sudu kecil garam
Cuka secukupnya
Air masak secukupnya (optional)

Tumbuk lumat semua bahan. Masukkan cuka dan air masak. Siap.

Saturday, 15 November 2014

Laksam comey dan sedap...



Pandai2 saja saya bertanyakan Mr A maghrib tadi.."abang nak makan laksam tak untuk breakfast esok"?
Naaakkkk!!!
Memang takde kerja cari kerja hahahaha...

Sebenarnya saya sangat teruja untuk mencuba resepi baru laksam yang diajarkan oleh Kak Cik Azizah, kawan di sekolah. Resepinya sangat menarik dan tak pernah saya jumpa sebelum ini.
Alhamdulillah...memang best!! Memang menjadi dari kukusan kali pertama lagi..cun gilerr hahaha.
Tak caya tengok gambar di bawah ni..



Cantikkan???

Terima kasih kak Zah..semoga Allah memberkati perkongsian dan semoga menjadi pahala yang berpanjangan..aminn.
Jom, kita tengok resepinya.

Bahan-bahannya;

1 peket tepung beras biasa
4 cawan air sejuk
4 cawan air panas mendidih
1 cawan nasi sejuk- campur dengan 1 cawan air sejuk- blend lumat.
Secubit garam.
* bahan di atas adalah resepi asal- tapi saya tambah 1 cawan lagi air suam kerana sukakan laksam yang lembut.

Caranya;
  1. Masukkan tepung dalam bekas yang agak besar.
  2. Tambah dengan 4 cawan air sejuk. Kacau sebati.
  3. Tambahkan 4 cawan air mendidih. Kacau sebati. Masukkan garam.
  4. Masukkan nasi yang telah diblend tadi. Kacau lagi.
  5. Sedia untuk dikukus.
  6. *Jika didapati laksam agak keras, boleh tambah 1 cawan air suam. Kalau sudah lembut, tak perlu tambah. 
  7. Siap.

Untuk kuahnya:

Bahan-bahan;
2 biji kelapa parut- ambil santan kepekatan biasa
5 ekor ikan sardin segar- direbus dengan garam dan asam keping. Diambil isinya.(Nak kuah yang pekat dengan isi ikan, boleh tambah kuantiti ikannya)
4 ulas bawang merah
2 ulas bawang putih-bakar atas api gas sebentar
1/2 inci halia- bakar seperti bawang putih
1/2 sudu lada hitam- tumbuk halus dulu.
4 keping asam keping
Garam
Perasa yang digemari.
*jika suka manis, boleh letakkan gula. Saya tak letak.

Cara-caranya;
  1. Sediakan santan ke dalam periuk. Hidupkan api kecil dan kacau sekali-sekala.
  2. Sambil itu kita blend semua bahan isi ikan, bawang merah, bawang putih, halia dan lada hitam.Pastikan lumat betul.
  3. Masukkan ke dalam santan.
  4. Masukkan asam keping, garam dan perasa.
  5. Kacau hingga menggelegak. Siap!.
  6. *ada orang yang blend tulang ikannya untuk rasa yang lebih manis. Sayapun sama. Tapi hasilnya kuah tidak putih melepak tetapi  agak gelap warnanya. Terpulanglah :-)

Ulam-ulam

Kacang panjang
Kubis
Taugeh
Daun kesum
Bunga kantan


Sambal lada

15 biji cili padi
1 sudu kecil garam
Tumbuk hingga lumat.

Hidanglah macam ni..






Balik kepada Mr A...tak sempat2 nak breakfast..dia  kenduri 2 mangkuk laksam walaupun dah janji tak nak makan malam ni..aduuhhh!! Hancur diet.

Monday, 10 November 2014

Kuey Tiew Kungfu yang sangat sedap...


Makanan kegemaran saya dan Nur Alis. Malam tadi saya buatkan untuk anak saudara yang datang bertandang. Asalnya nak masak lasagna, tapi disebabkan lasagna ada 5 keping je..saya batalkan niat dan tukar dengan kueh tiew kungfu pulak..memang menyelerakan sebab  di makan panas2 ala-ala di restoran gitu hehehe. Jom tengok bahan dan cara menyediakannya.


Kueh Tiew kungfu untuk hidangan 6 orang.

Bahan untuk kuahnya;

8 ulas bawang putih- dicincang halus
2 ketul kiub pati ayam- saya guna maggi

1/2 batang karet
1 mangkuk potongan bunga kubis
1 mangkuk cendawan tiram yang siap dicarik2
4 pohon sayur sawi
1 biji lada hijau
1 biji lada merah
 *semua sayur dipotong

1 mangkuk udang
1 peket fish ball
1 mangkuk daging ayam
Sedikit garam jika perlu
3 sudu tepung jagung- dibancuh dengan air sejuk
3 mangkuk besar air (dalam 7 cawan air)

 Cara menyediakannya;
  1. Panaskan minyak.
  2. Tumis bawang putih hingga perang.
  3. Masukkan  isi ayam. Tumis hingga air ayam kering. Masukkan kiub ayam.
  4. Masukkan udang dan fishball, kacau sebentar.
  5. Masukkan batang sawi, karet dan bunga kubis. Kacau.
  6. Masukkan air. Masak hingga menggelegak.
  7. Masukkan air tepung jagung. Kacau dan rasakan, Jika perlu garam boleh ditambah. Pastikan kuah jadi sedikit pekat.
  8. Masukkan baki sayur yang lembut tadi. Perlahankan api dan sedia untuk dituang ke atas kuey tiew.
Untuk kuey tiewnya;

2 bungkus kuey tiew- basuh bersih dan toskan.
6 biji telur- dibasuh
Minyak untuk menggoreng

Cara menyediakannya;
  1. Panaskan kuali dengan minyak seperti hendak menggoreng telur dadar.
  2. Masukkan kuey tiew agak2 untuk seorang makan ke dalam mangkuk.
  3. Pecahkan telur ke dalam mangkuk kuey tiew tadi dan kacau dengan garfu.
  4. Tuang ke dalam kuali dalam bentuk membulat seperti telur dadar.
  5. Goreng kedua2 belah hingga garing.
  6. Angkat dengan sudip dan terus letak ke atas pinggan hidangan.
  7. Tuang kuah yang sudah disediakan tadi.
  8. Siap untuk dimakan.
  9. Ulang langkah 1-7 untuk baki 5 biji telur tadi (untuk 5 orang yang sedang menunggu..hehehe)
Nota: Boleh dimakan dengan hirisan cili padi jika suka dan juga serbuk lada sulah...yummyyyy

Sunday, 9 November 2014

Ikan Tamban Goreng


Haaaaaa!!!! ikan goreng pun nak masuk blog ke? Hahahaa...hanya jauhari mengenal manikam..goreng bukan sebarang goreng hahaha..
Namapun masak ringkas-ringkaskan?

Banyak cerita pasal ikan tamban ni..ikan yang saya paling tidak suka sebab banyak tulangnya. Arwah nenek dan mok memang suka ikan ni. Saya memang anti kalau mereka masak ikan singgang menggunakan ikan tamban..saya tidak pandai makan.

Dah tua2 ni baru saya tahu, ikan yang banyak tulang merupakan ikan yang paling sedap kerana isinya lebih manis dan lemak. tengoklah ikan parang, ikan terubuk dan ikan2 air tawar yang sedap dan mahal harganya.

Jadi..sesiapa yang belum cuba ikan tamban goreng..boleh pi cari ikan ni hari ni hahaha.
Tapi nak menggoreng ikan ni ada caranya.

Pertama, dibuang bahagian kiri kanan kepalanya (pipi?)
Kemudian di potong sisi bahagian perutnya- selalunya perut ikan dibelahkan?
Tarik keluar perut ikan dan bersihkan dalamnya.
Bersihkan ikan dan kelar halus badan ikan- macam gambar di atas.
Bersihkan ikan dan lumurkan dengan garam dan kunyit- kasi rata2 tau..macam kita pakai bedak tu..hahaha
Siap untuk digoreng.
Panaskan minyak.
Goreng ikannya.
Bila garing dan hampir diangkat, masukkan hirisan bawang merah (lagi banyak lagi sedap)
Goreng sehingga bawangnya agak garing..siap!!!

ps: Sila makan dengan nasi panas bertemankan budu/sambal belacan dan ulam...alamak!!!! mertua lalu kat belakang memang tak nampak hihihihi... Selamat mencubaaa!!!

Sambal Ikan Bilis dengan Petai


 Lama tak makan sambal tumis petai ni...memang kegemaran saya.Best masa makan tapi tak best selepas tu hehehe...
Kalau dulu-dulu, petai ni kami masukkan dengan kulit-kulitnya..maksudnya setiap biji petai hanya dikerat dua..arwah nenek cakap kulit petai banyak khasiatnya. Tapi sekarang saya lebih suka masukkan biji yang telah dikopek kulitnya. terpulanglah masing-masing punya selera ye.

Cara tumis saya simple dan bahannyapun sedikit sahaja..


Bahan-bahan:
10 biji cili kering- dipotong dan rendam dengan air panas.
8 ulas bawang merah
Segenggam ikan bilis- direndam
Sedikit air asam jawa
1 mangkuk kecil ikan bilis- dibersihkan dan ditoskan
Petai secukupnya- saya guna dua papan petai.
Garam
Gula


Caranya;
  1. Mesin bawang merah dan cili kering hingga lumat.
  2. Tumis dengan minyak yang agak banyak.
  3. Tumis hingga air kering dan hanya tinggal minyak- keadaannya berbuih2 dan bahan cili dan bawang nampak kerinting serta warnanya makin gelap.
  4. Ikan bilis yang direndam tadi diramas2 dan masukkan ke dalam tumisan. Kacau.
  5. Masukkan air asam jawa, gula dan garam. Kacau lagi. Rasakan masin, masam dan manisnya.
  6. Masukkan semangkuk ikan bilis yang ditoskan tadi. Masukkan sedikit air dan kacau.
  7. Masak/ tumis ikan bilis hingga kuahnya pekat. 
  8. Masukkan petai. Kacau sekejap sebelum ditutup api. Siap.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...