Tuesday 25 March 2014

Kuih Bom aka Tepung Katok Gomok

Bertuah sungguh saya kerana kedatangan adik ipar sekeluarga dari Kelantan untuk menghadiri kenduri sambil bercuti  kali ni siap dengan membawa inti kacang merah serta tepung pulut. Biras saya Siti Maryam dapat tahu saya ingin belajar membuat kuih bom kegemaran saya dan suami. Dia memang expert dalam masakan kuih-kuih Kelantan..aduhai...ibarat guru mencari murid, saya sangat bertuah dapat belajar secara hands on dengan Maryam. 
Disebabkan inti sudah dibuat di kampung, saya tanyakan sahaja bahan dan sukatannya seperti di bawah ini.

Bahan inti kacang merah;

1 kg kacang merah (jenis biji kecil sahaja, tak perlu yang besar)
1 kg gula (jika gunakan gula melaka, kurangkan sedikit gula putihnya)
2 sudu kecil garam

Cara-caranya;
  1. Bersihkan kacang dan masukkan ke dalam kuali. (untuk kacang jenis ini tak perlu direndam dahulu)
  2. Masukkan air sehingga tenggelam kacangnya.
  3. Rebus sebentar sehingga empuk.
  4. Masukkan gula dan garam.
  5. Rebus lagi sambil dikacau jangan biarkan bawah kuali hangit.
  6. Kacau hingga kacang pekat dan sejukkan.

Bahan untuk kulit kuih bom;

1 kg tepung pulut
2 sudu kecil garam
1 liter air sejuk (masukkan sedikit-sedikit)
*boleh masukkan segenggam tepung gandum untuk sepeket 500gm tepung pulut jika suka.(2 genggam utk   sukatan 1kg ini)
Saya mahu buat yang original....tanpa campuran tepung lain.
1 mangkuk besar bijan


Uli doh seperti adunan onde2
Siapkan inti dulu, bentuk bulat2 seperti ni

Masukkan inti seperti ondeh2..dan golekkan dalam mangkuk bijan..tekan bijan supaya melekat kemas. PERAP SEKURANG-KURANGNYA 6 JAM SUPAYA TIDAK MELETOP semasa digoreng!!
Taddaaaaa!!!


Sambal Hitam Pahang

Sudah lama teringin nak makan dan nak masak Sambal Hitam Pahang yang terkenal ni. Ini cubaan kali kedua selepas cubaan pertama terhenti separuh jalan bila belimbing yang direbus hangus rentung hehehe.
Memang sangat sedap dan harumnya memang semerbak di dalam rumah sehinggakan suami saya mintak makan  dulu dengan nasi sejuk kerana nasi belum masak...lepas ni pantang tengok belimbing buluhlah nampaknya.

Resepi asal saya ambil dari SINI tapi untuk memudahkan kawan-kawan semua, saya copypaste resepinya.



Resepi Sambal Hitam Pahang 
 Sumber : Jerantut Daily: Sambal Hitam

Bahan-bahannya;

1 mangkuk ikan bilis yang dibuang perutnya
1 biji bawang besar - hiris
10-15 biji cili padi (pedas ikut rasa masing-masing)
6-7 asam belimbing rebus
Sedikit kicap
Sedikit gula
Sedikit garam
3/4 cawan minyak masak (lebih kurang)

Cara membuatnya :
  1. Tumbuk cili padi sehingga lumat menggunakan lesung batu. 
  2. Kemudian masukkan pula asam belimbing dan lenyek-lenyekkan dengan lesung biar bercampur dengan cili. 
  3. Masukkan pula ikan bilis dan tumbuk separuh hancur. 
  4. Panaskan minyak. 
  5. Tumiskan bawang, tak perlu tunggu bawang layu atau naik bau, terus sahaja masukkan ikan bilis yang telah ditumbuk bersama cili tadi. 
  6. Goreng menggunakan api sederhana. 
  7. Masukkan sedikit kicap, garam dan gula. 
  8. Kacau lagi sehingga agak-agak garing. Atau pun mengikut citarasa masing-masing. Sebab ada yang suka sambal ini rasa lembut-lembut, tak suke garing. Ada juga yang suka sedikit. Jaga-jaga jangan sampai hangit pulak. Sambal ini juga boleh tahan berminggu kalau dimasak garing dan kering. 
  9. Bila sudah garing tutupkan api lalu tolakkan sambal ke tepi kuali beberapa minit supaya minyak tos sebelum dihidang. Atau boleh juga angkat dan sejatkan sambal menggunakan penapis santan sebelum dihidangkan dengan nasi putih atau ketupat pulut.



Saya rebus sekejap sahaja belimbingnya sekadar kering air sahaja takut kejadian hangus berulang lagi. Lagipun saya buat untuk dimakan terus bukan untuk disimpan.
Mak saudara suami orang Kuala Lipis selalu masak sambal hitam ni dan rasanya sangat sedap. Makcik hanya blend semua bahan dan digoreng garing. Lain kali saya nak buat cara makcik pula, blend semua tak perlu tumbuk..mana nak cari belimbing lagi niiii.....

 
 

Thursday 13 March 2014

Kuzi Ayam (2)

  
 
Maaflah, tak sempat nak hidang..terus snap dari kuali jer..hehehe. Balik dari sekolah tak tahu apa nak masak. Bila perut lapar rasa nak makan macam-macam tapi bila singgah di kedai tak tahu apa pulak yang nak dibeli. Akhirnya beli je ayam seekor bila teringat ada rempah kuzi yang belum bersentuh dari cuti akhir tahun baru ni. Padankan dengan acar jelatah dan nasi hujan panas...terangkat you!!!
Dah masak kuzi ni, lauk lain tak diperlukan lagi sebab boleh benar2 menikmati rasa kuzi dan nasinya. Dah tak perlukan kuah atau sayur lain cukup sekadar acar timun  sahaja. Resepi asal di SINI, tapi saya tulis semula untuk permudahkan serta ada sedikit penambahbaikan. Selamat mencuba :-)

Bahan-bahannya;

Sediakan ayam dahulu
1 ekor ayam- potong kecil
2 ulas bawang putih-diblend
1/2 inci halia-diblend
2 batang serai-diblend
Sedikit garam
Perap ayam dengan bahan yang telah diblend serta garam sekurang-kurangnya satu jam.


Bahan tumis:
1 labu bawang besar-mayang
1 ulas bawang putih -mayang
1 sudu minyak sapi


Bahan rempah:
30 ulas bawang merah-dimayang halus dan digoreng hingga garing. Hancurkan- saya tak hancurkan
1 cawan campuran kismis dan gajus/badam- saya tambah dan saya guna kedua2 badam dan gajus.
1 sudu besar (mumbung) rempah kuzi
5 sudu besar sos tomato
1/2 tin susu cair.
1/2 cawan air
Garam
Gula melaka


Cara-caranya;
  1. Sediakan kuali dan panaskan minyak.
  2. Mula2 goreng bawang hingga garing/brown- hati2 jangan hangus.
  3. Keluarkan bawang, goreng kacang sebentar.
  4. Keluarkan kacang, goreng kismis dan keluarkan.
  5. Menggunakan kuali yang sama, goreng ayam separuh masak. Angkat keluar.
  6.  Masih menggunakan minyak dan kuali yang sama, tambahkan minyak sapi
  7. Tumiskan bawang besar dan bawang putih yang dimayang.
  8. Masukkan rempah kuzi yang dibancuh dengan air (tidak perlu lama2)
  9. Masukkan susu cair dan air.
  10. Masukkan sos tomato, bawang goreng, ayam, kismis, gajus/badam, garam dan gula melaka secukupnya.
  11. Masak hingga kuahnya pekat. Siap!

Monday 10 March 2014

Ikan Percik Putih




Selalu buat ikan percik kaler merah tapi kali ini saya buat versi zaman2 dulu, warna putih tanpa letak cili kering. Resepi yang pernah saya tunjukkan boleh lihat di SINI.
Jom tengok bahannya serta gambar step by step cara membuatnya.

Bahan-bahannya;
6 ekor ikan sardin/selayang-garam kunyitkan
1 biji kelapa parut ambil santan pekat (saya guna 1 1/2 biji kelapa untuk kuah lebih)
5 ulas bawang merah
2 ulas bawang putih
1/2 inci halia
5-8 biji buah keras
1 batang serai-ketuk saja
1 keping asam
Gula
Garam

Cara-caranya;
Siang ikan. Padat dengan telor ikan sardin hari ni

Letak garam kunyit
Blend semua bawang, halia dan buah keras masuk dalam santan bersama dengan serai dan asam keping.
Masukkan garam dan gula, kacau hingga pekat dan pecah minyak sedikit.            
  
                  Panaskan magic pan, baru letak ikan dan bakar. (Jangan tutup pan)                                                                          
                                                
  
Sambil ikan dibakar, tuangkan sedikit kuah sambil dibalik-balikkan. Kuah selebihnya dituang semasa menghidang nanti.

Sunday 9 March 2014

Nasi Goreng Simple


Ada nasi sejuk dah beberapa hari dalam peti ais. Semalam dah breakfast nasi berlauk di Narakht hari ni kita masak apa yang ada di dapur....jimat belanja betul tak?.

Bahan-bahannya;
1 mangkuk besar nasi sejuk (saya guna nasi dari 1 1/2 gelas beras)
1/2 mangkuk ikan bilis.
1 genggam udang kering
2 ulas bawang merah
5 ulas bawang putih
1 biji telur
6 biji cili padi
1/2 ikat kangkung
3 sudu sos tiram
Garam
Gula
Sedikit serbuk lada sulah

Cara-caranya;
  1. Tumbuk bawang putih dan bawang merah hingga lumat.
  2. Masukkan udang kering dan cili padi, tumbuk kasar.
  3. Panaskan minyak dalam kuali, gorengkan  ikan bilis hingga garing, angkat.
  4. Menggunakan minyak yang sama, tumiskan bahan tumbuk hingga naik bau dan sedikit garing.
  5. Masukkan telur..biar sebentar baru dikacau. Masukkan sos tiram dan kemudian kangkung. Kacau.
  6. Masukkan nasi, garam dan gula- kacau rata sambil rasakan garam gulanya.
  7. Kacau sebentar dan masukkan separuh ikan bilis goreng dan serbuk lada sulah. Kacau lagi dan tutup api.
  8. Semasa dihidangkan tabur baki ikan bilis goreng tadi dengan lada sulah...siap!!

Ya Allah....selamatkanlah mereka.


Friday 7 March 2014

Daging Goreng Halia Magic Pan

Daging goreng halia ni saya padankan dengan ikan singgang...aduhhh ngam sekali padanannya. Saya cuba cari daging tenderloin tapi tak ada pulak, terpaksa guna daging biasa yang dijual di kedai runcit Acheh di taman ni..untuk pastikan lembut dagingnya saya gunakan Magic Pan Vantage.

Bahan-bahannya;
1/2 kg daging lembu- hiris nipis
2-3  sudu sos tiram
1/2 sudu minyak bijan
Sedikit serbuk lada sulah
1/2 sudu gula melaka yang dihiris
*perap semua daging dengan semua bahan di atas

Hiasannya;
1/2 biji capsicum merah-potong baji besar
1/2 biji capsicum hijau-potong baji besar
Seketul besar halis muda - hiris nipis
1 labu bawang besar Holland- potong baji besar

Cara-caranya;
  1. Masukkan daging ke dalam magic pan. Tutup magic pan dan biarkan sebentar. (Kalau guna tenderloin tak payah tutup magic pan..masukkan sedikit minyak dan terus brownkan daging)
  2. Buka penutup magic pan (air daging akan keluar) dan kacau. Tutup balik.
  3. Ulang proses hingga air daging kering dan daging menjadi sedikit brown. Daging dah masak pada masa ini dan lembut. Rasakan sedikit dagingnya, kalau kurang masin boleh tambah sedikit garam.
  4. Masukkan 1/2 sudu minyak, masukkan hirisan halia, capsicum dan bawang. Kacau sebentar.Tutup pan seminit.
  5. Buka balik pan, kacau rata. Siap!!

Singgang Ikan 2


Menu paling mudah dan sihat. Bertambah-tambah Zahirah dan Zikry makan. Abahnya yang baru balik dari outstationpun bertambah sampai 3 kali..hahahaha sekali sekala masak singgang ni berbaloi2.

Bahan-bahannya;

1 ekor ikan tongkol dipotong, direndam sebentar dengan sedikit cuka dan dibasuh bersih serta ditoskan kering.
10 ulas bawang putih- diketuk bersama kulitnya. Buang kulit bawangnya.
2 inci lengkuas- dihiris nipis.
3 keping asam
Garam
Gula melaka
Sedikit belacan- dalam 1/4 sudu kecil sahaja.
1 labu bawang besar potong empat

Hiasan;
Bendir
Cili besar/Cili padi

Cara-caranya;
  1. Masukkan air ke dalam periuk- masukkan bawang putih, lengkuas, asam keping, garam, gula melaka, belacan dan bawang besar. Masak hingga menggelegak.
  2. Sudah menggelegak kuahnya, masukkan ikan. Perlahankan api.
  3. Rasakan agar ada rasa masin, manis dan masam. Masak dengan api perlahan lama sedikit.
  4. Kalau hendak terus dihidangkan, boleh masukkan terus bendir dan lada/cili. 
  5. Tapi jika lambat lagi..sebelum dihidangkan panaskan semula singgangnya dan masukkan bendir dan lada/cili padi. Siap!


Tuesday 4 March 2014

Bendir Goreng Ringkas-ringkas je


Resepi ni memang ringkas sesangat..hehehe. Sebenarnya masa beli hari tu niat nak buat singgang je tapi disebabkan dah ada kuah lauk gulai telur itik, maka saya gorengkan saja bendir ni.

Bahan-bahannya;
Bendir secukupnya- dibasuh bersih sebelum dipotong.
Segenggam udang kering
3 ulas bawang putih
2 ulas bawang merah
3 biji cili padi
1 biji telur
1 keping asam
Kicap manis secukupnya
Garam jika perlu.

Cara-caranya;
  1. Tumbuk bawang putih, bawang merah hingga lumat.
  2. Masukkan sekali udang kering dan cili padi- tumbuk kasar.
  3. Tumiskan bahan tumbuk hingga naik wangi dan garing sedikit.
  4. Pecahkan telur ke dalam kuali, biar sebentar sebelum dikacau.
  5. Masukkan bendir dan asam keping, kacau sedikit dan masukkan kicap secukupnya.
  6. Rasakan sama ada masih perlukan garam atau tidak. Jika perlu, tambahkan sedikit garam. Siap.

Gulai Telor Itik


Terkenang arwah Mok bila melihat telor itik ni di Pasar Borong 2 minggu lepas. Dah terbayang gulai itik yang selalu dimasak oleh arwah dulu..teringat lagi betapa lenguhnya tangan bila menumbuk rempah ketumbar dan lengkuas yang memang payah nak lumat ni..hehehe. Nikmat sungguh bila makan nasi panas2 apatah lagi perut yang sedang kelaparan. Tapi waktu tu telur itik memang fresh dari reban sebab kami memang membela dalam 40 ekor itik malah kelapa juga dari pokok sendiri..segala2nya memang fresh. Yang ni pulak sebaliknya..telur dah hampir 2 minggu dibeli..malah kelapapun dah hampir 4 hari dalam freezer. Memang hasilnya tak berapa cantik tapi rasanya sedap.

Bahan-bahannya;
4 biji telor itik
3/4 biji kelapa parut ambil santannya
3 ulas bawang merah
1 inci lengkuas
1/2 inci kunyit hidup
1 sudu besar rempah ketumbar biji
2-3 biji cili padi- boleh tambah jika suka- arwah Mok tak letak.
1-2 keping asam
Garam
Gula

Cara-caranya;
  1. Perah santan secukupnya.
  2. Tumbuk semua bawang, kunyit, lengkuas dan ketumbar hingga lumat.
  3. Masukkan dalam santan, masukkan asam keping, garam dan gula.
  4. Letakkan atas dapur dan kacau hingga menggelegak. 
  5. Perlahankan api dan pecahkan telor itik satu persatu ke dalam kuah.
  6. Kacau perlahan bahagian atas kuah sahaja tanpa menyentuh telur.
  7. Besarkan api sedikit dan kacau perlahan hingga telur masak. Siap.

Monday 3 March 2014

Kembung Goreng Kicap

Resepi macam ni pun nak masuk blog?? Tak apalah..ini khusus untuk adik2 yang baru belajar memasak contohnya untuk Si Alis dan Aifaa. Sebenarnya ini resepi yang paling mudah tapi sungguh menyelerakan bagi anak2 saya. Si Zahirah dan Zikry akan makan nasi bertambah2 apatah lagi kalau Alis dan Aifaa...memang mamanya akan masak nasi lebih sedikit kalau ada lauk ni. Mari kita tengok apa bahan untuk lauk yang ringkas ni..

Bahan-bahannya;
3 ekor ikan kembung (apa2 ikanpun boleh)- kelar halus dan letak garam kunyit. Goreng jangan garing sangat. Angkat dari kuali.

3 ulas bawang putih
5 ulas bawang kecil
2 tangkai cili kering @ 1/2 sudu cili kisar
Kicap secukupnya
2 sudu besar sos cili
2 sudu besar sos tomato
1/2 cawan air- boleh tambah jika inginkan lebih kuah.

Hiasan
Bawang besar dimayang bulat
Cili hijau besar
1 biji buah tomato dipotong ikut selera


Cara-caranya;
  1. Blend bawang putih, bawang kecil dan cili kering.
  2. Tumiskan dalam kuali yang digunakan untuk menggoreng ikan tadi (keluarkan sedikit minyak kalau banyak sangat)
  3. Tumis hingga wangi dan naik minyak.
  4. Masukkan sos cili, sos tomato dan kicap. Masukkan 1/2 cawan air.
  5. Rasakan kuahnya cukup masin, masam dan manis.
  6. Masukkan bawang besar dan ikan yang telah digoreng tadi. Kacau kuahnya perlahan.
  7. Masukkan cili hijau dan buah tomato. 
  8. Kacau sedikit dan tutup api. Siap.

Sunday 2 March 2014

Donut Gebus Gebas

Sudah lama saya melihat trend membuat donut menggunakan ubi kentang atau tepung kentang, baru kali ni berpeluang membuatnya sendiri sementelahan Aifaa masih ada di rumah. Saya masih menggunakan basic recipe yang saya belajar daripada Mok Su (Mak saudara suami) cuma saya ubahsuai menggunakan tepung ubi kentang lebihan German Cookies yang masih ada. Memang gebus gebas sungguh kemenjadiannya hingga anak2 dan suami memuji donut hari ini. Sekilo tepung menghasilkan 38 biji donut ..banyak betul kerana saya juga agih2kan kepada jiran sebelah rumah. Jom tengok resepinya.

Bahan-bahannya;

800gm tepung gandum
200gm tepung ubi kentang
1 peket mauripan (11gm)
2 biji telur
1/2 cawan susu pekat manis
1 cawan margarin
1 sudu kecil garam
2 sudu gula
Air secukupnya

Gula kaster secukupnya.


Cara membuatnya;
  1. Sediakan 1 gelas air suam- masukkan gula dan mauripan, kacau dan biarkan sebentar hingga berbuih.
  2. Dalam bekas menguli, masukkan semua bahan di atas termasuk bancuhan yeast mauripan tadi.
  3. Uli sambil dimasukkan sedikit2 air, hingga adunan tidak melekat di tangan.
  4. Uli agak lama- kalau Mak Su dalam 15-20 minit. Saya uli dalam 10 minit sahaja..lenguh tangan hehehe.
  5. Tutup doh di dalam bekas menguli menggunakan plastic wrap atau tuala dapur lembab.
  6. Biarkan doh naik sekali ganda.
  7. Tumbuk doh dan bolehlah diterap menggunakan acuan donut.
  8. Biarkan donut naik sekali ganda sebelum digoreng dengan api sederhana besar.
  9. Angkat, toskan dan biar sejuk sedikit sebelum dicelup dalam gula kaster. Siap!!.

Biar sekejap..
Baru angkat dari kuali..
Memang gebus dan gebas...ade ke istilah ni?..hehehe

Saturday 1 March 2014

Happy birthday Nur `Aifaa



You are all the unforgettable memories of the past, the precious moments of the present and the promise of a wonderful future. Happy Birthday to a beloves daughter! I see you as you are and not who people may want you to be. I see you as a shining star among a commoners sea. I see you as a beautiful princess in a wonderful fairy tale. But, mostly I see you as the daughter that I love dearly and know so very well!
Happy Birthday
! #copypaste#

Alhamdulillah..dah 14 tahun umur Aifaa pada 28 Febuari 2014..kebetulan dia balik bercuti bermula Rabu hingga Ahad..sempatlah buat kenduri kecil2an bersama dengan keluarga Ayah Longnya yang duduk di Putrajaya. Yang lain2 susah nak dijemput datang kerana semuanya bekerja Jumaat semalam. Semoga keluarga dan kawan dapat mendoakan kesejahteraan dan kecermerlangan untuk Aifaa ya..

Disebabkan hari bekerja dan sayapun balik dari sekolah dah pukul empat ..maka saya masak yang simple2 sahaja. Kek dah ditempah awal2 lagi daripada seorang kawan. Dah tahu dah memang tak sempat nak buat sendiri...nasib baik betul sebab sehari dua sebelum birthday tu saya memang sibuk dok mengadap Perancangan Strategik dan Headcount SPM tambah2 lagi kena sediakan gimik untuk Pelancaran Bulan Kemanusiaam pada Selasa depan...yohoooo...tak cukup kaki tangan ni hahaaha.

Inilah antara juadah yang saya sediakan semalam..bertemakan masakan Thailand....tapi satu gambar tak sempat nak snap iaitu Puding Cocktail. Sebenarnya semua resepi dah ada dalam blog ye...

Blueberry Cheese Cake...sungguh sedap sekali. Thank you Cikgu Nezri and wife..



Tomyam Seafood
Siakap Steam With Ginger n Garlic
Daging Masak Merah
Somtam Betik Mengkal..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...