Monday 24 February 2014

Etok Tumis Kicap


Jumpa etok ni kat Pasar Borong Selangor, hidup2 lagi..wahh memang best kalau dapat goreng sos tiram atau ketuk serai. Malangnya Ahad pagi beli..petang Isnin baru sempat masak. Disebabkan dah ada kuah kicap ikan, saya hanya tumis kicap saja etok ni..makan dengan nasi sedap, kalau ratah macam tu je lagi best hehehe.
Teringat masa kecil2 di kampung, kami ramai2 mencari etok di dalam parit tali air..dapat banyak2, balik buat tumis kicap macam ni tapi versi berkuah..memang bertambah2 kami semua makan nasi hari tu..maka penuhlah kulit etok tu di bawah rumah hehehe. Tapi etok ni etok laut bukan etok kampung yang terdapat di dalam parit, tali air atau anak2 sungai tapi rasanya hampir sama 100%. Resepi lauk ni simple sahaja, sesiapapun boleh buat..

Bahan-bahannya;
1 kg etok laut
4 ulas bawang putih-tumbuk
2 ulas bawang merah-tumbuk
2 batang serai-diketuk
Sedikit kicap manis
Sedikit sos tiram- optional
Garam
Gula


cara-caranya;
  1. Bersihkan etok dan toskan.
  2. Panaskan minyak, tumiskan bahan tumbuk dan serai hingga naik bau.
  3. Masukkan kicap, sos tiram dan sedikit air kalau nakkan kuah yang banyak. Etok akan mengeluarkan airnya sendiri- saya tak letak air.
  4. Masukkan etok, kacau rata dan tutup kuali rapat2 untuk 1-2 minit.
  5. Buka tutup kuali, kulit etok akan terbuka.
  6. Kacau rata dan rasakan masin dan manisnya. Jika kurang masin dan manis boleh tambahkan garam dan gula. Tutup api.
  7. Siap.


Saturday 22 February 2014

Masak tengah hari yang sungguh ekspress..

Hari ni ada mesyuarat PIBG di sekolah. Hampir pukul 1.00pm baru habis..perut saya dah menyanyi macam2 lagu. Maklumlah hanya bersarapan dengan oat sahaja pagi tadi...entah kenapa rasa sangat lapar hari ni.Terus telefon kakak supaya dia masak nasi  dan saya akan bawak balik lauk nanti. Abahnya sedang menunggu orang tengah baiki rumah yang akan kami sewakan pada bulan Mac nanti, so out of question kalau nak minta tolong dia.

Dah rancang keluar dari sekolah nak singgah di Restoran Ros Sari untuk beli ikan bakar dan lauk lain..pusing punya pusing tak ada parking dan kereta pula banyak betul tengah hari Sabtu ni..batal plan, buat plan baru nak singgah beli di restoran dekat dengan Mc D Suasana. Siap parking kereta, masuk jenguk2 dalam dua tiga buah restoran..saya keluar dengan tangan kosong..tak berkenan pulak, lagipun tinggal sikit saja lauk lebih2 pilihan orang...huhuhu.

Takpe, tukar lagi plan ketiga ..beli di restoran Narakh..Sekamat...kat situ ada ikan bakar dan sup tulang..cantikkk!!. Terus je pandu kereta..dah sampai...alamakkk penuh pulak parking..yang ada jauhhh kat Gmart..hampeh..balik lah dengan kecewa..perut terus menyanyi dan menari..huhuhu.

Masuk Saujana Impian..saya buat plan ke empat..beli kat Restoran Ayu..kat situpun ok..selalunya pilihan banyak dan sedap2 pula tu..drivvveeeee...tiba2 entah macam mana terlepas simpang. Masuk simpang lain terus lalu depan kedai Aceh..Allahuakbar..tidak diizinkan Tuhan rupa2nya. Saya tekan brek..parking kereta dan masuk beli ikan merah beberapa keping, kepala ikan tenggiri..ikan mata besar, salad dan timun.
Balik rumah..bukak tudung terus masuk dapur...daaaannnnn seperti yang anda lihat di atas..hasilnya dalam masa tak sampai sejam..Alhamdulillahhhh.

Hidangan ekpress hari ini..Masak Lemak Kuning Ikan Merah + Kepala Ikan Tenggiri, Ikan Mata Besar (Lolong) Bakar, Air Asam dan Ulam Salad dengan Selom...mabelesss!!

Thursday 20 February 2014

Mee Celup pergghhh sedap sekali

Mee celup merupakan di antara makanan kegemaran saya. Suami saya tahu betapa sukanya saya pada mee celup terutama kueh tiew celup sehingga boleh dikatakan setiap kali balik Kelantan, dia akan temankan saya untuk cari dan menikmati juadah ini. Sekarang tempat yang selalu saya pergi ialah kedai mee celup dekat Balai Polis Tumpat sebelah dengan kedai jahit serta kedai gunting rambut..perggghhh....semangkuk tak cukup hehehe. Kalau di sini pulak saya selalu ke Restoran PitStop di Bangi untuk menikmati kueh tiew yang original..lama dah tak ke sana sejak restoran Ahlan di Saujana Impian turut menjual mee celup. Lagi lama tak ke restoran tu sebab saya dah pandai buat sendiri..hehehe.

Sudah banyak kali saya cuba masak menu ni tapi selalunya ia akan berakhir seperti mee sup sahaja. Bila saya tanyakan jawapan yang saya terima semacam je..macam tu jer..mudah jer..campak2 jer..aduhhh mungkin mereka betul2 tak tahu ataupun menganggap ianya secret recipe yang perlu dirahsiakan??? Entahlahh.

Tetapi suatu hari, memang nak jadi rezeki saya yang selalu menjelajah restoran2 yang menjual mee celup di sekitar Kelantan ni terutama di sekitar Kota Bharu, Pasir Putih dan Tumpat.....saya TERSEREMPAk..ya.!!!!..terserempak dengan tukang masak yang sedang menyediakan sup mee celup ni di sebuah restoran di tepi sawah di Tendung...unbelievable..hehehehe

Saya ke restoran tu dalam pukul 12.00. Nampak macam dah buka jadi saya dan suami masuk. Ada satu periuk besar betul2 di dalam restoran di bahagian depannya. Rupa2nya kuah sup untuk mee celup. Saya jengok nak lihat  apa yang ada di dalamnya. Tak tergamak sebenarnya nak ambil gambar. Cepat2 saya jotdown dlm note hp. Selepas itu saya nampak lagi tukang masaknya memasukkan beberapa bahan tambahan ke dalam kuah sup tadi..tak tahan, saya pegi tengok depan2 tukang masak tu..habih cerita. So resepi ni kira dapat kebenaran jugaklah..hehehe. Walaupun begitu, disebabkan saya tidak melihat 100% bagaimana proses dibuat, saya terpaksa mengandaikan sahaja beberapa langkah permulaan. Alhamdulillah, dah beberapa kali buat ni hampir 90% rasanya sama dengan yang biasa makan di restoran malahan kadang2 lebih sedap daripada beberapa restoran yang pernah saya pergi.

Kawan-kawan silalah mencuba dan bolehlah dibuat alteration yang mana difikirkan sesuai dan lebih menyedapkan. Selamat mencuba..

Bahan untuk supnya;
3 ketul tulang yang ada dagingnya
Sekeping besar tapak tangan perut lembu, lebihpun tak apa- yang original ialah perut lembu muda/susu
2 peket fishball- boleh ganti dengan meatball/chikenball
4 ulas bawang putih-mayang
4 ulas bawang merah-mayang
2 inci halia-mayang
4 kuntun bunga cengkih
1 inci kulit kayu manis
3 biji buah pelaga
1 kuntum bunga lawang

1 batang celery-potong besar
1/2 batang lobak putih-potong kasar
1 batang serai-ketuk
1 pohon pokok ketumbar-ketuk akarnya

Perisa sup;
Sos ikan secukupnya
Gula kabung/gula somtam
Kicap masin

Cara-caranya;
  1. Panaskan minyak dalam periuk besar/dalam.
  2. Masukkan bawang merah, putih, halia- tumis hingga wangi.
  3. Masukkan rempah kasar cengkih, lawang, pelaga dan kulit kayu manis. Tumis lagi.
  4. Masukkan tulang. Tumis hingga warna tulang sedikit brown dan semua airnya kering.
  5. Masukkan air secukupnya- saya guna dalam 1 1/2 jug besar air.
  6. Masukkan semua bahan daripada perut lembu hingga pokok ketumbar. Masak hingga menggelegak dan daging pada tulang lembut.
  7. Masukkan perisanya iaitu sos ikan, gula dan kicap.
  8. Dah sedap rasanya boleh tutup api dan sejukkan.
  9. Tapiskan supnya masuk dalam periuk lain.
  10. Keluarkan tulang, perut dan fishball.
  11. Panaskan semula sup sebelum menghidang.


 Bahan mee/kueh tiew/mihun;
  1. Kueh tiew dibasuh bersih dan ditoskan.
  2. Mee kuning dibasuh bersih dan ditoskan.
  3. Mihun dicelur sebentar dan dibilas serta ditoskan kering.
Bahan hiasannya;

Taugeh- dibersihkan
Daun ketumbar- dipotong kasar
Kacang tanah digoreng tanpa minyak- ditumbuk kasar (saya tak letakpun)
Chili flakes secukupnya
Asam limau nipis dipotong

Cili kicap;
5-6 biji cili padi
Sedikit cuka
Sedikit kicap manis
  1. Campur semua bahan. Gunakan sebagai sos untuk mee celup.

Cara menghidang;

  1. Panaskan sup.
  2. Masukkan mee dalam mangkuk.
  3. Masukkan daging/perut dan fishball serta taugeh.
  4. Masukkan kuah sup ke dalam mangkuk.
  5. Hias dengan daun ketumbar, kacang tanah, cili flakes dan  asam limau nipis.
  6. Masukkan sos cili kicap untuk lebih kawww!!!
Selamat menikmatinya..sluuurrppp  hehehehe, berpeluh2 nanti..tak caya, cubalahhh.

Monday 17 February 2014

Sambal Udang Geragau dengan Mangga Muda


Layan mata je lah yer..nasib ada ulam timun jer, kalau ada celur pucuk ubi ataupun petai..makin lajulah saya bertambah nasi hehehe.

Bahan-bahannya;
1 peket kecil udang geragau kering- masukkan dalam mangkuk berisi air. Ambil yang terapung saja. yang tenggelam tu bercampur pasir. Basuh bersih dan perah kering.

2 biji mangga muda yang kecil- dicincang/sagat
5 biji cili api
3 sudu kfc garam
2 sudu makan gula

Cara-caranya;
  1. Tumbuk lumat cili padi bersama garam dan gula.
  2. Bila lumat, masukkan udang geragau- tumbuk lagi.
  3. Masukkan mangga cincang- tumbuk manja sambil dilenyek2 rata. Siap.
  4. Perghhhh...pedass!!

Kangkung Goreng Udang Kering

Kangkung oh kangkung..begitu terkenalnya kau...hehehe.

Bahan-bahannya;
2 ikat kangkung- potong akar basuh bersih- rendam bilas 2 kali hingga pasti semua bahan asing dah hilang, baru potong ikut selera  kita.

4 ulas bawang putih
1 ulas bawang merah- tak letakpun takpe
5 biji cili api
2-3 sudu udang kering.
Sedikit kicap manis
Garam
Gula jika suka

Cara-caranya;
  1. Tumbuk bersama  bawang putih, bawang merah hingga lumat. 
  2. Masukkan udang kering dan cili api- tumbuk kasar.
  3. Panas minyak, tumis bahan tumbuk hingga wangi.
  4. Masukkan sayur kangkung dan renjiskan sedikit kicap bersama sedikit air. Kacau.
  5. Jika kurang masin boleh tambahkan garam dan sedikit gula. Siap.

Gulai Ikan Kembung Rebus

Adeh..gulai ni pun nak masuk blog ke?..tak apalah, layan jerrr..hehehe. Sebenarnya ini lauk yang versatile dalam keluarga saya, budak2 boleh makan, orang tua pun tak kisah..senangkan?? Selalunya di Kelantan lauk ni kita padankan sebagai nasi berlauk pagi bersama-sama dengan sambal belacan. Sayur dalam gulai ikan ini selalunya cili hajiau besar dan juga timun. Saya bantai jer apa yang ada dalam peti sejuk. Ada baki buah nenas dan kacang panjang..masuk sekalilah hehee. Timun ada tapi saya simpan untuk buat ulam.

Bahan-bahannya;
3 ekor ikan kembung direbus dengan beberapa keping asam, garam dan gula melaka.

1 biji kelapa ambil santan secukupnya- kali ni saya cuma masukkan 3/4 kelapa tak mau pekat sangat.
3 ulas bawang merah
1 inci lengkuas
1/2 inci kunyit hidup
Segenggam ikan bilis

Kacang panjang- potong pendek
Beberapa keping nenas
Cili hijau besar kalau ada.
 Garam
Gula jika suka

Cara-caranya;
  1. Blendkan bawang, lengkuas, ikan bilis dan kunyit dengan sedikit air @ santan.
  2. Campurkan dengan santan yang telah dimasukkan ke dalam periuk.
  3. Masukkan kacang panjang dan nenas beserta 2 keping asam yang digunakan untuk merebus ikan.
  4. Kacau tanpa henti perlahan2. Bila menggelegak masukkan ikan rebus bersama dengan air rebusan.
  5.  Masukkan sekali cili besar. Kacau hingga sekali menggelegak. Tutup api. Siap.
* Saya tak masukkan cili sebab Zikry dan Zahirah tak makan pedas. Boleh blend cili padi bersama bahan lain jika mahu pedas.
Untuk kami, saya buatkan sambal udang geragau bersama dengan mangga yang pedas meletup hehhehe..

Sunday 16 February 2014

Kueh Tiew Goreng Mudah




Dua malam lepas dalam pukul 12.00am Zahirah mintak saya gorengkan kueh tiew..katanya teringin sangat. Mana lah mamanya nak cari bahan2 untuk menggorengnya malam2 buta ni. Saya janji nak gorengkan untuknya esok. Saya tahu dia lapar dan hanya buatkan roti butter dengan air milo sahaja malam tu. Abahnya turun dan offer untuk pergi belikan di restoran tapi saya melarangnya..dah malam2 esok sahajalah pergi beli hehehe.

Esoknya abahnya belikan kueh tiew dan kerang serta taugeh untuk digoreng petang tu tapi kebetulan saya sudah memasak nasi dan Zahirah pun dah kenyang selepas saya suapkan dia dan Zikry. Tapi kerangnya tetap saya rebus dahulu dan simpan dalam peti sejuk.

Pagi ni pula, walau nasi tomato masih ada banyak di dapur, saya gorengkan juga kueh tiew ni sebab takut kerang busuk dan kueh tiewnya rosak. Rajin sungguh Zahirah mengopek isi kerang...bersemangat menolong bila saya beritahu saya hendak menggoreng kueh tiew untuknya...aduhhh macam-macamlah Zahirah ni.

Bahan-bahan untuk menggoreng kueh tiew;
2 peket kueh tiew- basuh bersih untuk keluarkan minyak dan toskan kering.
6 ulas bawang putih-blend
3 ulas bawang merah-blend
3 biji cili kering-blend

1 mangkuk isi kerang
1/2 mangkuk udang
1 keping fish cake
2 biji telur

Sos cili
Sos tomato
Kicap
Garam

1 mangkuk besar taugeh dan daun kucai
1 biji cili merah

Cara-caranya;
  1. Panaskan minyak. Masukkan  bahan yang dibled, tumis hingga naik minyak.
  2. Masukkan udang, tumis lagi hingga udang mengerekot. 
  3. Masukkan sos cili, sos tomato dan kicap. Masukkan sedikit air dan sedikit garam. Rasakan masin dan manisnya.
  4. Pecahkan telur ke dalam tumisan, gaul perlahan biar telur beku. Masukkan isi kerang dan fish cake. Kacau.
  5. Masukkan kueh tiew, kacau rata. Bila hampir di angkat masukkan sayur taugeh dan kucai bersama cili merah yang telah dihiris nipis. 
  6. Siap.
Boleh dihidangkan bersama cili kicap atau cili jeruk.



Saturday 15 February 2014

Nasi Tomato



Sebelum balik dari sekolah tadi sempat menanya-nanya kak Faridah cikgu @ katerer kat sekolah tu cara2 dia buat nasi tomato. Hampir sama rupanya resepi dan cara kami cuma cadangan untuk lebih sedap dengan menggunakan tomato Heinz tak menjadi sebab tak ada pulak kat kedai Acheh tu...gunalah tomato puree biasa. Lain kalilah kak Faridah yer..Jom tengok resepinya yer.

Bahan-bahan;
5 gelas beras basmathi- dalam 1 kg kot- cuci dan toskan
1 labu bawang besar- mayang
3 ulas bawang putih- mayang
1/2 inci halia- mayang
1 inci kulit kayu manis
1 kuntum bunga lawang
4 kuntum bunga cengkih
4 biji buah pelaga
1 tin kecil tomato puree

1 sudu besar minyak sapi
1 sudu besar mentega/margarine
2 sudu minyak- saya guna minyak zaiton
2 helai daun pandan dikoyak simpulkan.
Garam.

1/2 cawan kismis kuning
1/2 cawan buah gajus- panggang dalam oven dulu.

 7 gelas air + 1/2 gelas susu cair.

Cara-caranya;
  1. Panaskan minyak, minyak sapi dan mentega bersama-sama.
  2. Masukkan bawang, halia dan bawang putih. Tumis hingga naik bau.
  3. Masukkan rempah kasar (cengkih, kayu manis, lawang dan pelaga) Tumis lagi.
  4. Masukkan daun pandan. Masukkan tomato puree. Kacau hingga naik minyak.
  5. Masukkan air. Tunggu hingga menggelegak. Masukkan susu dan sedikit garam. 
  6. Masukkan beras. Tutup periuk dan tunggu hingga nasi hampir kering airnya.
  7. Kacau dengan senduk kayu. taburkan buah kismis dan gajus. Tutup periuk dan kecilkan api.
  8. Biar sebentar. 
  9. Buka tutup periuk, jika banyak air keluar dan tumpah dari tutup periuk maknanya nasi sudah masak. Tutup api. Gemburkan dengan garfu. Siap.

Acar Jelatah


Inilah hasilnya kala nak cepat sangat heheh...potongpun ikut suka asal cepat siap.

Bahan-bahannya;

Untuk cukanya;
2 sudu kecil garam-sudu KFC tu
3 sudu besar gula
1/2 cawan cuka
2 ulas bawang merah dimayang
1 biji cili merah dipotong nipis.

  1. Satukan dulu cuka, gula dan garam.
  2. Masukkan cili dan bawang, kacau sebati- sedia untuk digaulkan dengan sayur.
Sayur acarnya;
1 batang timun
1/2 batang karet
1/4 buah nenas
-potong semua bahan dan gaulkan dengan cuka tadi. Simpan dalam peti sejuk untuk lebih segar.

Nota; Untuk lebih baik terutama untuk tujuan kenduri dan kuantiti yang banyak;
  1. Cuka dimasak  dahulu dengan garam dan gula.
  2. Sayur karet dan timun di rendam dengan air kapur supaya lebih rapuh dan tahan lama kerapuhannya,

Ayam Masak Merah

Dari kuali..
Macam-macam resepi ayam masak merah kan? Yang ni memang simple tapi rasa boleh tahan..jom tengok resepinya.

Bahan-bahannya;
1 ekor ayam- potong kecil dan perap dengan garam kunyit. Goreng jangan  garing.

2 labu bawang besar untuk blend
1 labu bawang besar untuk dimayang
4 ulas bawang putih-blend
5 biji cili kering- saya pakai yang besar (boleh tambah jika suka)
1 inci halia
2 batang serai
Sos cili
Sos tomato
Garam dan gula

Cara-caranya;
  1. Blend halus bawang besar, bawang putih, halia dan cili kering.
  2. Panaskan minyak dan tumis bahan blend hingga naik minyak.
  3. Masukkan sos tomato dan sos cili secukupnya.
  4. Rasakan masin dan manisnya sebelum ditambah garam dan gula.
  5. Masukkan bawang besar yang dimayang kasar. Kacau.
  6.  Masukkan ayam yang telah digoreng. Kacau..siap.
* boleh masukkan susu cair atau santan sedikit jika suka.

Dalca Tulang


Hari ni Aifaa balik bawak kawan ke rumah. Saya pulak bersekolah ganti..memang kelam kabut balik masak tengah hari ni. Disebabkan masih ada stok beras basmathi di rumah saya buat nasi tomato yang ringkas sahaja. Plan asal nak buat kuzi ayam tapi masa tak mencukupi, maklumlah mana nak mayang dan goreng bawang, mana nak goreng bahan-bahan lain..last2 saya masak je ayam masak merah, dalca tulang dan acar mentah@jelatah..beresss. Bertambah2 orang2 di rumah ni makan , sama juga dengan Aifaa dan kawan2nya..alhamdulillahh berbaloi masak hari ni hehehe.

Saya masak dalca dulu sambil perap ayam untuk ayam masak merah, kemudian baru masak nasi..sambil2 tu saya buat acar hehehe..boleh bayang tak macam mana rupa dapur saya tadi..macam tongkang pecah hahaha.

Nak cepat punya pasal..live dari dalam periuk tau!!
Bahan-bahan untuk dalca tulang.

Bahan-bahannya;
 
1/2 kg tulang
2 biji kentang- baji kasar
1 biji terung- potong sederhana besar
1/2 biji karet-potong baji
1/2 biji nenas- potong sederhana tebal
6-8 tangkai kacang panjang- potong pendek2
1 peket babycorn-potong 2
*semua sayur potong hampir sama saiz supaya masak sekata
4 biji cili hijau

2 sudu rempah dalca- boleh tukar kepada kari
1 sudu serbuk cili
1 biji bunga lawang
3 kuntum bunga cengkih
3 biji buah pelaga
1 inci kulit kayu manis
8 ulas bawang merah
4 ulas bawang putih
1 inci halia
1 biji kelapa parut ambil santannya.
1 sudu asam jawa dibancuh ambil airnya
Gula
Garam

Cara-cara membuatnya;
  1.  3 ulas bawang merah, 2 ulas bawang putih dan 1/2 inci halia dimayang nipis- selebihnya diblend halus.
  2. Panaskan minyak, masukkan bawang dan halia mayang serta rempah kasar cengkih, lawang, kayu manis dan buah pelaga, tumis sampai wangi dan hampir brown.
  3. Masukkan bawang dan halia mesin- tumis sampai naik minyak.
  4. Masukkan rempah dalca dan serbuk cili. Masukkan tulang. Masukkan sedikit air dan tumis hingga daging pada tulang lembut.
  5. Masukkan garam, gula dan air asam jawa. tumis lagi.
  6. Masukkan santan. Kacau.
  7.  Masukkan sayur-sayuran seperti kentang, karet, terung dan kacang dulu.Kacau.
  8. Masukkan sayur babycorn, nenas dan cili hijau. Menggelegak, tutup api.
  9. Siap.
Resepi ayam masak merah dan nasi tomato lepas ni yer..heheh

Saturday 8 February 2014

Siput Pahat Goreng Pedas Berserai


Hari ni pagi2 lagi ke Pasar Borong Selangor. Terjumpa pulak dengan siput pahat ni. 1 peket RM12.00. Saya balik kira dalam 30 ekor pahat semuanya. Ok lah kan harganya. Saya tak pernah makan mahupun memasaknya, selalu tengok dalam gambar je ataupun tengok kat FB bila kengkawan dok post masakan ni. Nampak sungguh sedap sekali.
Saya masak ikut resepi dan cara saya memasak etok kera baru2 ni..hehehe kenal tak etok kera?. Rupanya macam etok tapi bentuknya lebih besar dan berwarna putih. Satu lagi etok kera ni hidupan laut dan bukan di sawah atau sungai seperti etok biasa.
Foto ihsan Google- etok kera orang2 kampung suami saya panggil.
Jom tengok cara saya memasak pahat ni....

Bahan-bahannya;

1 kg pahat
2 labu bawang besar
3 biji cili kering
3 ulas bawang putih
2 batang serai diketuk
Sedikit kicap manis
1 keping asam
Garam
Gula

Cara-caranya;
  1. Blend bawang dan cili hingga lumat.
  2. Tumiskan bahan blend hingga garing/naik minyak.
  3. Masukkan serai yang telah diketuk, garam, gula, kicap dan asam keping.
  4. Kacau sebati  dan masukkan sedikit air (dalam 1/2 cawan).
  5. Bila kuah mendidih, masukkan pahat. Kacau sebentar dan tutup kuali dengan penutup untuk beberapa minit.
  6. Buka tutup kuali, kacau sebentar, tutup api..dah masak!! Jangan terlalu lama takut isi pahat keras.
  7. Siap.

Sup Ikan Tenggiri Bercendawan dan Halia


Dulu kalau saya buat sup ikan, bahan yang saya bubuh hanya bahan2 untuk sup sahaja seperti daun sup dan daun bawang, paling bagus pun batang celery dengan lobak merah.
Semasa ke Ghuangzhou beberapa tahun lepas, saya perhatikan kebanyakan peniaga yang makan2 di kedai masing2 pada waktu rehat mempunyai menu yang sama iaitu sup ikan bersayur. Seekor ikan tanpa dipotong bersama2 dengan pelbagai jenis sayuran di dalam satu pot tahan panas yang sama. Nampak sangat menyelerakan malah menyihatkan. Suri2 rumah yang balik dari pasar juga saya lihat banyak menjinjing beg plastik yang mengandungi sayur2 sahaja. Patutlah tidak nampak penduduk yang gemuk2 di sana hehehe..agaknya mereka banyak makan sayur2 berbanding nasi. Malangnya tak pandai pulak nak minta resepi sup ikan mereka hehehe.
 Untuk resepi kali ini saya masukkan cendawan dan halia dalam sup ikan ,, sangat sedap tambahan pula tenggiri yang saya guna ni sangat segar sekali. Jom tengok resepinya,

Bahan-bahannya;

2 keping ikan tenggiri
6 ulas bawang merah- mayang
4 ulas bawang putih- mayang
2 inci halia- mayang
1 kiub ikan bilis- tak nak letakpun boleh

Lobak merah-dipotong ikut citarasa
1 peket cendawan - dicarik kasar
1 batang celery-potong serong
Daun sup secukupnya

Cili padi dan air limau nipis untuk penambah rasa

Cara-caranya;
  1. Panaskan minyak di dalam periuk
  2. Masukkan bawang  merah, bawang putih dan halia- goreng sampai sedikit brown.
  3. Masukkan air secukupnya dan kiub ikan bilis.
  4. Masak hingga menggelegak- rasakan, jika kurang masin tambah garam.
  5. Masukkan hirisan lobak merah dan ikan- masak hingga menggelegak lagi.
  6. Masukkan sayur cendawan dan celery- biar sekali menggelagak, tutup api.
  7. Hiaskan dengan potongan cili padi, daun sup serta perahan air limau nipis sebelum dihidang.

Friday 7 February 2014

Passenger - Let Her Go


Terjatuh cinta pulak dengan lagu ni..ambil yang baik yer daripada lirik lagu ini..hargailah apa yang kita ada, jangan dah terlepas atau berlalu pergi baru kita mahu menghargai..

Thursday 6 February 2014

Sambal Goreng Jawa



Walaupun saya ni pure kelantan tapi tekak saya ni punya selera yang pelbagai , semua sedap semua boleh..tu yg gemuks tu!
Saya sangat sukakan tempe dan semua jenis masakan yang menggunakan tempe. Pendek kata tempe tu saya goreng je cicah dengan sos cili atau sambal kicap...yummy!!

Sebenarnya ini adalah kali pertama seumur hidup saya masak sambal goreng jawa, malupun ada takut2 resepi atau cara memasaknya salah, maklumlah tak pernah melihat orang memasaknya...saya guna tekak saya sajalah sebagi penanda aras sama ada rasanya serupa dengan yang biasa saya makan...alhamdulillah, selepas blogwalking ke beberapa blog terkenal untuk melihat bahan dan teknik, saya buatlah cara saya sendiri di mana bahan2nya sama seperti sambal jawa yang dijual di kantin sekolah.

Bahan-bahannya;
1 peket tempe- dipotong dan digoreng hampir garing
2 buku tauhu segar- dipotong kecil dan digoreng hampir garing
5 ketul hati ayam- potong kecil letak garam kunyit dan goreng.
 4 biji kacang panjang- dipotong serong
2 biji cili besar hijau-potong serong
2 biji cili merah besar-dipotong serong
1 peket suhun-direndam
1-2 peket fucuk -direndam

4 ulas bawang merah
3 ulas bawang putih
1 genggam ikan bilis
1 sudu serbuk cili
Kicap manis
Air asam jawa secukupnya- saya guna dalam 1 sudu asam jawa.
Garam
Gula

Cara membuatnya;
  1.  Mesinkan semua bahan bawang, cili dan ikan bilis
  2. Keluarkan separuh minyak lepas menggoreng tempe, tauhu dan hati ayam tadi.
  3. Gunakan kuali yang sama untuk menumis bahan yang telah diblend.
  4. Tumis sampai naik minyak, Masukkan kicap,air asam jawa, garam dan gula. Rasakan masin manisnya.
  5. Masukkan kacang panjang, kacau sebentar.
  6. Masukkan suhun dan fucuk yang telah ditoskan, kacau sebati.
  7. Masukkan semua bahan goreng, kacau lagi.
  8. Akhir sekali masukkan cili potong. Kacau dan siap!.
Cubalah...Sambal Goreng Jawa orang Kelantan.

Tuesday 4 February 2014

Ayam Untuk Nasi Ayam



Ini nasi ayam yang saya buat di rumah nenek cuti baru2 ni. Melayan anak2 dan anak2 saudara yang suka makan nasi ayam..berulang2 mereka makan, puas hati bila masakan kita laku hahahaha.

Saya bagi resepi ayam sahaja ye..kalau nak detail boleh rujuk di SINI.

Bahan-bahannya;

2 ekor ayam dipotong 4- rebus dengan air yang dicampur 8 ulas bawang putih(tumbuk), 1 inci halia(tumbuk) dan sedikit garam
Kicap pekat manis
Sos tiram


Cara-caranya;
  1. Rebus ayam hingga empuk.
  2. Toskan ayam.
  3. Salutkan dengan kicap dan sos tiram.
  4. Goreng SEKEJAP sahaja sebab ayam dah masak.
  5. Angkat dan potong kecil sebelum dihidangkan. Siap.

Nyamannya di kampung..



Balik kampung sempena cuti raya cina ..aduhai..sejuk sungguh udara di kampung. Bayangkan kami tidur malam tak berkipas, jimatlah elektrik rumah nenek dan tokmek kali ni. Kalau tidak, memang bil akan melompat tinggi setiap kali anak cucu balik hehehe.

Rumah nenek lebih sejuk memandangkan kawasan kelilingnya sungai dan rumahnya rumah kayu..memang mengerekot semuanya bila tidur hahah, suami dan si Zahirah yang manja siap mandi pagi dengan air panas lagi..berbeza dengan saya, Alis, Aifaa dan Zikry..kami memang suka mandi air sejuk walaupun sejuk kali ini macam air batu..segar sungguhhhh!!

Suhu yang dicatat waktu pagi dalam 17-18 darjah celcius manakala waktu tengah hari dalam 27-28 darjah..tak sejuk?..memang nyaman sungguh!! Kalau selalu macam ni kan seronok? hehee.

Alhamdulillah, walau sejuk kedua2 tokmek dan nenek sihat walafiat. Semoga mereka berdua terus sihat dan dapat menjalankan ibadat dengan selesa dan gembira..aminn. In sha Allah, cuti lain kali kami anak beranak akan balik lagi menziarahi mereka.  Perjalanan pergi dan balik kali ini agak lancar dan tidak terperangkap dengan jem yang teruk, alhamdulillah. Terima kasih Allah.

Puding Cocktail Yang Terlalu Mudah



Alamak..sedapnya puding ni bila dimakan sejuk2..nyamannn jer hehehe.
Puding ni saya buat untuk Alis yang berpuasa. Tambahan pula ini memang kesukaan dia. Tapi kali ni saya buat versi ringkas sahaja, maklumlah buatnya pun bila balik dari sekolah..terkocoh2 ke kedai beli agar2 serta
cocktailnya. Balik dah lewat lepas solat asar baru masuk dapur...semua ekspress gitu. Jom tengok bahan2nya.

Bahan-bahannya;
1 peket serbuk agar2- saya beli yang siap berperwarna oren- masak ikut arahan dipeket.
1 tin cocktail- saya guna tropical cocktail
1 tin susu cair
1/2 tin susu pekat
Air batu secukupnya.

Cara-caranya;
  1. Potong kecil2 agar2 yang sudah keras.
  2. Satukan semua bahan di dalam mangkuk besar.
  3. Masukkan air batu secukupnya. Kacau rata.
  4. Siap...sluuurrrppppppp!!! dapnyer hehehe

Nasi Dagang (2)


Selalunya saya agak cerewet semasa nak membeli beras nasi dagang, sebab jika beli yang kurang berkualiti hasilnya agak kurang cantik. Biar mahal sedikit asalkan puas hati. Bagaimanapun ketika balik ke kampung baru-baru ini (hujung Disember), entah macam mana rata2 kedai di pasar Jelawat tu kehabisan stok beras nasi dagang, yang ada cuma beras yang 99% beras perang yang agak usang nampaknya. Disebabkan stok beras di rumah dah habis saya beli jugak 2 kg..dengan alasan tak ada akar rotan pun berguna heehe..tapi tengoklah hasilnya, memang tidak cantik walaupun saya dah tambahkan sedikit beras wangi. Namun begitu rasanya masih sedap..alhamdulillah.
 
Berbezakan rupa nasinya..yang ini teksturnya lebih sedap dan cantik.
Untuk resepi nasinya sila ke SINI dan untuk gulainya sila ke SINI.

 Kali ini saya tambahkan dengan sambal kelapa yang memang favourite suami. Saya sebenarnya tak berapa rajin sangat hehehe maklumlah nak membuatnya agak remeh dan ambil masa yang lama. Sape2 yang rajin bolehlah buat yer..


Sambal Kelapa Nasi Dagang

1/2 biji kelapa parut- goreng tanpa minyak dan tumbuk halus.
4 ekor ikan selayang(kecil) direbus dan ditumbuk isinya.
5 ulas bawang merah
1/2 inci halia
3 batang serai
Garam
Gula

Cara-caranya;
  1. Masukkan kelapa yang telah digoreng + tumbuk halus dan isi ikan yang telah ditumbuk kedalam kuali.
  2. Blendkan bawang, serai dan halia dengan sedikit air.
  3. Tuangkan ke dalam kuali.
  4. Masukkan gula dan garam.
  5. Kacau sambal kelapa ini hingga agak2 lembab sahaja jangan sampai kering/garing. 
  6. Siap. Boleh dimakan dengan nasi dagang ataupun nasi impit.






Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...