Monday, 24 October 2016

Tupat Sutung Kelate/ Ketupat Sotong



Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Sudah lama Si Alis teringin hendak makan ketupat sotong ni tapi mamanya tak berkesempatan. Kali ni Cik Wan buat sebelum dia request lagi. Alis baru sahaja balik dari Penang setelah berjaya menghabiskan pengajiannya di peringkat diploma di UiTM Prai, Pulau Pinang. Kebetulan harga sotong agak murah hari ni..maka Cik Wan terus borong 2 kilo. Besar-besar sotongnya, adalah dalam 24 ekor.

Berulang-ulang Alis makan , begitu juga dengan Mr A. Teringat pula pada si Aifaa....kegemaran dia jugak ni. Betullah kata orang, seorang ibu akan sentiasa teringat akan anaknya yang tiada di sisi. Dulu-dulu, kami boleh hantar makanan ke asrama pada hari2 biasa, tetapi polisi sekolah sekarang melarang terus ibubapa datang berjumpa dengan anak-anak di asrama pada hari biasa. Hanya pada hari hujung minggu atau kecemasan sahaja. Jadi tak dapatlah kami menghantar ketupat sotong untuk Aifaa meskipun sekolahnya hanya beberapa ratus meter dari rumah kami.

Cik Wan tak akan share resepi sebab dah ada cara membuat ketupat sotong langkah demi langkah di SINI. Bolehlah merujuk entry lama ni ye. Warna ketupat hari ini lebih gelap kerana Cik Wan menggunakan Nise asli dari Kelantan. Selamat mencuba ya!!!

Wednesday, 19 October 2016

Nasi Impit atau Nasi Kapit Kelantan



Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Nasi Impit atau Nasi Kapit merupakan makanan kegemaran Zikry si bongsu Cik Wan. Alang-alang dah ada sambal kelapa lebihan daripada Nasi Kerabu hari tu, Cik Wan terus masak kuah kacang dan rebus jer nasi impit. Memang bersemangat si Zikry makan..puas hati memasaknya. Cara Cik Wan masak kuah kacang agak tradisional sedikit, maklumlah dipelajari daripada arwah nenek sebelah Mek. Kali pertama buat bersama arwah semasa Cik Wan Tingkatan 3 iaitu semasa Hari Raya Puasa...memang dah lama dan masih Cik Wan gunakan sampai sekarang.
Jom tengok bahan dan cara;


Bahan-bahannya;

1 mangkuk kacang tanah- sangrai dan buang kulit. Mesin jangan hancur sangat.
2 biji kelapa parut- ambil santan secukupnya. (Cik Wan blend 1 kali setiap biji dan perah santannya- so agak2 sukatan blender ya)
7 ulas bawang merah*
3 ulas bawang putih*
4 batang serai*
1 mangkuk potongan cili kering*
1/2 inci halia*

Semua bahan bertanda* dimesin lumat.

2 keping nise
3 sudu gula
2-3 sudu kecil garam
1 sudu besar asam jawa- bancuh dengan air.

Cara memasaknya;

  1. Panaskan minyak.
  2. Masukkan bahan mesin dan tumis.
  3. Masukkan garam dan gula melaka. Kacau.
  4. Masukkan air asam jawa. Kacau lagi.
  5. Bila bahan tumisan sudah pecah minyak/garing- masukkan santan.
  6. Kacau hingga menggelagak dan masukkan kacang tanah.
  7. Kacau hingga pekat. Rasakan masin, manis dan masamnya. Rasa dominan adalah manis diikuti oleh masin dan masam. 
  8. Siap!!!.

Nota:
  1. Santan boleh ditukar dengan menggunakan air sahaja.
  2. Boleh diketuk seinci lengkuas dan dimasukkan dalam kuah.
  3. Boleh memasukkan daging.
  4. Boleh letak jintan manis dan udang kering jika suka.
Tapi tekak Cik Wan hanya sukakan kuah kacang arwah nenek...Al Fatihah untuk beliau. 



Monday, 17 October 2016

Ayam Percik Tradisional dengan Nasi Kerabu Biru Bunga Telang




Assalamualaikum dan selamat sejahtera.
Tengah hari Ahad semalam Cik Wan masak nasi kerabu biru dengan ayam percik. Jarang Cik Wan masak ayam percik sebab anak-anak dan suami tak berapa suka. Tapi Cik Wan dah niat nak masak juga, kalau tak ada orang nak makan Cik Wan nak bawak ke sekolah saja. Tapi rupa-rupanya Aifaa sangat sukakan ayam percik ni. Pelik juga sebab masa kecik-kecik tak mahu dia.

Hari ni Cik Wan hanya nak share cara buat Ayam Percik sahaja sebab resepi Nasi Kerabu ni dah detail dalam entry yang lepas-lepas.

Resepi yang Cik Wan guna merupakan resepi asal turun temurun keluarga Cik Wan  dengan sedikit penambahan iaitu memasukkan buah keras untuk hasil pekat dan lemak. Jangan marah Cik Wan kalau resepi ni tak sama dengan resepi kawan-kawan ye, sebab ada juga yang hantar komen yang resepi Cik Wan ni tak betul. Seperti yang Cik Wan katakan, kita tidak tahu asal usul sesuatu resepi, yang kita tahu adal pelbagai versi satu-satu jenis masakan bergantung kepada tempat dan negeri malahan kaum kerabat masing-masing. Malah kadang-kadang dipengaruhi pula dengan masakan-masakan lain. Kita tengok resepi Cik Wan ya.

Bahan-bahannya;

Untuk ayam

1 ekor ayam potong 4 bahagian-buang kulit.
2 batang serai*
5 ulas bawang putih*
Sebesar ibu jari halia*
Garam
1 cawan santan cair.
Semua bahan bertanda * dimesin. Gaulkan bersama ayam dan garam. Perap sekejap.

Perap sebentar.


Masukkan dalam kuali, masukkan santan cair dan rebus hingga 3/4 masa/ hingga santan kering. 
Balik2kan ayam. Dah kering santannya. Sedia untuk dipanggang.

Untuk Kuahnya;

2 biji kelapa parut ambil 4 cawan santan pekat.
7 ulas bawang merah kecil
3 ulas bawang putih
7 biji cili kering
4 biji buah keras
1/2 inci halia
1 keping asam keping
Sedikit belacan- khas untuk ayam percik. Kalau ikan percik tak payah ye.
Gula/gula melaka
Garam.

Cara memasaknya;

  1. Masukkan santan dalam kuali dan masak dengan api perlahan. Kacau sekali sekala.
  2. Blend semua bahan kecuali asam keping, tuang dalam santan. Kacau.
  3. Masukkan asam keping, gula dan garam. Kacau tanpa henti untuk hasil yang cantik. 
  4. Masak hingga kuah pekat dan pecah minyak.
Dah pekat dan pecah minyak. Sedia untuk dituang ke atas ayam panggang.



Bakar ayam yang telah direbus tadi.

Sambil dibakar, balik-balikkan ayam dan tuang sedikit-sedikit kuah percik ke atas ayam.
Bila dah ada tanda-tanda hangus sedikit, sudah boleh diangkat dan dihidangkan.
 Tuang kuah selebihnya ke atas hidangan. Siap!!!


Makanlah dnegan Nasi Kerabu Biru..yummehhh






Wednesday, 12 October 2016

Gulai Tumis Darat Ikan Talang Masin.



Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Malam ni Cik Wan masak lambat sikit..gambar panas-panas tu hehehe. Sebenarnya Cik Wan dah makan awal tapi macam biasa lauk Cik Wan ni Mr A tak berapa berselera. Cik Wan dah plan untuk masak gulai ikan Talang untuknya. Lepas dia solat Maghrib, terus Cik Wan hidangkan dengan nasi panas-panas. Berselera jugak dia dan Zikry makan walaupun first time Cik Wan masak gulai begini. Tadi sebelum memasak Cik Wan telefon Kak Kalbi kawan baik yang berasal dari Tanjung Malim...kira lauk ni kepakaran dia sekeluarga lah. Selalunya Cik Wan hanya masak lemak kuning dengan nanas tapi dah lama teringin nak masak kari gulai darat. Malam ni dah tercapai impian, terima kasih kak Bi. Jom tengok resepi mudah ni.



Bahannya;

Bahan A
Beberapa keping ikan Talang masin- kalau jenis yang masin sangat, rebus dulu atau sekadar rendam dahulu sekejap baru ditoskan airnya.
1 biji kelapa- perah santannya sekadar tenggelam ikan Talang dan sayurnya.
2 sudu besar serbuk kari ikan- bancuh dengan air/santan.

Bahan B
2 biji terung bulat kecil -potong
1/2 biji nanas - potong

Bahan C
6 ulas bawang merah-mayang
3 ulas bawang putih-mayang
2 tangkai daun kari

Perasa
Garam- jika perlu
Gula
Asam keping- jika nanas tak cukup masam.

Cara membuatnya;

  1. Masukkan ikan ke dalam periuk.
  2. Masukkan santan (hingga tenggelam ikannya)
  3. Masukkan bancuhan serbuk kari.Masak dengan api sederhana.
  4. Bila hampir menggelegak masukkan bahan B iaitu  hirisan nanas dan terung.
  5. Masak hingga menggelegak sambil dikacau sekali sekala.
  6. Sambil kuah menggelegak, tumiskan bahan C dalam kuali dengan minyak hingga bawang garing, masukkan daun kari.
  7. Tuang bahan C ke dalam kuah.
  8. Kacau sebentar dan rasakan masin manis dan masamnya. Tambahkan apa yang patut. Siap!!


Monday, 10 October 2016

Stew Ayam Noxxa yang ringkas tapi menyelerakan.



Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Petang ni Cik Wan masak simple sebab yang ada cuma Cik Wan bersama Zahirah dan Zikry. Zikry dah lapar sejak balik dari rumah pengasuh lagi malangnya ayam dalam peti sejuk masih keras, kena defrost dulu. Marah juga dia sebab tak faham kenapa mama taknak masak hehehe..sabor je la Zikry. Kali ni untuk masak stew ayam ni Cik Wan gunakan Noxxa dan hasilnya memang mabeles. Dahlah cepat saja, masa untuk menumis dan merenih hanya ambik masa dalam 20 minit sahaja. Sesuailah untuk Zikry yang tengah kelaparan tu. Jom tengok bahannya dan cara membuatnya.

Bahan-bahannya;

3/4 ekor ayam- buang kulit dan potong kecil.
1 1/2 labu bawang besar Holland- tadi Cik Wan guna 1 labu besar dan 1 labu kecil.
1 sudu besar tepung gandum
1 batang karet
1 biji kentang yang besar
1 batang celeri
2 helai daun bay-optional
1 1/2 mangkuk air- separas dengan ayam dan bahan-bahan lain.
Garam- tadi Cik Wan guna 3 sudu kecil/plastik kfc
Gula- tadi Cik Wan letak 1 sudu kecil.
*garam gula boleh ikut rasa sendiri ye


Cara-caranya:
  1. Bersih dan toskan ayam.
  2. Dadu bawang besar.
  3. Setkan Noxxa Stir Fry.
  4. Panaskan minyak di dalam Noxxa.
  5. Masukkan bawang- tumis hingga hampir brown. Masukkan daun bay.Tumis
  6. Masukkan tepung gandum- kacau hingga tepung masak.
  7. Masukkan ayam- biarkan jadi brown baru balikkan.
  8. Masukkan air- separas dengan ayam dan bahan lain. 
  9. Masukkan bersama kentang, karet dan celeri.
  10. Masukkan garam dan gula.
  11. Setkan HP 15 minit. Dah keluar semua wap, buka penutup dan rasakan kuahnya. Tambah apa yang patut. Siap.
  12. Selamat mencuba...
Nota : Sedap dimakan bersama dengan nasi atau roti..apatah lagi roti perancis..phewww!!!
Zikry bertambah sampai 3 kali...kussss!!!! semangat sungguh budak ni makan heheh.

Wednesday, 5 October 2016

Nasi Dagang Arab...belum cuba belum tahu


Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Petang semalam Cik Wan masak nasi dagang kaedah baru iaitu menggunakan beras basmati. Tapi Cik Wan guna beras basmati biasa sahaja bukan PUSA atau long grain Nasi Arab. Kalau buat menggunakan beras panjang hasilnya akan lebih sedap dan cantik.

Beberapa minggu sebelum tu Cik Wan dan kawan-kawan makan nasi dagang Air Dingin direct dari Kelantan..mereka gunakan beras basmati yang berkualiti..masya Allah sedap sangat rasanya. Dah berazam nak buat sendiri..akhirnya tercapai juga semalam.

Hari ni Cik Wan nak kongsikan resepi nasinya sahaja. Untuk gulai ikan dan acar jelatah boleh rujuk blog ini ye. Selamat mencuba..


Bahan-bahannya;

3 cawan beras basmati
1 cawan beras wangi (Cik Wan tak gunakan beras pulut)
*basuh bersih dan rendam bersama dengan 1/2 sudu teh halba dan sedikit garam selama 3-4 jam.

10 ulas bawang kecik- mayang nipis
6 ulas bawang putih- mayang nipis
2 inci halia- hiris nipis dan halus
1 sudu besar halba
1 sudu teh garam
Sedikit gula jika suka- Cik Wan tak letak, Mr A tak suka manis
2 cawan santan pekat (pati santan)
2 cawan santan cair
*santan dari 2 biji kelapa parut.




Cara membuatnya:

  1. Satukan 2 cawan pati  santan dengan semua bahan hirisan.
  2. Masukkan garam.
  3. Masak hingga menggelegak. (Cara ini memyebabkan nasi dagang kita tahan lebih lama dan bau lebih wangi)
  4. Toskan beras dan kukus hingga masak- Kacau2 sedikit semasa mengukus.
  5. Angkat dan gaulkan dengan santan cair tadi. Biarkan beras menyerap semua santan cair.
  6. Kukus semula hingga masak dan lembut. 
  7. Selepas nampak kukus kita keluar wap dengan banyak, biarkan sekejap lagi dan boleh matikan api.
  8. Masukkan nasi ke dalam bekas dan tuangkan santan bawang yang telah dimasak. 
  9. Gaul sebati menggunakan senduk kayu agar nasi kita tidak patah.
  10.  Siap. Hidangkan dengan gulai ikan tongkol/udang/ayam dan acar jelatah serta sambal kelapa.
Ini gulai ikan Cik Wan...selamat memasak ya.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...