Saturday 25 May 2013

Gulai Ikan Talang Masin dengan Nanas

Yang ini gambar lama. Malam ni baru sempat upload. Masak gulai ikan talang masin. Masakan yang mudah sahaja tapi sungguh menyelerakan apatah lagi kalau dimakan keesokkan hari. Lagi ada umpphh. Jom kita tengok cara dan bahan-bahannya.

Bahan-bahannya;
Ikan Talang masin secukupnya
Buah nenas yang belum masak-dipotong ikut suka, saya suka hiris nipis.
Santan secukupnya- jangan lemak sangat.
3-4 ulas bawang merah
2-3 biji cili kering jika suka- boleh guna cili padi kalau nak pedas
1 inci kunyit hidup-boleh guna serbuk kunyit jika suka
1 inci lengkuas
Segenggam ikan bilis
Asam keping - hanya guna jika kuahnya masih belum masam walaupun telah dibubuh nenas.
Garam
Gula

Cara-caranya;
  1. Masukkan santan ke dalam periuk.
  2. Mesin lumat bawang, cili, kunyit, lengkuas dan ikan bilis.
  3. Masukkan dalam santan. Masak sambil dikacau dengan api perlahan.
  4. Masukkan nenas hiris. Kacau hingga menggelegak.
  5. Masukkan ikan talang. Kalau kurang masam boleh masukkan asam keping.
  6. Kacau hingga menggelegak sekali lagi dan rasakan masam, masin dan manisnya. 
  7. Siap.



Sambal Goreng Ikan Bilis

Alamak, hari ni memang semua lauk yang saya masak mengikut selera anak tekak sendiri hahahah..nasiblah labu..redha je lah anak-anak dan suamiku..makan je apa yang mama masak hari ni..cuti masih panjang banyak lagi masa untuk mama masakkan makanan kegemaran anda semua..hari ni kita sama-sama menikmati makanan kegemaran mama yang penuh nostalgia hahaha.

Bahan-bahannya;
1 mangkuk ikan bilis- goreng hingga garing, ketepikan.
10 biji cili kering
5-7 ulas bawang merah
Segenggam ikan bilis
Garam
Gula
Petai jika suka.

Cara-caranya;
  1. Mesin lumat cili kering, bawang merah dan ikan bilis.
  2. Tumis dengan minyak lebihan menggoreng ikan bilis tadi. Masukkan gula dan garam.
  3. Tumis sehingga airnya kering iaitu hanya tinggal minyak yang menggoreng bahan mesin tadi (bahan tumis macam berbuih-buih dan garing)
  4. Masukkan ikan bilis dan petai. 
  5. Kacau sebati terus tutup api.
  6. Siap.
*Sambal ini selalu kami bawa sebagai bekal kalau ke luar negeri. Tapi tak bubuh petai la. Oleh kerana sambalnya digoreng garing ia lebih tahan lama dan semakin lama semakin sedap. Pek kecik2 dalam beg plastik untuk elakkan minyaknya keluar dan tumpah di dalam bagasi. Makan dengan roti ..uuuhhhh sedap sekali.

Daging Goreng (2)

Alang-alang pergi pasar malam, bolehlah beli sekali daging tempatan segar. Paling sedap kalau digoreng kunyit yang simple. Cara-caranya boleh tengok kat sini.Daging goreng kunyit dengan sayur lemak rebung, memang cun sekali padanan tu..jom.... makan!!!

Sayur Lemak Rebung

Memang rezeki saya petang Khamis lepas, terjumpa rebung segar di Pasar Malam Prima Saujana. Dah terbayang sayur lemak rebung yang selalu dimasak arwah nenek dulu. Sayur rebung ni memang kegemaran saya terutama yang fresh macam ni. Kat kampung dulu kami celur untuk buat ulam ataupun masak lemak putih seperti dalam gambar di atas ni. Banyak sungguh saya makan nasi hari ini hehehe..alhamdulillah.

Cara masakannya ringkas sahaja. Sebenarnya ada orang masukkan isi ikan rebus dalam sayur lemak ni, tapi disebabkan saya hanya ingin menikmati rasa rebung semata-mata tanpa gangguan rasa lain , saya tidak masukkan apa-apa selain daripada lada hitam dan bawang  merah sahaja. 

Bahan-bahannya;

Rebung segar dicincang dan dicelur hingga masak (Dalam 3 mangkuk rebung cincang)
Santan secukupnya
10 biji lada hitam
4 ulas bawang merah.
Garam
Gula

Cara-caranya;
  1. Masukkan rebung yang telah dicelur dan ditoskan ke dalam periuk.
  2. Masukkan santan bersama-sama dengan lada hitam dan bawang merah yang telah ditumbuk lumat.
  3. Masukkan garam dan gula secukupnya.
  4. Kacau perlahan hingga menggelegak. Siap.
Bestnya kalau makan bertemankan budu dan ikan masin hehehe :-)


Thursday 16 May 2013

Tomyam lagi..

Alhamdulillah, ini menu untuk berbuka Isnin lepas. Tak cukup masa nak upload bersama dengan udang tepung dan puding jagung kukus tu. Sebenarnya disebabkan puasa dan tak boleh rasa, saya ikut betul2 resepi tomyam sebelum ini (boleh ambil resepi disini).

Cuma kali ini saya rebus isi dan tulang ayam dahulu untuk mendapatkan stok/kuahnya. Jadi saya gunakan 9 cawan air. Agak-agak selepas direbus agak lama, kuahnya akan tinggal dalam 8 cawan seperti dalam resepi asal.
Nampaknya tomyam putih ni dah jadi favourite Si Alis. Berselera betul anak dara ni makan hehehehe. Cubalahhh :-)

Tuesday 14 May 2013

Udang Tepung Mudah



Resepi udang tepung ini saya pelajari daripada Cikgu Puan Thava, rakan sekolah pada tahun 2003. Kira-kira dah 10 tahunlah resepi ni. Terima kasih Puan Thava. Resepi ini sangat mudah dan tidak pernah tak menjadi . Seperti dalam gambar inilah selalunya kemenjadiannya..hahahahaha.....Cik Wan dah fening :-)

Sesiapa yang anak ramai tak payah susah hati lagi. Tak payah pergi restoran Siam yang banyak menjual udang tepung tapi harganya masyaAllah..mahal macam bedil Mek saya kata..hahaha. Bukan apa, harganya paling kurang RM6 sepiring, udangnya kecik saja tapi tepungnya yang besar gedabak..senang2, jom kita buat sendiri baru puas hati.... betul tak?

Bahan-bahannya;
Udang - dibuang kepala, kulit dan belah belakangnya. Ekor jangan buang. Basuh bersih, toskan hingga kering dan perap dengan lada sulah serta sedikit garam.

1/2 cawan tepung beras
1/2 cawan tepung gandum
2 sudu tepung jagung
1 sudu teh soda bikarbonat
2 sudu minyak masak
1 biji putih telor
Air sejuk (dari peti ais)
garam
lada sulah

Cara-caranya;
  1. Bancuhkan semua bahan seperti bancuhan tempura/goreng pisang.
  2. Pegang ekor udang, celupkan udang ke dalam batter tadi.
  3. Masukkan dalam minyak panas yang banyak. 
  4. Goreng hingga kekuningan. Angkat. Siap.
*semalam saya gorengkan juga sotong dan cendawan....best macam tempura.!!

Daging Merah.

Hari ini kami berbuka dengan tomyam putih, daging merah dan udang celup tepung.
Saya rasa semua orang tahu bagaimana nak memasak daging merah ni. Simple sahaja kan?. Saya suka trial and error dalam memasak hidangan seperti ini. Selalu dok bayangkan dan  bandingkan dengan yang dihidangkan di restoran2 Siam tu. Saya sharekan cara saya di sini yer..:-)

Bahan-bahan;
1/2 kg daging-dibersih dan direbus dengan pewarna merah tanpa dipotong-semalam saya potong dua sahaja.
5 ulas bawangmerah
3 ulas bawang putih
Sedikit halia
2 sudu serbuk cili- boleh guna cili kering
3 sudu sos cili
3 sudu sos tomato
1 sudu sos tiram
garam
gula.

Hiasan- lada benggala merah dan hijau, bawang besar Holland, kalau suka boleh letak daun limau purut.

Dah empuk rebus, potong nipis-nipis


Untuk mengelakkan rasa daging rebus dan supaya lebih sedap, goreng dulu daging sekejap sebelum dimasukkan sos merah yang sudah siap ditumis.




Cara-cara;
  1. Mesinkan bawang merah, putih, halia dan serbuk cili hingga lumat.
  2. Tumiskan bahan mesin hingga naik minyak.
  3. Masukkan sos tiram, sos cili dan sos tomato.
  4. Tambahkan sedikit garam dan gula secukupnya....- siap sos merah untuk dimasukkan ke dalam daging yang telah digoreng sebentar. (Saya siapkan dulu tumis, basuh kuali, goreng daging dan masukkan sos merah tadi- guna satu kuali sahaja)
  5. Kacau daging dan sos merah hingga mesra.
  6. Masukkan hirisan bawang besar, cili benggala hijau dan merah. Siap!!


Puding Jagung Kukus

Panjang cerita nak buat puding ni. Asalnya nak buat pengat pisang untuk kami sekeluarga berbuka puasa semalam, tapi entah angin mana muncul, tekak ni teringin sangat nak makan puding  jagung kukus yang pernah diajar oleh BFF Kak Faizah. Dari sekolah singgah beli cocktail dan telur. Tapi balik rumah...cari punya cari, selak punya selak, selongkar email dan pm FB..tetap tak jumpa mana letak resepinya. Last2 telepon tuan punya resepi, pukul 6 baru dia free dapat jawab call. Alamak, kena letak krim jagung la..tinggal sejam lagi, mana nak pergi kedai, mana nak mengukus...akhirnya rezeki saya hubby balik awal boleh tolong suruh pergi beli krim jagung sambil saya menyediakan hidangan yang lain. Nasib baik Kak Faizah dah pesan supaya tin cocktail tu dimasukkan dalam freezer siap-siap untuk mempercepatkan puding tu jadi sejuk. Alhamdulillah, sempat juga saya berbuka dengan puding idaman...nahh..dua mangkuk youuu....eerrrkkk!!!! :-).Jom tengok resepinya yang sangat mudah ini.

Bahan-bahan;
1 tin besar krim jagung.
1 tin susu cair.
1/2 tin susu pekat.
4 biji telor.
1 tin buah cocktail.
1 sudu kecil esen Vanilla.

Cara-caranya;
  1. Pukul telor sampai kembang.
  2. Masukkan semua bahan lain kecuali cocktail.
  3. Masukkan ke dalam bekas yang sesuai.
  4. Kukus hingga bahan jadi beku.-sebab nak cepat saya guna microwave saja..done.
  5. Sejukkan.
  6. Tuangkan cocktail yang telah disejukkan terlebih dahulu.
  7. Boleh dinikmati....sluurrrpppp.!!!
Cadangan- untuk lebih menarik, boleh dikukus dalam bekas2 kecil.

Friday 10 May 2013

Pulut Inti

Sayang sungguh tidak ada daun pisang untuk membungkus pulut inti ni petang tadi, kalau tidak lebih cantik dan wangi bau pulut ni kan? Saya suka kuih ini tapi pulut yang sungguh lemak dan manis ni tidak boleh dimakan banyak-banyak. Muak rasanya hehehe. Tapi alang-alang buat saya niatkan juga untuk jiran-jiran sekeliling rumah. Alhamdulillah. Sharing is caring kan?

Inti kelapa ini saya buat semalam untuk kuih ketayap, kurang menjadilah pulak dadarnya. Saya buat dalam 5 biji sahaja kuih tu, itupun tak habis. Budak-budak tak berapa suka. Jom kita tengok bahan untuk membuat intinya.

Bahan-bahan inti kelapa (Boleh disediakan lebih awal)
1 biji kelapa parut putih, seeloknya yang muda.
1 ketul gula melaka
1 senduk gula pasir
1 sudu teh garam
1/2 cawan air
1 helai daun pandan dikoyak dan disimpulkan.

Cara-cara membuatnya;
  1. Masukkan air ke dalam kuali bersama-sama gula melaka yang dihancurkan, gula pasir dan garam.
  2. Bila mendidih dan gula hancur, masukkan kelapa parut bersama-sama daun pandan.
  3. Kacau hingga inti menjadi lembab seperti di dalam gambar.



 Bahan untuk pulutnya;
3 pot beras pulut dibersihkan dan direndam sekurang-kurangnya 2 jam.
1 biji kelapa diambil pati santannya (dalam 1 1/2 cawan)
1 sudu teh garam (masukkan dalam santan)
2-3 helai daun pandan untuk alas pengukus dan untuk mewangikan pulut.

Cara-cara memasaknya;
  1. Kukus pulut kali pertama hingga naik wap.
  2. Bila naik wap keluarkan dan sedia untuk digaul dengan santan.


Selepas kukus kali pertama.

   3. Masukkan santan dan kacau sebati dengan senduk kayu untuk mengelakkan butir pulut putus/hancur.
  
Kukus kali kedua.
  4. Selepas digaul sebati, kukus semula pulut hingga naik wap.
  5. Selepas naik wap, keluarkan pulut. Buang daun pandan yang menjadi alas kukus tadi.

Selepas kukus kali kedua.

     6. Semasa pulut panas-panas, kacau lembut hingga pulut menjadi bersinar dan sebati seperti gambar 
         dibawah.

Pulutnya lembut dan berkilat selepas dikacau lembut.

7. Dah siap. Kalau ada daun pisang bolehlah dibungkus dan diletakkan inti kelapa di atasnya. Saya??? apa
    yang ada je lahhh..hehehe.

Selamat mencuba :-)




Thursday 2 May 2013

Apam Beras Kelantan

Memang gebus sekali apam ni

Ini resepi  apam beras  yang saya belajar daripada isteri bapa saudara sebelah suami yang berniaga kuih muih di Kuala Balah, Jeli. . Sebenarnya dia agak keberatan nak menceritakan resepi ini pada orang lain hehehehe..., tapi entah macam mana pada saya dia ceritakan secara detail bahan dan langkahnya. 

Secara peribadi saya rasa antara cara paling mudah membuat amal jariah ialah dengan meninggalkan sesuatu yang dapat memberikan kebaikan kepada orang lain, contohnya resepi masakan yang boleh dihidangkan kepada ahli keluarga mahupun untuk tujuan perniagaan. 

Emak mertua saya menjual apam-apam beras ini di kampung dan selalunya jualannya akan habis seawal pagi lagi..alhamdulillah.Apam ini dimakan dengan kelapa parut atau kalau mak mertua saya, dibuatkan sekali kuahnya iaitu kuah laksa lemak tu..hehehe tapi tekak orang Pasir Putih macam saya tak berapa nak boleh terima hahaha. Jom kita tengok resepinya.

Sebelum membuat tapai ini kita perlukan tapai nasi- boleh guna tapai pulut juga

Bahan-bahannya; (untuk 1 cawan tapai)
Lebih kurang 2 cawan nasi sejuk.
1/4 biji ragi- tak habis ni.
Sedikit gula.

Cara-caranya:
  1. Nasi sejuk diramas lembut untuk meleraikan biji nasi.
  2. Ratakan nasi di dalam bekas yang leper (saya guna dulang)
  3. Panaskan ragi- saya letakkan ragi di atas periuk nasi yang sedang dimasak. (Letak tepi api dapurpun boleh)
  4. Hancurkan ragi.
  5. Masukkan ragi ke dalam penapis teh dan goyangkan di atas nasi tadi-sekadar satu lapisan nipis serbuk ragi ke atas nasi.
  6. Taburkan gula- sekadar satu lapisan gula yang nipis di atas nasi.
  7. Kaup balikkan nasi.
  8. Ulang proses 5 dan 6.
  9. Gaul rata nasi tadi dan masukkan dalam tupperware. Tutup kemas dan simpan di tempat yg kering.
  10. Boleh digunakan selepas 2 hari.
Bahan untuk apam;
1 cawan gula
2 cawan air
3 cawan tepung beras
1 cawan tapai nasi
1 sudu serbuk eno.
Kelapa parut-gaulkan dengan sedikit garam (boleh dikukus untuk tahan lebih lama)

Langkah membuatnya;
  1. Mesin semua bahan menggunakan blender hingga lumat kecuali eno.
  2. Perap 8 jam.
  3. 15 minit sebelum dikukus, masukkan eno. Kacau sebati.
  4. *acuan dipanaskan terlebih dahulu sebelum masukkan bancuhan. Kukus.
  5. Bila apam dah merekah, kembang boleh diangkat.
  6. Hidang dengan kelapa parut putih.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...