Monday 12 June 2017

Daging Lada Hitam Berkicap ala Cik Wan


Assalamualaikum. Entry kedua hari ni. Sekali harung hehehe. Jom tengok resepi daging blackpepper yang sangat menyelerakan sesuai di makan semasa berbuka mahupun bersahur.

Bahan-bahannya;

1/2 kg daging
5 ulas bawang merah*
3 ulas bawang putih*
1 sudu lada hitam*
3 sudu sos tiram
3 sudu kicap pekat
*tumbuk lumat/mesin

  1. Satukan semua bahan dalam mangkuk.
  2. Perap 30 minit.
Bahan sampingan;

1/2 cawan air asam jawa
1 labu bawang besar-mayang kasar
3 biji cili merah/hijau
Garam
Gula
  1. Masukkan daging ke dalam kuali. Masukkan air.
  2. Masak daging hingga lembut, Tambahkan air jika daging belum lembut.
  3. Masak hingga air kering.
  4. Masukkan minyak. Kacau.
  5. Masukkan air asam jawa, garam dan gula. Hati2 kerana sos tiram dan kicap sudah masin.
  6. Kacau. 
  7. Masukkan hirisan bawang besar dan cili. Kacau sebentar.
  8. Siap!!.

Selamat mencuba dan selamat berbuka. 

Chacho ---Bubur Tepung Gandum


Assalamualaikum dan selamat berpuasa. Dua hari lepas Cik Wan teringin nak makan chacho. Antara kuih jualan arwah Mek. Dah bertahun tak buat, Ramadhan kali ni Cik Wan berjaya buat.  Ada masalah pula sebab acuan cendul Cik Wan dan pecah, acuan dari tempurung kelapa yang dihadiahkan oleh arwah bapa Mr A 17 tahun yang lepas. Terpaksa Cik Wan guna penapis penggoreng kuih. Lubangnya agak kecil maka cendulnya tak berapa cantik. Macam dalam gambar tu.

Resepi ni dah ubah suai sikit dengan memasukkan 3 biji pisang nangka lebih buat sira dua hari lepas. Cik Wan tak tahu nak katalah, memang sedap sungguh rasanya. Jom tengok resepinya.

Bahan Tepung Chacho:

2 cawan tepung gandum
1 sudu air kapur
1 1/4 cawan air.

  1. Masukkan gandum dan air kapur dalam bekas.
  2. Masukkan dulu 1 cawan air, Kacau.
  3. Masukkan sedikit2 1/4 cawan air lagi, kacau hingga mendapat adunan kental. Kental/pekat sikit daripada adunan cokodok udang.
  4. Sedia untuk diteran menggunakan acuan cendul.

Bahan kuah chacho

1 biji kelapa parut
1 sudu kecil garam
3 keping gula nise
2 sudu gula
1 helai daun pandan disimpulkan.
  1. Perah santan secukupnya. Jangan pekat sangat.
  2. Satukan dalam periuk semua bahan.
  3. Hidupkan api dan kacau hingga menggelegak kecil
  4. Kecikkan api dapur.
  5. Teran/tekan tepung chacho terus ke dalam kuah sambil kacau sekali sekala takut bergentel.
  6. Teran/tekan sampai habis,
  7. Kacau, masukkan hirisan pisang nangka.
  8. Kacau hingga menggelegak. Tutup api. Siap!.
Selamat mencuba dan selamat berbuka.

*zaman dulu2, arwah nenek guna tangan je utk buat chacho ni. Maksudnya tepung chacho dipegang dan jatuh melalui hujung jari ke dalam kuah. Jadi bentuknya berketul2 bukan bentuk cendul seperti mana arwah mek punya.

Saturday 10 June 2017

Bihun Goreng Talam Kelate...kaler pink


Assalamualaikum dan selamat berpuasa. Hari ni kami berbuka dengan bihun goreng kelate sahaja. Dah hampir separuh Ramadhan ni memang dah tidak berapa selera dan tak excited sangat untuk menyediakan juadah. Alis dah balik ke kolej, Aifaa akan balik ke asrama next week. Hidangan kami makin simple dan ala kadar sahaja.

Bihun pink ni memang legend di kelate. Resepi asal menggunakan sos-sos kelate yang banyak dijual di sana dan rasanya agak manis

Resepi ini resepi asal jualan arwah nenek. Dulu2 hanya gunakan pewarna, bawang putih, garam dan gula serta sayur kangkung sawah. Goreng pula dalam periuk besar. Setalam besar dibawa ke kedai..sekejap sahaja habis.


Bihun dihidang dengan keropok ikan, air lada dan Cik Wan gorengkan juga telur mata. Pencuci mulut hanya Sira Tapai. Memang ringkas sekali. Alhamdulillah.

Jom tengok resepi ulang tayang.

Bahan-bahannya yang digunakan;

2/3 peket mihun- (yang ni brand Jasmin) direndam dengan pewarna pink/cochineal.
3 ulas bawang merah
3 ulas bawang putih
1 sudu kecil serbuk cili
2 sudu besar sos cili
1 sudu besar cuka

Sayur kangkung secukupnya- hiris kecil2
2 sudu udang kering
1/2 mangkuk kecil daging
Garam
Gula

Cara memasaknya;
  1. Tumbuk halus semua bawang merah dan bawang putih serta serbuk cili.
  2. Tumiskan bahan mesin hingga naik minyak.
  3. Masukkan daging. Goreng sekejap.
  4. Masukkan udang kering. Kacau.
  5. Masukkan sos cili dan cuka- kacau.
  6. Masukkan 1 mangkuk kecil air.
  7. Masukkan garam dan gula. 
  8. Bila kuah menggelegak, masukkan kangkung.
  9. Masukkan mihun yang telah ditoskan. Kacau hingga air kering dan mihun masak.
  10. Siap.
Senang sangat, selamat mencuba dan selamat berbuka.

Friday 9 June 2017

Laksa Vietnam Pho



Assalamualaikum. Selamat berpuasa.

Seperti biasa menu Cik Wan sekeluarga simple2 sahaja. Semalam hanya berbuka dengan Vietnamese Noodle iaitu  Pho Beef Noodle. Cik Wan memang sukakan sup ini yang lebih ringan dan segar berbanding sup biasa mahupun mee celup.


Cabaran semalam ialah mencari sayurnya iaitu daun selasih (Thai Basil)..baru je habis dibuat ulam, baru terfikir nak masak pho. Habis jelajah Giant dan kedai Acheh sekitar taman tapi tak jumpa. Biasanya memang ada di pasaraya NSK tapi jauh la pulak. Balik je Mr A, kesian agaknya kat isterinya, pergilah cari di Tesco..yang ada Basil omputeh..jadilahh. Tak ada rotan, akarpun bergunakan?

Untuk kuah Pho

1 labu bawang besar, belah dua-bakar dan bersihkan
Seinci halia bakar, bersihkan dan diketuk
2 ulas bawang putih, diketuk
3 kuntum bunga cengkih*
1 batang kayu manis*
1 kuntum bunga lawang*
3 biji buah pelaga*
1 sudu biji ketumbar*
1 sudu jintan manis*
semua yang bertanda * disangrai/gorenf tanpa minyak hingga wangi

Seinci lengkuas, diketuk
1 batang serai,diketuk
1/2 kg daging lembu
Sos ikan
Gula melaka/nise

Cara membuatnya;

  1. Rebus semua bahan dalam periuk lebih kurang 2 jam.(Guna Noxxa dalam 40 minit sahaja)
  2. Keluarkan daging- hiris nipis.
  3. Tapiskan stok/kuah dan keluarkan semua bahan rebusan.
  4.  Masukkan stok ke dalam periuk semula, panaskan dan sedia untuk digunakan.


Bahan-bahan sayur/hiasan;

Daun selasih (bahan utama)
Daun ketumbar
Taugeh dibersihkan
Cili padi dipotong
Asam limau nipis


Bahan mee;

1 peket mee kuning- basuh bersih dan toskan
1 peket kueh tiew- basuh bersih dan toskan

Yang ni gambar lama..ada daun selasih, memang yummeh.

Selamat mencuba ya...dan selamat berbuka.

Tuesday 6 June 2017

Udang Butter Kari


Assalamualaikum dan selamat berpuasa. Sudah hari ke 11 Ramadhan hari ini. Semoga kita terus sihat dan dapat meningkatkan ibadah kita di bulan yang penuh rahmat dan keampunan ini.

Ini menu semalam, baru sempat update petang ini. Pagi tadi bertugas di sekolah. Resepi ini mudah sahaja. Jom tengok bahan-bahannya;

Bahan-bahannya;

15-20 ekor udang- siang dan bersihkan.
Perap dengan garam, kunyit dan serbuk kari.

5 ulas bawang putih- tumbuk
2 sudu mentega
Daun kari


Cara-caranya;

  1. Goreng udang hingga garing.
  2. Buang minyak gorengan ke dalam mangkuk lain. Tinggalkan udang dalam kuali.
  3. Masukkan bawang putih. Kacau rata.
  4. Masukkan mentega- kacau. 
  5. Tabur daun kari.
  6. Angkat dan hidangkan.
Mudahkan? Selamat mencuba dan selamat berbuka puasa. 



Sunday 4 June 2017

Lompat Tikam Kelate untuk berbuka puasa


Assalamualaikum dan selamat berpuasa..
Semalam Cik Wan berbuka dengan Lompat Tikam. Hantar ke rumah jiran dan dapat lagi balasan bubur pulut hitam, maruku satu balang dan roti sosej. Allahuakbar!! Indahnya Ramadhan. Saling memberi dan menikmati. Alhamdulillah.


Jom kita ulang tayang resepi Lompat Tikam arwah Mek..

Bahan-bahannya:

Tepung Hijau:

Kena buat awal, sehari awalpun tak apa...simpan dalam fridge..lagi senang nak potong atau kaup nanti, kalau rajin boleh masukkan dalam acuan...

2 cawan tepung beras
1 sudu kecil air kapur
1 cawan air daun pandan (boleh campur sikit dengan pewarna hijau apple)
4 cawan air.
Sedikit garam- dalam secubit dua
Sedikit gula- dalam secubit dua

  1. Sebatikan, tapis dan kacau atas api. 
  2. Kacau sehingga berkilat seperti lilin dan ada gelembung lup...lup..lup.... Dalam 15- 20 minit.
  3. Adunan ni mesti masak betul. Kalau tidak ia akan berair dan mudah basi.
  4. Masukkan ke dalam acuan/bekas dan sejukkan.


Bahan Kuah Putih

1 biji kelapa diambil santan pekatnya.
1/2 sudu kecil garam.
2 sudu  tepung  beras untuk memekatkan.

  1. Sebatikan santan dengan garam. 
  2. Masak atas api dan bila dah menggelegak, masukkan bancuhan tepung jagung. 
  3. Kacau sebentar hingga kuah jadi pekat dan masak. Jangan sampai pecah minya pulak ye.

Bahan Pulut Merah

2 cawan beras pulut dibersihkan
3 sudu minyak masak (jika suka boleh letak santan...saya tak suka..lemak sangat)letak minyak lebih cantik.
sedikit garam
sedikit pewarna merah/pink.

  1. Campurkan semua bahan dan masak pulut macam biasa. Macam biasa?..hehehe...maknanya paras air dilebihkan hanya 2-3 cm daripada paras pulut, 
  2. Tutup periuk dan gunakan api kecil sahaja (Guna rice cooker lagi bagus)


Bahan Gula Melaka

Beberapa keping/ketul gula melaka
2 sudu gula putih
2 helai daun pandan
air secukupnya

  1. Masakkan semua bahan bersama-sama. 
  2. Kena pekat sikit ye...sejukkan dan tapis. 
  3. Siap!!

Selamat mencuba dan selamat berbuka..

Friday 2 June 2017

Ondeh-ondeh juadah berbuka puasa



Assalamualaikum dan salam sejahtera. Kuih tradisional yang banyak nama. Ada yang panggil ondeh-ondeh, ada yang panggil buah Mulong dan ada juga buah melaka. Hehehe macam-macam nama tapi masih lagi kuih yang sama. jom lihat resepinya,

Untuk tutorial membuat ondeh-ondeh boleh ke SINI. Sedap kalau dapat kelapa parut yang agak muda. Lebih lemak manis rasanya. Selamat mencuba.

Daging Goreng Kunyit untuk berbuka dan bersahur..


Assalamualaikum dan salam sejahtera. Sekali lagi menu simple dari Cik Wan. Daging Goreng Kunyit yang tak lekang dek panas tak lapuk dek hujan..sangat versatile. Boleh dibuat berbuka mahupun bersahur. Makan dengan nasi panas-panas memang umphhh!!!. Jom ulang resepinya.

Bahan-bahannya;
1/2 kg daging dipotong kecil dan nipis.
Sedikit kunyit-lebih sedap guna kunyit hidup
Sedikit garam

1 labu bawang besar-dihiris
1 biji cili besar- sedap lagi cili solok


Cara-cara ;
  1. Gaulkan daging dengan kunyit dan garam.
  2. Masukkan dalam kuali dan masukkan air hingga tenggelam dagingnya.
  3. Masukkan sesudu minyak masak-untuk lembutkan daging.
  4. Rebus hingga kering airnya (sambil2 tu rasakan dagingnya, kalau belum lembut tambahkan airnya lagi)
  5. Bila air dah kering, masukkan sedikit lagi minyak untuk menggoreng daging.- kalau suka minyak kunyit ni boleh lebihkan sedikit. 
  6. Bila dah hampir garing, masukkan bawang yang dimayang serta cili potong.
  7. Siap!!

Cik Wan hidangkan daging goreng kunyit ni bersama-sama sayur lemak pucuk labu dengan keledek, budu dengan  parutan mangga mengkal (hampir masak tapi masih ada rasa masam yang kuat) dan ikan masin gelama dari Pengkalan Kok Majid, Tumpat yang berharga RM65-70 sekg. Terkenal sungguh ikan gelama ni dan pernah masuk TV serta surat khabar. Terkenal bagi yang sukalah hehehe. 

Ada ondeh-ondeh serta agar-agar santan lebihan berbuka semalam. Alhamdulillah.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...