Thursday, 30 April 2020

Kerabu Ikan Dory


Asalamualaikum dan salam sejahtera. Salam Ramadhan yang ke tujuh. Hari kedua PKP Fasa 4. Semoga kita semua sihat dan ceria bersama keluarga dan dapat memanafaatkan Ramadhan ini dengan  perkara-perkara yang membawa kebaikan. Amiin.

Petang ni Cik Wan kongsikan resepi mudah menggunakan isi ikan dory atau boleh ganti dengan pelbagai jenis seafood yang lain. Sedap dan sangat mudah menyediakanya. Jom tengok resepinya.

Bahan Ikan:

3 keping isi ikan dori di potong kiub
Tepung serbaguna Bestari secukupnya.

  1. Defrost ikan dori dan potong kiub- toskan kering.
  2. Ikut panduan dalam penggunaan Tepung Bestari dan goreng isi ikan. 
  3. Sedia untuk digunakan.

Bahan salad/kerabu:

Kubis disagat halus memanjang
Carrot disagat halus memanjang
Daun Ketumbar secukupnya
2 biji cili padi -dipotong
1/2 labu bawang besar dimayang nipis

#atau mana-mana sayur kegemaran.


Bahan sos untuk kerabu/salad

2 sudu besar sos ikan 
2 sudu besar air asam limau nipis- Cik Wan guna sebiji yang saiz sedang 
2 sudu kecil gula pasir- Cik Wan guna gula somtam

Gaulkan dengan sayur salad tadi. Siap untuk digunakan.
Hidang seperti gambar di bawah


Tuang sos Thai Maepranom ke atas ikan. Siap!!!
Gambar ihsan Google

Selamat mencuba and happy cooking:)






Wednesday, 29 April 2020

Akok Kedut Kelate


Assalamualaikum dan salam sejahtera. Salam Ramadhan ke enam. Hari pertama  PKP Fasa 4. Semoga kita semua sihat dan sejahtera di samping keluarga tersayang.

Semalam Cik Wan masak nasi kerabu dan juga akok. Tak berapa puas hati buat akok sebab hanya gunakan santan kotak (brand yang tidak pernah guna) dan juga tiada air kelapa. Takpelah, musim PKP ni kita redha dan banyak2 bersyukur dengan apa yang ada. Diberi kesihatan dan kemampuan untuk menyediakan juadah untuk keluarga. Banyaknya nikmat yang Allah beri. Semoga kita menjadi hambaNya yang sentiasa bersyukur.

Kejadiannya masih elok walaupun nampak tidak berapa lemak. Alhamdulillah. Sedap juga rasanya. Cik Wan ubah sedikit resepinya seperti menambahkan tepung beras sedikit bersama tepung gandum. Sepupu Cik Wan ada jual akok di Kelantan. Cik Wan ada tanya mak saudara bahan untuk buat akok yang dijual, dia kata gunakan tepung beras dan gandum. Patutlah akok yang dijual di kampung ada body tidak terlalu gebu. Jom kita tengok resepinya ya.

6 biji telur 
200 ml pati santan
100 ml air/air kelapa
120 gram gula melaka -2 keping gula nise yng kecil (lebih kurang 60 gm sekeping)

2 sudu gula putih
20 gram tepung gandum (dua sudu makan tidak membukit)
10 gram tepung beras (satu sudu makan tidak membukit)
3 helai daun pandan- disiat-siat
1/2 sudu kecil garam halus





Cara cara:

  1. Masak air/air kelapa bersama gula melaka, gula dan daun pandan hingga semuanya larut. Tutupkan api. Sejukkan.
  2. Masukkan santan dalam mangkuk besar bersama telur dan air gula melaka. Pukul/whisk lembut.
  3. Masukkan tepung, whisk lembut sehingga sebati. Tapiskan. 
  4. Adunan akan berbuih tapi sedikit sahaja berbanding kalau kita guna blender, mesti keluarkan buih tadi jika tidak akok kita tak akan berkedut cantik.
  5. Panaskan oven pada suhu 180C. 
  6. Masukkan sedikit minyak dalam setiap acuan.
  7. Tuang adunan akok separuh penuh dan boleh dibakar selama 11 minit.
  8. Akok akan menggelembung macam belon dan bila dikeluarkan akan mengecut menjadi kedut2.
  9. Siap.
Selamat mencuba and happy cooking :)

Tuesday, 28 April 2020

Sambal Kelapa Nasi Kerabu


Assalamualaikum dan salam sejahtera. Salam Ramadhan ke lima. Hari ke-14 PKP Fasa 3. Semoga kita semua sihat dan sejahtera di samping keluarga tersayang.

Hari ni Cik Wan nak share resepi Sambal Kelapa Nasi Kerabu khas resepi turun temurun keluarga Cik Wan. Belajar daripada arwah Mok (nenek) Mokjoh Bukit Abal. In sya Allah, memang sedap wangi je bau sambal ni. Cik Wan dah share sebelum ini, boleh godek2 dalam blog ni ya. Kali pertama Cik Wan buat nasi kerabu sendiri ialah masa dalam darjah 6. Sebelum itu, hanya tolong Mok menyediakannya saja. Jadi tukang goreng kelapa atau tumbuk kelapa dan semua bahan yang lain. Standard Mok memang tinggi, memang kena lumat cantik tapi taklah sampai pecah minyak hehehe. Sebab itu agaknya Cik Wan agak cerewet bila makan nasi kerabu terutama di kedai2 makan. Jom kita tengok resepinya, secara visual boleh lihat gambar di atas.

Bahan-bahannya:

1/2 biji kelapa parut- digoreng tanpa minyak hingga perang
2 batang serai-hiris halus
1 sudu lada hitam
8-9 ulas bawang merah kecil
2 ekor ikan selar bakar- boleh guna ikan sardin/kembung
3 sudu kecil garam
3 sudu besar gula/boleh campur dengan gula nise/kabung



Cara membuatnya:

  1. Tumbuk kelapa hingga lumat- masukkan dalam mangkuk besar
  2. Tumbuk serai dengan lada hitam hingga lumat-masukkan dalam mangkuk kelapa
  3. Tumbuk bawang hingga lumat- masuk dlm mangkuk
  4. Tumbuk isi ikan hingga lumat- masukkan dalam mangkuk
  5. Gaul dan ramas semua bahan tumbuk sambil masukkan gula dan garam. Perisakan secukup rasa. 
  6. Sambal yang siap digaul dan diramas boleh digunakan terus TAPI jika mahu tahan lebih lama, kacau sekejap di dalam kuali. Untuk pastikan sambal jadi sedikit kering. 
  7. Siap!
Seperti yang Cik Wan nyatakan sebelum ini, resepi Nasi Kerabu ni agak berbeza bergantung kepada kawasan di Kelantan. Nasi Kerabu kawasan Tumpat mungkin lain dengan Nasi Kerabu Pasir Putih dan sebagainya. Tambahan pula jika ada pengaruh dari Thailand. Lain pula Nasi Kerabunya. Apa2 pun, rasanya hampir sama dan sedap2 belaka. Kita raikan perbezaan dan tiada yang salah atau yang betul...bila kita tengok rupa..kita tetap panggil Nasi Kerabu walaupun warnanya putih, biru, hitam mahupun kuning. 

Selamat mencuba ya dan happy cooking. #staysafe #stayathome





Monday, 27 April 2020

Air Asam Kelantan



Assalamualaikum. Entry kedua pagi ini. Air Asam yang sangat sedap. Semalam Cik Wan masak Nasi daging untuk berbuka puasa. Tapi sebab dah lewat sangat siapnya, tak sempat nak ambil gambar. Entah kenapa semalam, pukul 6:00 petang baru masuk dapur hehehe. Mungkin sebab Cik Wan masak gunakan Noxxa, jadi masuk lewat sikitpun sempat siap masak.

Air asam ini sesuai dimakan bersama Nasi Daging, ikan bakar atau seafood bakar malahan juga dengan seafood rebus contohnya kerang rebus. Sedap sungguh makan lepas terawih. Jom tengok resepi dan cara membuatnya.



Bahan-bahannya;

4-5 biji cili padi
4-5 biji cili merah besar
2 sudu besar asam jawa dibancuh dengan 1/2 cawan air masak
Sedikit belacan dibakar dahulu(Kalau tak makan belacan boleh ganti dengan udang geragau/udang kering)
1 sudu garam
3 sudu gula
Sedikit ajinomoto kalau suka
-semua bahan diblend halus.

1 labu bawang besar-dimayang halus
1 biji tomato-dipotong nipis
-ramas2 bawang dengan tomato hingga hancur

Sedikit sahaja air limau nipis
3 sudu sos cili

Cara-cara;

  1. Masukkan bahan yang diblend dalam mangkuk.
  2. Masukkan buah tomato dan bawang besar yang telah diramas. Masukkan sos cili.
  3. Perahkan asam limau nipis. Kacau, kalau pekat sangat boleh tambah air masak lagi.
  4. Perisakan supaya ada rasa masin, manis dan masam. (Lebihkan rasa manis berbanding masin)
  5. Siap.
Happy cooking :)

Kek batik Nestum Original


Assalamualaikum dan salam sejahtera. Salam Ramadhan ke empat , hari ke-13 PKP Fasa 3. Alhamdulillah. Syukur alhamdulillah di atas semua nikmat yang dikurniakan Allah SWT.

Pagi ini Cik Wan nak share resepi Kek Batik Nestum yang sangat sedap. Kegemaran anak2 Cik Wan. Sebulan dua ni banyak kali buat, Kak Alis pun dah pandai buat sendiri. Kek dalam gambar ni hasil air tangan Kak Alis, Zahirah dan Zikry. Mama hanya touch up sahaja.

Masa belajar di UUM tahun 1990an dulu, kek ini jadi viral untuk student2 di kolej kami. Mungkin sebab kek ni boleh dibuat menggunakan rice cooker sahaja. Sebab dah biasa makan kek batik nestum, Cik Wan agak tidak suka kalau Kek Batik tidak menggunakan nestum, macam tak capai KPI je hehehe. Jom, kita tengok bahan dan cara untuk membuatnya. Boleh buat juadah berbuka hari ini.

Bahan-bahannya:

Bahan basah:
1 cawan susu pekat
1 cawan butter
1 sudu esen vanilla
3 biji telor

Bahan kering:
2 cawan milo
1 cawan nestum
1 sudu serbuk koko

1  1/2 bungkus besar biskut marie (kalau beli yg 190gm @ 175gm-pakai 3 peket)
Nak sedap campurkan Biskut Marie Ori dengan Biskut Marie Coffee

Note: Jumlah biskut yang digunakan bergantung kepada liquid dlm kek ni, jadi masukkan sedikit2 biskut dan kawal supaya tidak terlalu kering dan tidak terlalu basah. Agak2 semua biskut bersalut dengan bahan milo dah cukup. 


Cara-cara memasak;

  1. Sediakan bekas yang dialas dengan baking sheet atau cling plastic wrap supaya kek tidak melekat.
  2. Gunakan api perlahan cairkan butter, masukkan semua bahan basah yang lain. Kacau sebati.
  3. Masukkan bahan kering, kacau hingga rata.
  4. Tutup api. Masukkan biskut marie yang telah dipatah-patahkan. Masuk sedikit2 dan kacau rata.Kalau nampak kering, kurangkan biskut. Kalau nampak basah sangat, tambahkan biskut.
  5. Tuang dalam bekas.
  6. Tutup dengan cling plastic wrap- tekan2 supaya padat.
  7. Sejukkan. Siaapppp.

Selamat mencuba  and happy cooking :)

Sunday, 26 April 2020

Acar Masak Pisang Ggalo



Assalamualaikum dan salam sejahtera. Salam Ramadhan ketiga, hari ke- 12 PKP Fasa 3. Alhamdulillah, cuaca sangat baik sehari dua ni. Pagi ni pun redup sahaja..sejuk. Rahmat Allah di bulan Ramadhan yang mulia. Semoga semua sihat hendaknya.

Masakan hari ini betul2 authentic Pantai Timur..Kelantan dan Terengganu. Masakan yang sangat popular terutama pada bulan Ramadhan. Banyak dijual di pasar2 dan gerai2. Menggunakan Pisang Ggalo/Galo. Pisang ni hanya boleh dimakan semasa putik untuk dibuat ulam atau acar masak. Ada banyak biji dan kalau masak, langsung tak boleh makan oleh kerana bijinya yang keras dan banyak. Pokok pisang ni hanya ditanam khas untuk daunnya yang lebar dan kuat, sesuai untuk membungkus kuih. Masa kecik dan remaja dulu, Cik Wan selalu temankan arwah mek mencari daun pisang untuk buat kuih tepung Serunai/Kuih Pasung dan Tepung Pelita. Selalunya aktiviti mengait daun pisang ni dibuat pada setiap hari Sabtu, agar daun pisang lembut dan mudah untuk dibuat sarung Tepung Serunai dan Tepung Pelita pada hari Ahad. Mek akan berjualan pada hari Selasa di Pasar Selasa/ Kedai Selasa.

Enam  atau tujuh tahun yang lepas, arwah mek beri anak pokok pisang galo dan pokok kari untuk Cik Wan tanam. Tahu benar anaknya yang sorang ni rajin masak kuih. Alhamdulillah..dua2 pokok tu masih hidup subur di depan rumah sekarang. Pokok pisang ni juga dah banyak kali berbuah, tapi disebabkan sibuk, Cik Wan tak sempat nak masak acar pisang. Tengok2 dah tua dan tak boleh dimakan lagi. Jadilah rezeki pada burung, tupai dan monyet pula. Tak sangka duduk di bandar tapi monyet dan tupai ada juga di sini hehehe.

Bila nampak pisang ni berbuah lagi, Cik Wan dah ingatkan Mr A, supaya cepat2 ambil supaya dapat masak acar pisang kegemaran Cik Wan ni. Maka, dua hari lepas, jadilah acar masak yang sedap ni. Namanya pun acar, jadi rasanya masam, manis, masin dan lemak. Sangat sedap bagi orang yang biasa makan acar ni. Selain daripada pisang galo, kita juga boleh gantikan dengan pisang muda, timun, kubis dan taugeh. Kalau ada pula lada solok, uuhhh memang mengancam.


Pisang yang Cik Wan tanam ni  tidak lebat berbuah. Yang ni hanya ada tiga sikat sahaja. Buahnya pun agak kecil, besar dua jari sahaja. Comel2 buahnya.

Buah pisang mesti dibuang kulit tepinya (yang bersegi), dipotong nipis, halus2 tapi tak putus dan direndam dengan air garam. Dicelur sekejap dan diperah keluar airnya. Siap untuk dimasak.

Bahan-bahannya:

Pisang Galo
5 ulas bawang merah
3 ulas bawang putih
1/2 mangkuk kecil cili kering potong/rendam
Sedikit halia
1/2 labu bawang besar- belah kasar
1/2 biji kelapa- ambil santan. @ 1 kotak santan 200ml dicampur 1/2 cawan air. (Kuah mesti pekat)

Sedikit cuka (dalam 2-3 sudu besar)
Garam
Gula

Cara membuatnya;

  1. Kisar semua bahan bawang, cili dan halia.
  2. Tumis hingga pecah minyak.
  3. Masukkan santan, kacau.
  4. Masukkan garam, gula dan cuka.
  5. Masukkan buah pisang dan hirisan bawang besar.
  6. Kacau hingga menggelegak dan rasakan agar ada masam, manis dan masin.
  7. Siap.
Kalau tak ada pisang ni, Cik Wan cadangkan guna timun dicampur dengan kubis dan taugeh. Sedapnya..boleh cuba untuk yang tidak biasa makan ya. Yang dah biasa makan, Cik Wan harap bila tengok entry ni, boleh cuba buat sendiri..mesti akan terkenang mak ayah di kampung, betul tak? Jangan sedih, semoga wabak ni cepat berakhir dan kita dapat balik ke kampung menjengah mereka. In sya Allah, semoga kita semua sihat dan ceria. 


Saturday, 25 April 2020

Poli Ubi Kayu atau Tepung Poli


Assalamualaikum dan salam sejahtera semua. Salam Ramadhan yang kedua hari ini bersamaan hari ke-11 PKP Fasa 3. Allahuakbar..semoga kita semua dilindungi di bawah rahmat Yang Maha Esa. Semoga bulan yang mulia dan penuh keberkatan ini membawa pergi musibah Wabak Covid 19 ini..amiin YRA.

Pagi ni Cik Wan dapat khabar duka..pemergian suami sahabat lama malam tadi selepas terjatuh semasa mengambil wuduk untuk solat maghrib..Allah, orang hebat orang baik Allah sayang. Semoga arwah bersama dengan orang2 yang dirahmati Allah di syurga yang kekal abadi. Semoga Nurul dan anak2 tabah dan redha dengan ujian perpisahan ini..amiin YRA.

Berbalik kita pada menu yang Cik Wan share pada hari ini. Tepung Poli atau Kuih Poli. Berpuluh tahun tak menikmati juadah ini. Masa kecik2 selalu buat dengan arwah mok. Dulu senang je nak buat sebab ubi ditanam sendiri dan ubinya masih segar dan manis. Masa dulu, kita parut ubi ni, gaul dengan gula nise, bungkus kecik2 dalam daun pisang dan kukus. Dah masak potong kecik2 makan dengan kelapa muda parut. Kalau rajin, boleh buat macam dalam gambar di atas tu. Ubi parut dicampur dengan air daun pandan untuk warna dan baunya yang wangi. Cik Wan tak berapa suka sebab lebih sukakan ubi kayu rebus cicah dengan kelapa parut gaul dengan garam dan gula.

Sebenarnya Cik Wan teringin nak makan ubi kayu rebus, Mr bawak balik ubi kayu tapi ubinya, masya Allah..besar2 sungguh hehhe. Katanya itu je yang ada, kesiankan kat wife yang teringin, dia beli juga. Takpelah..kita godek2 untuk buat juadah buka puasa Ramadhan pertama. Jom kita tengok resepi dan cara menyediakannya.

Besar betul ubi ni.

Selepas diparut, sedulang kecil ni dapat. Dalam 20 minit juga Cik Wan parut, excercise
mengecilkan lengan hehe.


Bahan-bahannya:

Ubi kayu diparut dan diperah keluar airnya.- Cik Wan dapat 5 cawan.
1 sudu kecil garam
2 sudu besar gula
1/2 kotak santan- resepi asal tidak letak santan
1/4 cawan air

Cara membuatnya:

  1. Gaul semua bahan sebati.
  2. Kukus hingga masak; cara kukus sama ada boleh dibungkus kecik menggunakan daun pisang atau,
  3. Cik Wan guna loyang yang dialas dengan daun pisang.
  4. Ubi akan masak jika dicucuk dengan chopstik/garfu, keluar bersih atau tidak melekat.

Cara menyediakannya:

  1. Sediakan kelapa parut yang digaul dengan garam dan sedikit gula - seperti nak golek buah melaka.
  2. Potong kecil2 tepung poli dan golek2 dalam kelapa parut. 
  3. Siap.


Poli yang dipotong agak kenyal  dan tidak lembik macam tepung boko ya. Poli dihidangkan dengan air gula melaka dan beras pulut yang disangrai atau goreng tanpa minyak. Pure authentic dish!



Khas untuk sahabat Kelantan yang dah lama tak makan juadah ni dan juga sahabat2 yang belum pernah merasai kuih tradisional Kelantan. Selamat mencuba dan selamat berpuasa...:)






Thursday, 23 April 2020

Ketupat Sotong Kelantan


Assalamualaikum dan salam sejahtera. Apa khabar semua? Ramadhan Kareem. Selamat berpuasa dan semoga puasa tahun ini bukan yang terakhir untuk kita semua. Doakan juga semoga Ramadhan kali ini adalah yang terbaik daripada Ramadhan sebelum ini. Amiin.

Menu Ketupat Sotong Kelantan yang lemak manis memang kegemaran keluarga Cik Wan kecuali Zikry. Jadi kalau nak masak, kena masak banyak-banyak, baru puas hati. Semalam Cik Wan masak 2 kilo sotong saiz kecik dan sedang. Jenuh juga nak siapkan mengisi pulut dalam sotong tu.

Ada yang bertanya, tak hanyir ke masak sotong sebagai dessert?
Kenapa sotong saya jadi keras?
Kenapa pulut terkeluar semasa direbus?

Untuk makluman, ketupat sotong ni langsung tidak hanyir ya. Memang kalau tidak biasa, kita akan cuak dan rasa geli. Tapi kalau lihat resepi2 antarabangsa, macam2 lauk dah dijadikan dessert..hehehe tak peliklah sotong jadi ketupat lemak manis. Ini memang masakan tradisional dan kebanggaan negeri Kelantan. Selamat mencuba ya.

Masak sotong ada tekniknya. Masak sekejap sahaja kalau nakkan sotong yang lembut. Masak lama menjadikan sotong keras. Tapi kalau lama sangat, seperti mana masak ketupat sotong ni (sejam lebih) sotong akan jadi lembut semula.

Pulut akan terkeluar semasa merebus jika pulut diisi terlalu penuh/banyak kerana pulut akan mengembang. Sebab itu ada orang akan kukus masak dulu baru sumbat dalam sotong. Tapi langkah yang penting masa menyumbat beras pulut ialah isi/sumbat 3/4 penuh. Supaya ada ruang untuk masukkan kepala sotong untuk disemat dan ada ruang untuk pulut mengembang.

Kalau sotong yang digunakan bukan sotong segar, kemungkinan untuk sotong pecah dan pulut terkeluar juga tinggi. Ketupat sotong juga tidak boleh dikacau selalu dan dikacau manja2 sahaja.



Resepi Ketupat Sotong ni dah ada secara step by step bergambar kat SINI ya. Selamat mencuba ya. Selamat berpuasa dan maaf zahir batin.


Sunday, 19 April 2020

Kuih Lopes Asli


Assalamualaikum dans alam sejahtera. Hari kelima PKP Fasa 3. Petang ni Cik Wan masak Kuih Lopes untuk minum petang. Ini kali pertama Cik Wan masak kuih ni. Oleh kerana teringin dan rindu dengan kuih yang selalu dibuat oleh pengasuh Zahirah dan Zikry, Cik Wan WA Kak Shidah untuk bertanya resepi dan cara membuatnya. Cik Wan juga rujuk resepi2 lain di blog2 masakan yang ada. Alhamdulillah..cantik kejadiannya dan sedap sangat rasanya. Terima kasih Kak Shidah dan rakan2 blogger.
Cik Wan gunakan kaedah tradisional yang diajar oleh Kak Shidah. Cuma Cik Wan dapati, dalam resepi asal beras pulut direndam dengan air abu atau abu chang bagi menjadikan lopes kita lebih kenyal. Kebetulan memang ada air abu di rumah. Jadi Cik Wan gunakan air abu. Kalau tak ada air abu, boleh gunakan air kapur sirih yang biasa kita gunakan tu. Jom tengok bagaimana cara Cik Wan sediakan Kuih Lopes.

Bahan-bahannya:

Bahan untuk pulut:

2 gelas pulut- rendam 3 jam bersama 1 sudu air abu @ air kapur
Air daun pandan
Pewarna hijau
Daun pisang secukupnya
Tali/cable tie

  1. Masukkan pulut tanpa dibasuh ke dalam periuk bersama air daun pandan dan sedikit pewarna hijau.
  2. Tanak pulut macam biasa tetapi tidak payah hingga 100% masak. (3/4 masak dah ok atau hingga airnya kering)



   3.  Bahagikan pulut kpd 4 bahagian.
   4. Bungkus pulut dalam daun pisang macam kita gulung gimbab.
   5. Ikat hujung gulungan dengan kemas dengan tali/cable tie
   6. Kukus pulut selama 30 minit.
   7. Angkat dan sejukkan.




Ada banyak cara/kaedah membungkus yang dikongsi dalam blog/FB, ada yang macam ketupat dan ada juga dengan menerap menggunakan acuan. Terpulang kepada pilihan masing-masing ya. Disebabkan kali pertama buat, Cik Wan nak merasai bagaimana cara memasak kuih ni secara tradisional. Begitu juga dengan kaedah menanak/mengukus..terpulang pada pilihan masing-masing ya.

Gula Melaka:

3 keping gula Nise/1 ketul gula Melaka
1/2 cawan gula putih
1 helai daun pandan
1 1/2 cawan air

  1. Masak hingga gula larut dan agak pekat.
  2. Sejukkan dan tapis.
  3. Sedia untuk digunakan.
Kelapa Parut:
(Cara arwah Mek untuk lebih rasa lemak dan tahan lama)

1/2 biji kelapa parut putih
2 cubit garam
1 sudu kecil gula

  1. Kukus kelapa sebentar.
  2. Angkat dan gaulkan dengan garam dan gula.
  3. Sedia untuk digunakan.
*kelapa yang segar dan baru diparut lebih sedap dan tidak perlu dikukus untuk rasa lemak dan manis.


Cara menghidang Kuih Lopes:
  1. Buka ikatan daun pisang pada pulut.
  2. Dengan menggunakan benang, potong pulut ikut ketebalan yang disukai.
  3. Golek2 dalam kelapa.
  4. Letak atas pinggan hidangan.
  5. Tuangkan air gula melaka.
  6. Enjoy...bismillah...

Selamat mencuba..happy cooking. #staysafe #stayathome 

Saturday, 18 April 2020

Lempeng Sayur


Assalamualaikum dan salam sejahtera. Hari keempat PKP Fasa 3. Cik Wan doakan agar semua terus tabah dan duduk di rumah dalam keadaan selamat.

Pagi ini Cik Wan masak lempeng sayur. Sebenarnya Kak Alis dah buat penkek untuk sarapan, bila panggil adik2 makan, Zikry minta lempeng sayur dan tak mahu makan penkek yang dicicah sos coklat. Nasib baik mama tengah rajin, bolehlah mama layan permintaan anak bujang sorang ni. Sanggup dia tunggu lama sikit asalkan dapat makan lempeng sayur kegemarannya. Zikry panggil pizza sayur sebab mama selalu potong lempeng ni ala2 pizza.


Baha-bahannya:

3 biji kentang- parut halus, gaul dengan sedikit garam. Biarkan seketika dan perah keluar airnya.
1/3 batang karet- diparut
1/2 labu bawang Holland- dadu
1 biji cili besar merah-dadu
2 pokok daun bawang-hiris
1 ketul tauhu- ramas (optional)
4-5 ekor udang saiz besar- cincang (atau 1/2 mangkuk isi udang cincang)
2 biji telor
3 sudu tepung jagung
Garam
Gula
Lada sulah
Minyak bijan- optional


Cara membuatnya:

  1. Gaul sebati semua bahan- Cik Wan gaul dengan tangan sahaja.
  2. Panaskan kuali/pan..letak minyak agak lebih.
  3. Masukkan sesenduk bancuhan dan ratakan sedikit. Tutup kuali untuk cepatkan proses masak dan supaya kentang betul2 masak.
  4. Goreng hingga agak garing.
  5. Siap. Boleh dicicah dengan apa2 sos pencicah kegemaran.

Cik Wan teringin nak makan lempeng ni dengan kimci yang selalu Cik Wan buat. Nampak gayanya Mr A kena keluar esok sbb bahan untuk buat kimchi tak ada hehehe. 

Bye...selamat mencuba ya. #stayathome #staysafe #kitajagakita



Thursday, 16 April 2020

Happy birthday to me



Assalamualaikum dan salam sejahtera. Hari kedua PKP Fasa 3. Hari ni hari ulang tahun Cik Wan. Doakan agar Cik Wan sentiasa sihat sejahtera bahagia dan mudah2an dalam rahmat Allah sentiasa..amin. Kali ni sambutan birthday dalam PKP, tiada acara makan2 di luar seperti selalu. Kebetulan hari ini Mr A sibuk WFH sepanjang hari dan Cik Wan pun ada kelas dengan murid2 Tingkatan 5.

Namun begitu anak2 tidak melepaskan peluang untuk meraikan hari jadi mamanya. Pagi2 lagi mama dilarang ke dapur. Mereka adik-beradik bekerjasama menyiapkan hidangan sarapan untuk mama. Hasilnya, dihidangkan mama dengan Baked Macaroni Seafood yang sangat istimewa. Terima kasih anak2 mama...Kak Alis, Kak Aifaa, Zahirah dan Zikry, love you all so much!!!.

Resepi ni dah ada dalam entri sebelum ini tapi Cik Wan copy and paste semula ya.


Bahan-bahannya;

Macaroni (500gm) rebus
1 labu bawang besar
2 ulas bawang putih
2 tin sos prego Carbonara Mushroom
Seafood- udang, kupang atau sotong...(kuantiti ikut suka)
2 sudu  parsley
Sedikit serbuk oregano
Shitake/button mushroom

2 biji telur
1 cawan susu segar
Cheese (mozarella, dan apa2 cheese yang ada kat dapur tu..)


Cara:

  1. Goreng macam biasa semua bahan macaroni dengan seafood tu.
  2. Tumiskan bawang hingga layu. 
  3. Masukkan seafood, kacau.
  4. Masukkan parsley dan oregano.
  5. Masukkan mushroom dan sos carbonara. Masukkan makaroni. Cukupkan  masin manisnya.

Susu dibancuh dengan telor, masukkan white pepper.

  1. Griskan mangkuk dengan butter
  2. Lapiskan adunan makaroni berselang seli dengan bancuhan telor.
  3. Atas sekali /topping, taburkan cheese.
  4. Bakar hingga toppingnya berwarna sedikit brown. Siap.

Selamat mencuba..anak-anak Cik Wan berjaya memasak menu ini dengan baik sekali. Sangat sedap dan cukup rasanya. Tahniah untuk mereka..mama dah boleh gantung kuali selalu ni hehehe.

Wednesday, 15 April 2020

Nasi Ayam


Assalamualaikum dan salam sejahtera. Hari pertama PKP Fasa 3. Stay safe and stay at home please. Jaga diri dan jaga jarak anda. Macam PM kita kata, Kita Jaga Kita. Jika tak mampu nak bagi sumbangan bagi mengatasi masalah wabak ini, janganlah kita pula yang menambahkan masalah yang sedia ada berat. Duduk di rumah dan jangan keluar tanpa ada urusan yang paling mustahak.

Dua tiga hari lepas Cik Wan masak nasi ayam kegemaran anak-anak. Masak nasi ayam ni mudah sahaja dan mengenyangkan. Cik Wan masak dua gelas beras..alamak tak cukup la pulak hehehe. hari ni pun anak2 minta buat lagi. In sya ALlah, esok la kita buat pulak. Jom tengok resepi mudah ni.

Bahan-bahan utama;

1 ekor ayam dipotong empat-bersihkan dan toskan.(organ serta kaki ayam juga dibersihkan bersama-sama)
Air secukupnya untuk memasak nasi dan juga sup.
4 ulas bawang putih-ketuk
1/2 inci halia-ketuk
Garam secukupnya.

Cara-caranya;

  1. Rebus ayam dengan organ dalam serta kakinya bersama-sama dengan bawang putih dan halia.
  2. Rebus hingga ayam empuk.
  3. Toskan 4 keping ayam tadi.
  4. Gunakan air rebusan untuk memasak nasi seperti di bawah ini.


Untuk Nasi;

3 gelas beras dibersihkan dan ditoskan.
1 genggam beras pulut dicampur dalam beras biasa tadi- tidak perlu masukkan jika gunakan beras wangi.
4 1/2 gelas air rebusan ayam- bergantung kepada beras yang digunakan di rumah. Cik Wan guna beras basmathi.
1 labu bawang besar-mayang nipis
2 ulas bawang putih-mayang nipis
1/2 inci halia-hiris halus
3 kuntum cengkih
1/2 inci kulit kayu manis
1 kuntum bunga lawang
3 biji buah pelaga
1 helai daun pandan dikoyak dan disimpulkan
3 sudu mentega/margarin
Sedikit minya masak-untuk elakkan mentega hangus.
1 sudu minyak bijan-optional (lebih sedap kalau letak)

Cara memasak nasi;

  1. Masukkan minyak dan mentega ke dalam periuk.
  2. Masukkan bawang putih, bawang merah dan halia, kacau hingga layu.
  3. Masukkan rempah cengkih, kayu manis, lawang dan pelaga serta daun pandan, tumis lagi.
  4. Masukkan  beras yang telah ditoskan, kacau hingga sebati-goreng sekejap.
  5. Masukkan air rebusan ayam tadi, minyak bijan dan sedikit pewarna jika suka.
  6. Masak hingga nasi masak.

* Garam boleh dimasukkan jika suka nasi yg agak masin.



Untuk Ayam;

4 keping ayam yang telah direbus tadi.
Sedikit sos tiram
Kicap masin
Kicap manis
Sedikit madu jika suka-saya tak letak
Sedikit serbuk lada hitam jika suka-saya tak letak

Cara-caranya;

  1. Lumurkan ayam dengan sos tiram dan kicap. Biarkan sebentar.
  2. Goreng hingga garing. Siap (Sekejap sahaja menggorengnya kerana ayam telah masak dan cepat hangus kerana disalut kicap dan sos tiram)
  3. Potong kecik dan hidangkan.


Untuk sambal cili;

10 biji cili padi merah
3 biji cili merah besar
1 biji buah tomato
1/2 inci halia
3 ulas bawang putih
2 sudu kecil garam
4 sudu besar gula
Cuka secukupnya.

Cara-caranya;
  1. Mesin semua bahan kecuali cuka hingga lumat dengan sedikit air.(nak mesin bersama pun boleh).
  2. Masukkan dalam periuk, masukkan cuka.
  3. Masak hingga menggelegak, sambil itu rasakan masam, masin dan manisnya. Siap.

Untuk sos kicapnya;

Air rebusan ayam secukupnya
Kicap masin secukupnya

Caranya;
Masukkan kicap ke dalam air rebusan ayam. Kacau. Siap.


Untuk supnya;

Bahan-bahannya;

Baki air rebusan ayam beserta organ dan kaki ayam tadi.
Rempah sup secukupnya
Sedikit lada hitam.
Daun sup.
Bawang goreng
Cili padi
Asam limau nipis.

Cara-caranya:
  1. Panaskan semula baki air rebusan ayam tadi.
  2. Masukkan rempah sup dan lada hitam.
  3. Masak hingga menggelegak. Rasakan masinnya, jika perlu, tambah garam. 
  4. Hidangkan dengan hirisan daun sup, bawang goreng dan cili padi serta diperahkan sedikit asam limau..done, so easy hehe.

Untuk hiasan:

Daun salad- Cik Wan takde stok, pakai kobis je
Timun
Tomato


  1. Basuh bersih dan toskan.
  2. Potong ikut suka.
  3. Hidangkan bersama dengan ayam dan nasi..siap!!!
Selamat menjamu selera :-)

Tuesday, 14 April 2020

Pulut Mangga Thai


Assalamualaikum dan salam sejahtera. Hari ke-14 PKP Fasa kedua. Esok bermula PKP Fasa 3. Semoga keadaan bertambah baik esok dan seterusnya. Hari ini ada 170 kes baru positif Covid 19 dengan lima kematian. Al fatihah, semoga roh mereka diampunkan dan termasuk dalam golongan orang-orang yang beriman.

Semalam Cik Wan sediakan Pulut Mangga untuk juadah berbuka anak-anak. Ada juga Cek Mek Molek. Anak-anak tak makan banyak sangat Pulut Mangga ni jadi Cik Wan hadiahkan pada jiran sebelah menyebelah. Kebetulan mereka juga berpuasa. Alhamdulillah.

Ini resepi yang paling mudah untuk Pulut Mangga sebab hanya gunakan santan kotak sahaja. Jom, tengok resepinya.

Langkah penyediaan.

  1. Sediakan santan untuk pulut dahulu.
  2. Kukus pulut.
  3. Sediakan sos santan.


Untuk pulut:

2 cawan beras pulut- basuh dan rendam 3 jam.
1 cawan gula
1 kotak kecil santan
Sedikit air- untuk bersihkan santan dalam kotak sahaja. (dalam 1/4 cawan air)
1 sudu kecil garam

  1. Masukkan santan dalam periuk. Bersihkan santan yang lebih dalam kotak dengan sedikit air. Masuk air santan tersebut dalam periuk.
  2. Masukkan gula dan garam.
  3. Kacau hingga gula hancur- tak perlu menggelegak. 
  4. Tutup api.
  5. Kukus pulut hingga masak. Balik2 kan pulut utk pastikan pulut masak sepenuhnya.(Kukus sekali sahaja)
  6. Bila pulut dah masak, masukkan ke dalam bekas.
  7. Cepat2 tuang santan tadi ke dalam pulut. Kacau rata dan tutup kemas. Biar 10 minit.
  8. Selepas 10 minit kaup balikkan pulut. Tutup bekas dan buat sekali lagi selepas beberapa minit. Siap untuk digunakan.


Untuk sos santan:

1 kotak kecil santan
1 sudu kecil tepung beras
3-4 sudu air
1 sudu kecil garam

  1. Masukkan santan dalam kuali.
  2. Bancuh tepung beras dengan air. Masukkan dalam santan.
  3. Masukkan garam.
  4. Buka api dan kacau hingga sos menjadi pekat. 
  5. Kalau terlalu pekat, tambah air dan kalau terlalu cair tambah tepung beras. Siap.

Untuk Mung Bean:

2 sudu kacang dal- yang untuk buat kuih dan biji halus

  1. Rebus kacang dal hingga masak.
  2. Toskan dan sangrai semula (goreng tanpa minyak)
  3. Siap dan boleh tabur atas hidangan. 

Selamat mencuba..stay at home, stay safe


Monday, 13 April 2020

Agar-Agar Santan



Assalamualaikum dan salam sejahtera. Hari ke-13 Fasa kedua PKP. Fasa ketiga akan bermula pada 15 April-28 April 2020. Ya Allah, Kau angkatlah bala ini daripada kami. Maafkan dan ampunkanlah kami semua.

اللَّÙ‡ُÙ…َّ Ø¥ِÙ†ِّÙŠ Ø£َعُوذُ بِÙƒَ Ù…ِÙ†َ البَرَصِ ، ÙˆَالجُÙ†ُونِ ، والجُØ°َامِ ، ÙˆَسَÙŠِّيءِ الأسْÙ‚َامِ

"Ya Allah, Aku berlindung kepada-Mu dari penyakit sopak, gila, kusta dan keburukan segala macam penyakit."

Amiiin YRA.

Hari ini Cik Wan nak kongsikan resepi beledo atau agar-agar santan. Boleh buat buka puasa hari ini atau untuk minum petang. Sedap je sejuk2 masuk tekak. 

Bahan-bahannya:

25gm agar-agar/satu peket agar2 bertali
4 cawan air
2 keping gula melaka
1 gelas gula putih- boleh kurangkan
1 biji kelapa parut @ 1 kotak kecik santan segera
1 biji telor
1 cawan air untuk memasak gula melaka hingga hancur
2 helai daun pandan
1 atau 2 kuntum bunga cengkih- optional
1 1/2 cawan air untuk santan

*keseluruhan sukatan liquid/air ialah  6 1/2 atau 7 cawan termasuk  santan.

cara-caranya:
  1. Masakkan gula melaka bersama-sama daun pandan dan bunga cengkih hingga hancur- tapiskan.
  2. Masakkan agar-agar bersama 4 cawan air hingga hancur.
  3. Masukkan gula putih dan air gula melaka. Masak lagi.
  4. Sambil itu, ramaskan kelapa parut dengan telor.(Kalau guna santan kotak, kacau sebati dan tapis)
  5. Kali pertama diramas guna 1 cawan air
  6. Ramas lagi kali kedua-guna 1/2 cawan air
  7. Bila agar-agar menggelegak, masukkan santan dan kacau.
  8. Kacau hingga menggelegak sekali lagi dan boleh tutup api.
  9. Masukkan dalam loyang dan sejukkan.
*untuk dapatkan lapisan seperti di dalam gambar pastikan loyang yang digunakan tidak terlalu besar.

Selamat mencuba :-)

Wednesday, 8 April 2020

Ikan Selar Masak Kicap

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Hari ke-lapan PKP Fasa ke-dua. Semoga kita semua terus kuat dan tabah dan dipermudahkan semua urusan. Amiinn.

Hari ni Cik Wan nak share menu simple sahaja. Mungkin bagi kita simple tapi bagi kawan-kawan yang lain agak susah dan tidak berapa mahir. Kalau tak, takkan lah resepi Ikan Kembung Kicap Cik Wan sampai 68k carian. Semoga yang telah melihat dan belajar resepi itu diberi keberkatan dan dah boleh masak dengan baik. Resepi yang diberi boleh diolah, ditambah dikurang mana2 yang patut, sesuaikan dengan selera sendiri dan selera keluarga kita. Jom kita tengok resepi mudah ni.

Bahan-bahannya;
4 ekor ikan Selar (apa2 ikanpun boleh)- kelar halus dan letak garam kunyit. Goreng garing. Kalau tak suka garing, boleh goreng macam biasa. Angkat dari kuali.

5 ulas bawang merah kecil
2 ulas bawang putih
1 atau lebih sudu besar serbuk cili - boleh guna cili kering mesin
Kicap secukupnya
Sedikit air asam jawa
1 labu bawang besar dimayang bulat
1/2 cawan air- boleh tambah jika inginkan lebih kuah.
Garam
Gula
Ajinomoto atau apa2 perisa jika suka.

Hiasan

Cili hijau besar
1 biji buah tomato dipotong ikut selera


Cara-caranya;
  1. Blend bawang putih, bawang kecil dan cili kering.
  2. Tumiskan dalam kuali yang digunakan untuk menggoreng ikan tadi (keluarkan sedikit minyak kalau banyak sangat)
  3. Tumis hingga wangi dan naik minyak. Masukkan air asam jawa.
  4. Masukkan bawang besar. Kacau hingga naik minyak. 
  5. Masukkan kicap. Masukkan 1/2 cawan air.
  6. Rasakan kuahnya cukup masin, masam dan manis.
  7. Masukkan  ikan yang telah digoreng tadi. Kacau kuahnya perlahan.
  8. Masukkan cili hijau dan buah tomato. 
  9. Kacau sedikit dan tutup api. Siap.
Cik Wan masak ni dan makan dengan ulam dan budu. Ada lagi belen sayur lemak labu dengan pucuk manis. Alhamdulillah..ini menu lunch dan dinner kami. Selamat mencuba ya. 


Tuesday, 7 April 2020

Daging Masak Kari Kicap




Assalamualaikum dan salam sejahtera. Hari ke-tujuh PKP Fasa ke-dua. Alhamdulillah, semoga kita semua sihat semuanya. Doakan agar semua pesakit Covid 19 di negara kita dan seluruh dunia dapat kembali pulih seperti sedia ada. Stay safe, stay at home dan jaga jarak sosial anda. Mudah-mudahan dengan cara ini kita dapat memutuskan rantaian Covid 19 ini dan seterusnya mengurangkan kes positif di negara kita. Amiin.

Semalam Cik Wan teringin nak masak Daging Kari Kicap yang Cik Wan belajar daripada kawan semasa menyambung pelajaran di UKM. Lama betul tak buat. Cik Wan pernah share resepi dulu di SINI dan di SINI untuk masakan ayam. Menu ni sangat simple tapi rasanya wallahh...seakan2 masakan dendeng. Resepinya Cik Wan dah ringkaskan, bahan2 dikurangkan sedikit dan Cik Wan gunakan Noxxa untuk dapatkan daging yang sangat lembut. Jom tengok resepinya;

Bahan-bahannya;

1 mangkuk besar daging dihiris nipis- untuk 6 orang makan.
4  ulas bawang merah
3 ulas bawang putih
1/2 inci halia
1 sudu serbuk cili - boleh guna cili kering
*Semua bahan di atas diblend

1/2 sudu besar  serbuk kari ayam/daging-bancuh dengan air
Sedikit air asam jawa
3 helai daun limau purut
1 biji tomato, potong empat
1/2 labu bawang besar dipotong.
2 biji cili merah dan hijau dibelah dua
Kicap manis secukupnya
Garam dan gula jika perlu.



Cara memasaknya:
  1. Tumiskan bahan mesin hingga naik minyak dan berbau wangi. 
  2. Masukkan bancuhan rempah kari, tumis lagi hingga naik minyak.
  3. Masukkan daging. Masukkan juga air asam jawa dan semangkuk air. Kacau
  4. Boleh masukkan air beberapa kali hingga daging empuk.
  5. Bila daging empuk, masukkan kicap manis hingga warna kuah menjadi hitam kemerahan. Perisakan. (tambah garam dan gula jika perlu)
  6. Masukkan daun limau purut.Kacau hingga  kuah pekat. 
  7. Masukkan bahan hiasan seperti bawang dan buah tomato serta cili yang telah dibelah. Siap.


*Cik Wan gunakan Noxxa, semua proses tumis dibuat dnegan mode stirfry, dan gunakan hp 40 minit selepas daging dimasukkan. Selepas 40 minit, tukar semula ke mode stirfry untuk langkah 5 hingga langkah 7. Hasilnya, daging sangat lembut dan Zikry yang tidak suka makan dagingpun boleh makan dan siap puji mamanya masak daging sedap dan lembut macam  ayam. Hahaha..itulah guna Noxxa nak..


Selamat mencuba ya.



Monday, 6 April 2020

Kayu Keramat atau Roti Tongkat Goreng


Assalamualaikum dan salam sejahtera. Hari ke enam PKP Fasa 2. Semoga wabak ini diangkat pergi oleh Allah SWT. Amiin.

Pagi ni Cik Wan bangun awal. Pukul 5:00am dah ke dapur menguli Kayu Keramat. Pukul 8 pagi dah mula menggoreng. Alhamdulillah..selesai awal pagi ni. Cik Wan tak biasa buat kuih ni. Tapi selalu tengok dan resepinya sama dengan resepi Pau Goreng atau Roting Goreng. Kayu Keramat ni hampir sama dengan kuih cakoi. Beza Kayu Keramat dengan Cakoi adalah dalamnya. Kalau Cakoi, dalamnya berongga manakala dalam Kayu Keramat lebih padat. Sedap cicah dengan susu, kopi atau teh tarik. Zahirah tadi siap cicah dengan sos coklat. Dalam 4-5 ketul juga tadi dia makan. Kenyang, alhamdulillah.


Jom tengok bahan dan sukatannya.

Bahan-bahannya:

1/2 kg tepung gandum
2 sudu margarin/mentega
1/2 cawan gula
1/2 sudu baking soda
1/2 peket yis mauripan
Sedikit garam
1 1/2 gelas air.

Cara membuatnya:
  1. Ambil 1/2 segelas air suam dan campurkan dengan yis serta sedikit gula. Biarkan hingga yis kembang.
  2. Masukkan gula dan garam dalam baki 1 gelas air suam tadi dan kacau hingga larut.
  3. Masukkan tepung dan baking soda dalam bekas menguli. Tuang semua air gula dan yis dan  uli tepung sehingga adunan tidak melekat di tangan. Kalau terlalu melekat di tengan, tambahkan tepung sedikit2 hingga tidak melekat di tangan lagi. 
  4. Biarkan doh naik 2 kali ganda.
  5. Uli/tumbuk  sekejap doh tadi untuk keluarkan angin.
  6. Gunakan penggelek doh, potong doh memanjang. 
  7. Panaskan minyak.
  8. Sebelum  dimasukkan dalam minyak, tarik sedikit doh. 
  9. Roti akan tenggelam, mengembang dan timbul semula. Cepat2 balikkan untuk mengelakkan kayu keramat menggelembug dan pecah. Balik-balikkan sehingga masak/warna perang. Siap.
Mudah sahaja kan? Boleh buat sarapan, minum petang ataupun supper nanti. Selamat mencuba.

Sunday, 5 April 2020

Mee Goreng Talam @ Mee Talam.

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Hari kelima Fasa kedua PKP akibat Covid 19. Semoga kita semua terus tabah dan tenang. Cik Wan doakan agar urusan semua sahabat dipermudahkan Allah SWT. Amiiin.

Hari ni Cik Wan kongsikan resepi Mee Talam. Dipanggil Mee Talam kerana mee goreng ini dijual di dalam talam di pasar2 di Kelantan. Dari kecil suka makan mee talam ni. Selalunya digoreng dengan udang sawah serta sayur kangkung.

Talam/Dulang

Bahan dan cara menggorengnya sangat simple. Sesuai dimasak masa2 kekurangan bahan ni. Tapi rasanya memang sedap dan kurang muak berbanding mee goreng basah. Satu lagi, biasanya mee talam ni dimakan bersama air lada atau sambal cili padi jeruk. Nanti Cik Wan share cara buat sambal atau air lada jeruk ni ya.

Bahan-bahan Mee Goreng Talam.

2 peket mee kuning
Udang
Fish cake/Fish ball
1 ikat kangkung disiang- saya gantikan dengan sawi dan kubis
1 biji cili merah besar dihiris

3 ulas bawang putih
2 ulas bawang merah.
1/2 sudu serbuk cili
Sos cili
Kicap manis
Garam
Gula jika perlu


Cara-caranya;
  1. Tumbuk bawang putih dan bawang merah hingga lumat.(kalau blend, pastikan tumis hingga airnya kering)
  2. Tumis bawang hingga wangi dan masukkan serbuk cili. Kacau sebentar.
  3. Sambil tu, basuh bersih-bersih  mee dan toskan kering.
  4. Masukkan udang dan fishcake ke dalam tumisan. Kacau hingga udang masak.
  5. Masukkan sos cili.
  6. Masukkan sayur, sedikit garam dan kicap. Masukkan sedikit sahaja air. Kacau hingga sayur layu.
  7. Masukkan terus mee dan kacau rata. Rasakan meenya. Jika kurang masin boleh tambah kicap atau garam dan jika kurang manis tambahkan gula.
  8. Kacau  sehingga bahan bergaul rata dan mee cukup masak. Mee yang dah siap agak kering. 
  9. Hidangkan mee dengan air lada..perghhh mengancam!!

Selamat mencuba.



Wednesday, 1 April 2020

Roti Canai Bulat Kelate



Assalamualaikum dan selamat sejahtera. Hari ke-15 PKP. Semoga semuanya bertambah baik. Stay at home and stay safe everybody. Permudahkan usaha kerajaan dan semua frontliners yang sedang bekerja keras memerangi wabak ini. Semoga semua usaha mereka diberi keberkatan dan diberi ganjaran syurga oleh Allah SWT.

Hari ini Cik Wan nak share resepi roti canai istimewa. Resepi yang dikongsikan oleh sahabat baik saya Cikgu Ahmad Nezri yang masa muda2 dulu berniaga roti canai di kelate. Alhamdulillah, saya dah minta izin daripada beliau untuk saya kongsikan resepi ini. Mudah-mudahan mendapat keberkatan dan berpanjangan pahalanya. Amiinnn.

Membuat roti canai ini tidaklah sesusah yang saya bayangkan...Allahuu..mudah sangat dan saya mengulipun keseluruhannya tak sampai 10 minit. Roti canai saya sangat lembut dan tetap lembut sampai ke petang.

Teknik menguli pula saya ada juga belajar daripada Moksu Ti, sepupu Mr A yang pernah membuat dan menjual roti canai segera. Memang sedap roti canai beliau. Dia cakap, uli sebati, tinggal, lps tu uli lagi, tinggal..dan uli lagi...lepas tu buat bulat2..done. Mudahnya!!! Bila saya ikut cara beliau..laaa...memang betul, senang dan hasilnya juga sangat lembut. Jom tengok resepi dan cara membuatnya.

Bahan-bahan:

1 kg tepung gandum
4 cawan air
2 sudu susu pekat
1 sudu garam


Cara membuatnya:

  1. Masukkan tepung gandum dalam bekas menguli.
  2. Satukan 3 cawan air dengan garam dan susu. 1 cawan air lagi sebagai kawalan untuk adunan sama ada keras atau lembik.
  3. Masukkan 3 cawan air tadi ke dalam tepung, gaul dan uli. Gunakan lebihan 1 cawan air lagi untuk tambahan kalau adunan keras...tambah sikit2. Kalau dah ok, tak payah habiskan 1 cawan tu.
  4. Uli sebati. Biarkan 10 minit.
  5. Lepas 10 minit, uli lagi. Biar lagi 10 minit.
  6. Uli lagi. Kalau dah cukup lembut, bulat2kan adunan.
  7. Sapu kedua2 belah tangan dengan margarin dan lumur pada doh yang telah dibulatkan.
  1. Susun dalam bekas dan tutup. 
  2. Biarkan minimum 2 jam sebelum ditebarkan. Lebih lama lebih elok.
  3. Doh siap untuk ditebar dan lilit seperti gambar di bawah untuk membuat roti canai bulat. Tekan sedikit permukaan lilitan sebelum digoreng. 
  4. Selepas digoreng, tepuk2 roti supaya gebu dan gembur. Siap.

Selamat mencuba ya. Buat malam supaya dapat dijadikan sarapan untuk esok. Padankan dengan kuah2 yang ada di dapur. Kari, masak lemak, gulai ataupun sardin. Kalau tak ada, dengan susu atau gula pun jadi. Masa2 kritikal seperti sekarang ni, lebih kurang sahajalah menu yang kita sediakan. Asal ada dan tak payah berlebih2. Jimat itu lebih baik. Duduk di rumah dan kekang diri daripada keluar. Banyakkan bersabar dan semoga Allah mengangkat bala ini daripada kita semua secepat mungkin. Amiin.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...