Sunday 31 March 2013

Puding Roti Keremel

Sedapppp...

 
Lagi sedap makan sejuk-sejuk..masuk mulut..telan pelan-pelan..hehehe
Saya jarang masak puding. Bukan apa, anak-anak tak berapa suka.Tapi tadi alang-alang guna kukusan untuk masak pulut pagi atas permintaan hubby (tu pun lepas dah masak capati ngan kari huhuhu), saya teringat resepi puding roti yang saya jumpa kat blog Azie Kitchen. Apa lagi ..nahhh!!Inilah hasilnya..sungguh sedap.
Terima kasih Puan Azie atas resepi yang mabeles ni.

Ni resepi yang saya ikut tadi.

Puding Roti Karamel

Oleh: Azie Kitchen

Bahan bahan:
3 sb gula pasir
1 sb air panas

Cara cara:
Masak gula di dalam kuali sehingga perang. Masukkan air dan kacau sehingga gula larut. Tuang ke dalam loyang dan ketepikan.

Bahan bahan Puding:
4 keping roti gardenia – carik carik
1 cawan air suam
1 cawan susu cair
½ cawan susu pekat
3 biji telur – pukul sedikit
1 sk esen vanilla

1. Kisar roti, susu pekat, susu cair dan air suam. Masukkan telur dan esen vanilla. 
2. Blender lagi.
3. Tuang ke dalam loyang berisi  gula hangus tadi. Kukus selama selama 20-30 minit.
4. Sejukkan sebelum diterbalikkan, dipotong dan dihidangkan.
Mudah dan ringkas..sangat sedap. Jom pakat2 cuba.

Wednesday 27 March 2013

Gulai Ikan Tongkol (2)

masakringkasringkasje
Ini adalah versi kedua Gulai Ikan Tongkol untuk Nasi Dagang. Hari ni saya padankan dengan Nasi Dagang Terengganu. Resepi sebelum ini boleh tengok kat sini. Resepi ini hasil ronda-ronda kat kengkawan blogger yang lain dan bukanlah daripada idea saya sendiri. Tapi tak ingatlah pulak siapa dan blog apa. Maklumlah sambil cuci mata sambil dok tengok bahan-bahan dan simpan dalam kepala untuk ditiru..hehehe. Semoga mereka semua dapat halalkan resepi ini. InsyaAllah. Sebenarnya bahannya hampir sama tetapi ada penambahan belacan dan juga kerisek sahaja. Saya masih lagi mengekalkan teknik menumis dan bukan gulai darat dan rasanya lebih sedap daripada resepi pertama. Jom kita tengok resepinya.

Bahan-bahannya;

1 1/2 biji kelapa ambil santan secukupnya.
2 ekor ikan tongkol sederhana besar- direbus dengan asam keping sehari lebih awal.
3 ulas bawang putih
7 ulas bawang merah
1 inci halia
2 inci lengkuas
2 sudu serbuk cili
1 sudu kerisek
Sedikit belacan
2 sudu rempah nasi dagang @ rempah kari ikan - bancuh dengan sedikit air
Sedikit garam
Sedikit gula melaka
15 biji cili padi.

Cara-caranya;
  1. Mesinkan bawang putih, bawang merah, halia, lengkuas, belacan dan cili serbuk sekali.
  2. Tumiskan hingga naik minyak.
  3. Masukkan rempah nasi dagang dan kerisek. Tumis lagi hingga naik minyak.
  4. Masukkan garam dan gula melaka.
  5. Masukkan santan. Kacau.
  6. Masukkan asam keping daripada ikan rebus tadi bersama-sama air rebusannya.
  7. Masak hingga kuah pekat. Masukkan cili padi. 
  8. Rasakan masam, masin dan manisnya.
  9. Bila dah hampir pekat, masukkan ikan rebus. Kacau perlahan-lahan takut hancur. Bila menggelegak, sudah boleh tutup apinya. 
  10. Siap!!.
Ini rupa ikan yang telah direbus (2 ekor ikan, garam, gula melaka dan sedikit ajinomoto)

Siapkan sekali acar timunnya..hari ni tak ada buah nenas pulak..
Nasi Dagang Terengganu..resepinya boleh rujuk di sini. Tapi saya dah kurangkan daripada 2 biji kelapa kepada 1 1/2 biji sahaja
Dah boleh makan..Bismillah..


Saturday 23 March 2013

Ayam Panggang Ringkas

Sebelum potong..

Yummy..lembut di dalam dan garing di luar..
 Menu ni dah lama terasa nak buat tapi belum jadi2 hinggalah petang ni. Jenguk2 resepi di internet, last2 buat resepi sendiri sebab byk benda yg ada dlm resepi tak ada kat dapur. Nak keluar rasa malas pulak.Maka terciptalah resepi mudah ini yg teknik dan sedikit sebanyak resepi/idea  ditiru daripada abang Jamie Oliver kita menggunakan bahan2 yg ada dlm icebox di rumah....hehehe.

Bahan-bahannya;
1 ekor ayam saiz sederhana/kecik dibersihkan. Cuci dengan sedikit cuka dan toskan.
3 ulas bawang putih-mesin
1 inci halia-mesin
10 biji lada hitam-mesin
2 sudu sos tiram
2 sudu madu
1 kiub pati ayam
2 sudu rempah stik-yg saya punya ni dah bergaram, jadi saya dah tak masukkan garam lagi.
2 sudu butter
Sedikit air untuk mesin bahan 
Ubi kentang-potong
1 batang celery-potong
1 biji tomato-potong dua
1 biji lemon-potong
1 batang karet-potong
1 labu bawang besar-potong

Cara-cara;
  1. Mesinkan bawang putih, halia dan lada hitam.
  2. Lumuskan pada ayam luar dan dalam.
  3. Lumurkan juga sos tiram, madu, kiub pati ayam,rempah stik dan butter.
  4. Perap dalam peti ais sekurang-kurangnya 2 jam.
  5. Masukkan ayam dalam mangkuk untuk dibakar.
  6. Gaul2kan sayur tersebut dengan sos rempah beserta  ayam tadi dan susun semula di sekeliling ayam sebelum dibakar
  7. Masukkan  sebahagian sayur terutama lemon ke dalam  ayam.
  8. Saya gunakan microwave oven suhu 250 C selama 2 jam . 
  9. Setiap setengah jam saya keluarkan ayam tadi dan ambil airnya untuk disiram di atas ayam dan sayur supaya tidak kering.
  10. Bila dah masak dan ada sedikit kesan hangus di atas ayam, keluarkan.
  11. Susun ayam dan sayur di atas pinggan hidangan.
  12. Siap untuk dipotong. Tuangkan sos yang terhasil dlm mangkuk pembakarke atas ayam dan sayur. Done.Wallaaa.
  13. Boleh dinikmati dengan salad/coleslaw dan sos blackpepper, tapi tadi saya cuma hidangkan dengan nasi hujan panas simple serta salad timun dan tomato..dah cakap tadikan..apa yg ada di dapur..hehehehe



Monday 18 March 2013

Red Velvet Cake lagi...


Dah beberapa hari si Alis dok request nak makan  kek, konon teringin makanan manis2 lah..penat dah dok dengar saya layan jugak akhirnya. Malam tadi riuh rendah dok membaking sambil2 dok kawal si Zahirah dan Zikry yang sama2 sibuk nak buat kek..aduhhh kerja yang mudah jadi susah..semua minat nak jadi chef, mamanya nak cepat banyak kerja lain lagi huhuhu...

Resepi ni dah saya tunjukkan linknya dalam entry sebelum ni iaitu Dr Intan, terima kasihlah atas resepi yang tak pernah tak menjadi bila saya membuatnya. Yang ni saya copy paste dan edit selepas beberapa kali percubaan .

Red Velvet Cake

2 1/2 cup ( 250gm ) tepung yang dah diayak (maksudnya ayak dulu baru timbang ok)
1/2 sudu teh garam-saya tak masukkan sebab saya guna butter biasa bukan unsalted.
2 sudu besar (15gm) serbuk koko-saya guna 1 sudu besar sahaja
1/2 cup (113gm) unsalted butter
2 1/2 cup (300gm) gula ---saya dah kurangkan jadi 250gm gula je.
2 biji telur
1 sudu teh esen vanilla
1 cup ( 240ml) buttermilk) - atau buat sendiri  240ml susu segar + 1 sudu besar cuka- biar 5-10 minit sebelum guna.
2 sudu besar pewarna merah @ merah jambu
1 sudu besar cuka
1 sudu besar baking soda

Cara-caranya;
preheat oven: 175 c

1) ayak serbuk koko dan tepung dalam satu bekas dan kacau.

2) campurkan buttermilk dengan pewarna merah

3) dalam bekas lain, mix kan butter sampai kembang dan creamy, kemudian tambah gula dan pukul lagi sampai kembang dan sebati. Masukkan vanilla esen, mix. Masukkan telur satu persatu. Lepas satu biji telur, mix. Kemudian masukkan satu lagi telur dan mix lagi.

4) Kemudian masukkan tepung+koko yang sudah diayak secara berselang seli dengan buttermilk. Masukkan tepung, mix.. then masukkan buttermilk mix sampai habis kesemuanya.

5) Bila dah sebati, campurkan 1 sudu besar baking soda dan 1 sudu besar cuka sampai ada bubbles. Then cepat-cepat masukkan dalam batter yang dah di mix tadi, kemudian terus masukkan dalam loyang @ springform loyang ye. Terus bake selama 25-30 minit.

6) bila kek dah siap bake, sejukkan dalam peti ais beberapa jam. Supaya senang nak dibelah nanti, sebab lepas masak ni, kek agak fragile. Takot terkoyak ke pulakan. Saya gunakan benang untuk belah kek. Lebih mudah dan selamat dan tak berderai.

7) Kemudian terpulanglah nak belah 2 @ 3. Saya belah kepada dua lapis sahaja. Setiap lapis tu sapukan cream cheese frosting ye. Kemudian dah siap sejukkan lagi dalam peti ais sehari semalam boleh, beberapa jam pun boleh. Done!!
Cream cheese frosting: 

250gm cream cheese
30gm butter
1 sudu besar perahan lemon @ lime- saya tukar dengan 1 sudu oren sunquick.
1 sudu besar esen vanilla
1 sudu besar susu segar
100gm gula ising
Cara-caranya;
 1) Gunakan electric mixer, mix cream cheese sampaibetul2 creamy.
 2) Masukkan bahan-bahan lain- butter + sunquick + esen vanilla + susu segar + gula ising.
 3) Siap untuk disapu pada kek.

Tomyam Putih

Ini menu untuk Cik Abe yang tak pi kerja sebab tak berapa sihat hari ni. Terkejar2 balik dari sekolah, then  jamuan hari ulang tahun yang pertama Naufal anak kawan sekolah tadi, hantar Alis tusyen dan berkejar balik ke rumah semula...hehehe tanya2 Cik Abe belum makan lagi. Apa lagi..selongkar je dalam peti ais ada apa yang boleh digunakan, untuk tekak yang loya2 dan pening2 sikit ( eheeemmm jgn Cik Wan yg loya udah..) tomyam putih dihidangkan dengan telur dadar.  Dalam kelam-kabut masak tu sempat lagi saya menulis kuantiti bahan yg digunakan..hahahah, tengok resepi kat bawah ni yer..

Bahan-bahannya;
Sebarang seafood yang disukai (tadi saya ada sotong jer)-boleh juga guna ayam/daging
8 cawan air
1 labu bawang besar dimayang kasar
2 batang serai diketuk
1 kiub pati ayam
7-8 cili padi diketuk- boleh tambah /kurang
3 helai daun limau purut
2 tangkai ketumbar-akar dan batang diketuk/daun disimpan untuk digunakan masa menghidang nanti
1 hiris lengkuas
2 sudu besar gula
1 sudu besar sos ikan
2 sudu kecil garam
2 biji limau nipis yang agak besar-ambil airnya.
Sayur-sayuran yang digemari- tadi saya ada carrot, kubis dan tomato ajer.

Cara-caranya;
  1. Masukkan air ke dalam periuk.
  2. Masukkan bawang, serai, daun limau purut, lengkuas, cili, akar ketumbar dan pati ayam.
  3. Mendidih sekejap masukkan gula, garam dan sos ikan.
  4. Bila menggelegak betul tu, masukkan seafood dan sayur yang agak keras dulu seperti carrot.
  5. Masukkan air asam limau.
  6. Masukkan sayur lain. 
  7. Masukkan daun ketumbar. Tutup api. Siap.
Sedap hirup kuah ni sebab tak berminyak dan very light...




Friday 15 March 2013

Kari Sotong Mamak Style

Lain orang lain caranya tapi nama masakan sama sahaja betul tak? Jom kita tengok cara saya masak kari sotong , hari ni versi rajin sikit..:-) resepi ni saya belajar dari Puan Yuva Devi, seorang kawan masa saya mengajar di SMK Vivekananda dulu..lamaaaa tuuuu...hehehehe. Agaknya diapun dah lupakan saya hahaha. Sotong boleh digantikan dengan udang atau kalau nak, boleh campur kedua-duanya.

Bahan-bahannya;
1 kg sotong dibersihkan.
1 biji kelapa diambil dalam 3 mangkuk atau lebih santan (jangan banyak sangat sebab sotong akan kecut)
1 labu bawang besar-dimayang
6 ulas bawang kecik-tumbuk
3 ulas bawang putih-tumbuk
1/2 inci halia-tumbuk
1 sudu halba campur
1 peket serbuk kari ikan
2 sudu serbuk cili-masukkan dalam bawang tumbuk
1 sudu asam jawa dibancuh dengan air
1 biji buah mangga
1/2 biji lobak putih
4-5 biji bendir
1 biji buah tomato 
Daun kari
Daun ketumbar

Cara-caranya;
  1. Tumiskan bawang besar
  2. Masukkan halba campur
  3. Masukkan daun kari.
  4. Masukkan bahan tumbuk (bawang kecik, bawang putih, halia dan cili)
  5. Tumis hingga naik minyak.
  6. Masukkan serbuk kari yang telah dibancuh dengan air.
  7. Tumis lagi hingga naik minyak.
  8. Masukkan air asam jawa.
  9. Masukkan santan.
  10. Masukkan lobak putih yang telah dipotong.
  11. Masukkan 2 hirisan besar mangga muda.
  12. Bila menggelegak, masukkan sotong. 
  13. masukkan garam dan gula.
  14. Bila sotong hampir masak, masukkan bendir, buah tomato dan daun ketumbar.
  15. Siap!!.
*Kalau tak nak guna santan boleh guna air sahaja. Sedap juga dan menyihatkan. Infact Puan Yuva memang tak guna santanpun.
*Boleh juga gantikan santan dengan susu, sedap juga.

Agak2 kalau kat kedai mamak ni berapa hinggit?





Sambal Mangga Muda

Ini satu lagi resepi feveret di kampung. Maklumlah  bahan2nya mudah didapati saja kan?. Ni memang pantang untuk yang sedang berdiet sebab ia akan menyebabkan kita makan nasi bertambah2 tanpa disedari hehehe. Kena pulak dengan ulam-ulam perghhh terangkat!!.

Bahan-bahannya;
3 ekor ikan saiz sederhana dibakar (saya guna ikan selayang/sardin)
3 biji buah mangga muda saiz sedehana besar (saya punya 2 biji muda, 1 lagi dah nak masak..tu yang nampak kuning dan berair sikit)
10 biji cili padi
1 1/2 sudu kecil garam.

Cara-cara;
  1. Asingkan isi ikan dari tulangnya.
  2. Sagat buah mangga.
  3. Tumbuk cili dengan garam  (jangan lumat sangat)
  4. Masukkan mangga, tumbuk sikit-sikit saja.
  5. Masukkan isi ikan. Tumbuk kasar dan kacaukan dengan sudu hingga sekata.
  6. Siap.
* saya tak letak gula dalam sambal ni sebab tekak tak berapa nak boleh terima sebab guna ikan hehehe.

Wednesday 13 March 2013

Kuzi Ayam

Pertama kali masak ayam kuzi ni. Dah lama beli rempah kuzi tapi tak buat-buat lagi. Sebenarnya kuzi ni tak berapa femes di kawasan2 belah Pasir Putih tapi sebaliknya di kawasan belah Kota Bharu, Bachok , Kubang Kerian. Sebab tu agaknya keluarga saya tak pernah masak hidangan ini walaupun masa kenduri.

Saya dapat resepi mudah tapi sedap ni daripada seorang kawan dari Kota Bharu. Keluarga beliau sangat terkenal sebagai  katerer di sana. Terima kasihlah kepada Wan Mohd Sidqi, seorang pegawai di KPM, Putrajaya kerana tidak lokek berkongsi resepi ini. Jom kita tengok resepinya.

bahan-bahannya;

1 ekor ayam
30 ulas bawang merah-dimayang halus dan digoreng hingga garing. Hancurkan.
2 ulas bawang putih-diblend
1/2 inci halia-diblend
2 batang serai-diblend
3 sudu besar rempah kuzi
3 sudu besar sos tomato
1 cawan campuran kismis dan gajus/badam.
1/2 tin susu cair.
Air
Garam
Gula

cara-caranya;
  1. Perap ayam dengan bahan yang telah diblend (bawang putih, halia dan serai serta garam secukupnya)
  2. Perap sekurang-kurangnya satu jam.
  3. Goreng ayam.
  4. Goreng kismis dan gajus atau badam cincang-sejatkan.
  5. Tumiskan rempah kuzi (tidak perlu lama2)
  6. Masukkan susu cair.
  7. Masukkan sos tomato, bawang goreng, ayam, kismis, gajus/badam, garam dan gula secukupnya.
  8. Masukkan sedikit air.
  9. Masak hingga kuahnya pekat.
  10. Sedap dimakan bersama dengan roti jala, roti Arab, roti biasa atau dengan nasi.
Tapi hari ini, saya memadakannya dengan nasi tomato serta acar jelatah...besstttt!!




Sunday 10 March 2013

Rendang Daging Utara

Januari lepas saya menghadiri kenduri kahwin anak kawan sekolah iaitu kak Faridah Rahim. Kak Faridah ni seorang guru dan juga seorang ceterer, memang hebat masak memasak nih dan tidak lokek ilmu pulak tu. Sedap sungguh rendang daging yang dihidangkan masa kenduri hari tu..hahahaha dan biasalah dengan muka tak malunya saya meminta resepi daripadanya. Nahhh..inilah hasilnya, memang sedap dan saya bercadang nak masak lauk ni hari raya nanti..sedap kalau dipadankan dengan nasi hujan panas.

Bahan-bahannya;
2 kilo daging
15 batang serai
2 inci lengkuas
2 inci halia
7 labu bawang besar
7 labu bawang putih
2 sudu biji ketumbar
1 sudu jintan manis
2 senduk cili kisar
2 peket rempah kari
1 kotak santan 200ml
2 senduk kerisek
1 senduk madu
2 keping asam
gula merah
garam
Daun kunyit
Daun limau purut

Cara-caranya;
  1. Kisar serai, lengkuas, halia, bawang2, jintan, ketumbar - dan tumis.
  2. Dah garing masukkan cili kisar dan serbuk kari.
  3. Sudah pecah minyak masukkan daging. 
  4. Bila dah empuk dagingnya, masukkan santan, kerisek, madu, garam, gula merah, asam keping, daun kunyit dan daun limau purut.
  5. Masak hingga pekat dan rasakan sedapnya. 
Terima kasih Kak Faridah..sedap sungguh rendang ni..



Pizza Roti Mudah

Pizza makanan kegemaran anak-anak saya, tapi sekarang ni kalau order home delivery pizza harganya memang cekik darah betul..mahal giler..sakit hati bila tengok macam-macam tax kena bayar sebab nak makan pizza hehehe sabor je lah..

Bila anak-anak nak makan pizza, otak mula memikir malasnya nak menguli doh, nak keluar pi kedai beli readymade base pun malas..apalagi, roti lah jadi mangsanya..jom, tengok macam mana saya main-main kat dapur dengan anak-anak...projek pizza mudah (jadi lebih mudah sebab bahan dah ada di rumah terutama sekali lebihan sos bolognaise..heheh)Kalau nak resepi sos boleh tengok kat sini

Kat bawah ni koleksi gambar-gambar lama yang saya upload dari FB saya..jom cuci mata..:-)

Potong kecik roti, celup dengan telur yang telah dicampur oregano, susun kemas.
Dah siap susun bakar kejap yer..kasi telur tu masak dulu.
Letak sos bolognaise, anak2 saya suka sos banyak..:-)
Letak je lauk apa yang kita suka..masa ni saya ada hotdog je.. 
Tabur Mozarella..
Dah siap bakar..kejap je..dalam 8-10 minit atau hingga topping dia cair 
Potong....
Tunggu apa lagi...ngaaappp!!!


Saturday 9 March 2013

Pulut Pagi Kelantan

Kenapa panggil pulut pagi?..hehehe, sebab di Kelantan biasanya kami makan pulut ni waktu pagi sebagai sarapan. Tapi zaman milenium macam sekarang ni tak kira pagi petang siang malam ada dijual pulut ni..always available!! Yang ni pun saya buat untuk minum petang..hehehehe bantai je lah labuuu..:-)


Ada banyak versi cara untuk masak pulut ni. Ada yang pakai tanak saja dan ada juga yang kukus. Saya sukakan cara yang dikukus kerana hasilnya lebih cantik. Tapikaannnn, sebenarnya saya tak tahu betul ke tak caranya macam ni..hehehe!! Sebab saya tak pernah tengok cara orang membuatnya. Mek dan arwah nenek saya dulu selalu tanak pulut dimakan dengan kelapa dan ikan masin saja. Yang penting hasilnya menjadilah..hubby kata sedap betul macam selalu makan kat kampung..so, kira luluslah tu..:-)

Bahan-bahannya;

600 gram beras pulut
1 ketul gula melaka
1 cawan air
1 senduk kecil gula
1 sudu besar air kapur
1 helai daun pandan
1/2 cawan beras pulut untuk disanggrai
1/2 biji kelapa parut putih

Cara-caranya;
  1. Rendam beras pulut paling kurang 30 minit.
  2. Sambil tu masak air gula melaka- satukan gula melaka, gula putih, daun pandan dan air--masak hingga semuanya larut dan sedikit pekat.
  3. Bila dah larut, tapiskan dan masukkan air kapur. Biarkan.
  4. Kukus pulut sehingga naik wap (lebih kurang 15 minit)
  5. Agak dah masak pulut, keluarkan dan gaul dengan air gula melaka tadi.
  6. Gaul hingga semua gula melaka menyerap pada pulut.
  7. Kukus sekali lagi sehingga naik wap (dalam 10-15 minit).
  8. Keluarkan pulut. Gaul dengan sudip hingga nampak cantik dan sebati. Siap.
  9. Sangrai beras pulut hingga kekuningan. Siap.
  10. Gaulkan kelapa parut dengan garam dan sedikit gula. (Sesetengah orang tak masukkan gula dan hanya letak garam- letak gula jadi lebih sedap dan lebih lemak manis dan masin)
  11. Hidangkan seperti dalam gambar.
Dah siap kena tapis dulu yer..
Selepas kukus kali pertama sebelum digaulkan dnegan air gula melaka
Gaul sebati dengan gula melaka yer..then kukus lagi 
Sambil-sambil tu sanggrai beras pulut hingga garing/kuning
Gaul kelapa dengan garam dan sedikit gula..dahh siapp!
Makan bertemankan kopi panas..

Wednesday 6 March 2013

Sayur Air Petola

Menu yang sihat. Mudah saja cara memasaknya. Sayurnya boleh digantikan dengan timun, labu, bayam, sawi, keladi dan pelbagai jenis sayur lagi. Kalau nak lemak, masukkan santan..inilah resepi sayur rebus versi Kelantan.

Bahan-bahannya;
3 biji petola disiang ikut suka.
3 ulas bawang merah
10 biji lada hitam
Segenggam ikan bilis- boleh tukar dengan isi ikan rebus.
Garam
Gula
Ajinomoto kalau suka.
*Ada orang suka masukkan bawang putih- saya tidak suka hehehe

Cara-caranya;
  1. Tumbuk bawang dengan lada hitam hingga lumat.
  2. Jika suka boleh tumbuk ikan bilis bersama-sama-tapi hari ni saya tidak tumbuk.
  3. Masukkan dalam periuk bersama-sama air- agak2 cukup untuk kuah 
  4. Masukkan garam dan gula.
  5. Masukkan petola.
  6. Rebus hingga masak. Siap.
  7. Ada yang suka masukkan petola selepas air rebusan menggelegak- saya hanya buat cara ni jika guna sayur berdaun.

Daging Goreng Kunyit

Resepi paling mudah ringkas tapi sedap. Penat-penat balik kerja, boleh masak ni makan dengan nasi panas-panas  ..perghh!!.

Teringat kalau musim raya korban dapat daging segar-segar, selain singgang atau sup biasanya kami di Kelantan akan goreng daging macam ni...baru terasa nikmat kesegaran daging tu..alamak! , lambat lagi raya korban., heheh

Daging ni saya beli kat kedai Acheh di taman ni, tak berapa lembut dagingnya tapi bolehlah...

Bahan-bahannya;
1/2 kg daging dipotong kecil dan nipis.
Sedikit kunyit
Sedikit garam

1 labu bawang besar-dihiris
1 biji cili besar- sedap lagi cili solok
*ada orang letak bawang putih- saya tak suka.

Cara-cara ;
  1. Gaulkan daging dengan kunyit dan garam.
  2. Masukkan dalam kuali dan masukkan air hingga tenggelam dagingnya.
  3. Masukkan sesudu minyak masak-untuk lembutkan daging.
  4. Rebus hingga kering airnya (sambil2 tu rasakan dagingnya, kalau belum lembut tambahkan airnya lagi)
  5. Bila air dah kering, masukkan sedikit lagi minyak untuk menggoreng daging.
  6. Bila dah hampir garing, masukkan bawang yang dimayang serta cili potong.
  7. Siap!!


Saturday 2 March 2013

Ketupat Sotong Step By Step

Alhamdulillah, ketupat sotong lagi hari ini. Menu kegemaran kami sekeluarga terutama anak2 dara bertiga tu. Sibuk benar hari ni sebab pagi2 lagi menyediakan kek untuk dibawa ke asrama . 28 Febuari hari tu hari jadi Nur Aifaa. Hari ni baru boleh hantar kek..nasib baiklah dekat saja. Alang2 bawa kek tu saya bawa sekali ketupat sotong kegemarannya ni. Resepi dah ada yer dalam entri sebelum ini. Rujuk di sini. Tapi hari ni saya tunjukkan sekali gambarnya, langkah demi langkah yer..selamat mencuba!!
Rendam beras pulut dalam santan cair dan sedikit garam sekurang-kurangnya 15 minit.


Santan pekat untuk kuahnya. Masuk sedikit garam yer..

Masukkan pulut dalam sotong. Jangan penuh sangat dan atur atas daun pandan untuk direbus.
siap untuk direbus
Masukkan santan. Rebus.
Hari ni guna gula melaka, kuahnya akan cerah sikit berbanding dengan nise kelate.
Bila santan jadi separuh baru masukkan gula melaka.
Masak hingga pekat macam ni...
Done !!! walla...



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...