Wednesday 29 October 2014

Nasi Goreng Kampung

Sambil memasak kari kambing tadi, saya masakkan nasi goreng kampung untuk Nur Alis dan abahnya. Tapi Mr A request ikan masin sebagai peneman nasi gorengnya. Simple saja menu malam ni..ditemankan dengan secawan teh o panas berasap hahaha.

Bahan-bahan nasi goreng kampung;

3 mangkuk nasi
6 ulas bawang putih
3 ulas bawang merah
6 biji cili padi
1 ikat kangkung - disiang
1 mangkuk kecil ikan bilis
1 kiub ikan bilis
2 sudu sos tiram
Garam
Gula.


Cara memasaknya;
  1.  Tumbuk bawang merah dan bawang putih hingga lumat. Bila sudah lumat baru masukkan  cili   padi dan tumbuk pecah2 sahaja.
  2.  Panaskan minyak, goreng ikan bilis hingga garing dan keluarkan.
  3. Jika minyak banyak, keluarkan sedikit baru masukkan semua bahan tumbuk.
  4. Goreng hingga garing baru masukkan sos tiram dan kiub ikan bilis.
  5. Kacau sebentar sebelum dimasukkan kangkung. Kacau.
  6. Masukkan nasi dan kacau rata. Rasakan, jika kurang masin tambah garamnya.
  7. Masukkan ikan bilis goreng dan kacau rata nasi.
  8. Bila hampir diangkat, baru taburkan sedikit sahaja gula. Kacau rata.
  9. Siap.
  10. Hidangkan dengan telur mata atau telur dadar dan tabur lada sulah. My Mr A makan dengan ikan masin je..hehehe.

Kari Daging Kambing










Daging korban kambing yang diberi oleh anak saudara  saya Husna dan suaminya Ibrahim dah terperuk lama dalam freezer. Hanya saya seorang yang makan kambing dan biri2 dalam rumah ni. Apa lagi, saya masakkan kari kambing ni untuk dibawa ke sekolah..nanti boleh makan ramai2 di Anjung Santai aka ruang makan di belakang meja saya..Kak Norkalbi dah bersetuju untuk membawa nasi dan sambal sotong, Zaharah pula nak membawa telur goreng..geng yang lain tak pasti lagi nak bawak apa. In sha Allah tak payah ke kantin kami semua esok hahaha..jimat sikit masa.

Sekarang ni cikgu2 semua sibuk nak siapkan PT3, nak marking paper exam  tingkatan 4, nak siapkan semua laporan 2014 dan perancangan untuk 2015, nak siapkan sijil berhenti dan surat akuan , nak siapkan laporan kokurikulum dan buku kokurikulum...Allahurabbi. Minggu depan kami dah mula bertugas menjaga exam SPM hingga 4 Disember..dan sebahagian daripada kami akan menanda SPM pula. Saya sendiri akan membuat kelas pecutan akhir pada 24- 27 November nanti bagi kertas Ekonomi Asas..in sha Allah semoga tiada halangan. Begitulah kita semua..masing2 dengan tanggungjawab yang telah diamanahkan. Semoga kerja kita sama ada yang berkarier ataupun suri rumahtangga dikira sebagai ibadah dan sebagai pelaburan dan saham untuk  akhirat nanti..betul tak?

Sebenarnya ini kali pertama saya memasak kari kambing. Kena dengan komen kawan2 esok tentang bagaimana rasanya hahahaha. Jom tengok resepinya yang hampir2 sama dengan resepi Gulai Kawah.


Bahan-bahannya:

1 kg daging kambing/biri2- digaul dengan tepung gandum dan perahan asam limau nipis. Diperap sebentar sebelum dicuci bersih.

1 biji kelapa ambil santan secukupnya
8 ulas bawang merah
5 ulas bawang putih
5 kuntum bunga cengkih
5 biji buah pelaga
2 kuntum bunga lawang
1 batang kulit kayu manis
6-8 biji cili kering
3 sudu rempah kari
2 sudu rempah kerutuk- optional
1 sudu serbuk ketumbar
1 inci halia
2-3 hirisan lengkuas
2-3 helai daun bay-optional
1-2 tangkai daun kari
1 helai daun pandan- optional
Asam jawa secukupnya
Garam
Gula- saya guna gula nise.
1 sudu kerisek- saya tak masukkan sebab takde

Cara memasaknya;
  1. 2 ulas bawang merah dan 2 ulas bawang putih serta 1/2 inci halia dimayang. 
  2. Bakinya diblend bersama dengan cili kering.
  3. Panaskan minyak dan tumis bahan hirisan (no1) hingga layu, baru masukkan rempah kasar iaitu bunga cengkih, bunga lawang, buah pelaga dan kulit kayu manis.
  4. Tumis hingga bawang jadi perang, masukkan bahan yang telah dimesin tadi.
  5. Masukkan daun kari dan daun bay. Tumis hingga naik minyak.
  6. Masukkan rempah kari, rempah kerutuk dan serbuk ketumbar. Kacau lagi.
  7. Masukkan gula nise dan kacau.
  8. Masukkan air asam jawa. Kacau lagi.
  9. Masukkan pula daging kambing dan kacau2 sambil ditutup periuk.
  10. Masak hingga air daging keluar.
  11. Masak hingga airnya hampir kering/pekat, baru masukkan santan bersama garam.
  12. Rasakan masin manis dan masamnya.
  13. Bila daging dah lembut bolehlah ditutup apinya. Siap.



Tuesday 28 October 2014

Nasi Daging ...














Nasi Daging memang kegemaran saya kerana adanya air asam dan daging rebus, tapi saya tidak pernah memasaknya. Jadi ini adalah kali pertama kali saya memasaknya seumur hidup..alhamdulillah, hasilnya sangat memuaskan hati dan selera saya hahaha...alahai tak berenti2 makan daging sejak hari raya haji hari tu..berat badanpun dah naik berkilo2..

Jom tengok resepi Nasi Daging versi Cik Wan.

Bahan daging rebusnya:

1/2 kg daging lembu yang segar- saya tidak rekomen guna daging import untuk rasa yang lebih segar dan manis.
1 ulas bawang putih diketuk
Air untuk merebus
Sedikit garam


  1. Potong 2 atau 3 ketul daging. Bersihkan dan rebus daging bersama dengan sedikit garam serta bawang putih.
  2. Rebus hingga empuk.
  3. Keluarkan daging dan hiris nipis. 1/2 untuk dimasukkan dalam nasi, 1/2 lagi untuk dicicah dengan air asam nanti.
  4. Simpan air rebusan untuk memasak nasi.


Bahan untuk nasinya;

3 gelas beras basmathi- dibasuh dan direndam sekurang2nya 30 minit sebelum ditoskan kering.

2 labu bawang besar (saiz sederhana)- dimayang
3 ulas bawang putih- cincang halus
1 inci halia- dimayang halus
1 batang kulit kayu manis
1 kuntum bunga lawang
4 kuntum bunga cengkih
1 sudu rempah kurma
1/2 sudu serbuk jintan manis- kalau guna biji jintan manis, tumbuk halus dulu.
1 sudu besar tomato puri- saya hanya guna sos tomato
2 helai daun pandan

3 sudu minyak sapi
2 sudu margerin
Sedikit minyak masak.

4 gelas air rebusan daging
1/2 gelas susu cair.
Sedikit garam

Tumis semua bahan bawang, halia dan rempah kasar hingga wangi dan warna perang.

Masuk sekali daun pandan, terbuka pulak simpulannya hehehe.

Masukkan rempah kurma dan sos tomato..kacau sekejap dan masukkan air rebusan dan susu cair. Kacau.
Masukkan garam.

Masukkan beras yang telah ditoskan kering. Masukkan hirisan daging.
Kacau dan masak seperti biasa.


Bila air nasi kering, kacau sekejap dan tutup periuk. Perlahankan api dan tunggu hingga masak. Siap.

Bahan untuk air asamnya;

4 biji cili besar
4 biji cili padi merah- nak pedas boleh tambah lagi
1 inci belacan
3 sudu kecil garam- saya guna sudu kecil aiskrim
4 sudu makan gula
Asam jawa sebesar penumbuk- bancuh dengan segelas air masak

- blend semua bahan dan masukkan dalam mangkuk besar.

Ramas/kacau  dengan:

3 biji buah tomato- dihiris nipis
2 labu bawang besar - dimayang nipis
2 biji asam limau nipis diperah airnya.
Perisa makanan yang digemari- optional.


Lauk dan bahan hidangan lain;

Hirisan daging rebus
Sayur salad
Hirisan buah tomato
Hirisan timun.


Hidangkan nasi berisi daging dengan daging rebus hiris, air asam dan sayur2nya.
Selamat menjamu selera....

Monday 27 October 2014

Jeruk Mangga Asam Boi



Alamak...kecur air liur. Penangan demam jeruk mangga asam boi di laman sosial. Saya masukkan hirisan limau kasturi seperti yang disarankan oleh Puan Azlita Aziz (Blog Masam Manis).





Saya gunakan;
7 biji mangga epal- saya gunakan yang kecil sahaja..itu jer yang ada kat kedai hihi
4 biji cili padi- nak pedas boleh tambah (dipotong)
4 biji limau kasturi dipotong nipis
1/2 cawan gula


Gaul rata dan masukkan ke dalam botol sebelum disimpan dalam peti sejuk sekurang-kurangnya 4 jam sebelum dimakan.

Sunday 26 October 2014

Sepetang Di Pantai Irama





Macam kat obersea pun hado hehehe

Petang semalam saya diajak oleh adik saya Si Saiful untuk ke Pantai Irama, Bachok...makan angin sambil bawa mek bersiar-siar. Pantai Irama dari rumah saya hanya lebih kurang 15-20 minit perjalanan sahaja.

Memang happening sungguh Pantai Irama sekarang, setiap kali saya pergi, ada sahaja perubahan dan penambahbaikan telah dibuat walaupun masih banyak kekurangan yang boleh diperbaiki. Ramai sungguh pengunjung yang terdiri daripada keluarga yang berkelah mahupun muda-mudi yang datang mengambil angin sambil makan-makan di sana, malah terdapat beberapa pasangan pengantin yang datang untuk outdoor shooting..makin seronok kami cuci mata sambil layan si Fathi anak Saiful main layang2. Mak sedaranya nipun ambil peluang sekali untuk main layang-layang..teringat pula  Zikry yang dibawa Mr A ke rumah neneknya untuk menjemput Si Zahirah yang dari awal cuti tinggal di rumah nenek kerana ramai sepupu sebayanya di sana.

Oleh kerana kami tidak merancang untuk makan di sana, saya melarang Saiful untuk banyak berbelanja, cukup sekadar Coconut Shake, keropok lekor dan Udang Celup Tepung sahaja...tambahan pula Saiful dan isterinya Lyn tidak mahu makan kerana teringatkan sup tulang di rumah..alahaiii...
Ini yang kami makan..simple tapi sedap, terlupa pula nak ambil gambar Coconut Shake hehehe..







Sup Tulang Sedap Sengoti



Balik kampung sempena Deepavali, sempatlah masak sejenis dua menu untuk hidangan di rumah..yang lainnya banyak makan kat luar..pendek kata sekali balik kampung sekilo dua juga badan naik..maklumlah macam2 makanan yang sedap2 dijual di merata2 tempat, murah pulak tu.

Mek menyimpan untuk saya daging dan tulang lembu korban raya haji baru-baru ni..maklumlah anaknya yang ini tak sempat balik..terima kasih mek..kerana ingatkan kami sekeluarga ni..huhuhu memang terharu.

Saya masakkan sup kegemaran mek dan adik2 serta Mr A...berpeluh2 mereka makan..alhamdulillah..daging korban memang sedap, masaklah apapun, insyaAllah..menyelerakan.
Dipadankan pula budu tempoyak dan ulam-ulaman dari Pasar Jelawat serta Ikan Tongkol Rebus Goreng....pergghhh...
Ulam Kacang Botol tanaman mek, daun kesum, Pucuk Otak Udang, Pucuk Beko dan Pucuk Serai Kayu





Jom tengok bahan dan cara memasak sup versi Cik Wan..hehe. Saya masak lebih kurang 2 1/2 kg tulang, jadi saya kecilkan sukatannya untuk memudahkan kawan-kawan.

Bahan-bahannya;

1 kg tulang dan daging.
1 peket rempah sup tulang- yang ada sup bunjut dan rempah kasarnya sekali.
6 ulas bawang merah- mayang nipis
4 ulas bawang putih- mayang nipis
2 inci halia- mayang nipis
2 inci lengkuas potong kasar
Garam
Ajinomoto- optional


Bahan hiasan;
Daun sup
Daun bawang
Bawang goreng
Cili padi
Asam limau nipis.

Cara memasaknya;

  1. Bersihkan tulang dan daging- toskan.
  2. Tumis bawang merah dan bawang putih hingga perang. 
  3. Masukkan halia dan lengkuas. Kacau sebentar.
  4. Masukkan rempah sup termasuk sup bunjut, kacau sebentar.
  5. Masukkan tulang.
  6. Masakkan tulang sambil dikacau hingga air tulang dan daging keluar. Masak hingga airnya hampir kering.
  7. Baru masukkan air secukupnya. Tutup periuk dan rebus tulang.
  8. Bila dagingnya hampir empuk baru masukkan garam. Tambah air jika perlu dan rebus lagi hingga daging empuk.
  9. Bila empuk, hidangkan sup bersama bahan hiasannya. Siap.





Sup Sayur Mudah


Bila sudah tidak ada idea untuk masak ataupun keletihan dan kadang-kadang terlalu sibuk, sup sayur adalah menu penyelamat saya. Hanya tambah telur dadar dan sambal jeruk yang memang sedia ada dalam peti sejuk...dipadankan dengan nasi panas..wallaaa....hehehe.

Bahan-bahannya;

Lebih kurang semangkuk sayur yang disukai- saya gunakan sawi + kubis + karet
4 ulas bawang putih- tumbuk/mayang
1 kiub ikan bilis- kalau tidak ada gunakan segenggam ikan bilis.
4 biji cili padi
Lauk yang disukai- seperti udang/sotong- saya hanya gunakan ikan bilis dan telur
1 biji telur dikacau denga garfu.
Garam- tidak perlu jika menggunakan kiub ikan bilis.
2 mangkuk air.

Cara-caranya;
  1. Tumiskan bawang putih.
  2. Jika menggunakan ikan bilis, masukkan ikan bilis dan tumis hingga garing.
  3. Masukkan air dan kiub ikan bilis. Masak hingga menggelegak.
  4. Masukkan sayur yang keras dahulu seperti karet, kubis dan batang sawi.
  5. Masak sebentar, masukkan daun sawi dan potongan cili padi.
  6. Bila menggeleggak, tuang telur yang telah dipukul dan tutup periuk sambil ditutup apinya.
  7. Tunggu sebentar sebelum dihidangkan untuk pastikan telur masak. Siap.

Mihun/Bihun Pink Kelate

Mihun yang paling versatile di Kelantan..siapa orang kelantan yang tak pernah makan mihun pink? hehehe dari kecil saya biasa makan bihun ni, sama ada yang dijual oleh nenek mahupun yang dijual di kedai market Bukit Abal yang mana saya akan beli dalam perjalanan ke sekolah..rasanya manis masin dan sangat sedap sekali.

Bihun ini biasanya hanya menggunakan cili sos dan tomato sos "made in Kelantan" yang warnanya agak merah jambu dan kalau untuk jualan, bihun biasanya direndam dengan pewarna dahulu sebelum digoreng. Biasanya sayur yang digunakan adalah kangkung sawah dan sesetengah tempat menggunakan pucuk paku. Mihun ini kegemaran Mr A manakala anak2 pula sukakan mihun biasa yang digoreng dengan pelbagai jenis lauk dan menggunakan sos tiram dan kicap..biasalah budak2 zaman sekarang.

Bahan-bahannya yang digunakan;

1 peket mihun- direndam dengan pewarna pink/cochineal.
5 ulas bawang merah
7 ulas bawang putih
Sedikit serbuk cili- optional
1 mangkuk kecil sos cili
1/2 mangkuk kecil sos tomato
Sayur kangkung secukupnya
Udang kertas secukupnya
Garam
Gula

Cara memasaknya;
  1. Mesinkan semua bawang merah dan bawang putih serta serbuk cili.
  2. Tumiskan bahan mesin hingga naik minyak.
  3. Masukkan udang kertas. Goreng sekejap.
  4. Masukkan sos cili dan sos tomato- kacau.
  5. Masukkan 1 mangkuk kecil air.
  6. Masukkan garam dan gula. Rasakan masin dan masinnya. Pastikan masin dan manisnya lebih sebab belum dimasukkan mihunnya.
  7. Bila kuah menggelegak, masukkan kangkung.
  8. Masukkan mihun yang telah ditoskan. Kacau hingga air kering dan mihun masak.
  9. Siap.

Air Asam Terung Bakar


Ini masakan yang diajar oleh arwah nenek sebelah Mek. Teringat masa kecil arwah akan bakar terung di atas bara api dapur dan disiat2 kulit terung sebelum dibuat air asamnya. Tapi entahlah macam ada sesuatu yang kurang dalam resepi ini...saya rasa dulu arwah ada letak cekur tapi saya tidak tahu caranya. Nanti saya tanyakan pada Mek ataupun Mokyah dan kalau betul ada cekur dalam resepi ini saya akan update nanti. Untuk kali ini walaupun ada kurang sesuatu, rasanya tetap sedap dan sungguh membuka selera..pendek kata licinlah mangkuk air asam bersantan ni hahaha. Jom tengok bahan dan resepinya.

Bahan-bahannya;

2 Biji terung panjang- di bakar di atas api dan disiat kulitnya - saya gunakan magic pan.
1/2 mangkuk santan
5 biji cili padi- dipotong kecil
5 ulas bawang merah- dimayang nipis
Sedikit garam
Sedikit belacan
Sedikit asam limau nipis

Cara-caranya;
  1. Dalam satu mangkuk, satukan santan, garam dan belacan- kacau hingga sebati.
  2. Perahkan asam limau nipis, masukkan cili dan bawang- kacau rata dan rasakan masin, masam dan manisnya- manis datang daripada rasa santan.
  3. Sambil itu potong terung bakar kecil-kecil. 
  4. Tuang asam santan ke atas terung dan siap untuk dihidangkan. Selamat mencuba..

Saturday 11 October 2014

Gulai Udang Untuk Nasi Dagang Yang Sungguh enak


Pada hari raya Aidil Adha lepas, saya masak nasi dagang yang mana lauk gulai ikannya saya siapkan pada malam raya tu..tapi saya buntu cara nak memasak gulai udangnya..teringin nak masak seperti gulai yang dijual oleh arwah Mok Yoh, nenek saudara Mek..hehehe malangnya saya tidak tahu resepinya.
Apa lagi, subuh-subuh buta tu saya telefon mak saudara yang tinggal di Tanah Merah..dan dia ajarkan via telefon resepi yang katanya lebih sedap daripada resepi arwah Mok Yoh..dan memang betul..gulai ini sangat sedap sekali dan mendapat pujian tetamu yang datang. Saya kongsikan resepinya di sini...tqvm Mok Yah...baca elok2..yg tadi arwah Mok Yoh...yang ni Mok Yah..hahaha

Bahan-bahannya;

1 kg udang- saya gunakan udang laut.
1 biji kelapa- ambil santan kepekatan biasa.
5 ulas bawang merah
3 ulas bawang putih
1/2 inci kunyit hidup- atau 1/2 sudu kunyit serbuk
4 biji cili kering- saya guna serbuk cili
1/2 inci halia- sikit saja tau
1/2 inci lengkuas
1/2  sudu rempah halba campur
1 sudu rempah kari ikan
2 keping asam keping
Gula
Garam

Cara-caranya;
  1. Blendkan semua bahan bawang merah, bawang putih, halia, lengkuas, kunyit, cili kering. 
  2. Panaskan minyak, tumiskan rempah halba campur sekejap. Baru tuangkan bahan mesin. 
  3. Tumis hingga naik minyak dan masukkan rempah kari. Kacau lagi hingga naik minyak/garing.
  4. Tuangkan santan. Masukkan asam keping, gula dan garam.
  5. Masak kuah hingga jadi separuh atau sedikit pekat.
  6. Masukkan udang dan kacau hingga menggelegak.
  7. Rasakan masin manisnya. Masak sebentar sahaja. Jangan lama sangat takut udang jadi keras.
  8. Siap.

Nasi Goreng Mudah

Rasanya saya tidak pernah memasukkan resepi nasi goreng di sini. Tak apalah sekali-sekala ok jugak kan?

Selalunya saya masak nasi goreng jika tiada lauk di rumah, malas nak masak hehehe ataupun jika semalamnya saya dah masak heavy..maksudnya beberapa jenis lauk untuk sekali makan ataupun banyak nasi sejuk dalam rice cooker.

Nasi goreng yang paling sedap ialah yang digoreng oleh arwah nenek...main campak2 je..hanya masuk beberapa ulas bawang putih dan merah bersama-sama cili kering yang ditumbuk lumat. Kadang2 dimasukkan isi ikan goreng dan kadang2 telur. Allahurabbi...semoga Allah mengampunkan segala dosa arwah nenek yang memberi bumbung untuk berteduh seramai 8 orang cucu yang semuanya anak yatim...memang rezeki arwah,  beberapa orang anaknya mendahului beliau menemui Rabbul Jalil...termasuklah Wan/ayah saya.

Jom, kita tengok resepi nasi goreng saya.

Bahan-bahannya;

3 mangkuk nasi sejuk- nasi barupun ok, cuma kurangkan air semasa memasaknya.
5 ulas bawang merah
3 ulas bawang putih
3 biji cili kering
1 mangkuk kecil daging yang dipotong nipis dan halus- atau boleh potong ikut selera masing2.-gaul dengan sedikit garam dan lada sulah.
1 mangkuk sayur- saya gunakan sawi dan kubis
Sedikit garam dan gula
Kicap secukupnya jika suka.

Cara memasaknya;
  1. Tumbuk bawang merah, bawang putih dan cili kering hingga lumat.
  2. Panaskan kuali dengan minyak secukupnya.
  3. Masukkan daging  dan goreng daging hingga sedikit garing.
  4. Masukkan bahan tumbuk dan  kacau hingga  garing/ atau boleh juga sekadar naik minyak sahaja.
  5. Masukkan sayur, kacau sebentar.
  6. Masukkan nasi, masukkan garam  serta kicap.
  7. Kacau rata nasi sebentar baru taburkan sedikit gula...nasi akan nampak sedikit bersinar bila gula di "caramelised"...kata arwah nenek..of course dlm bahasa kelate la hehehe.
  8. Siap. Boleh dihidangkan dengan telur mata dan potongan tomato ataupun lauk lain..
Nota: Jika anda gunakan blender dan air untuk lumatkan bawang dan cili ...no problem, cuma kena pastikan proses menumis lebih lama kerana perlu garingkan bahan tumis dulu...kalau tidak nasi goreng akan lembik.

Singgang Tulang




Resepi authentic kelate yang sungguh menyegarkan..sedar tak sedar bertambah-tambah nasinya. Macam-macam versi ada, tapi ini versi keluarga saya..jom tengok bahan-bahannya;

Bahan-bahannya;

1kg tulang lembu dibersihkan.
1 labu bawang putih, ketuk setiap satu dan buang kulitnya.
1 labu bawang besar di mayang kasar
2 inci lengkuas - hiris nipis dan halus
2 inci halia - hiris nipis dan halus
4 keping asam gelugur/keping
2 sudu rempah ketumbar- tumbuk halus
Sedikit gula melaka/nise- jika ada, kalau tak ada boleh guna gula putih.
Sedikit garam
Cili besar hijau kalau ada- boleh diganti dengan cili kering dipotong dua.


Cara-caranya;
  1.  Rebus tulang dengan air secukupnya dan bila menggelegak,kaup buang kumpulan2 lemak yang berwarna hitam keluar.
  2. Masukkan semua bahan kecuali garam dan gula ke dalam periuk dan tambah air sehingga tenggelam tulangnya.
  3. Masak hingga menggelegak dan surut kuahnya...Masukkan gula dan garamnya.
  4. Tambah air lagi dan masak hingga daging pada tulangnya lembut.
  5. Siap.

Monday 6 October 2014

Selamat Hari Raya Aidil Adha


Untuk dua tahun berturut-turut kami sekeluarga tidak balik ke Kelantan hari raya ni...tahun lepas dan tahun ini segala-galanya kerana cuti yang pendek dan Mr A tak larat untuk bertungkus lumus melayan jem di jalan raya..hahaha

Tak apalah, ramai juga saudara mara dan kengkawan yang sama2 meraikan Aidil Adha di KL tahun ni...kemeriahan tetap ada tapi tidak setanding beraya di kampung bersama bonda dan keluarga..

Raya ini saya menyediakan nasi dagang berlaukkan ikan tongkol dan gulai udang laut, nasi impit kuah kacang dan rendang daging, ketupat palas serta tapai pulut yang akhirnya tidak dapat dimakan langsung kerana masam...masyaAllah, dua kali saya beli ragi di kedai Acheh tu, dan dua kali hasilnya masam. Rupa2nya Mek di kampung dah risau bila saya bagitahu saya buat tapai menggunakan ragi yang dibeli di  sini sebab dia takut tak menjadi...hah!! memang betul, pagi2 buka bekas tapai saya dah excited sebab sudah nampak tekstur yang cantik dan lembab berair sikit seperti yang saya suka...tapi bila masuk ke mulut...aaarggghhhhhhhhhhh...masam macam cuka!!!!!

Kenapa ye kawan2..tapai saya jadi macam tu? Adakah cara buat tapai di sini berbeza dengan tapai di kelantan atau adakah kerana raginya..?

Alhamdulillah...menu yang lain semuanya menjadi hahaha, nasib baik..phew!!

Jom layan menu hidangan raya Cik Wan..maaflah tak sempat hidang semua live dari periuk..hahaha (Ni pun lasst minute ingat nak ambik gambar...tetamu dan mula sampai..)

Nasi Dagang
Gulai Ikan Tongkol Terengganu
Gulai Udang Laut
Ketupat Palas...tetap buat walau tak pandai bungkus hehehe
Rendang Daging
Kuah Kacang
Nasi Impit Segera...

 Kepada semua sahabat dan tetamu blog cikguwan...Cik Wan mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Adha Maaf Zahir Batin dan terima kasih kerana berkunjung...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...