Tuesday, 31 May 2016

Kari Hijau Thailand



Assalamualaikum. Selamat bercuti sekolah untuk semua. Anak-anak cuti, cikgu-cikgu cuti sambil marking dan ibu bapa juga mengambil peluang bercuti untuk bersama-sama dengan anak-anak. Cik Wan doakan semuanya beroleh kebahagiaan dan kegembiraan serta sihat walafiat semuanya. Cik Wan sekeluarga tak balik ke Kelantan cuti ni. Maklumlah  Alis tengah  praktikal dan ke tempat kerja dengan abahnya. Dia tiada lesen dan terpaksa pergi bersama dengan abahnya. Jadi abahnya juga tak boleh bercuti hehehe. Itulah peliknya budak sorang ni. Daripada lepas SPM mamanya suruh ambil lesen tapi tak mahu, sekarang siapa yang susah? .

Agaknya yang sorang ni mengikut mamanya kot. Cik Wan ambil lesen selepas kahwin, itupun dipaksa oleh Mr A. Bila gagal ujian memandu kali pertama, kerana langgar lampu kuning, Cik Wan perap je lesen P tu hingga dekat2 habih tempoh. Kena paksa lagi sekali baru terhegeh-hegeh pergi test. Masa pergi test tengah pregnantkan Si Aifaa. Dah sarat masa tu. Pihak JPJ tak benarkan ambik test, Cik Wan terpaksa buat surat rasmi on the spot untuk bebaskan JPJ kalau berlaku apa-apa risiko semasa ujian memandu dijalankan. Nasib baik lulus hehehe. Zaman sekarang ni, lesen memandu tu dah jadi keperluan. Kena paksa juga nampaknya si Alis ni.

Untuk makan malam semalam Cik Wan masakkan Kari Hijau Thai menggunakan rempah/paste kari hijau yang dibeli masa ke Krabi baru-baru ni. Rasanya sangat sedap dan sesuai dengan tekak Cik Wan. Dah cukup pedas, masin, manis dan masam tak perlu tambah apa-apa lagi. Paste kari hijau ni dah banyak dijual di pasar raya besar. Semalam Cik Wan ada beli sebotol lagi di Jaya Grocer. Macam-macam rempah ratus Thai ada dijual dan ada tanda halal. Ada pulak dijual terung pipit dan daun selasih Thai..eeemmm apalagi, jadilah projek Kari Hijau Thai yang dah bertangguh sekian lama hehee. Jom tengok bahan dan caranya.

Bahan-bahannya;

1 kotak santan Kara 200ml.
1 peket paste kari hijau (dalam 2 sudu besar)
1 mangkuk kecik isi ayam
segenggam terung pipit
segenggam daun selasih
Cili padi jika suka

Cara menyediakannya;

  1. Masukkan separuh kotak santan ke dalam periuk (100ml)
  2. Masukkan paste kari hijau.
  3. Kacau hingga pecah minyak.
  4. Masukkan isi ayam dan santan - baki 100ml bersama 1/2 cawan air.
  5. Kacau hingga menggelegak. 
  6. Masukkan terung pipit dan daun selasih. Kacau.
  7. Bila ayam masak dan kuah pekat, boleh tutup api. 
  8. Hidangkan dan hiaskan dengan daun selasih dan hirisan cili padi. Siap.


No comments:

Post a comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...