Sunday, 23 June 2013

Acar Sayur Campur

Acar Sayur yang popular di Kelantan. Acar ini sebenarnya sama dengan acar buah pisang yang hanya terdapat di Kelantan Darul Naim. Acar sayur ni banyak dijual di pasar2 pada bulan Ramadhan. Mungkin kerana sayur ini membuka selera serta tahan lama, boleh dimakan sehingga sahur kerana dicampur dengan cuka.

Bahan-bahannya;

Untuk sayurnya;
1 biji timun
Sedikit kubis
Sedikit taugeh
Beberapa biji cili besar

Untuk bumbunya;
2 ulas bawang putih*
3 ulas bawang merah*
Sedikit halia*
Beberapa biji cili kering*
- mesin lumat bahan *

Sedikit santan- kena pekat sedikit.
Sedikit cuka
Garam
Gula

Cara-cara memasak;
  1. Tumiskan bahan mesin hingga naik minyak.
  2. Masukkan santan, cuka, gula dan garam.
  3. Kacau sebentar, masukan semua bahan sayur.
  4. Kacau sebentar, rasakan masin, masam dan manisnya biar sekata.
  5. Masak hingga menggelegak. Siap. Mudahkan?

Saturday, 8 June 2013

Kek Carrot (2)




Dalam sibuk-sibuk menanda kertas, saya buatkan juga kek karet ni bagi melayan permintaan anak-anak petang ni. Lagipun esok Aifaa dah nak balik ke asrama, bukan setakat kek malah saya buatkan juga 4  biji pizza untuk mereka..hahahaha puas hati mereka makan.

Resepi untuk kek ni pernah saya tulis di entry lama di sini, tapi saya buat beberapa perubahan. Hasilnya kek petang ini lebih gebu dan ringan berbanding sebelum ini. Sangat sedap mengikut selera saya hehehehe.


Bahan-bahannya;

2 cawan tepung naik sendiri*
1 sudu teh double action baking powder*
1 sudu teh garam*
- yang bertanda * digaul sebati
2 cawan gula halus/caster- saya tukar kepada brown sugar
4 biji telor
1 1/4 cawan minyak conola/sunflower/sayur-saya guna mazola
1 cawan kacang walnut/badam dipanggang dahulu-saya guna badam
 4 cawan karet parut-perah keluar dulu airnya
1 biji kulit buah oren parut (zest)-saya guna 2 sudu besar sunquick
* saya tambah sedikit esen vanilla menggantikan serbuk kulit kayu manis

 Cara-cara
1. Siapkan bekas untuk bakar, griskan dengan butter dan alaskan dengan kertas kek.
2. Pukul telur hingga agak kembang masukkan gula. Pukul hingga kembang dan warnanya pucat.
3. Masukkan minyak secara perlahan-lahan dan pukul lagi hingga kembang. Masukkan esen vanilla dan    sunquick oren.
4. Perlahan-lahan masukkan bancuhan tepung dan pukul lagi. Matikan mixer dan gunakan sudip untuk    langkah seterusnya.
5. Masukkan parutan karet dan kacang, kacau sebati.
7. Siap untuk dibakar dalam api 180c selama 30-35 minit.

Bahan-bahan cream cheese

250gm cream cheese (saya guna tartura cheese)
30gm butter
1 sudu besar perahan lemon @ lime-cam biasa la, saya gunakan sunquick
1 sudu besar esen vanilla
1 sudu besar susu segar
100gm gula ising
  1. Pukul hingga kembang cream cheese dan butter. 
  2. Masukkan gula dan semua bahan lain. 
  3. Siap untuk disapukan atas kek yang sudah disejukkan.
  4. Siap!!

Wednesday, 5 June 2013

Nasi Ayam

Macam-macam cara memasak nasi ayam ni. Saya sendiripun kadang-kadang menggunakan cara yang berbeza-beza ketika memasak nasi ayam ni, tapi cara yang saya tunjukkan ini adalah yang paling saya dan anak-anak suka.

Bahan-bahan utama;

1 ekor ayam dipotong empat-bersihkan dan toskan.(organ serta kaki ayam juga dibersihkan bersama-sama)
Air secukupnya untuk memasak nasi dan juga sup.
4 ulas bawang putih-ketuk
1/2 inci halia-ketuk
Garam secukupnya.

Cara-caranya;
  1. Rebus ayam dengan organ dalam serta kakinya bersama-sama dengan bawang putih dan halia.
  2. Rebus hingga ayam empuk.
  3. Toskan 4 keping ayam tadi.
  4. Gunakan air rebusan untuk memasak nasi seperti di bawah ini.

Untuk Nasi;

3 pot beras dibersihkan dan ditoskan.
1 genggam beras pulut dicampur dalam beras biasa tadi- tidak perlu masukkan jika gunakan beras wangi.
3 1/2 @ 4 pot air rebusan ayam- bergantung kepada beras yang digunakan di rumah.
1 labu bawang besar-mayang nipis
2 ulas bawang putih-mayang nipis
1/2 inci halia-hiris halus
3 kuntum cengkih
1/2 inci kulit kayu manis
1 kuntum bunga lawang
3 biji buah pelaga
1 helai daun pandan dikoyak dan disimpulkan
3 sudu mentega/margarin
Sedikit minya masak-untuk elakkan mentega hangus.
1 sudu minyak bijan-optional (lebih sedap kalau letak)

Cara memasak nasi;
  1. Masukkan minyak dan mentega ke dalam periuk.
  2. Masukkan bawang putih, bawang merah dan halia, kacau hingga layu.
  3. Masukkan rempah cengkih, kayu manis, lawang dan pelaga, tumis lagi.
  4. Masukkan daun pandan bersama-sama beras yang telah ditoskan, kacau hingga sebati-goreng sekejap.
  5. Masukkan air rebusan ayam tadi, minyak bijan dan sedikit pewarna jika suka.
  6. Masak hingga nasi masak.
  7. * Garam boleh dimasukkan jika suka nasi yg agak masin.

Untuk Ayam;

4 keping ayam yang telah direbus tadi.
Sedikit sos tiram
Kicap masin
Sedikit madu jika suka-saya tak letak
Sedikit serbuk lada hitam jika suka-saya tak letak

Cara-caranya;
  1. Lumurkan ayam dengan sos tiram dan kicap. Biarkan sebentar.
  2. Goreng hingga garing. Siap (Sekejap sahaja menggorengnya kerana ayam telah masak dan cepat hangus kerana disalut kicap dan sos tiram)
  3. Potong kecik dan hidangkan.

Untuk sambal cili;

10 biji cili padi merah
3 biji cili merah besar
1 biji buah tomato
1/2 inci halia
3 ulas bawang putih
1 sudu garam
3 sudu gula
Cuka secukupnya.

Cara-caranya;
  1. Mesin semua bahan kecuali cuka hingga lumat dengan sedikit air.(nak mesin bersama pun boleh).
  2. Masukkan dalam periuk, masukkan cuka.
  3. Masak hingga menggelegak, sambil itu rasakan masam, masin dan manisnya. Siap.
Untuk sos kicapnya;

Air rebusan ayam secukupnya
Kicap masin secukupnya

Caranya;
  1. Masukkan kicap ke dalam air rebusan ayam. Kacau. Siap.
 
 Untuk supnya;

Bahan-bahannya;

Baki air rebusan ayam beserta organ dan kaki ayam tadi.
Rempah sup secukupnya
Sedikit lada hitam.
Daun sup.
Bawang goreng
Cili padi
Asam limau nipis.

Cara-caranya:
  1. Panaskan semula air rebusan ayam tadi.
  2. Masukkan rempah sup dan lada hitam.
  3. Masak hingga menggelegak. Rasakan masinnya, jika perlu tambah garam. Siap!.
  4. Hidangkan dengan hirisan daun sup, bawang goreng dan cili padi serta diperahkan sedikit asam limau..done, so easy hehe.




Untuk hiasan:

Daun salad
Timun
Tomato


  1.  Basuh bersih dan toskan.
  2. Potong ikut suka.
  3. Hidangkan bersama dengan ayam dan nasi..siap!!!
Selamat menjamu selera :-)

Kerabu Buah Gajus @ Ketereh

Alhamdulillah, kembali bersiaran selepas hampir seminggu bercuti di kampung..seronoknya hanya Allah yang tahu. Alhamdulillah Mek dan Mak mertua sihat walafiat, semoga mereka terus diberi kesihatan dan juga usia yang penuh keberkatan..aminn.

Selepas 3 malam di rumah mertua kami teruskan percutian di rumah mek pula. Sampai-sampai je tengok Mek tengah mengait buah gajus di belakang rumah. Adalah 4 biji ni sisa dimakan tupai. Langkah kanan betul saya. Dah lama berniat nak buatkan kerabu buah gajus kegemaran arwah nenek ni. Malangnya tak pernah pulak terjumpa dengan buah gajus yang dijual di pasar. Apa lagi, walaupun hanya 4 biji kecik2 ni, misi akan ku teruskan jua hahahahhaha..
hero dalam misi ini ialah buah gajus yang cedera ni 

.
.
.
.
.
.
.
.
dan ini heroinnya..nenas (wajib ada)
Bahan-bahannya ialah;

4 biji buah gajus- dihiris nipis dan perahkan sedikit buang air pahitnya.
1/2 buah nenas- dicincang panjang-panjang
2 ulas bawang merah
6-8 ulas lada hitam
Gula
Garam
Cili api dan bawang merah hiris untuk hiasan.


Cara membuatnya;
  1. Sediakan hirisan gajus dan nenas dahulu. Masukkan ke dalam mangkuk besar.
  2. Tumbuk bawang merah dengan lada hitam hingga lumat.
  3. Masukkan kedalam hirisan buah tadi.
  4. Masukkan juga gula, garam, bawamg merah hiris dan cili padi.
  5. Gaul mesra. Rasakan masam, masin dan manisnya biar sekata.
  6. Siap.
.
.
.
.
.
.
.
.

.
.
.
.
.
.
.


Ini hidangan turun temurun daripada beliau. Akhirnya saya berjaya membuatnya selepas puluhan tahun tidak pernah dihidangkan. Hampir menangis semasa menikmatinya bersama-sama dengan mek dan abang saya yang kebetulan juga balik bercuti..sama-sama mengimbau kembali kenangan bersama-sama arwah menyediakan kerabu mudah tapi sungguh istimewa ini........ Al Fatihah.

Saturday, 25 May 2013

Gulai Ikan Talang Masin dengan Nanas

Yang ini gambar lama. Malam ni baru sempat upload. Masak gulai ikan talang masin. Masakan yang mudah sahaja tapi sungguh menyelerakan apatah lagi kalau dimakan keesokkan hari. Lagi ada umpphh. Jom kita tengok cara dan bahan-bahannya.

Bahan-bahannya;
Ikan Talang masin secukupnya
Buah nenas yang belum masak-dipotong ikut suka, saya suka hiris nipis.
Santan secukupnya- jangan lemak sangat.
3-4 ulas bawang merah
2-3 biji cili kering jika suka- boleh guna cili padi kalau nak pedas
1 inci kunyit hidup-boleh guna serbuk kunyit jika suka
1 inci lengkuas
Segenggam ikan bilis
Asam keping - hanya guna jika kuahnya masih belum masam walaupun telah dibubuh nenas.
Garam
Gula

Cara-caranya;
  1. Masukkan santan ke dalam periuk.
  2. Mesin lumat bawang, cili, kunyit, lengkuas dan ikan bilis.
  3. Masukkan dalam santan. Masak sambil dikacau dengan api perlahan.
  4. Masukkan nenas hiris. Kacau hingga menggelegak.
  5. Masukkan ikan talang. Kalau kurang masam boleh masukkan asam keping.
  6. Kacau hingga menggelegak sekali lagi dan rasakan masam, masin dan manisnya. 
  7. Siap.



Sambal Goreng Ikan Bilis

Alamak, hari ni memang semua lauk yang saya masak mengikut selera anak tekak sendiri hahahah..nasiblah labu..redha je lah anak-anak dan suamiku..makan je apa yang mama masak hari ni..cuti masih panjang banyak lagi masa untuk mama masakkan makanan kegemaran anda semua..hari ni kita sama-sama menikmati makanan kegemaran mama yang penuh nostalgia hahaha.

Bahan-bahannya;
1 mangkuk ikan bilis- goreng hingga garing, ketepikan.
10 biji cili kering
5-7 ulas bawang merah
Segenggam ikan bilis
Garam
Gula
Petai jika suka.

Cara-caranya;
  1. Mesin lumat cili kering, bawang merah dan ikan bilis.
  2. Tumis dengan minyak lebihan menggoreng ikan bilis tadi. Masukkan gula dan garam.
  3. Tumis sehingga airnya kering iaitu hanya tinggal minyak yang menggoreng bahan mesin tadi (bahan tumis macam berbuih-buih dan garing)
  4. Masukkan ikan bilis dan petai. 
  5. Kacau sebati terus tutup api.
  6. Siap.
*Sambal ini selalu kami bawa sebagai bekal kalau ke luar negeri. Tapi tak bubuh petai la. Oleh kerana sambalnya digoreng garing ia lebih tahan lama dan semakin lama semakin sedap. Pek kecik2 dalam beg plastik untuk elakkan minyaknya keluar dan tumpah di dalam bagasi. Makan dengan roti ..uuuhhhh sedap sekali.

Daging Goreng (2)

Alang-alang pergi pasar malam, bolehlah beli sekali daging tempatan segar. Paling sedap kalau digoreng kunyit yang simple. Cara-caranya boleh tengok kat sini.Daging goreng kunyit dengan sayur lemak rebung, memang cun sekali padanan tu..jom.... makan!!!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...