Sunday, 9 December 2012

Sambal Goreng Tempe, Ikan Bilis dan Petai


Snap gambar cepat-cepat...ada orang tengah lapar, sabar ye hehehe
  

Bahan-bahannya;
2 keping tempe-dipotong nipis
1 mangkuk ikan bilis
-kedua-dua bahan ini digoreng garing.

6-8 ulas bawang merah
1 mangkuk kecil cili kering potong, rendam dalam air panas
1 genggam ikan bilis
-bahan ini dimesin lumat

2 keping petai di kupas bijinya.
sedikit air asam jawa
Sedikit kicap manis
garam
gula

Cara-cara memasaknya;
1. Panaskan minyak-agak banyak (minyak lebih goreng tempe dan ikan bilis tadi)
2. Tumiskan bahan mesin, gula dan asam jawa.
3. Rasakan ikan bilis goreng tadi, jika ikan bilis sedia  masin hanya masukkan sedikit sahaja garam ke dalam tumisan.
4. Goreng/tumis hingga garing (warna bertukar sedikit gelap, ada buih-buih minyak dan cili nampak kerinting)
5. Masukkan sedikit kicap manis.
6. Masukkan petai. Kacau.
7. Tutup api, masukkan ikan bilis dan tempe goreng, kacau sebati. Siap.

Yang ni versi ada kacang tanah goreng

 

Sayur Lemak Batang Keladi

Hidangan mengimbau kenangan lama..
 
Hari ini abang nombor dua nak datang ke rumah. Dia outstation di Kelang so ada peluang datang menziarah kami di Kajang ni. Pikir-pikir nak masak apa tengah hari ni, pi kedai Acheh dok intai-intai apa yang nak beli. Kejap pegang kepala ikan Merah, macam nak buat kari..kejap-kejap pegang daging, macam nak masak gulai kawah......tup-tup terpandang sayur keladi .... memang tahu abang saya sukakan sayur lemak keladi..bukan apa, ni masakan asasi kami masa kecil-kecil dulu. Untuk temankan sayur lemak keladi tu saya masakkan sekali sambal goreng tempe ikan bilis dan petai, ulam petai rebus, pucuk selasih dan nangka muda celur, siakap tiga rasa dan pelengkapnya budu tempoyak..memang terangkat habis..hehehe.
 
Masak sayur keladi atau gulai keladi ni memang simple, sesuai untuk dewasa mahupun kanak-kanak sebab tidak pedas....banyak betul Si bongsu saya Zikry makan nasi tadi...hehe.Ok, kita tengok resepinya.
 
Bahan-bahannya:
2 batang sayur keladi
   - siang/buang kulit arinya, potong dan masukkan terus ke dalam air garam
   - basuh   bersih.
   - celur sekejap bersama-sama dengan 3 keping asam dan sedikit garam (sekali menggelegak shj)
   - toskan, jangan dibuang asam kepingnya.
 
1 biji kelapa (ambil lebih kurang 3 mangkuk santan)
 
Mesin/tumbuk lumat;
3 ulas bawang merah
1 inci kunyit hidup
1 inci lengkuas
1 genggam ikan bilis
Mesinkan/tumbuk
 
6-7 ekor udang dibersihkan-jangan buang kulit
 
Cara-cara memasaknya;
1. Masukkan bahan mesin/tumbuk dalam santan. Masukkan bersama garam dan gula.
2. Hidupkan api dan kacau hingga menggelegak. Jangan berhenti kacau nanti santan berketul.
3. Masukkan udang. Kacau hingga menggelagak lagi.
4. Masukkan keladi dan asam keping  yang telah dicelur tadi. Perisakan secukup rasa. Kacau sekejap.
5. Siap.
 

Saturday, 8 December 2012

Pulut Kuning

Bahan-banhannya;

1 kg beras pulut- basuh bersih.
Rendam bersama-sama pewarna kuning atau kunyit dan sekeping asam lebih kurang 1-2 jam.

1 1/2 biji kelapa.
Kali pertama perah tanpa memasukkan air-ambil pati
Kali kedua masukkan setengah cawan air-ambil santan pekatnya.
(Campur kedua-duanya lebih kurang 1 1/2 mangkuk santan)
Sesudu kecil garam dan sedikit gula jika suka. Masukkan dalam santan tadi.
* saya tidak masukkan gula kerana santanpun sedia manis.

Cara-cara;
1. Kukus kali pertama pulut.
2. Tunggu sehingga naik wap sebentar.
3. Keluarkan pulut dan dengan segera gaul dengan santan tadi hingga sebati.
4. Kukus semula kali kedua hingga naik wap agak lama.
5. keluarkan pulut dan gaul lagi semasa panas-panas untuk sebatikan pulut serta membuat pulut berkilat.
6. Siap. Boleh dihidangkan dengan rendang, kuzi, telur dadar hiris atau tumis ikan bilis..waduuuuhhh!!

Hari ni saya hidangkan pulut kuning dengan rendang lebih semalam..makin sedap rupanya rendang tu hari ni..hehehe



 




Spaghetti Bolognaise



Anak saya boleh makan ni sehari suntuk..tak payah makan nasi hehehe
 
Resepi kegemaran anak-anak dan suami. Yang dah biasa makan spaghetti saya ni selalu bertanya cara memasaknya sebab kata mereka sangat sedap. Alhamdulillah, sebenarnya saya sangat segan nak bagitahu resepinya..bukan apa, cara memasaknya dah di oter bagi nak menyesuaikan dengan anak-anak tekak kelantan pure kat rumah ..hehehe.

Adoi laa, harap-harap jangan ada yang komplen la bila baca resepi ni....yang nak cuba dipersilakan dan yang rasa pelik..abaikanlah resepi ni..heheheeh

Bahan-bahan kuahnya; (untuk sepeket pasta)

1 tin Prego tin hijau (Mushroom)
1 tin Prego tin merah(tradisional)
1 labu bawang besar kuning-didadu
2 ulas bawang putih-didadu
2 biji buah tomato tang besar-didadu
2 helai daun bay
1 sudu besar serbuk cili/kalau ada boleh letak paprika-kadang-kadang saya campur
2 keping dada ayam-dicincang/ daging
1 tin cendawan butang/1 peket shitake segar
2 - 3 tangkai daun parsley (chinese parsley atau italian parsley)-hiris halus
1 sudu serbuk oregano
1 sudu serbuk rempah bolognaise -optional (tak bubuhpun tak apa)
Garam, gula.

Cara memasaknya;
Panaskan minyak zaiton.
Masukkan bawang besar, bawang putih dan serbuk cili. Tumis sampai layu.
Masukkan buah tomato. Tumis sampai hancur.
Masukkan daging ayam, daun bay, rempah bolognaise-tumis sampai ayam 3/4 masak @ air ayam kering.
Masukkan sos Prego. Setiap tin dicuci dengan separuh tin air-masukkan balik air tadi ke dalam kuah- maksudnya kuahnya terdiri daripada 2 tin sos dan 1 tin air.
Kacau hingga menggelegak.
Masukkan cendawan, daun parsley, serbuk oregano, garam dan gula secukup rasa.
Dah masakkkk!!!
tadaaa!!!

Senangkan? Selamat mencuba!!
Bolognaise ala kelate...nyum..nyumm!!!


Friday, 7 December 2012

Masak Tempoyak Kepala Ikan Merah


Walaupun saya orang kelate namun sangat sukakan masakan tempoyak tak kiralah yang air atau yang guna santan..lagi pedas lagi bagus...hehe

Tapi saya tak tahulah sama ke tidak dengan resepi original. Ni cara  yang saya belajar dengan kawan sekolah iaitu Puan Zilawati yang berasal dari Perak..Terima kasih yer di atas tunjuk ajar yang diberi kalau tidak silap pada tahun 2003..hehehe dah lama tu..bayangkan dah berapa kali saya memasak menggunakan cara beliau..semoga mendapat ganjaran pahala yang tidak putus-putus..insyaAllah.

Disebabkan orang-orang di rumah saya tidak makan ikan sungai maka selalunya saya gunakan kepala ikan Merah atau ikan Tenggiri.

Bahan-bahannya;
1 biji kepala Ikan Merah yang besar.
2 inci kunyit hidup
10 biji cili padi
2 batang serai diketuk
3 sudu besar tempoyak
garam dan gula
Asam keping jika diperlukan (jika tempoyak belum masam).

* jika suka boleh tambah bunga kantan, daun kesum, buah timun, buah belimbing buluh, labu air dan lain-lain sayur yang ada.
*pesan Puan Zila jika nak rasa yang pure jangan masukkan bunga kantan dan kesum kerana akan meneggelamkan bau tempoyak dan serai...memang betul sebab itu saya jarang masukkan kedua-duanya.
* dalam gambar tu saya masukkan bunga kantan yang masih ada lebih buat laksa..hehehe, ore kelate kata daripada membazir baik membatil...

Cara-cara memasaknya;
1. Tumbuk kunyit dengan cili api hingga lumat.
2. Masukkan tempoyak dalam lesung, guling-gulingkan alu hingga semua bahan sebati.
3. Masukkan dalam periuk yang berisi ikan.
4. Masukkan air ke dalam lesung, pusing-pusing alu untuk keluarkan sambal yang lebih dan terus masukkan dalam periuk.
5. Tambah air secukupnya untuk kuah.
6. Masukkan serai yang telah diketuk.
7. Hampir menggelegak boleh rasa kuah. tambahkan garam, gula dan sedikit aji jika suka. Sekiranya tempoyak baru dan belum masam, perlu masukkan asam keping.
8. Masak hingga menggelegak. Siap.


Laksa Penang

Resepi ini untuk dua peket laksa bungkus jenama Twenty yang boleh dibeli di Tesco.


Bahan-bahan kuah;

1/2 kg ikan selayang/sardin-direbus dengan 5 keping asam dan garam.
           -isi ikan di asingkan dengan tulang dan diblend
           -tulang ikan juga diblend dan tapis ambil airnya
           -air rebusan ditapis dan dimasukkan dalam kuah.

10 ulas bawang kecil
2 ulas bawang putih
1 batang sulur kantan
5-7 biji cili kering
20 biji cili padi-boleh tambah boleh kurang..ikut selera
3 inci belacan
--- semua bahan di atas diblend hingga lumat---
1 tin ikan sardin Ayam Brand- masukkan terus bersama kuahnya tidak perlu diblend
5-7 asam keping
Garam secukup rasa
Sedikit ajinomoto-optional
Bunga Kantan
Daum Kesum
Air secukupnya

Cara-cara;
1. Masukkan semua bahan di atas ke dalam periuk yang besar- tambahkan air secukupnya dan rebus.
2. Perisakan mengikut selera.
3. Hidangkan dengan ulam timun, daun salad, hirisan nenas, cili potong, bawang merah besar potong, asam limau kasturi dan daun mint kalau suka.
4. Ada orang suka masukkan petis dalam kuah ataupun semasa menghidang- saya tidak suka.
5. Siap!!!

Masak jangan tak masak yer..hehehe



Kerutuk Daging dan Ayam


Satu perasaan lega dapat saya rasakan bila saya mula mengumpul resepi-resepi yang dah lama terkumpul di dalam buku resepi ke dalam blog tersayang ni. Rasa lebih selamat dan senang diakses . Maklumlah buku resepi ada risiko hilang dan rosak berbanding dengan blog ni insyaAllah. Sudah ada dua tiga buah buku resepi yang sentiasa saya bawa walau ke mana saya pergi berjalan terutama sekali bila balik kampung. Sentiasa mencatat semua jenis masakan dan makanan baru atau sukar ditemui yang saya nikmati dan saya pula jenis muka tidak malu untuk bertanya cara bagaimana masakan di disediakan..hehehe

Resepi hari ni merupakan menu kebanggaan orang-orang kelate. Tetapi macam biasalah ada pelbagai versi ramuan dan juga cara memasak. Apa yang saya tulis ini merupakan versi keluarga saya yang mudah dan ringkas. Mek saya lebih gemar memasak kerutuk itik serati berbanding dengan daging. Sedap dimakan dengan nasi panas-panas, pulut kuning ataupun roti jala atau roti biasa. jom kita tengok bahan-bahannya.

Bahan-bahan;

1 kg daging potong besar (kalau guna rempah kurma akan dipanggil daging buku besar yang dihidangkan semasa kenduri)
atau seekor ayam potong empat

1 biji kelapa ambil santan secukupnya
1/2 biji kelapa dibuat kerisek/ boleh beli yang ready made
1 peket rempah kerutuk/ 3-4 sudu rempah kerutuk-bancuh dengan air panas
Rempah 4 sekawan secukupnya-cengkih, lawang, pelaga dan bunga lawang
5-7 biji cili kering
10 ulas bawang merah
4 ulas bawang putih
Seinci halia
Seinci lengkuas diketuk
1 batang serai diketuk
Gula melaka/gula
Garam
Sedikit air asam jawa


Cara-cara.
1. Sediakan bahan tumis:
- rempah kasar 4 sekawan
-2 ulas bawang merah dimayang
-2 ulas bawang putih dimayang
-sedikit halia dimayang

2. Bahan lain selebihnya dimesin (bawang, cili kering, halia)

3. Panaskan minyak. Masukkan no. 1, tumis hingga wangi. Masukkan bahan no.2, kacau hingga naik minyak.
4. Masukkan rempah kerutuk, tumis hingga naik minyak sambil masukkan serai dan lengkuas ketuk, garam, gula, kerisek dan air asam jawa.
5. Masukkan daging/ayam dan kacau hingga keluar air daging.
6. Masukkan santan.
7. Masakkan sambil dikacau sekali sekala sehingga santan pekat seperti di dalam gambar di atas.

Dah siap..senang je, jangan kecut perut tengok langkah-langkah tu hehehe. Macam kita masak kari je kan?.

Kalau tak ada rempah kerutuk macam mana? Boleh cuba guna rempah kari daging tapi ditambah dengan ketumbar dan jintan manis yang telah disangai. InsyaAllah bolehhh.

Selamat mencuba yer..
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...