Tuesday, 22 May 2018

Nasi Kerabu Sedap



Assalamualaikum dan salam sejahtera. Ramadhan ke enam hari ini. Semoga kita semua dapat mengerjakan ibadah berpuasa dengan lebih baik dan sempurna. Ibu-ibu mungkin sibuk menyusun dan merancang menu untuk keluarga, walaupun nampak remeh tetapi sebenarnya tidaklah semudah yang disangka. Citarasa suami dan anak-anak mahupun citarasa isteri berbeza-beza dan cuba dipenuhi walaupun tidak serentak. Bergilir-gilir menentukan menu harian adalah lebih adil kan. Yang penting jangan berlebih-lebihan, jangan membazir dan pilihlah menu yang sihat untuk keluarga tersayang.

Semalam CIk Wan masak nasi kerabu biru bunga telang. Resepi dah banyak Cik Wan kongsikan detail di dalam entri yang lepas-lepas. Semalam Cik Wan sediakan daging bakar, ikan celup tepung , telur masin dan keropok untuk lauk nasi kerabu. Cik Wan hanya gunakan air lada dan budu dan tiada tumis. Sebenarnya, nasi kerabu biru tak perlukan tumis, cukup dengan air lada dan budu sahaja.

Ulam pula Cik Wan gunakan daun kunyit, daun kesum, kacang panjang, timun, bunga kantan dan kubis sahaja. Memang menyelerakan sekali.


Nasi kerabu ni salah satu menu sihat yang boleh diamalkan. Bila makan nasi kerabu, porsi nasi biasanya akan kecil sahaja kerana lebih banyak makan ulam-ulaman dan lauk. Cuma hati-hati dengan telur masin serta budu..hehehe. Elakkan atau kurangkan makanan masin ya. Boleh menyebabkan penyakit jantung dan darah tinggi.

Okay...selamat mencuba dan semoga terus sihat sepanjang Ramadhan ini. Salam sayang daripada Cik Wan @Cikgu Wan.

Sunday, 20 May 2018

Kengsom Siakap Sihat


Assalamualaikum.

Ini salah satu lagi menu sihat Cik Wan ya. Orang tak diet pun suka makan ni. Boleh buat banyak-banyak terus. Bukan kita sahaja dapat manafaat makan makanan sihat tapi seluruh ahli keluarga yang kita sayang.

Bahan-bahannya:

1 ekor siakap- dibersihkan dipotong
Buah betik muda secukupnya-Cik Wan tak ada betik muda, letak je yang hampir masak
Kangkung-jika suka


Untuk bahan rempahnya:

1 inci kunyit hidup
4 ulas bawang putih
2 ulas bawang merah kecil
3-4 biji cili padi- boleh tambah/kurang
1/2 sudu kecil belacan-boleh tambah/kurang
Garam secukupnya
1-2  biji limau nipis ambik jusnya- lihat saiznya
Air secukupnya untuk kuah

Untuk portion ni, Cik Wan dah tak ambil nasi ya..kenyang, alhamdulillah. Ini dah cukup seimbang.


Cara menyediakannya:


  1. Blend semua bahan rempah kecuali air limau nipis dan garam.
  2. Masukkan ke dalam periuk bersama air untuk kuah.
  3. Hidupkan api dan kacau- masukkan hirisan betik.
  4. Masukkan garam, biar menggelegak.
  5. Masukkan ikan- kacau perlahan jangan sampai ikan pecah
  6. Bila hampir masak masukkan kangkung.
  7. Tutup api, masukkan air limau nipis. 
  8. Siap.
Selamat mencuba..salam sayang daripada Cik Wan@ Cikgu Wan




Ikan Bakar dan Air Asam Sihat



Assalamualaikum dan salam Ramadhan ke - empat hari ini. Semoga kita semua sihat hendaknya..in sya Allah.

Hari ini Cik Wan kongsikan antara menu sihat yang Cik Wan sedang amalkan sekarang. Ikan Bakar dengan Air Asam Sihat. Untuk pengetahun semua, Cik Wan sekarang lebih slim (tak nak guna perkataan kurus heheh) dan badan rasa lebih sihat. Alhamdulillah. Rasa lebih ringan dan lebih mudah memilih pakaian tidak risau ketat dan nampak bentuk badan. Berat Cik Wan turun lebih 10kg dalam masa 3 bulan amalkan pemakanan sihat. Terima kasih kepada coaches Cik Wan yang sentiasa membantu tanpa jemu. Boleh follow ig coachismailayu kalau ada yang berminat ye hehehe. Chewahhh..promote sikit. Tak caya tengok gambar kat bawah ni hehehe.


Dua gambar kat bawah ni ialah selepas turun lebih 10 kg. Seronok dapat pakai baju2 lama hehee. Baju kurung oren tu dah 8 tahun tak pakai, sempat pakai sekali dua saja..dok terperap dalam almari sebab tak muat. Simpan kot2 anak2 dara nak pakai..macam mimpi je bila boleh pakai balik, nothing is imposibble kan?.


Apa lagi? Nak kurus sihat masa raya nanti kan? jom kita amalkan pemakanan sihat sepanjang Ramadhan ni.



Jangan lupa resepi ikan bakar ni hahaha..

Ikan bakar:
Ikan tongkol kecik- basuh bersih, rendam dengan air asam jawa atau asam limau nipis. Kemudian bakar tawar sahaja. (boleh pilih ikan lain- kalau dah try ikan tongkol ni, memang taknak yang lain dah)

Air Asam Sihat:

2 biji cili api- suka pedas boleh tambah lagi
1 tangkai daun ketumbar
1 ulas bwang putih
1/2 biji tomato @ 5 biji tomato untuk rasa yang lebih manis
1/2 biji limau nipis
Sedikit garam.

Tumbuk/blend semua bahan. Siap!.


Hidangkan dengan ulam-ulaman dan segenggam nasi parboile atau beras perang atau beras perang Thai yang Cik Wan guna dalam gambar ni. Selamat mencuba.

Salam sayang dari Cik Wan @ Cikgu Wan.

**** resepi sihat tiada gula ya. Manis natural dari tomato @ kalau suka bawang merah.

Saturday, 19 May 2018

Butter Prawn yang lazat



Asalamualaikum dan salam Ramadhan..hari ketiga hari ini. Apa khabar? Semoga terus sihat dan ceria hendaknya. Jom kita sama-sama belajar masak udang mentega cara Cik Wan.

Bahan-bahannya:

Udangnya,

15 ekor udang. Belah belakang buang urat najisnya (devein) dan toskan  kering.
Perap dengan garam dan lada sulah.


Sarang telur/egg floss,

4 biji telur kuning
Secubit garam
Sedikit lada sulah
Minyak untuk menggoreng- agak banyak dan mesti guna kuali yang besar, kalau tak minyaknya akan melimpah keluar.
senduk-untuk kacau kuning telur dalam kuali nanti

Cara-cara;

Langkah 1: sediakan egg floss dulu.
  1. Pukul telur kuning bersama garam dan lada sulah dalam mangkuk kecil.
  2. Panaskan minyak.
  3. Tangan kiri pegang mangkuk berisi telur, tangan kanan pegang senduk, sedia untuk menggoreng.
  4. Angkat tinggi sedikit mangkuk yang berisi telur kuning, sambil kacau dulu minyak secara bulatan tanpa henti, baru tuangkan telur secara halus jatuhannya ke dalam minyak hingga habis.
  5. Kacau dengan arah yang sama tanpa henti.
  6. Bila masak, minyak akan berbuih dan telur akan garing. 
  7. Jika suka warna agak kekuningan goreng sebentar sahaja tapi saya suka warna agak perang.
  8. Ambil senduk dan penapis santan/besi.
  9. Tuang semua telur ke dalam penapis santan beralaskan bekas lain dan toskan.

Langkah ke-2: 
  1. Menggunakan minyak yang sama , goreng pula udang hingga garing.
  2. Siap, toskan kering.

Langkah ke-3: Menyediakan butter prawn.

Bahan-bahan 

Udang yang digoreng garing.
Sarang telur/egg floss

2 sudu mentega
2 sudu minyak masak-untuk elakkan mentega hangus
2 biji cili padi-potong
1 tangkai daun kari
1/4 cawan susu segar-kalau mahu berkuah, boleh tambahkan susu
Secubit dua gula.

Cara-caranya;
  1. Cairkan mentega dan minyak.
  2. Kacau.
  3. Masukkan daun kari dan cili padi yang dipotong.Kacau lagi.
  4. Masukkan susu. Kacau hingga berbuih/menggelegak.
  5. Masukkan udang dan separuh sarang telur/egg floss. Kacau sebati.
  6. Taburkan sedikit gula.
  7. Boleh angkat dan masukkan dalam pinggan hidangan. Taburkan dengan lebihan sarang telur/egg floss. Siap.
  8. Sedap ratah macam tu saja...



Siap..as easy as 1,2,3...hehehehe. Selamat mencuba. 

Salam sayang dari Cik Wan akak Cikgu Wan.

Thursday, 17 May 2018

Selamat Menyambut Ramadhan



Assalamualaikum dan salam Ramadhan.

Selamat berpuasa Cik Wan ucapkan kepada semua sahabat Cik Wan Kitchen. Semoga kita semua sihat dan dapat menjalani ibadah puasa yang berkualiti, lebih baik daripada Ramadhan2 sebelum ini.

Jaga diri, jaga kesihatan..rancang aktiviti dan perbelanjaan di dapur agar tidak berlebihan dan menyebabkan pembaziran. Berpada-pada jika membeli belah di bazar Ramadhan dan masak sendiri adalah lebih baik.

Masak lebih sedikit agar dapat dikongsi dengan jiran tetangga..orang berbudi kita berbahasa, orang memberi kita merasa.

Jangan lupa bersahur dan makanlah makanan yang sihat demi kesihatan yang baik.

Salam sayang dari Cik Wan.


Saturday, 3 March 2018

Azam 2018


Assalamualaikum dan salam sejahtera. Lama betul Cik Wan tak update blog. Bizi manjang. Hari ni Cik Wan nak share sesuatu. Target Cik Wan tahun 2018 hehehe. Hidup kena ada targetkan? Sedikit atau banyak bergantung kepada keperluan masing-masing. Target atau sasaran fizikal dan  spiritual bagi tahun 2018. Mudah-mudahan hidup kita lebih berfokus dan bermakna.

Cik Wan berazam untuk turun berat badan pada tahun ini. Maklumlah bila dah berusia macam-macam penyakit akan muncul. Harapan Cik Wan ibarat pepatah "prevention is better dan cure". Jaga badan untuk elakkan penyakit family Cik Wan iaitu kencing manis dan darah tinggi. Cik Wan belum ada tanda-tanda penyakit itu lagi tetapi risau juga bila dah nak masuk 50an ni. Tapi Cik Wan bukan sekadar nak kurus tau...nak kurus sihat gitu. In sya Allah..doakan Cik Wan ya.

Cik Wan ada mengikuti satu program kurus sihat. Alhamdulillah bermula 5 Februari dan baru selesai sesi pertama pada 1 Mac semalam. Cik Wan berjaya turunkan berat badan exactly 5.0kg. Surprise tak? Cik Wan pun tak sangka..sambil makan boleh kurus hehehehe. Makan dan bersenam sekurang-kurangkan 15 minit sehari. Sekarang Cik Wan akan teruskan lagi ke sesi kedua untuk mencapai berat badan ideal. Sesi kedua ni agak sukar kerana kita kena turunkan berat badan dengan mengeluarkan/menghilangkan lemak2 tepu dalam badan. Sesi pertama agak mudah kerana proses detox mengeluarkan air berlebihan dalam badan. Lemak2 yang tersembunyi di sekeliling organ dan di bawah kulit ni agak payah nak diuruskan hehehehe...ye lah..bertahun2 dok jaga dok bela dia sampai tebal..:)

Nanti  Cik Wan sharekan menu2 makanan yang Cik Wan ambil sepanjang bulan Februari ni. Untuk permulaan boleh tengok beberapa menu ni dahulu ya..

Omelette denga roti whole meal

Ikan dori panggang, ulam dan sambal belacan

Omelette bersayur


Aglio Olio fetuchini

Tom Yam Seafood

Grilled Salmon dan ulam


Chicken breast sandwich
Steam Salmon bersayur


Kengsom Siakap
Alhamdulillah...sebenarnya banyak lagi gambar2 menu yang Cik Wan ambik...nanti kalau ada masa Cik Wan sertakan dengan resepi sihat sekali ya. Jom!!!! kita sama2 kurus, langsing dan ramping cara sihat..

Wassalam.

Wednesday, 31 January 2018

Ikan Tongkol Bakar dengan Cicah Air Asam


Assalamualikum dan salam sejahtera.
Tak kenal maka tak cinta. Ramai yang tidak biasa makan ikan tongkol bakar. Ikan Tongkol yang kecik2 tu..bukan ikan tongkol besar yang biasa buat gulai nasi dagang dan nasi berlauk tu. Isinya putih dan rasanya lembut manis. Cicah pulak air asam..Allahuakbar!!! memang sedap sungguhlah rasanya. Bagi Cik Wan lebih sedap daripada ikan jeket/cencaru dan ikan kembung.

Caranya mudah sahaja. Basuh bersih, rendam dengan air yang bercampur cuka/asam jawa sebentar. Bilas dan panggang.


Cicahlah dengan air asam atau sambal kicap atau sambal belacan atau budu..pergghhh. Kena pulak ada ulam-ulam kampung dan nasi panas2..adoi..terlajak tambah...gemuk la jawabnya hihihi.

Resepi untuk air asam :

Bahan-bahannya:

6 biji cili padi
4 biji cili merah besar
1 biji tomato-belah 4
2 sudu besar asam jawa- bancuh dengan air masak dalam 1/2 mangkuk kecil
2 sudu kecil garam
2 sudu besar gula
Sedikit belacan
1/2 sudu kecil ajinomoto jika suka
*semua bahan di atas diblend.

1 biji tomato
1 labu bawang besar
*hiris nipis dan ramas2.
  1. Masukkan air asam yang telah diblend ke dalam mangkuk.
  2. Tambahkan dengan tomato dan bawang yang telah diramas tadi
  3. Kacau sebati
  4. Tambahkan dengan sedikit perahan air limau nipis....siap.
Selamat mencuba...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...