Saturday, 1 January 2022

2021 yang menyakitkan (Pt.02)

 01/01/2020

Seperti setiap tahun, saya dan anak-anak akan memasak hidangan istimewa bagi menyambut hari ulangtahun Mr A. 

Kali ini saya menyediakan hidangan Nasi Kerabu, siap dengan ayam bakar dan juga kek. Disebabkan PKP kami hanya menyambutnya anak-beranak, tanpa menjemput keluarga yang lain. Bersemangat sungguh anak-anak, siap setting ambil gambar keluarga. Cukup semuanya, 6 orang ahli keluarga kami. Allahu!! rupa-rupanya, ini adalah gambar keluarga kami yang terakhir bersama Mr. A. 

Sepanjang Januari, berat badan Mr A makin susut dan beliau tidak berselera makan. Kadang-kadang beliau akan demam pd waktu malam. Tapi dalam kesibukan dan tidak sedap badan tu, beliau tidak pernah missed menghantar dan menjemput saya dari sekolah. Mr A bagi alasan, sebab WFH dia boleh hantar dan ambil saya setiap hari. Saya dilayan mcm princess!!

Mr A ke klinik, tapi mcm biasa, doktor syak Mr A burn out. Saya menggesa beliau berjumpa pakar, tapi mcm biasa Mr A susah nak ke hospital. Sejenis penakut dan fobia dengan hospital dan bau hospital. Beberapa kali saya menggesa beliau tapi tidak diendahkan. 

Sehinggalah pada Jumaat 12/02/2021, Mr A minta saya bawa dia ke klinik. Saya bawa dia ke klinik, saya siap tulis simptom2 perubahan kesihatan beliau untuk diberitahu kepada doktor. Saya tahu, kalau saya tidak buat begitu, beliau tidak akan ceritakan simptom tu dan hanya akan gelak2 dengan doktor, maklumlah, kami sekeluarga dah biasa dengan doktor2 di klinik tu daripada anak-anak kami kecil hingga sekarang. Dah macam kawan-kawan. Saya tulis dan saya ingatkan beliau utk bagitahu doktor semua simptom tu. Kalau saya boleh masuk sama-sama ke klinik, senang sbb  saya boleh ceritakan, tapi sebab PKP hanya pesakit yang boleh masuk ke klinik.

Allahuakbar, pada Jumaat yang penuh barokah itu...bermulalah sejarah pahit keluarga kami. 


2021 yang menyakitkan. (Pt.01)

 Assalamualaikum.

Sungguh, 2021 menjadi tahun yang paling perit untuk kami sekeluarga. 

Tidak tahu bagaimana saya boleh memulakan kata2. 

Hampir setahun tiada apa-apa update di dalam blog ini. 

Adakah saya perlu menceritakan semuanya di sini???  Perlukah? 


01 Januari 2022, saya buat keputusan untuk mencatatkannya di sini, sebagai catatan memori pahit dalam kehidupan kami sekeluarga. Sudah beberapa hari saya menahan tangis, entahlah....sepanjang peristiwa pahit yang bermula 12/02/2021, tiga  kali saya meraung, tiga kali sahaja. Sekali pada hari Mr A didiagnosed mengidap kanser, dua kali selepas pemergian Mr A. Sehari selepas dan tiga hari selepas arwah pergi. Ya!!!, Mr A sudah tiada, pergi meninggalkan kami anak-beranak tepat pd pukul 7:50 malam Jumaat 25 Ramadhan 1443H. bersamaan 06 Mei 2021 selepas 4 bulan disahkan mengidap Kanser Usus Tahap 4. Kanser Usus yang sudah merebak ke hati. 

Mr. A telah menunjukkan tanda-tanda tidak sihat sejak bulan Disember 2020 lagi. Kerap keletihan dan kurang berselera makan. Dua kali juga Mr A ke klinik dan hanya diberi ubat angin  dan vitamin kerana doktor syak Mr. A mengalami burn out kerana terlalu sibuk bekerja tambah-tambah pula secara WFH. Jadual kerja yang padat dan tidak menentu menyebabkan Mr A kepenatan dan tidak bermaya. 

Waktu kerja daripada pagi hingga ke malam. Dari meja kerja, ke meja makan, ke bilik studio bunga dan kerap juga sambil meniarap di lantai, memang Mr A sangat komited dengan kerja, hingga ke akhir hayat beliau. Sebenarnya, pada ketika itu, Mr sudah berasa tidak selesa dan perut kerap kembung dan kerap kentut. Sepatutnya Mr A membuat rutin medical check up pada bulan 11 tu, tapi disebabkan PKP, beliau tidak pergi, bila dikenangkan kembali...kalaulah Mr A pergi buat medical check up tu, mesti penyakitnya dapat dikesan awal. Tapi tiada guna kita menggunakan kata-kata "kalaulah"...semuanya memang sudah  dalam perancangan Allah SWT. 

Kami sempat balik kampung untuk menziarahi emaknya di kampung pada 25 Disember 2020. Acara wajib Mr A setiap tahun. Asalnya saya tidak ingin balik bersama kerana sibuk dengan kerja-kerja sekolah di akhir tahun dan Mr A akan balik dengan Zahirah dan Zikry saja. 

Tapi saya bimbang, jika saya tidak balik sama-sama, mungkin Mr A tidak jadi balik kampung sebab dia memang tidak seronok kalau saya tidak balik sekali. Last minute, saya surprisekan Mr A dan bagitahu saya akan balik sama-sama. Mr A happy dan bersemangat sungguh nak balik. Allah, syukur saya buat keputusan untuk balik. Itu adalah kepulangan Mr A yang terakhir ke kampung kelahirannya.

Semasa di kampung, saya sempat membuat perancangan membawa MIL utk bercuti dan makan-makan. Teringat lagi Mr A mengucapkan terima kasih kepada saya.  

"Terima kasih Za, mujur ada awak. Saya tak pandai nak plan2 program mcm ni". Allah!!

Masa ni Mr A dah menunjukkan tanda-tanda keletihan dan kurang aktif. Lebih banyak melihat daripada join bersama-sama dalam aktiviti jalan-jalan. 

27 Disember 2020 kami balik ke KL. 


Wednesday, 14 April 2021

Siakap Masam Manis atau Pla Raad Prik


 

Assalamualaikum dan salam Ramadhan. Selamat berpuasa semua pengunjung dan sahabat Cik Wan Kitchen. Pagi ini Cik Wan kongsikan resepi kegemaran family Cik Wan iaitu Siakap Raadprik atau Siakap Masam Manis. Jom lihat bahan dan caranya.



Bahan-bahannya ;


Bahan lain:

3 sudu sos ikan
3 sudu cuka
2 sudu gula- Cik Wan gunakan gula somtam.
1/4 cawan air.
*tambah/kurang ikut sesuai

Seekor ikan siakap- paling sedap filletkan, dadu kasar, perapkan dengan garam dan lada sulah.
Bila nak goreng, gaulkan dengan sedikit tepung jagung/tepung gandum.
Kalau tidak, goreng ikan macam biasa selepas diperapkan dengan garam dan lada sulah.

Cara membuatnya;
  1. Tumbuk/blend kasar semua bahan dalam gambar.
  2. Panaskan minyak. 
  3. Tumis bahan tumbuk hingga garing.
  4. Masukkan cuka, gula dan sos ikan. Kacau sebentar.
  5. Masukkan sedikit air. Masak hingga sos pekat.
  6. Tuang atas ikan yang telah digoreng. Siap!!.

Untuk video cara membuatnya, boleh ke FB saya Siakap Rad Prik . Selamat mencuba.

Friday, 26 March 2021

Red Velvet Cake

 


Assalamualaikum dan salam sejahtera. Pagi ini Cik Wan share resepi Red Velvet Cake yang sedap dan pasti menjadi, in sya Allah. Jom lihat bahan dan caranya.


Bahan-bahannya :

2 1/2 cup ( 250gm ) tepung yang dah diayak (maksudnya ayak dulu baru timbang ok)
1/2 sudu teh garam-saya tak masukkan sebab saya guna butter biasa bukan unsalted.
2 sudu besar (15gm) serbuk koko-saya guna 1 sudu besar sahaja
1/2 cup (113gm) unsalted butter
2 1/2 cup (300gm) gula ---saya dah kurangkan jadi 250gm gula je.
2 biji telur
1 sudu teh esen vanilla
1 cup ( 240ml) buttermilk) - atau buat sendiri  240ml susu segar + 1 sudu besar cuka- biar 5-10 minit sebelum guna.
2 sudu besar pewarna merah @ merah jambu
1 sudu besar cuka
1 sudu besar baking soda

Cara-caranya;
preheat oven: 175 c

1) ayak serbuk koko dan tepung dalam satu bekas dan kacau.

2) campurkan buttermilk dengan pewarna merah

3) dalam bekas lain, mix kan butter sampai kembang dan creamy, kemudian tambah gula dan pukul lagi sampai kembang dan sebati. Masukkan vanilla esen, mix. Masukkan telur satu persatu. Lepas satu biji telur, mix. Kemudian masukkan satu lagi telur dan mix lagi.

4) Kemudian masukkan tepung+koko yang sudah diayak secara berselang seli dengan buttermilk. Masukkan tepung, mix.. then masukkan buttermilk mix sampai habis kesemuanya.

5) Bila dah sebati, campurkan 1 sudu besar baking soda dan 1 sudu besar cuka sampai ada bubbles. Then cepat-cepat masukkan dalam batter yang dah di mix tadi, kemudian terus masukkan dalam loyang @ springform loyang ye. Terus bake selama 25-30 minit.

6) Bila kek dah siap bake, sejukkan dalam peti ais beberapa jam. Supaya senang nak dibelah nanti, sebab lepas masak ni, kek agak fragile dan berderai. . Takut pecah berderai pulakan. Saya gunakan benang untuk belah kek. Lebih mudah dan selamat dan tak berderai.

7) Kemudian terpulanglah nak belah 2 @ 3. Saya belah kepada dua lapis sahaja. Setiap lapis tu sapukan cream cheese frosting ye. Kemudian dah siap sejukkan lagi dalam peti ais untuk beberapa jam. Ini yang susah nak buat sebab anak-anak Cik Wan memang tak sabar..setengah jam je dah selamat kek tu dikerjakan.



Cream cheese frosting: 

250gm cream cheese
30gm butter
1 sudu besar perahan lemon @ limesaya tukar dengan 1 sudu oren sunquick.
1 sudu besar esen vanilla
1 sudu besar susu segar
100gm gula ising

Cara-caranya;
 1) Gunakan electric mixer, mix cream cheese sampaibetul2 creamy.
 2) Masukkan bahan-bahan lain- butter + sunquick + esen vanilla + susu segar + gula ising.
 3) Siap untuk disapu pada kek.

Selamat mencuba..

Wednesday, 24 March 2021

Ayam Harimau Menangis


 

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Selamat pagi semua. Jom lihat resepi dan cara buat Ayam Harimau Menangis sebagai ganti/pilihan kepada Daging Harimau Menangis.


Bahan-bahannya perapan ayam:

1 ekor ayam dibuang tulang
2 sudu brown sugar
3 sudu sos ikan
4 sudu sos tiram

  1. Gaulkan isi ayam dengan semua bahan di atas.
  2. Perap sekurang-kurangnya 2 jam.
  3. Bakar ayam menggunakan pan/kuali hingga masak.(Letakkan sedikit minyak atas kuali/pan)

Sos Cicah Ayam harimau Menangis:

1 sudu besar air asam jawa
2 sudu besar air limau nipis
3 sudu sos ikan 
2 sudu besar Gula/brown sugar/gula Thai
Cili padi
Cili flakes
Hirisan daun ketumbar
Hirisan bawang merah
2 sudu beras pulut yg disangrai dan tumbuk halus.

  1. Masukkan semua bahan dalam mangkuk.
  2. Kacau sebati dan rasa biar ada masam, manis dan masin.
  3. Siap.


Tuesday, 23 March 2021

Nasi Arab Mandy

 


Assalamualaikum dan salam sejahtera. Jom lihat resepi dan cara membuat Nasi Arab Mandy yang sangat mudah tanpa gunakan pes ready made.

Rempah Mandy:
2 sudu besar buah pelaga
2 sudu besar bunga cengkih
2 sudu kecil lada hitam
1 biji buah pala
1 sudu makan serbuk halia
4 helai daun bay/salam

Grind semuanya sampai halus.

Ayam Mandy :

1 ekor ayam potong 4 
2 sudu rempah Mandy
2 sudu serbuk jintan putih (Mesti letak, jangan skip)
sedikit serbuk kunyit
1 sudu serbuk ketumbar
Garam

  1. Rebus ayam dengan air secukupnya bersama dengan rempah2 di atas hingga masak.
  2. Bila sudah masak, keluarkan dan letak atas dulang/bekas pembakar. Alaskan dengan hirisan bawang besar dan susun ayam yang direbus tadi. Masukkan sedikit air rebusan dan sedikit minyak zaiton.
  3. Bakar hingga keperangan. Sambil2 bakar, curahkan air rebusan dalam dulang pembakar itu ke atas ayam. Siap.

Nasi Mandy
2 pot beras PUSA, basuh dan rendam 20 minit...toskan
3 sudu minyak dan 2 sudu butter dan sedikit minyak zaiton.
1 labu bawang besar
2 ulas bawang putih
Sesudu rempah mandy
buah tomato dibuang biji dan di dadu
bunga cengkih, bunga lawang, kayu manis, buah pelaga dan daun salam/bay.
3 pot air rebusan ayam tadi (2 1/2 pun blh...tgk beras)

  1. Tumis semua bahan tadi di atas...dah layu/sedikit brown...masukkan beras...kacau..dan masukkan air rebusan ayam...tanak spt biasa.
  2. Hampir masak, titiskan pewarna kuning.
  3. Tanak hingga masak. Siap.
Untuk Sambal (Salata Hara): 

2 biji buah tomato
3 biji cili api
Garam
Hirisan daun ketumbar

Blend tanpa air...masukkan sesudu kecil garam dan hirisan daun ketumbar..siap

Untuk salsa/acar :

1 biji buah tomato, buang biji dan dadu
1 biji timun buang biji dan dadu
1 labu bawang besar merah..dadu
2 biji cili api
Daun ketumbar
Perahan lemon (asam limau nipis lagi sedap)
Garam
Gula

Gaul sebati semua bahan. Siap!.


Monday, 22 March 2021

Kerabu Pucuk Paku dan Taugeh Berkerang

 


Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Jom layan kerabu Pucuk Paku Taugeh dan Kerang petang ni. Mari kita lihat bahan dan cara membuatnya.

Bahan-bahan sambalnya;

1/2 biji kelapa-jadikan keresek.
4 ulas bawang merah
1 sudu lada hitam
3 ekor ikan sardin/selayang dibakar

Tumbuk lumat semua bahan.


Bahan kerabu/sayur:

Pucuk paku- potong bersih-celur dan toskan
Taugeh-celur dan toskan kering
Bawang merah kecil-hiris nipis
Cili api-potong kecil

Bahan perisa/kuah:

1 mangkuk santan pekat- perahan daripada sebiji kelapa parut (guna air masak)
1 biji asam limau nipis
Garam
Gula
Ajinomoto jika suka

Langkah menyediakannya:
  1. Masukkan semua bahan kerabu (sayur) dalam mangkuk besar.
  2. Masukkan semua bahan sambal/tumbuk, bahan perisa/kuah dan gaul sebati.
  3. Rasakan masin, manis dan masam secukupnya. Siap!








Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...