Assalamualaikum dan salam sejahtera. Semoga dalam keadaan sihat dan selamat bersama keluarga. Jaga diri, jaga keluarga dan jaga kesihatan bersama. Hari ke enam Perintah Kawalan Pergerakan. Semoga bala ini diangkat oleh Allah SWT secepat yang mungkin. Amiiinnn.
Tengah hari ni CIk Wan masuk awal ke dapur sebab pagi tadi hanya bersarapan dengan cucur udang sahaja. Pukul 12 anak2 dah mula rasa lapar. Mr A mintak nasi minyak semalam, maka hari ni Cik Wan masakkan as requested. Senang masak nasi ni, dalam sejam lebih dah boleh hidang dah. Buat kerja ramai2 dengan anak2 ni, semua berjalan cepat dan lancar. Alhamdulillah.
Jom tengok resepinya ya.
Nasi Hujan Panas
Bahan-bahannya;
2 pot beras Basmathi-dibasuh, rendam dalam air suam dicampur sedikit garam untuk 10-15 minit. Kemudian toskan kering.
3 pot yang sama air - 1.5 pot air untuk 1 pot beras.
2 sudu minyak sapi
3 sudu minyak masak
1/2 cawan susu sejat/susu segar
2 helai daun pandan
1 labu bawang besar dimayang halus/dadu
3 ulas bawang putih dimayang nipis/dadu
1 inci halia dimayang halus
3 kuntum cengkih
1 inci kulit kayu manis
3 biji buah pelaga
1 kuntum bunga lawang
2 helai daun pandan
1/2 cawan kismis kuning/hitam-rendam dalam air panas-optional
1/2 cawan biji gajus -digoreng terlebih dahulu-optional
Pewarna hijau, merah dan kuning
Garam
Sedikit gula
Cara memasaknya;
- Panaskan periuk/ricecooker, masukkan minyak sapi dan minyak masak.
- Bila dah cair, masukkan bahan bawang dan halia. Kacau hingga jernih dan masukkan rempah kasar. Tumis sekejap.
- Masukkan daun pandan. Kacau hingga naik bau daun pandan.
- Masukkan air, garam dan gula. Masak hingga menggelegak.
- Masukkan susu. Masak sekejap.
- Masukkan beras, kacau dan tutup periuk.
- Bila nasi dah kering dan 3/4 masak, kacau dan masukkan kismis serta biji gajus.
- Titikkan beberapa spot untuk setiap warna merah hijau dan kuning. Biarkan nasi masak.
- Bila nasi masak, gemburkan nasi dengan garfu...dah siap.
Ayam Kerutuk
Bahan-bahan;
1 ekor ayam potong kecil
1 biji kelapa ambil santan secukupnya
1 sudu besar kerisek
2 sudu besar rempah kerutuk dan 1 sudu serbuk kari - bancuh dengan air panas
Rempah 4 sekawan secukupnya-cengkih, lawang, pelaga dan bunga lawang
5-7 biji cili kering/ 2 sudu serbuk cili
6 ulas bawang merah
4 ulas bawang putih
Seinci halia
Seinci lengkuas diketuk
1 batang serai diketuk
Gula melaka/gula
Garam
Sedikit air asam jawa
Ubi kentang secukupnya.
Cara-cara :
Sediakan bahan tumis:
- Rempah kasar 4 sekawan
- 2 ulas bawang merah dimayang
- 2 ulas bawang putih dimayang
- Sedikit halia dimayang
Bahan lain selebihnya dimesin (bawang, cili kering, halia)
- Panaskan minyak.
- Masukkan bahan tumis, tumis hingga wangi.
- Masukkan bahan mesin , kacau hingga naik minyak.
- Masukkan rempah kerutuk, tumis hingga naik minyak sambil masukkan serai dan lengkuas ketuk, garam, gula, kerisek dan air asam jawa. Kacau hingga pecah minyak.
- Masukkan ayam dan kacau hingga keluar air daging ayamnya.
- Masukkan ubi kentang.
- Masukkan santan.
- Masakkan sambil dikacau sekali sekala sehingga santan pekat seperti di dalam gambar di atas.
Selain sedap dimakan dengan nasi putih atau nasi minyak, kerutuk ni juga sedap dicicah dengan roti atau roti jala..memang best. Selamat mencuba and #stayathome #staysafe
Assalamualaikum Cik Wan.
ReplyDeleteAlhamdulillah kita sama-sama patuhi perintah kawalan pergerakan dengan penuh rasa tanggungjawab dan keinsafan.... moga-moga semuanya akan baik-baik akhirnya.
Lama saya tak makan nasi hujan panas. Sedap sangat tu makan dengan ayam masak kerutuk.
wa'alaikumussalammm Amie. Sama-samalah kita. Nak bantu cara lain tak mampu, ini sahaja yang mampu kita buat. Mudah-mudah seperti Amie cakap..semuanya akan baik2 akhirnya. Amiinn. Nasi hujan panas memang kegemaran anak2 dan suami..alhamdulillah..seronok tengok mereka berselera makan.
Delete