Saturday, 5 July 2014

Tomyam Campur Ringkas


Buka puasa hari kedua bersama-sama dengan kawan-kawan Aifaa dari SMAP. Alhamdulillah..berselera betul budak-budak tu makan. Saya sediakan tomyam campur, siakap masam manis dan telur dadar. Abahnya belikan murtabak, roti john dan akok ..layan selera budak-budak hahaha. 

Resepi tomyam ini sama seperti yang ada kat SINI tapi saya tambahkan sambal tumis Thai untuk warna merah dan saya juga masukkan ayam dan fishball sebab budak-budak memang sukakan fishball ni..

Bahan-bahannya;

Isi ayam, udang dan fishball secukupnya.
8 cawan air
1 labu bawang besar dimayang kasar
2 batang serai diketuk
1 kiub pati ayam
2 sudu sambal tumis Thai
7-8 cili padi diketuk- boleh tambah /kurang
3 helai daun limau purut
2 tangkai ketumbar-akar dan batang diketuk/daun disimpan untuk digunakan masa menghidang nanti
1 hiris lengkuas
2 sudu besar gula
1 sudu besar sos ikan
2 sudu kecil garam
2 biji limau nipis yang agak besar-ambil airnya.
Sayur-sayuran yang digemari- tadi saya ada carrot, kubis dan tomato ajer.

Cara-caranya;
  1. Masukkan air ke dalam periuk.
  2. Masukkan bawang, serai, daun limau purut, lengkuas, cili, akar ketumbar dan pati ayam.
  3. Mendidih sekejap masukkan gula, garam dan sos ikan.
  4. Bila menggelegak betul tu, masukkan ayam dulu. Masak hingga menggelegak sekali lagi.
  5. Kemudian masukkan seafood dan sayur yang agak keras dulu seperti carrot.
  6. Masukkan air asam limau.
  7. Masukkan sayur lain. 
  8. Masukkan daun ketumbar. Tutup api. Siap.



Sira Tapai Ubi

Satu lagi menu dessert kelate mari hahaha..ada orang suka, ada orang tak..siapa yang belum pernah rasa boleh cuba ye..jangan buat banyak..cuba dulu satu bekas tapai ubi kayu yang dijual di pasar tani.
Hampir sama dengan sira pisang tapi tak letak cengkih dan step dia berbeza sikit di mana kita masak dulu air gula hingga pekat baru masukkan tapai. Jom, tengok cara dan bahannya;

Bahan-bahannya;

1 bekas plastik tapai ubi kayu
1  1/2 senduk gula
2 helai daun pandan- koyak dan simpul
1/2 cawan air

Cara-caranya;
  1. Satukan gula, air dan daun pandan. Masak hingga menggelegak dan pekat sedikit.
  2. Masukkan tapai ubi. Biar sebentar (dalam seminit dua)
  3. Matikan api, sejukkan. Siap.

Thursday, 3 July 2014

Akok Kedut 1


Pertama kali saya buat akok menggunakan resepi dari blog kak Azie di Azie Kitchen. Masalahnya saya ni tak berapa teliti dalam menyukat bahan sentiasa ada lebih sini dan lebih sana. Jadi akoknya tak berapa menjadi sepertimana dibuat oleh Kak Azie. Rasa nak buat semula esok dan saya akan pastikan sukatannya betul seperti yang ada dalam resepi..jom kita tengok resepi dan caranya.


Akok
Sumber asal: Azie Kitchen


Bahan-bahan (21 biji)
5 biji telur
200 ml pati santan
100 ml air
150 gram gula melaka 
30 gram tepung gandum
3 helai daun pandan- disiat-siat
2 cubit garam halus 

Cara cara:
Masak air bersama gula melaka dan daun pandan hingga mendidih. Tutupkan api.

Masukkan santan. Tunggu suam sedikit, kemudian masukkan telur dan tepung. Blender sehingga rata. Tapiskan.

Panaskan oven pada suhu 200C. Panaskan acuan baulu/muffin ke dalamnya. Masukkan sedikit minyak dalam setiap acuan.

Isi penuh acuan dan bakar selama 10 minit. Kuih ini akan mengembang. Bila dikeluarkan dari oven ia akan sedikit mengecut. 

Selamat mencuba ye...Cik Wan pun akan buat sekali lagi.

Pajeri Terung Bersama Nanas (2)

Ahad pertama Ramadhan saya ke Pasar Borong Selangor, terjumpa terung kampung terus teringat nak buat pajeri untuk disedekahkan kepada kawan dan jiran.
Alhamdulillah, semalam sempat saya masakkan pajeri ni selepas balik dari sekolah. Tapi kali ini saya campurkan dua keping nanas lebih gulai ikan ikan masin kelmarin.. Merasalah kawan-kawan dan jiran pajeri terung kelantan ni..harap-harap sedaplah ye ..

Seperiuk besar pajeri terung sama nanas.
Resepi masih yang asal, boleh tengok di SINI. Tapi untuk mudahkan tengok, saya copypaste dari asal dan ada sedikit penambahan

Bahan-bahannya;

20 biji terung kampung yang kecil2.
2 keping nanas
1 labu bawang besar untuk menumis
8 ulas bawang merah kecil.
4 ulas bawang putih
1/2 inci halia (saya tak letak hari ni)
4 biji cili kering
1 peket kerisek
3 sudu kecil garam
1 keping besar gula nise kelantan
2 kotak 200ml santan
Rempah 4 sekawan (3 kuntum cengkih, 3 biji pelaga, 1 kuntum lawang dan sekeping kecik kayu manis)
4 sudu besar serbuk kari daging- kat kelantan ada jual rempah pajeri yang dah siap.
Sedikit air asam jawa.

Cara-caranya;
  1. Mesinkan bawang dan  cili kering.
  2. 1 labu bawang besar  dimayang bersama-sama dengan 2 ulas bawang putih..
  3. Panaskan sedikit minyak.
  4. Masukkan semua bawang besar hiris dengan bawang putih. Tumis hingga wangi.
  5. Masukkan rempah 4 sekawan tadi. Tumis hingga bawang tadi jadi brown.
  6. Masukkan bahan mesin, tumis hingga naik minyak
  7. Sudah naik minyak masukkan rempah kari yang dibancuh dengan air.
  8. Tumis dan masukkan juga air asam jawa, garam ,hirisan gula melaka dan kerisek.
  9. Kacau hingga berminyak dan masukkan nanas. Kacau perlahan sekejap hingga nanas agak masak.
  10.  Baru masukkan santan .
  11. Sekali menggelegak, masukkan terung. Rasakan kuahnya. Mesti ada manis, masin dan masam... tapi lebihkan rasa manis.
  12. Kacau hingga terung masak dan kuah pekat. Siap.

Tuesday, 1 July 2014

Singgang Tulang Kelantan

Hari Sabtu sebelum Ramadhan tu saya dapat membeli daging dan tulang segar..dah terbayang untuk masak singgang sahaja. Mudah sangat ..

Bahan-bahannya;

1/2 kg tulang (dalam 4 ketul je)
10 ulas bawang putih- diketuk sahaja
4 ulas bawang merah- dihiris nipis
2 inci lengkuas-hiris nipis
1 inci halia-hiris nipis
1 biji cili kering- potong 3
3 keping asam
1 sudu biji ketumbar- ditumbuk halus
Garam
Gula melaka

Cara-caranya;
  1. Masukkan kesemua bahan ke dalam periuk kecuali gula dan garam.
  2. Masukkan air hingga tenggelam tulangnya.
  3. Rebus hingga air menjadi separuh. Masukkan gula dan garam. (Jika suka boleh dimasukkan semasa langkah 1 lagi)
  4. Masukkan air sekali lagi hingga menutup tulang.
  5. Masakkan hingga kuah tinggal mengikut kuantiti yang disukai.
  6. Siap.

Seeloknya tutup periuk semasa merebus agar cepat empuk...selamat mencuba ye..

Sira Pisang Nangka

Salah satu menu kegemaran saya...memang kalau bulan ramadhan ni, tekak saya akan terliurkan menu2 Kelantan asli hehehehe. Macam-macam cara orang buat sira pisang ni, tapi ini cara saya turun temurun dari mak dan nenek saya. Mudah sahaja...jom, tengok..

Alaskan periuk dengan daun pandan dan 2 kuntum bunga cengkih.
Potong dua (ikut suka) pisang dan atur ke dalam periuk tadi. saya guna 1 sikat pisang (dalam 12 biji)
Masukkan dalam 2 senduk kecil gula dan 1 cawan air. Hidupkan api, rebus dalam 10 minit sahaja.

Masak guna api sederhana dan buka sikit penutupnya takut kuahnya terkeluar waktu menggelegak.
Waktu menggelegak...10 minit aja lepas tu tutup api ye.
Jeng..jeng..jeng...dah sejuk, masukkan dalam bekas dan simpan dalam peti ais. kuah ada kat bawah tu ye...tuang atas pisang waktu menghidang...bessttt!!

Biji Sagu Cendol

Salam Ramadhan...alhamdulillah hari ni baru sempat mengadap komputer untuk upload menu berbuka puasa. Sudah seminggu sibuk dengan kerja sekolah...walau belum siap 100%, saya mabik juga masa untuk update blog hari ni.
Cendol adalah menu wajib kami sekeluarga, simple tapi sangat menyejukkan tekak. Selalunya saya buat cendol dan sagu sendiri tapi semenjak dua ni saya beli saja cendol tapi sagunya tetap saya masak sendiri..susah nak cari yang seperti dijual di Kelantan. Jom tengok cara memasak sagu.

Panaskan air hingga mendidih.
Saya guna sagu halus..3 peket (saya tambah lagi satu heheh)
Masukkan sagu dan kacau selalu.
Masak hingga tanda putih dalam biji sagu tinggal sedikit sahaja atau kalau jernih 100%...kena tambah air dari masa ke masa supaya cepat masak.
Tapiskan kanjinya di bawah air paip hingga kanjinya hilang dan boleh disimpan di dalam peti sejuk.



Ini cara saya hidangkan cendol sagu. Sediakan dalam 15-10 minit sebelum berbuka.
  1. Mula2 cuci dan tapiskan cendol.
  2. Masukkan dalam mangkuk besar.
  3. Basuh buah kabung dan masukkan dalam mangkuk.
  4. Masukkan sagu.
  5. Masukkan/taburkan gula pasir (dalam 2 senduk kecil)
  6. Tutup dengan ais.
  7. Bila masa nak berbuka, kacau semua bahan dan masukkan ke dalam mangkuk. (Pada masa ini gula sudah cair, begitu juga ais...sejuuukkkkk)
  8. Selamat mencubaaa.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...