Saturday, 20 June 2015

Daging Tumis Berkari Kicap


Ada lebihan daging selepas membuat singgang. Cik Wan tak nak beli lauk lain lagi kerana nak habiskan apa yang ada dalam peti ais. Kalau tak buat macam ni, tak sampai seminggu Ramadhan peti ais kita akan penuh padat dengan macam-macam lauk basah dan lauk yang tak habis dimakan..jom tengok resepi mudah ni.


Bahan-bahannya;
1 mangkuk daging dihiris nipis.

5-6  ulas bawang merah
3 ulas bawang putih
1/2 inci halia
1 sudu serbuk cili - boleh guna cili kering
*Semua bahan di atas diblender

1 sudu serbuk kari ayam/daging-bancuh dengan air
Sedikit air asam jawa
3 helai daun limau purut
1 biji tomato, potong empat
1/2 labu bawang besar dipotong.
2 biji cili merah dan hijau dibelah dua
Kicap manis secukupnya
Garam dan gula jika perlu.

Cara memasaknya:

  1. Tumiskan bahan mesin hingga naik minyak dan berbau wangi. Masukkan daun limau purut.
  2. Masukkan bancuhan rempah kari, tumis lagi hingga naik minyak.
  3. Masukkan daging. Masukkan juga air asam jawa dan semangkuk air. Kacau
  4. Boleh masukkan air beberapa kali hingga daging empuk.
  5. Bila daging empuk, masukkan kicap manis hingga warna kuah menjadi hitam kemerahan. Perisakan. (tambah garam dan gula jika perlu)
  6. Kacau hingga  kuah pekat. 
  7. Masukkan bahan hiasan seperti bawang dan buah tomato serta cili yang telah dibelah. Siap.


Kerabu Taugeh Mudah Terlajak


Memang mudah sangat resepi ni..tapi sedapnya ya ampuuunnnnn...memang habis diratah macam tu jer..tak makan nasi la nampaknya. Semalam Cik Wan masak air asam ikan bakar, ada lebih lagi 2 ekor ikan yang Cik Wan simpan dalam peti ais. Kelapa parut pun ada sikit apa , otw Mr A balik dari pejabat, Cik Wan suruh dia belikan taugeh..apalagi, terhasillah kerabu mudah ringkas sedap ni hehehe..

Bahan-bahannya;

2 mangkuk taugeh (agak2 je ni sbb Mr A belikan 1/2 plastik)- bersihkan dan celur sebentar
2 ekor ikan bakar- buang tulang
Sedikit udang- dibuang kulit dan dicelur slps mencelur taugeh- potong kecik2
3 biji cili padi
2 biji cili merah besar
Sedikit belacan
1/2 mangkuk kelapa parut- sangrai dan tumbuk
1/2 labu bawang besar- mayang kasar
Garam
Gula
1 biji limau nipis


Cara-caranya:

  1. Tumbuk cili, belacan, garam dan gula. (jadi sambal belacan)
  2. Tumbuk isi ikan bakar.
  3. Satukan semua bahan: taugeh, kelapa tumbuk, ikan tumbuk, sambal belacan, bawang besar yang dihiris dan isi udang yang dipotong kecil.
  4.  Perahkan asam limau nipis. 
  5. Gaul sebati dengan tangan.
  6. Jika suka pedas boleh tambahkan dengan hirisan cili padi.
  7. Siap.

Kerabu ni tanpa santan, memang tahan sampai sahur tanpa perlu masukkan dalam peti ais...selamat mencuba :)

Ghodok Telur Resepi Asli Kelantan






Haaa...keluar lagi resepi yang jarang dijumpai zaman millenium ni hahaha...bila Ramadhan, memang tak sah kalau tak buat resepi ni. Kegemaran Mr A..Cik Wan kurang sikit, mungkin tak biasa makan dari kecik. Belajar makan ni bila dah kahwin..tapi kalau dibuat sebagai topping seri muka..Cik Wan suka sangat. Jom tengok bahan-bahan yang mudah ni..sesuai untuk orang yang sukakan kuih manis dan telur.



Bahan-bahannya:

6 biji telur
1 keping nise aka gula melaka yang besar- kalau guna yang kecil mungkin 2-3 keping
2 sudu gula
2 helai daun pandan
4 kuntum bunga cengkih.

Cara-caranya;

Sediakan air nise/ gula melaka dahulu;
  1. Masakkan gula melaka, gula  dengan 1/2 cawan air dan daun pandan  hingga gula hancur.
  2. Sejukkan.

Baru sediakan bancuhan untuk dibakar;

  1. Satukan telur dalam satu bekas bersama-sama bunga cengkih dan potongan daun pandan.
  2. Pukul dengan garfu hingga sedikit kembang..jangan kembang sangat.
  3. Masukkan air gula yang dah disejukkan tadi. kacau sebati.
  4. Tapiskan ke dalam loyang pembakar yang telah disapu sedikit minyak.
  5. Masukkan dalam loyang dan bakar dalam oven menggunakan api atas dan bawah. (Boleh juga dibakar di atas dapur terus)
  6. Mula-mula adunan akan naik kembang/mengelembung. Bila lapisan atas nampak keperangan, boleh dikeluarkan untuk disejukkan. Adunan akan turun dan mampat.

Nampak pelik kan? hehehehe...kalau tak ada idea nak masak kuih petang ni..bolehlah mencuba resepi yang dah hampir tak dibuat orang lagi ni..hehehe..selamat mencuba!!!

Thursday, 18 June 2015

Akok Kedut Asli


Puas hati buat akok sendiri untuk berbuka puasa..cukup rasa manis dan lemaknya. 1 adunan boleh menghasilkan 18 biji akok..kalau beli dah berapa ringgit ni..rasanya pulak belum tentu sedap. Cik Wan copypaste semula resepinya...selamat mencuba :)

Resepi Asal : Azie Kitchen

Bahan-bahannya;

5 biji telur - saya tambah jadi 6 biji
200 ml pati santan- saya guna 1 biji kelapa yang diperah menggunakan air kelapa untuk mendapatkan 200ml pati santan
100 ml air - saya gantikan dengan 100ml air kelapa
150 gram gula melaka - saya tambah 2 sudu besar gula pasir
30 gram tepung gandum
3 helai daun pandan- disiat-siat
2 cubit garam halus - saya guna 1/2 sudu kecil




Cara cara:
  1. Masak air kelapa bersama gula melaka, gula dan daun pandan hingga mendidih. Tutupkan api.Sejukkan.
  2. Masukkan santan dalam blender, masukkan telur dan tepung dan masukkan gula melaka tadi. Blender sehingga rata. Tapiskan. 
  3. Adunan akan berbuih, mesti keluarkan buih tadi jika tidak akok kita tak akan berkedut cantik.
  4. Panaskan oven pada suhu 180C. 
  5. Masukkan sedikit minyak dalam setiap acuan.
  6. Tuang adunan akok separuh penuh dan boleh dibakar selama 11 minit.
  7. Akok akan menggelembung macam belon dan bila dikeluarkan akan mengecut menjadi kedut2.

Ikan Bakar Air Asam

Air Asam


Ikan Sardin/Selayang  Bakar
Air Asam memang menu wajib Cik Wan di bulan Ramadhan..dimakan dengan ikan bakar, daging bakar mahupun kerang bakar..pendek kata apa2 pun sedaplah. Cara membuatnya juga simple. Boleh rujuk di SINI untuk resepi dan caranya. Hari ni Cik Wan buat sikit je sebab kami hanya bertiga iaitu Mr A, dan anak buahnya Si Kamil.

Bahan-bahannya:

4 biji cili padi
2 biji cili merah besar
1 biji tomato
2 sudu besar asam jawa- bancuh dengan air masak dalam 1/2 mangkuk kecil
2 sudu kecil garam
2 sudu besar gula
Sedikit belacan

*semua bahan di atas diblend.


  1. Masukkan air asam yang telah diblend ke dalam mangkuk.
  2. Tambahkan dengan hirisan 1 labu bwang besar saiz sederhana
  3. Tambahkan dengan hirisan 1/2 biji tomato
  4. Tambahkan dengan sedikit perahan air limau nipis....sluurrpppppp....siap.
Makanlah dengan seafood bakar atau daging bakar..memang membuka selera sungguh...selamat mencuba!!!

Daging Singgang Asli


Bila berpuasa, tekak ni lebih suka lauk-lauk tradisional. Hidangan hari pertama berbuka puasa sungguh simple iaitu daging singgang, ikan panggang tawar dan air asam dan sambal goreng..alhamdulillahh..sederhana sahaja, bukannya boleh makan banyakpun.,betul tak?

Bahan-bahan;

1 mangkuk hirisan daging- Cik Wan guna daging tempatan bahagian peha dan keting.
1 labu bawang putih- ketuk
2 ulas bawang kecil-hiris
2 inci lengkuas- hiris nipis
1 sudu rempah ketumbar-tumbuk halus
4-5 keping asam (kalau besar 3-4 keping dah cukup)
1 biji cili kering- potong kasar
Garam
Gula

Cara-caranya:

  1. Masukkan semua bahan ke dalam periuk.
  2. Masukkan air (banyak)
  3. Rebus hingga daging empuk- tambah air jika daging belum empuk.
  4. Siap. (Sebab puasa tak boleh nak test rasanya tapi mesti ada masin, manis dan masam)



Sambal Goreng Kering Untuk Sahur..nyum!!

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Selamat berpuasa kepada semua kawan-kawan dan seluruh umat Islam walau di mana sahaja berada. Semoga Ramadhan kali ini lebih baik daripada Ramadhan yang lepas. Sama-samalah kita tingkatkan ibadah di dalam bulan yang penuh rahmat, keampunan dan keberkatan ini.

Malam ni Cik Wan nak kongsikan lauk untuk sahur malam tadi. Sambal Goreng kering yang sangat simple tetapi sangat sedap dan menyelerakan bila dimakan dengan nasi panas. Sambal ni tahan lama dan boleh disimpan dalam bekas kedap udara hingga sebulan lamanya...eemmm..kalau tak habis lah heheheeh.



Bahan-bahannya sangat simple iaitu.


1 mangkuk kecil ikan bilis- yang berkualiti tinggi lebih baik dan lebih tahan lama rangupnya.
1 mangkuk besar cili kering yang dipotong dan direndam dengan air panas
2 labu bawang besar
Garam
Sedikit kicap manis


Goreng ikan bilis hingga rangup. Keluarkan dan toskan.
Blend bahan cili dan bawang. (saya masukkan sikit sahaja air semasa blend- nanti cepat garing dan tidak memercik kuat)
Tumis dalam minyak bekas goreng ikan bilis. (Minyak mesti banyak)

Masukkan sejemput ikan bilis yang telah direndam dan diramas hancur dalam tumisan. Masukkan juga sedikit garam.


Tumiskan hingga seperti dalam gambar. Cilinya nampak berwarna gelap dan kerinting.
Masukkan sedikit kicap manis.
Cepat2 masukkan ikan bilis dan tutup api. Kacau sebati.


Disebabkan minyak banyak sangat, selalunya Cik Wan akan toskan sekejap sambal ni untuk keluarkan minyaknya...ambil sedikit sahaja minyak untuk dimasukkan bersama sambal gorengnya...yang lebihnya Cik Wan buang atau boleh disimpan untuk digunakan bagi menggoreng nasi atau sayur.

Makan sambal ni waktu sahur dengan nasi panas2...fulamakkkk!!!!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...