Monday 23 November 2015

Jeruk Mangga Asam Boi lagi




Esok pagi dah nak bertolak balik ke KB, terpandang buah mangga dalam fridge...kalau tak diproses alamat busuk gitu sajalah nampaknya. Takde siapa yang sudi mengupasnya..sementelah yang masak ranum pun kalau tak suruh takde yang nak mengupas buahnya..inikan lagi yang belum masak ni ..

Dalam usaha menyelamatkan buah mangga ni..Cik Wan jadikan jeruk dengan asam boi..haaaa!!! kalau macam ni cepat je lakunya hehehe.

Cara dan bahannya masih sama seperti di SINI,

7 biji mangga
4 biji cili padi- nak pedas boleh tambah (dipotong)
4 biji limau kasturi dipotong nipis
10 biji asam boi
1/2 cawan gula
1/2 sudu kecil garam

Gaul bersama dan biarkan di dalam peti ais sekurang-kurangnya 2 jam sebelum dimakan. Selamat mencubaaa...



Sunday 22 November 2015

Churros Yang Memikat Hati


Assalamualaikum sahabat semua..
Jom layan resepi churros yg tengah viral di facebook sekarang ..Cik Wan buat untuk layan anak-anak sebelum balik ke KB Selasa ni. Mek masih di hospital, kesian pulak adik2 yang dok menjaga mek tanpa giliran. Masa cuti sekolah ni lah Cik Wan dapat menjaga mek tanpa halangan, in sya Allah. Selepas menyiapkan segala kerja-kerja akhir di sekolah dan juga mengemas rumah yang sudah lama tak dikemas..Cik Wan boleh senang hati sedikit meninggalkan anak-anak. Mereka tidak dapat ikut kerana Mr A perlu menghantar Alis ke kolej dahulu minggu depan barulah terus ke KB selepas itu.. Cik Wan rasa tak sanggup nak berlama-lama lagi di KL, rindukan Mek dan juga kesiankan adik-adik.

Mek masih koma di HRPZ di KB. Masih memerlukan mesin bantuan dan terpaksa diuruskan feeding serta suctionnya. Kami dah boleh buat sendiri dengan pemantauan daripada pihak jururawat tapi agak takut2 lagi membuat suction. Mujurlah semua jururawat yang bertugas selalu sedia membantu kami. Maklumlah, kami perlu belajar membuatnya sendiri sebagai persediaan jika mek dibawa balik ke rumah nanti.

Doakan kami agar diberi kekuatan dan kesabaran serta kesihatan yang baik untuk menjaga mek. Serta doakan agar mek diberi kesembuhan, diampunkan dosa-dosanya dan dipermudahkan segala-galanya.

Oklah..jom kita tengok resepi Churros yang saya mabil dari blog  Lady Verde. Terima kasih ya Baizurah..

Churros
Sumber: Lady Verde


Bahan-bahannya:

50 gram mentega
1  cawan air
2 sudu besar gula perang
1 sudu kecil esen vanilla
1/2  sudu kecil garam
1 cawan tepung
2 biji telur
Minyak untuk menggoreng
Piping bag dan nozzle bintang


Cara membuatnya:

  1. Panaskan air, mentega, garam dan esen vanilla hingga sedikit mendidih.
  2. Tutup api. 
  3. Masukkan tepung gandum dan kacau sebati hingga adunan tidak melekat pada periuk.
  4. Tunggu suhu adunan menjadi suam.
  5. Baru masukkan telur dan kacau lagi..masukkan telur kedua dan terus kacau hingga adunan sebati.(Cik Wan guna mixer..senang kacang...)
  6. Panaskan minyak menggunakan api perlahan.
  7. Masukkan adunan dalam piping bag dan paipkan  adunan ke dalam minyak panas. Saiz panjang atau pendek terpulang pada citarasa.
  8. Goreng hingga warna golden brown. Angkat dan toskan.
  9. Taburkan dengan gula kaster serta sedap juga dicicah dengan sos coklat.
*untuk yang sukakan kayu manis..boleh campurkan dengan gula kaster untuk coating churros.


*
*
*
*
*
*
*
Tapi....
Cik Wan lebih suka layan kueh tiew celup ni...sluurrpppp..panas berasap dan pedas mencengkam...phewww

Memang Cik Wan ni lidah melayu pure hehehe..

Saturday 7 November 2015

Air Mataku Mengalir Lagi...saat duka



Assalamualaikum dan salam sejahtera....hanya gambar ini dapat Cik Wan titipkan untuk semua sahabat pengunjung. Cik Wan tahu ramai yang singgah tapi tiada apa2 update daripada Cik Wan. Kami sekeluarga sedang berduka sekarang kerana Mek sedang koma dan telah koma selama 3 minggu.

Untuk seketika ini Cik Wan tidak berkemampuan untuk mengemaskini blog. Cik Wan pohon doa daripada semua sahabat semoga Mek kembali sedar dan sembuh seperti sediakala dan mendoakan yang terbaik untuk Mek.

Terima kasih semua....

Sunday 11 October 2015

Pizza Mini Kegemaran


Pagi ni berangan nak makan nasi kerabu..tapi malas pulak nak keluar untuk membelinya. Bila turun ke bawah terbau cokodok hangit..rupa-rupanya Mr A dan Zahirah tengah buat cokodok. Adoi..entah resepi mana yang diikut depa berdua tu..hangit, tawar dan ntah apa2 lagi. Puji jugak lah sebab ada usaha nak surprisekan mamanya . Kita yang terpaksa makan sebiji, tuan buatnya dua2 tak lalu makan hahaha. Alang2 dapur dah berkecah..mama sambung terus dengan membuat mini pizza ni.


Resepi dan cara membuatnya masih sama seperti di SINI, cuma kali ni Cik Wan buatkan kecik2 seperti dalam gambar, Cik Wan hanya uli 1/2 kg (separuh daripada resepi asal) dan dapat menghasilkan 15 keping Piza Mini.

Selamat mencuba!!

Tuesday 29 September 2015

Nasi Goreng Nanas



Sudah lama memendam hasrat untuk memasak Nasi Goreng Nanas ni..baru sekarang tercapai hehehe..Macam-macamlah Cik Wan ni kan...Ini adalah diantara menu kegemaran Cik Wan bila ke restoran Thai. Selalu terfikir macam manalah chef menggoreng nasi ni. Lain sekali rasanya. Setelah lama mencari resepi dan caranya di internet, akhirnya Cik Wan terjumpa youtube daripada Pailin's Kitchen yang sangat popular tu. Dah setahun dok tengok tapi baru malam ni Cik Wan mencubanya. Wallahhhh..memang sedap sekali. Cik Wan gunakan nanas yang segar tapi belum masak ranum untuk mengurangkan manis dan airnya. Jom tengok resepi yang telah Cik Wan olah daripada  resepi Pailin.

Nasi Goreng Nanas

Bahan-bahannya:

5 cawan nasi sejuk (untuk 4-5 orang makan)
½ labu bawang besar didadu
10 ekor udang-5 ekor dicincang kasar dan 5 ekor dibiarkan seekor2.
2 biji telur
½ mangkuk biji gajus yang telah digoreng/bakar
½ mangkuk nanas yang dipotong kecil
½ mangkuk cili benggala hijau dan merah didadu

½ sudu serbuk kari-Cik Wan guna serbuk kari daging
½ sudu serbuk lada sulah

Sedikit sos ikan
Sedikit kicap cair- Cik Wan guna lemak manis jer dalam 2 sudu
Garam
Gula

Cara membuatnya:
1. Sediakan semua bahan dahulu sebelum menggoreng nasi.
2. Panaskan minyak. Goreng udang yang seekor2 dahulu. Keluarkan.
3. Goreng udang yang dicincang. Keluarkan.
4. Menggnunakan minyak yang sama. Masukkan telur. Kacau.
5. Sebelum telur beku, masukkan bawang dadu, cili benggala dadu- kacau sebati.
6. Masukkan nasi bersama  dengan serbuk kari, serbuk lada sulah, sos ikan, kicap, garam dan gula.
7. Kacau sebati dan terus masukkan gajus dan nanas. Masukkan udang cincang.
8. Kacau hingga nasi agak berderai dimana kesan kicap dan sos ikannya kering.
9. Siap. Semasa menghidang, hiaskan dengan udang yang digoreng….wallaaaahhh.

Selamat mencuba yer..

Makaroni Bakar Istimewa


Ini menu semalam...melayan selera anak-anak. Tekak dah agak jemu dengan hidangan nasi berlaukkan daging korban. Resepi mudah ala lasagna. Kalau rajin boleh buat dengan sos bechamel..kalau tak berapa rajin boleh gunakan cara alternatif..dua-dua cara sedap. Boleh jenguk2 resepi makaroni bakar yang lain dalam blog ni. Jom tengok resepi dan caranya.

Bahan-bahannya:

(A)
250 gm makaroni- rebus dan masukkan sedikit garam hingga masak.
Sedikit keju- chedar/mozarella

(B)
Bahan Sos Pasta/merah;

2 tin sos Prego (Cik Wan guna tin hijau dan merah)- boleh gantikan dengan Kimball
½ labu bawang besar Holland di dadu
1 ulas bawang putih dicincang
1 keping isi ayam kisar – Cik Wan guna Ramli
Sedikit serbuk oregano
Garam
Gula
*jika suka tambahkan sayuran seperti cendawan, mix vegies atau bell pepper.

Cara memasak sos merah:
1. Tumiskan bawang besar dan bawang putih hingga layu.
2. Masukkan isi ayam kisar. Kacau hancur selama beberapa minit atau hingga isi ayam masak.
3. Masukkan serbuk oregano, sos pasta, garam dan gula serta sedikit air yang digunakan untuk mencuci tin/botol sos tadi.
4. Kacau sebentar dan tutup api.

***Tuang sos merah ke dalam macaroni yang telah ditoskan airnya dan semasa panas2. Masukkan bersama keju. Kacau rata. Siap.

Lepas dikacau sebati..masukkan dalam mangkuk casserole.
(C)
Bahan Sos Putih/Bechamel  Sauce

3 cawan susu segar
2 sudu mentega
2 sudu tepung gandum
½ sudu garam
½ sudu kecil serbuk nutmeg/pala
2 keping keju / 2 sudu penuh keju parut  untuk dimasukkan ke dalam sos.
Parutan mozarella untuk taburan topping.

Cara memasak sos:
1. Cairkan mentega dan masukkan tepung gandum.
2. Kacau hingga tepung masak- hati2 jangan hangus periuknya.
3. Masukkan susu.
4. Kacau sebentar dan masukkan keju. Tambahkan garam, serbuk pala.
5. Kacau hingga sos menjadi  pekat. Siap.

Alternatif untuk sos béchamel/sos putih.

Bahan:
2 cawan susu
3 biji telur
½ sudu kecil garam
½ sudu kecil serbuk pala/nutmeg
Parutan keju untuk dimasukkan ke dalam sos dan juga taburan topping.

**Kacau sebati bahan dan sedia untuk dituang ke atas macaroni sebelum dibakar.

Tuang sos bechamel dan taburkan dengan keju mozarella.

Bakar hingga kelihatan seperti ini.

Yummy!!!!

Selamat mencuba....:)

Friday 11 September 2015

Kek Mentega yang gebus gebas..




Sudah lama Cik Wan tak buat kek..sejak Alis dan Aifaa tiada di rumah. Tapi Cik Wan buat juga sebab Mr A tak berapa boleh makan kudapan yang keras2 kerana giginya masih dalam rawatan. Bahan dah ada, apa lagi..Cik Wan sekodeng blog kegemaran iaitu Kak Azie dan wallaaa.... siap kek mentega yang mabeles ini. Terima kasih kak Azie.



Butter Cake
Oleh: Azie Kitchen

Bahan bahan:
250g mentega - saya guna jenama Buttercup
250g tepung naik sendiri
180g gula kaster
4 biji telur
1/2 cawan susu segar

Cara cara:

1. Panaskan oven.
2. Pukul butter dan gula hingga kembang, gebu dan bertukar warna menjadi putih (low speed kemudian sederhana kemudian high speed)
3. Masukkan telur sebiji demi sebiji di selang seli dengan  tepung.
4. Masukkan susu segar dan pukul lagi sampai sebati.
5. Masukkan dalam loyang dan bakar dalam oven yang telah dipanaskan dengan suhu 180 selama 40 minit atau sehingga masak.


Selamat mencuba ye...

Wednesday 9 September 2015

Ikan Singgang Tradisional Kelantan


Assalamualaikum. Ini resepi ikan singgang paling mudah di dunia hahaha...apa tak mudahnya..ketuk2 campak2 jer ..dah siap. Macam2 versi ikan singgang ni..tapi yang ini versi Cikgu Wan. Setakat ni, siapa2 yang pernah makan kata ikan singgang ni sedap. Alhamdulillah. Perfect practice makes perfect hehehe betul dak? Jom, tengok bahannya.

Bahan-bahannya:

1 ekor ikan tongkol- basuh dengan cuka dan siram bersih.
1 labu bawang putih-ketuk je dan buang kulit.
1 inci lengkuas
4-5 keping asam gelugor/asam keping bergantung pada saiz.
2 inci nise/gula melaka
Garam secukupnya.
Lada hijau solok secukupnya- boleh letak cili api juga
Bendir jika suka


*serai tidak dibubuh dalam singgang kelate
*tapi kunyit dan halia ada yang suka bubuh like  my mum always do..awet muda katanya hehe.


Cara-caranya:

  1. Masukkan ikan dan air secukupnya ke dalam periuk- biar tenggelam ikannya.
  2. Masukkan bawang putih, lengkuas, cili dan asam.
  3. Masukkan terus gula nise/gula melaka dan garam.
  4. Masak dengan api perlahan dalam 20 minit. Tambah air jika kuahnya berkurang.
  5. Bila hampir ditutup apinya, boleh masukkan bendir. Siap.

Makanlah dengan nasi panas bersama ulam dan budu ataupun sambal belacan. 
Beware!!!!! amaran keras kepada sesiapa yang sedang diet...anda dilarang masak singgang ni kerana sudah pasti anda akan bertambah2 nasi hehehehehe...

Tuesday 8 September 2015

Kuzi Ayam Istimewa Sekali.




Kuzi Ayam kegemaran Cik Wan dan Mr A...kali ni Cik Wan makan dengan Nasi Ganja kegilaan sekarang hehehe, memang sedap nasinya patutlah sangat popular.
Kali ni Cik Wan sempat ambil gambar untuk tunjukkan step by step cara membuat kuzi ayam ni. Resepinya dah ada kat bawah ye..boleh rujuk.

Bahan untuk perap ayam.

Ayam yang sedang diperap. Cik Wan perap sejam dua dalam peti sejuk.

Untuk bawang goreng...sebab ayam sebelah saja, cikwan guna 15 ulas bawang. Kalau seekor, guna 30 ulas.
Gajus, kismis, rempah kuzi dan badam.
Langkash pertama memasak: goreng bawang.
Goreng kismis, diikuti dengan badam dan gajus.
Siap digoreng.
Baru goreng ayamnya.
Dalam kuali yang sama, keluarkan sedikit minyak dam masukkan minyak sapi.
Tumiskan bawang besar dan bawang putih yg dimayang.
Masukkan rempah kuzi, air, susu cair, sos tomato, garam dan gula melaka. Kacau.
Masukkan ayam, semua bahan goreng dan kacau sebati.
Kacau hingga pekat..Siaappppp !!

Selamat mencuba ye...

Bahan-bahannya;

Sediakan ayam dahulu
1 ekor ayam- potong kecil
2 ulas bawang putih-diblend
1/2 inci halia-diblend
2 batang serai-diblend
Sedikit garam
Perap ayam dengan bahan yang telah diblend serta garam sekurang-kurangnya satu jam.


Bahan tumis:
1 labu bawang besar-mayang
1 ulas bawang putih -mayang
1 sudu minyak sapi


Bahan rempah:
30 ulas bawang merah-dimayang halus dan digoreng hingga garing. Hancurkan- saya tak hancurkan
1 cawan campuran kismis dan gajus/badam- saya tambah dan saya guna kedua2 badam dan gajus.
1 sudu besar (mumbung) rempah kuzi
5 sudu besar sos tomato
1/2 tin susu cair.
1/2 cawan air
Garam
Gula melaka


Cara-caranya;
  1. Sediakan kuali dan panaskan minyak.
  2. Mula2 goreng bawang hingga garing/brown- hati2 jangan hangus.
  3. Keluarkan bawang, goreng kacang sebentar.
  4. Keluarkan kacang, goreng kismis dan keluarkan.
  5. Menggunakan kuali yang sama, goreng ayam separuh masak. Angkat keluar.
  6.  Masih menggunakan minyak dan kuali yang sama, tambahkan minyak sapi
  7. Tumiskan bawang besar dan bawang putih yang dimayang.
  8. Masukkan rempah kuzi yang dibancuh dengan air (tidak perlu lama2)
  9. Masukkan susu cair dan air.
  10. Masukkan sos tomato, bawang goreng, ayam, kismis, gajus/badam, garam dan gula melaka secukupnya.
  11. Masak hingga kuahnya pekat. Siap!

Jungle Trekking Air Terjun Hulu Perdik


Pertama kali dalam hidup Cik Wan..mendaki bukit walaupun sebenarnya Cik Wan sangat meminati aktiviti lasak seperti ini. Banyak dah program yang dianjurkan oleh pihak sekolah tetapi Cik Wan tak pernah berkesempatan..kadang2 waktu pregnant, kadang2 cuti ke tempat lain..jadi sentiasa terlepas!
Kali ini, selepas melakukan aktiviti explorace di Paya Indah Wetland, Dengkil pada 22 Ogos lepas, Cik Wan sertai pula aktiviti jungle trekking ke Air Terjun Hulu Perdik, Hulu Langat!!!

Perjalanan 2.5km ke air terjun dan mendaki bukit  menggunakan denai2 kecil laluan yang digunakan oleh pencari buluh dan rotan memang mencabar Cik Wan. Maklumlah dan berusia dan badanpun berisi hehehe. Semasa kami mendaki ada pelajar2 MRSM membuat aktiviti yang sama. Huhh budak2 tu senang jer mendaki..

Bagi Cik Wan, bagi orang yang biasa mendaki, jungle trekking ke Hulu Perdik ni boleh dikira senang, cuma jalannya sahaja yang agak sukar kerana jalan yang belum diterokai sepenuhnya lagi. Terpaksa melalui 3 anak sungai dan juga bahagian mendaki yang agak curam.

Cik Wan dan kawan2 (geng makcik2 :)) mengambil masa dalam 50 minit ke 1 jam untuk sampai ke Air Terjun. Wahhhhhh..... memang berbaloi2 peluh yang mencurah keluar..sampai je ke atas..terbentang pemandangan air terjun yang sangat cantik!!!





Sampai je kami ke air terjun...apa lagi! macam itik jumpa air la..kami cikgu2 perempuan mandi tak hingat dunia hehehe..hinggakan cikgu2 lelaki tak berani nak masuk dekat hahah..depa tengok dari jauh jer..malu agaknya hahahaha. Gambar kami mandi-manda tak dapat Cik Wan nak upload kat sini..sensored!!!! hahaha.

Hampir satu jam mandi, barulah kami turun ke bawah dan dihidangkan dengan nasi goreng serta ayam bbq. Ada cikgu2 perempuan yang tak ikut mendaki tetapi hanya berada di kawasan berkelah di kaki bukit. Merekalah yang memasak dan menyediakan hidangan tengah hari. Bila makan dalam keadaan letih dan gembira, semuanya jadi sedap dan menyelerakan..terima kasih kawan-kawan...

#kena gigit pacat
#ada yg nampak benda asing
#ada bau binatang liar

Untuk melihat gambar-gambar dan membaca dengan lebih menarik cerita ekspedisi kami  sila ke blog Cikgu Zaiham atau Leader ekspedisi kami di SINI. Terima kasih ZAiham..lenkali buat program lagi ye hehe

Next trip....Krabiiiii...in sya Allah..jumpa lagi kawan :)

Wednesday 2 September 2015

Kek Pisang Mudah Mabeles






Assalamualaikum... jumpa lagi setelah sekian lama bercuti. Resepi kek pisang ni saya belajar daripada Kak Jamayah atau Kak Jam CC di SMK Seri Mulia pada tahun 2004. Saya gunakan hingga sekarang sebab resepi keknya yang mudah tapi sangat gebu dan sedap sekali. Terima kasih kak Jam atas perkongsian resepi ni. Jom, tengok bahan-bahannya.

Bahan-bahannya:

2 cawan tepung gandum
1 cawan gula kastor
3 biji telur
1 cawan pisang dilenyek hancur- Cik Wan guna pisang Rastali
1 cawan mentega/margarin- Cik Wan guna margarin
1 camca penuh soda bikarbonart
Sedikit esen vanilla

Cara-caranya:

  1. Putar/pukul hingga kembang mentega dan gula.
  2. Setelah kembang, masukkan telur satu persatu dan pukul hingga kembang.
  3. Masukkan esen vanilla dan pukul lagi.
  4. Tapiskan tepung gandum dengan soda bikarbonart..masukkan dalam adunan mentega tadi.
  5. Kaup balik atau putarkan lembut hingga sebati.
  6. Masukkan pisang lenyek. Kacau lembut hingga rata. Siap.
  7. Alaskan bekas pembakar dengan kertas minyak.
  8. Masukkan adunan ke dalam bekas pembakar dan taburkan kacang jika suka.
  9. Bakar menggunakan suhu 160-170 selama 45 minit hingga 1 jam.
  10. Cucuk kek dengan lidi sate, jika keluar bersih, kek dah masak. Sejukkan sebelum dipotong.
Nota: Untuk gambar kek di atas, Cik Wan menggunakan sukatan 2 kali ganda daripad resepi asal.

Sunday 23 August 2015

Roti Goreng Kacang Merah Kelantan





Roti goreng sahaja untuk sarapan hari ini..mudah dan anak-anakpun suka. Cik Wan sharekan balik resepinya dan Cik Wan sedekahkan resepi ni untuk siapa-siapa yang nak berniaga..ini memang resepi yang digunakan oleh keluarga Mr A untuk berniaga sejak berpuluh tahun dulu. Semoga murah rezeki dan berkat juga hasilnya. Untuk yang nak buat bagi hidangan keluarga, selamat mencuba. Boleh pelbagaikan inti mengikut kesukaan anak-anak. Ada sahabat kita yang gunakan resepi ni dengan inti nutella..katanya sangat sedap sekali. Selamat mencuba..:)



Bahan-bahannya:


1 kg tepung gandum
1 cawan gula*
1 paket yis mauripan* (bancuh yis dengan gula tadi bersama dengan 1 cawan air suam kuku hingga berbuih)
4 sudu margarine- semalam saya guna butter, gebu jugak
1 sudu besar soda bikarbonat dan 1 sudu kecil garam (bancuh dengan 1 cawan air dan sedikit pewarna kuning)
Air secukupnya jika perlu (bancuhan yis dan soda  tadi sudah 2 cawan air)

Inti kacang merah- saya beli yang ready made.

Cara-caranya.

  1. Masukkan semua bahan ke dalam bekas dan uli sehingga adunan tidak melekat di tangan.
  2. Biarkan doh naik 2 kali ganda.
  3. Uli/tumbuk  sekejap doh tadi untuk keluarkan angin.
  4. Bulat-bulatkan doh mengikut saiz yang dikehendaki. (Jangan besar sangat sebab sebelum digoreng akan dileperkan dahulu, jadi saiznya akan jadi makin besar)
  5. Masukkan inti kacang merah ke dalam doh (macam buat ondeh-ondeh)
  6. Susun dalam dulang/loyang yang telah ditabur sedikit tepung untuk elakkan melekat.
  7. Panaskan minyak.
  8. Sebelum  menggoreng, tekan-tekankan sedikit doh sehingga leper (jangan kuat sangat) dan terus masukkan ke dalam minyak.

Roti akan tenggelam, mengembang dan timbul semula. Balik-balikkan sehingga masak/warna perang. Siap.


Sunday 9 August 2015

Cuti-cuti Raya

Assalamualaikum..
Lama sungguh Cik Wan cuti berblog..hampir sebulan juga.
Memang tak layak nak panggil blogger ni hahaha.
Macam-macam peristiwa berlaku yang menyebabkan Cik Wan cuti lama.
Belum terlambat rasanya untuk Cik Wan mengucapkan Selamat Hari Hari Raya Aidil Fitri Maaf Zahir dan Batin.
Cik Wan minta maaf jika ada tersalah bicara tersilap tulis dan terima kasih yang tidak terhingga kepada pembaca semua kerana sudi dan selalu singgah di blog ini.

Hari ni Cik Wan tak postkan gambar makanan, cuma gambar2 anak-anak murid yang datang beraya Jumaat lepas. Cik Wan masak nasi lemak, spagheti bolognaise  dan Cik Wan oder sahaja kek, popiah rangup dan juga buah-buahan. Tak mampu nak masak banyak2 sebab Cik Wan seorang sahaja tenaga kerjanya tambahan sibuk pula dengan kerja sekolah minggu ni. Minggu depan ada pemantau akan datang dan Cik Wan juga sibuk dengan persediaan budak2 nak mengadap peperiksaan percubaan SPM bermula 1 September nanti.

Jom ..layan ganbar sahaja sekeping dua......





Sunday 12 July 2015

Biskut Samperit Bunga yang nyum nyum...




Ini hasil gentelan yang kedua..first time cuba acuan semperit yang ditempah dari Taiping...memang cantik acuannya, tapi tuan yang buat kuih ni tak berapa pandai..tak ada sentuhan seni..aduuuhhh...bolehlah, seperti kata orang tua-tua..tak ada rotan akarpun berguna.
Jom tengok resepinya.

Biskut Samperit.

Sumber : FB dikongsi oleh Siti Hajar Hasyim


Bahan-bahannya;

250 gram mentega
2 biji kuning telur
1 cawan gula aising
1 cawan tepung jagung
1 1/2 cawan tepung kastad
21/2 cawan tepung gandum
1 sudu esen vanila
Ceri merah untuk hiasan


Cara-caranya:

  1. Pukul gula, mentega hingga sebati.
  2. Masukkan telur dan esen vanila. Pukul sebati.
  3. Masukkan semua tepung, kacau dengan sudip kayu hingga sebati- kalau susah, uli je dengan tangan macam Cik Wan buat.
  4. Dapat adunan yang lembut. 
  5. Tutup dengan plastic wrap/tuala dapur semasa sedang menerap supaya adunan tidak mengeras. 
  6. Hias dengan ceri merah atau hijau atau coklat cip...mana2 yang anda suka.
  7. Bakar dengan suhu 160 - 180 darjah selama 15-20 minit.
  8. Untuk pastikan kelopak biskut tidak jatuh selepas dibakar, biarkan biskut yang telah diterap selama 15 minit sebelum dibakar.
Selamat mencuba...



Biskut Suji Kristal Yang Comel




Dalam sibuk2 ni Cik Wan sempat juga menggentel dua jenis biskut semalam. Biskut yang mudah tapi sedap sesuai untuk orang yang tak berapa pandai baking membaking seperti Cik Wan ni. Resepi ni kawan Cik Wan share dalam facebook..memang mabeles sebab sedap dan senang nak membuatnya..ayuhh adik2 yang sekapal dengan Cik Wan boleh cuba biskut ni. Jom, tengok bahan-bahannya;


Sumber: FB eyna

Bahan-bahannya:

3 cawan tepung gandum
1 cawan minyak sapi
1 1/2 cawan gula kaster (1 cawan masuk dalam adunan dan 1/2 cawan untuk coating)

Cara-caranya:


  1. Campurkan semua bahan dan gaul sebati.
  2. Bahagikan kepada 3 bahagian. 
  3. Uli 2 bahagian dengan warna hijau dan merah.
  4. Cubit sedikit2 setiap warna (kuning, hijau dan merah) dan gentel bulat seperti ondeh2. (Kecil sahaja tau, sebab nanti jadi kembang besar)
  5. Susun dalam loyang dan bakar selama 18-20 minit dalam suhu 180 darjah.
  6. Sejukkan.
  7. Golek-golekkan biskut dalam gula kaster yg 1/2 cawan tadi.
  8. Masukkan ke dalam paper cup yang disukai..siap.
  9. Dapat dalam 115-120 biji biskut. Senangkan?

Selamat mencuba :)


Wednesday 8 July 2015

Daging Dendeng Dua Resepi


Alhamdulillah..setelah sekian lama teringin nak memasak daging dendeng ni...baru kali ni menjadi kenyataan. Dulu masa tinggal di Perak, inilah di antara juadah kegemaran saya setiap kali jiran-jiran atau surau di kawasan perumahan membuat kenduri. Pendek kata..tak ambil lauk lain lah :)

Berpandukan kepada dua resepi (Tahrunnisa dan Nizayati) dan juga resepi yang pernah dijumpai di dalam majalah masakan suatu masa dulu, hasilnya sangat membanggakan. Sedapnya memang tak terkata, malah Mr A yang payah untuk menerima masakan yang tidak dia biasa pun turut memuji sangat sedap malah boleh diratah begitu sahaja.  Mari kita tengok bahan dan caranya ye..


Bahan-bahannya:

Bahagian A

500gm daging (Cik Wan guna daging batang pinang import)
1 sudu rempah ketumbar- tumbuk
air + air kelapa secukupnya untuk merebus daging. (tekniknya Cik Wan dapat dari resepi Dendeng Indonesia)

*rebus daging hingga empuk (jangan lama sangat)
*hiris nipis daging
*tumbuk daging - cik wan tak tumbukpun sebab daging lembut sangat dah.
*Air rebusan disimpan sedikit.


Bahagian B

15 ulas bawang merah- dimayang dan digoreng (jadi bawang goreng)
*untuk lebih sedap, tips daripada kawan Cik Wan Puan Hani Azlina, berat bawang yang dijadikan bawang goreng mesti sama dengan berat daging.

Bahan C

1 ulas bawang putih
3 ulas bawang merah
1/2 inci halia
2 sudu serbuk cili/cili boh

*Semua dimesin/tumbuk lumat.

Bahan D

1/2 kuntum bunga lawang
1/2 inci kulit kayu manis
1 batang serai-ketuk/titik
3 helai daun limau purut
1/2 inci lengkuas

Kicap lemak manis secukupnya- nanti jangan hitam sangat
1 sudu kecil asam jawa- bancuh dengan sedikit air
Garam secukupnya




Cara memasaknya:


  1. Gunakan satu kuali sahaja.
  2. Mula2 dengan minyak yang banyak, gorengkan bawang merah. Sudah garing, keluarkan dan toskan.
  3. Gorengkan daging yang sudah ditumbuk/hiris. Goreng sebentar sahaja. Angkat dan toskan.
  4. Keluarkan minyak daripada kuali, tinggalkan dalam 3 sudu sahaja.
  5. Tumiskan bahan mesin (Bahan C). Tumis hingga cilinya garing betul.
  6. Masukkan air asam jawa.
  7. Masukkan Bahan D. Kacau.
  8. Masukkan daging dan bawang goreng. 
  9. Masukkan kicap dan garam sedikit-sedikit.
  10. Masukkan sedikit air rebusan.
  11. Kacau hingga daging mesra sebati.
  12. Jika suka berkuah...banyakkan air rebusan.
  13. Cik Wan kacau hingga hampir kering sahaja.
  14. Siap!!!

Banyak stepnya tapi berbaloi-baloi....selamat mencuba :)




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...