Alhamdulillah..setelah sekian lama teringin nak memasak daging dendeng ni...baru kali ni menjadi kenyataan. Dulu masa tinggal di Perak, inilah di antara juadah kegemaran saya setiap kali jiran-jiran atau surau di kawasan perumahan membuat kenduri. Pendek kata..tak ambil lauk lain lah :)
Berpandukan kepada dua resepi (Tahrunnisa dan Nizayati) dan juga resepi yang pernah dijumpai di dalam majalah masakan suatu masa dulu, hasilnya sangat membanggakan. Sedapnya memang tak terkata, malah Mr A yang payah untuk menerima masakan yang tidak dia biasa pun turut memuji sangat sedap malah boleh diratah begitu sahaja. Mari kita tengok bahan dan caranya ye..
Bahan-bahannya:
Bahagian A
500gm daging (Cik Wan guna daging batang pinang import)
1 sudu rempah ketumbar- tumbuk
air + air kelapa secukupnya untuk merebus daging. (tekniknya Cik Wan dapat dari resepi Dendeng Indonesia)
*rebus daging hingga empuk (jangan lama sangat)
*hiris nipis daging
*tumbuk daging - cik wan tak tumbukpun sebab daging lembut sangat dah.
*Air rebusan disimpan sedikit.
Bahagian B
15 ulas bawang merah- dimayang dan digoreng (jadi bawang goreng)
*untuk lebih sedap, tips daripada kawan Cik Wan Puan Hani Azlina, berat bawang yang dijadikan bawang goreng mesti sama dengan berat daging.
Bahan C
1 ulas bawang putih
3 ulas bawang merah
1/2 inci halia
2 sudu serbuk cili/cili boh
*Semua dimesin/tumbuk lumat.
Bahan D
1/2 kuntum bunga lawang
1/2 inci kulit kayu manis
1 batang serai-ketuk/titik
3 helai daun limau purut
1/2 inci lengkuas
Kicap lemak manis secukupnya- nanti jangan hitam sangat
1 sudu kecil asam jawa- bancuh dengan sedikit air
Garam secukupnya
Cara memasaknya:
- Gunakan satu kuali sahaja.
- Mula2 dengan minyak yang banyak, gorengkan bawang merah. Sudah garing, keluarkan dan toskan.
- Gorengkan daging yang sudah ditumbuk/hiris. Goreng sebentar sahaja. Angkat dan toskan.
- Keluarkan minyak daripada kuali, tinggalkan dalam 3 sudu sahaja.
- Tumiskan bahan mesin (Bahan C). Tumis hingga cilinya garing betul.
- Masukkan air asam jawa.
- Masukkan Bahan D. Kacau.
- Masukkan daging dan bawang goreng.
- Masukkan kicap dan garam sedikit-sedikit.
- Masukkan sedikit air rebusan.
- Kacau hingga daging mesra sebati.
- Jika suka berkuah...banyakkan air rebusan.
- Cik Wan kacau hingga hampir kering sahaja.
- Siap!!!
Banyak stepnya tapi berbaloi-baloi....selamat mencuba :)