Thursday, 27 June 2013

Puding Roti Marble

Ini adalah resepi puding roti yang saya pakai campak-campak sahaja bahannya. Sedang memasak tu terpandang sebungkus roti yang dah keras dalam peti sejuk..daripada menyemak je dalam tu, memandailah saya merekacipta resepinya. Hasilnya agak lembik, mungkin terlebih air. Nasib baik saya sempat ingat sukatan yang digunakan, maka bolehlah dibuat adjustment nanti. Tapi rasanya memang sedappp..hehehe.

Bahan-bahannya;
10 keping roti Gardenia*
1 botol susu segar Ducth Lady 450 ml*
Rendam bersama bahan bertanda *
2 biji telor- buang tali pusatnya
400 gram gula -boleh tambah untuk lebih manis
3 botol air- guna botol susu Dutch Lady tadi (saya gunakan 4 botol, terlupa susu dah 1 botol, tu yang lembik)
2 peket agar2 serbuk
Sedikit esen vanilla
2 sudu besar serbuk koko dibancuh dengan sedikit air panas -saya guna van haouten
Sedikit pewarna kuning

Cara-caranya;
  1. Masukkan air dan serbuk agar-agar kedalam periuk. Panaskan,
  2. Bila dah menggelegak, masukkan gula, Masak hingga gula hancur.
  3. Semasa menunggu air menggelegak, blend lumat roti yang direndam susu bersama-sama telur.
  4. Masukkan ke dalam periuk yang sedang menggelegak tadi. Kacau rata.
  5. Masukkan esen vanilla.
  6. Tutup api. 
  7. Tapiskan adunan ke dalam bekas lain- jika tidak mahu tapis pun tak apa.
  8. Bahagikan kepada dua bahagian, satu bahagian dimasukkan bancuhan koko dan satu bahagian lagi dimasukkan pewarna kuning.
  9. Sediakan loyang/bekas yang sesuai- yang agak besar kerana kuantitinya banyak.
  10. Masukkan secara berselang-seli adunan puding tadi sehingga berbelang-belang marble.
  11. Sejukkan dalam peti sejuk.
  12. Siap untuk dinikmati.


Roti Pau Bakar



Lama sungguh blog ni tak diupdatekan, bukan apa..sibuk sungguh dengan kerja-kerja di sekolah. Roti ni dah beberapa hari dibuat tapi hari ini baru sempat dimasukkan di sini. Seperti resepi roti yang dulu-dulu, yang inipun saya belajar dengan mak mertua serta adik ipar di kampung yang memang menjual roti ini sejak dulu. Semoga mendapat pahala daripada perkongsian ini, juga menjadi amal jariah mereka berdua..in sha Allah.

Masa saya kecik2 dulu ada seorang pakcik yang saya panggil Pok Yeh, kerjanya menghantar pau bakar dan pau kukus buatan isterinya ke kedai kopi. Setiap kali ternampak saya, arwah akan memberikan sebiji roti bakar kepada saya. Beliau ialah kawan arwah Tuk dan arwah Wan saya....suka benar dia bersedekah kepada anak yatim ini. Al Fatihah kepada arwah, semoga Allah memberi rahmat dan kebahagiaan di alam sana di atas santunnya arwah kepada anak yatim seperti saya. Sesungguhnya sebiji pau bakar ini memberi banyak kenangan yang tidak ternilai buat saya. Selain daripada beliau, ada lagi pakcik2 yang lain seperti arwah Pak Soh dan  arwah Pakcik Li yang suka benar bersedekah kepada saya, tak boleh nampak akan dipangil untuk diberikan wang mahupun makanan. Alhamdulillah, Allah menjaga saya sejak kecil dengan adanya orang-orang baik seperti mereka. Alfatihah untuk mereka.  Ramai orang kata muka saya manis dan mulut saya ramah, sebab tu murah rezeki hahahaha..amiiinnnn.

Aduhhh, banyak pula celotehnya, jom kita tengok resepi roti kampung ni.

Bahan-bahannya;

Untuk roti;
1 kg tepung gandum
2 sudu yeast mauripan- bancuh dengan air suam bersama-sama 7 sudu gula- biar hingga berbuih
7 sudu besar minya masak- saya guna minyak sayur
Air secukupnya
1 sudu teh garam.
Daun pisang untuk alas roti-basuh bersih dan gunting mengikut saiz roti yang akan dibentuk.

 Cara-caranya.
  1. Sediakan tepung ke dalam mangkuk besar.
  2. Bancuh garam dengan air hingga larut.
  3. Masukkan bahan yeast, air garam dan minyak ke dalam tepung.
  4. Uli sehingga adunan lembut dan tidak melekat di tangan,
  5. Biarkan hingga naik 2x ganda.
untuk intinya;
Saya gunakan inti kelapa dan caranya memang berbeza tapi saya harap anda cuba cara ini kerana rasanya akan lebih sedap berbanding inti yang dimasak terlebih dahulu.

Bahan-bahannya;
1 biji kelapa parut putih- lebih sedap kalau yang agak muda
1 sudu kecil garam
2 cawan gula- boleh kurangkan kpd 1 1/2 cawan.

Cara-caranya;
  1. Masukkan semua bahan ke dalam mangkuk.
  2. Kacau tanpa henti untuk 10 minit sehingga gula cair dan kelapa jadi lembab dan bersinar.
  3. Simpan dalam peti sejuk, dan keluarkan sebaik sahaja hendak dimasukkan ke dalam adunan roti.
Langkah membentuk roti;
  1. Doh roti telah kembang 2 kali ganda.
  2. Sediakan alas daun pisang.
  3. Tidak perlu tumbuk adunan ttadi untuk keluarkan anginnya.
  4. Gunakan pisau, tarik dan potong doh secukunya untuk sebiji roti.
  5. Masukkan inti kelapa dan bungkus doh elok-elok- bentuk ikut suka.
  6. Letakkan di atas daun pisang yang telah disapu minyak. Biarkan sebentar sebelum dibakar.
  7. Bakar roti menggunakan api  grill atas bawah selama 8 minit ayau sehingga bahagian atas roti sedikit terbakar.(Saya guna microwave oven untuk grill api atas bawah)
  8. Siap.
Saya bentukkan macam  ni seperti yang dijual di kampung dan yang dijual oleh arwah Pok Yeh
                                                                                                                                                                                                 
Wangi daun pisang dan inti kelapa meningkatkan selera...

Sunday, 23 June 2013

Ketam Goreng Telur Masin



 Seronok juga kalau resepi yang baru dieksperimenkan jadi sedap atau jadi kegemaran ahli keluarga..hehehe kira satu kejayaanlah jugak.:-). Maklumlah saya tak pandai sangat nak buat masakan yang canggih2 atau membaking2 ni. Setakat resepi campak2 memang bolehlah hehehe.

Resepi ni hasil menonton satu rancangan di AFC tapi tak salinlah pulak resepinya, so saya buat jugak pakai agak2 je apa yang masih diingat serta pandai-pandai reka sendiri. Tapi hasilnya memang mabeles!! Jom tengok resepinya.

Bahan-bahan;
2 ekor ketam-potong empat (masa memilih ketam, jentik2 dulu belakangnya, kalau bunyinya keras dan padat maksudnya banyak isi. Kalau bunyinya macam gendang, kosong je tak payah pilih..sure isinya sikit).
Toskan ketam dan taburkan dengan lada sulah, garam  serta tepung jagung, goreng garing.

2 biji telur masin-rebus ambil kuningnya dan pecah2kan sedikit.

Bahan rempahnya;
3 ulas bawang putih*
4 ulas bawang merah*
Sedikit halia*
-Mesin lumat bahan *

2 batang serai-diketuk
Daun ketumbar
5-6 biji cili padi diketuk
Sos tiram
Sos cili
Sos tomato
1 sudu besar sos sambal udang bersili Thai-kalau ada, kalau tak ada guna cili kering atau serbuk cili jer


Cara-caranya;
  1. Tumiskan bahan mesin hingga garing. Masukkan serai yang telah diketuk.
  2. Masukkan sambal udang, sos cili, sos tiram dan sos tomato. Kacau sebati.
  3. Rasakan, kalau kurang masin tambahkan sedikit garam- Ingat, ketam dah letak garam sebelum digoreng tadi.
  4. Masukkan daun ketumbar, cili padi dan telur masin.
  5. Masukkan ketam, kacau hingga sebati semuanya. Done!!!

Acar Sayur Campur

Acar Sayur yang popular di Kelantan. Acar ini sebenarnya sama dengan acar buah pisang yang hanya terdapat di Kelantan Darul Naim. Acar sayur ni banyak dijual di pasar2 pada bulan Ramadhan. Mungkin kerana sayur ini membuka selera serta tahan lama, boleh dimakan sehingga sahur kerana dicampur dengan cuka.

Bahan-bahannya;

Untuk sayurnya;
1 biji timun
Sedikit kubis
Sedikit taugeh
Beberapa biji cili besar

Untuk bumbunya;
2 ulas bawang putih*
3 ulas bawang merah*
Sedikit halia*
Beberapa biji cili kering*
- mesin lumat bahan *

Sedikit santan- kena pekat sedikit.
Sedikit cuka
Garam
Gula

Cara-cara memasak;
  1. Tumiskan bahan mesin hingga naik minyak.
  2. Masukkan santan, cuka, gula dan garam.
  3. Kacau sebentar, masukan semua bahan sayur.
  4. Kacau sebentar, rasakan masin, masam dan manisnya biar sekata.
  5. Masak hingga menggelegak. Siap. Mudahkan?

Saturday, 8 June 2013

Kek Carrot (2)




Dalam sibuk-sibuk menanda kertas, saya buatkan juga kek karet ni bagi melayan permintaan anak-anak petang ni. Lagipun esok Aifaa dah nak balik ke asrama, bukan setakat kek malah saya buatkan juga 4  biji pizza untuk mereka..hahahaha puas hati mereka makan.

Resepi untuk kek ni pernah saya tulis di entry lama di sini, tapi saya buat beberapa perubahan. Hasilnya kek petang ini lebih gebu dan ringan berbanding sebelum ini. Sangat sedap mengikut selera saya hehehehe.


Bahan-bahannya;

2 cawan tepung naik sendiri*
1 sudu teh double action baking powder*
1 sudu teh garam*
- yang bertanda * digaul sebati
2 cawan gula halus/caster- saya tukar kepada brown sugar
4 biji telor
1 1/4 cawan minyak conola/sunflower/sayur-saya guna mazola
1 cawan kacang walnut/badam dipanggang dahulu-saya guna badam
 4 cawan karet parut-perah keluar dulu airnya
1 biji kulit buah oren parut (zest)-saya guna 2 sudu besar sunquick
* saya tambah sedikit esen vanilla menggantikan serbuk kulit kayu manis

 Cara-cara
1. Siapkan bekas untuk bakar, griskan dengan butter dan alaskan dengan kertas kek.
2. Pukul telur hingga agak kembang masukkan gula. Pukul hingga kembang dan warnanya pucat.
3. Masukkan minyak secara perlahan-lahan dan pukul lagi hingga kembang. Masukkan esen vanilla dan    sunquick oren.
4. Perlahan-lahan masukkan bancuhan tepung dan pukul lagi. Matikan mixer dan gunakan sudip untuk    langkah seterusnya.
5. Masukkan parutan karet dan kacang, kacau sebati.
7. Siap untuk dibakar dalam api 180c selama 30-35 minit.

Bahan-bahan cream cheese

250gm cream cheese (saya guna tartura cheese)
30gm butter
1 sudu besar perahan lemon @ lime-cam biasa la, saya gunakan sunquick
1 sudu besar esen vanilla
1 sudu besar susu segar
100gm gula ising
  1. Pukul hingga kembang cream cheese dan butter. 
  2. Masukkan gula dan semua bahan lain. 
  3. Siap untuk disapukan atas kek yang sudah disejukkan.
  4. Siap!!

Wednesday, 5 June 2013

Nasi Ayam

Macam-macam cara memasak nasi ayam ni. Saya sendiripun kadang-kadang menggunakan cara yang berbeza-beza ketika memasak nasi ayam ni, tapi cara yang saya tunjukkan ini adalah yang paling saya dan anak-anak suka.

Bahan-bahan utama;

1 ekor ayam dipotong empat-bersihkan dan toskan.(organ serta kaki ayam juga dibersihkan bersama-sama)
Air secukupnya untuk memasak nasi dan juga sup.
4 ulas bawang putih-ketuk
1/2 inci halia-ketuk
Garam secukupnya.

Cara-caranya;
  1. Rebus ayam dengan organ dalam serta kakinya bersama-sama dengan bawang putih dan halia.
  2. Rebus hingga ayam empuk.
  3. Toskan 4 keping ayam tadi.
  4. Gunakan air rebusan untuk memasak nasi seperti di bawah ini.

Untuk Nasi;

3 pot beras dibersihkan dan ditoskan.
1 genggam beras pulut dicampur dalam beras biasa tadi- tidak perlu masukkan jika gunakan beras wangi.
3 1/2 @ 4 pot air rebusan ayam- bergantung kepada beras yang digunakan di rumah.
1 labu bawang besar-mayang nipis
2 ulas bawang putih-mayang nipis
1/2 inci halia-hiris halus
3 kuntum cengkih
1/2 inci kulit kayu manis
1 kuntum bunga lawang
3 biji buah pelaga
1 helai daun pandan dikoyak dan disimpulkan
3 sudu mentega/margarin
Sedikit minya masak-untuk elakkan mentega hangus.
1 sudu minyak bijan-optional (lebih sedap kalau letak)

Cara memasak nasi;
  1. Masukkan minyak dan mentega ke dalam periuk.
  2. Masukkan bawang putih, bawang merah dan halia, kacau hingga layu.
  3. Masukkan rempah cengkih, kayu manis, lawang dan pelaga, tumis lagi.
  4. Masukkan daun pandan bersama-sama beras yang telah ditoskan, kacau hingga sebati-goreng sekejap.
  5. Masukkan air rebusan ayam tadi, minyak bijan dan sedikit pewarna jika suka.
  6. Masak hingga nasi masak.
  7. * Garam boleh dimasukkan jika suka nasi yg agak masin.

Untuk Ayam;

4 keping ayam yang telah direbus tadi.
Sedikit sos tiram
Kicap masin
Sedikit madu jika suka-saya tak letak
Sedikit serbuk lada hitam jika suka-saya tak letak

Cara-caranya;
  1. Lumurkan ayam dengan sos tiram dan kicap. Biarkan sebentar.
  2. Goreng hingga garing. Siap (Sekejap sahaja menggorengnya kerana ayam telah masak dan cepat hangus kerana disalut kicap dan sos tiram)
  3. Potong kecik dan hidangkan.

Untuk sambal cili;

10 biji cili padi merah
3 biji cili merah besar
1 biji buah tomato
1/2 inci halia
3 ulas bawang putih
1 sudu garam
3 sudu gula
Cuka secukupnya.

Cara-caranya;
  1. Mesin semua bahan kecuali cuka hingga lumat dengan sedikit air.(nak mesin bersama pun boleh).
  2. Masukkan dalam periuk, masukkan cuka.
  3. Masak hingga menggelegak, sambil itu rasakan masam, masin dan manisnya. Siap.
Untuk sos kicapnya;

Air rebusan ayam secukupnya
Kicap masin secukupnya

Caranya;
  1. Masukkan kicap ke dalam air rebusan ayam. Kacau. Siap.
 
 Untuk supnya;

Bahan-bahannya;

Baki air rebusan ayam beserta organ dan kaki ayam tadi.
Rempah sup secukupnya
Sedikit lada hitam.
Daun sup.
Bawang goreng
Cili padi
Asam limau nipis.

Cara-caranya:
  1. Panaskan semula air rebusan ayam tadi.
  2. Masukkan rempah sup dan lada hitam.
  3. Masak hingga menggelegak. Rasakan masinnya, jika perlu tambah garam. Siap!.
  4. Hidangkan dengan hirisan daun sup, bawang goreng dan cili padi serta diperahkan sedikit asam limau..done, so easy hehe.




Untuk hiasan:

Daun salad
Timun
Tomato


  1.  Basuh bersih dan toskan.
  2. Potong ikut suka.
  3. Hidangkan bersama dengan ayam dan nasi..siap!!!
Selamat menjamu selera :-)

Kerabu Buah Gajus @ Ketereh

Alhamdulillah, kembali bersiaran selepas hampir seminggu bercuti di kampung..seronoknya hanya Allah yang tahu. Alhamdulillah Mek dan Mak mertua sihat walafiat, semoga mereka terus diberi kesihatan dan juga usia yang penuh keberkatan..aminn.

Selepas 3 malam di rumah mertua kami teruskan percutian di rumah mek pula. Sampai-sampai je tengok Mek tengah mengait buah gajus di belakang rumah. Adalah 4 biji ni sisa dimakan tupai. Langkah kanan betul saya. Dah lama berniat nak buatkan kerabu buah gajus kegemaran arwah nenek ni. Malangnya tak pernah pulak terjumpa dengan buah gajus yang dijual di pasar. Apa lagi, walaupun hanya 4 biji kecik2 ni, misi akan ku teruskan jua hahahahhaha..
hero dalam misi ini ialah buah gajus yang cedera ni 

.
.
.
.
.
.
.
.
dan ini heroinnya..nenas (wajib ada)
Bahan-bahannya ialah;

4 biji buah gajus- dihiris nipis dan perahkan sedikit buang air pahitnya.
1/2 buah nenas- dicincang panjang-panjang
2 ulas bawang merah
6-8 ulas lada hitam
Gula
Garam
Cili api dan bawang merah hiris untuk hiasan.


Cara membuatnya;
  1. Sediakan hirisan gajus dan nenas dahulu. Masukkan ke dalam mangkuk besar.
  2. Tumbuk bawang merah dengan lada hitam hingga lumat.
  3. Masukkan kedalam hirisan buah tadi.
  4. Masukkan juga gula, garam, bawamg merah hiris dan cili padi.
  5. Gaul mesra. Rasakan masam, masin dan manisnya biar sekata.
  6. Siap.
.
.
.
.
.
.
.
.

.
.
.
.
.
.
.


Ini hidangan turun temurun daripada beliau. Akhirnya saya berjaya membuatnya selepas puluhan tahun tidak pernah dihidangkan. Hampir menangis semasa menikmatinya bersama-sama dengan mek dan abang saya yang kebetulan juga balik bercuti..sama-sama mengimbau kembali kenangan bersama-sama arwah menyediakan kerabu mudah tapi sungguh istimewa ini........ Al Fatihah.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...