Friday 21 January 2022

2021 yang menyakitkan (Pt. 7)

16/02/202 (Selasa)


Saya menunggu Mr A daripada pukul 8.30 pagi hingga ke petang. Duduk di lobi hospital, masuk ke kafe, masuk ke surau dan balik semula ke lobi. Begitulah pusing-pusing. 

Tidak keruan perasaan ini. Tidak putus2 berdoa kepada Allah agar semuanya baik-baik sahaja. 

Hampir Asar, saya masuk ke surau untuk solat Asar. Sambil melunjur kaki sambil berWA dengan anak-anak. Tiba-tiba call masuk. Nombor yang tidak dikenali!! Dush..jantung saya hampir meletup. Saya angkat call sebab dah syak mesti dari klinik.


" Puan, sila naik ke atas. Doktor nak jumpa"


Saya panik, saya mula yakin bahawa diagnos daripada Kak Siti sebelum ini memang tepat. Allahhh, saya berlari naik ke tingkat satu.

Bila sampai, Mr A masih belum keluar dari wad. Ruang menunggu tinggal seorang dua pelawat sahaja. Bilik2 doktor yang lain dah tutup. 

Doktor Kumar nampak saya dan mengangkat tangan, wajahnya serius. 

"Kita tunggu your husband dulu ya"

Saya makin panik. Badan saya sekejap panas sekejap sejuk. 

Tiba-tiba saya nampak Mr A keluar, lemah sekali nampaknya. Saya pegang dan pimpin tangannya. 

"Sabar ya Za"

Allah, dia suruh kita sabar sedangkan yang sakitnya dia..begitulah Mr A.

Kami disuruh masuk.

Bagaimana Doktor? Tanya saya. 

" I'm sorry En Azhar...kenapa lambat datang. You are too late!!"


Allah, Allah, Allah

"Teruk dah ya Doktor? Tanya Mr A perlahan. 

"Ya, you ada kanser usus, sudah merebak ke hati you!!' Kalaulah you datang awal...


Doktor Kumar menunjukkan laporan CT Scan, menerangkan satu persatu ..

Saya menangis dan hampir meraung. Saya terjatuh dari kerusi. Mr A pegang bahu saya. 

"Sabar Za, sabar.." 

Sungguh!!! Saya ketakutan. Saya rasa macam sedang bermimpi. Saya rasa semua ini adalah mustahil, tak mungkin berlaku pada Mr A dan saya...tak mungkin!



Monday 3 January 2022

2021 yang menyakitkan (Pt.6)

 14/02/2021 (Ahad)

Berita Mr A yang diuji sakit dan diagnosed awal yang tidak berapa elok telah dimaklumkan kepada seluruh keluarga terdekat. Saya memohon agar semua ahli keluarga membuat solat hajat, berdoa pada Allah SWT agar yang baik-baik sahaja untuk Mr A. 

Mr A sempat bergurau lagi di dalam group family, seperti tiada apa-apa yang perlu dibimbangkan, sedangkan saya...

Kami sekeluarga dalam situasi bertenang. Bergurau senda seperti biasa. Pakat dok gelakkan abahnya yang selalu je terkentut. Pakat2 lari kalau abahnya warning "cepat2, abah nak kentut ni" hahaha..riuh rendah di ruang tamu. 

Allahuakbar!!!

Kehadiran Isnin 15/01/2021 dinanti penuh debaran. Ya Allah, permudahkan semua urusan dan janganlah Kau uji kami dengan ujian yang tidak  mampu kami hadapi, amiin.


15/02/2021 kami ke KPJ. 

Terus daftar dan berjumpa dengan doktor pakar. Namun begitu, doktor meminta kami datang pagi esoknya untuk membuat ujian CT Scan, Endoscopy dan lain-lain (tak ingat dah namanya) dan semua ujian itu akan mengambil masa satu hari. Malam tu, Mr A diminta untuk minum 3 liter air yang mengandungi ubat untuk flush usus. Allah, bermulalah painful journey utk Mr A, yang demi Allah! disaksikan saya betapa sabarnya dan betapa hebatnya Mr A menerima ujian daripada Nya tanpa keluh kesah dan rungutan. Moga Allah SWT gugurkan kesemua dosa-dosa Mr A asbab kesabaran dan redhanya beliau atas sakitnya itu.

Malam itu, apabila Mr A berpuasa makan dan perlu habiskan air untuk flush, bermula pukul 9 malam hingga pukul 12 tengah malam, Mr A muntah, terbuang air besar beberapa kali. Lembik badannya.

Satu tahap, saya tidak sanggup mendengar Mr A muntah di dalam bilik air, saya duduk di luar pintu bilik air sambil menangis. Kesian sungguh dan saya sebenarnya sangat ketakutan, bimbangnya hanya Allah yang tahu. Setiap kali saya panggil namanya, dia cepat2 jawab, 

"Ok...saya ok Za". Saya menggigil di luar pintu...

Kami tidur di ruang tamu sahaja malam itu. Malahan bermula malam itu dan sepanjang Mr A sakit hinggalah dua bulan pemergiannya, saya hanya tidur di ruang tamu. Tiada kekuatan untuk masuk ke bilik tidur kami.

16/02/2021 pukul 8:30 pagi, Mr A disorong ke wad untuk menjalani semua ujian yang telah ditentukan. Mr A menyuruh saya balik dahulu, kerana semua ujian itu akan berjalan hingga ke petang.

Saya pegang tangannya, salam dan cium..

"Za akan berada di sini. Za tak akan balik, abang bukan sorang-sorang di sini, Za ada"  Mr A senyum. Saya lepaskan dia disorong ke wad. 












2021 yang menyakitkan (Pt.05)

 13/02/2021 (Sabtu)

Malam itu, saya memang tidak boleh tidur. 

Pagi-pagi lagi kami sudah bersedia untuk ke KPJ. Mr A sudah berpuasa sejak pukul 12.00 malam tadi dan hanya minum air masak, kami bertolak ke KPJ. Cadangnya dalam pukul 8.30 kami akan sampai. Mr A masih ingin memandu, walaupun saya berkeras beliau tetap dengan keputusannya. Saya biarkan sahaja. 

Nasib tidak menyebelahi kami pagi itu, semua doktor pakar bercuti sempena Tahun Baru China. Doktor pakar yang ada, memang telah mempunyai temujanji ataupun yang mempunyai pembedahan. Kami dinasihatkan datang pada hari Isnin (14/02/2021)

Kami balik ke rumah semula, Mr A mengajak saya singgah makan. Beliau rasa lapar. Kami bersama-sama ke Restoran Borak di Prima Saujana. Mr A teringin nak makan sup daging di situ. Saya ikut sahaja. 

Itulah dating terakhir kami berdua. 


Walaupun saya telah tahu sakit Mr A, tapi dalam hati saya masih tidak mahu menerimanya. Bagi saya, hanya melalui gambar ultrasound itu, manakan boleh 100% tepat. Saya masih berasa positif dan sangat yakin, bukan itu sakitnya. Mesti ada nanah macam arwah Mek juga. Saya dalam denial stage, saya tak mahu terima kenyataan, tidak boleh terima kenyataan!!

2021 yang menyakitkan (Pt.4)

 12/02/2021 Jumaat (Tahun Baru Cina)

Bila balik dari klinik, kami ceritakan semuanya kpd anak-anak. Mereka semua positif dan memberi beri kata-kata semangat pada abah. Mr A berehat sahaja di tingkat bawah.


Tapi saya, sangat susah hati. Gelisah dan berasa macam ada sesuatu yang buruk akan berlaku. Walaupun semuanya saya sembunyikan daripada Mr A. Saya tidak mahu beliau risau dan takut. 

Susah hati sangat2, secara diam-diam saya hubungi abang saya di JB. Kakak ipar saya doktor di sana. Pukul 9.46 malam, saya hantarkan gambar ultrasound pada beliau. Allah, tak boleh nak ceritakan perasaan saya masa tu. Menunggu dengan penuh gelisah dan debaran jawapan daripada Kak Ti.


Dalam pukul 10 lebih, Kak Ti telefon balik. Allahuakbar!!!!! 

"Za, sabar ya, Za kena kuat dan redha. Za kena bersedia!!!"

Allahh!!!!

Kak Ti dah foward gambar ultrasound pada kawannya, Dr pakar hati di HKL dan diagnosed nya sangat mengejutkan. 

Tompok2 putih pada hati Mr A bukan tompok2 biasa. Ia adalah kesan jangkitan kanser daripada organ lain dan Dr syak, datangnya daripada usus Mr A. Tanda tompok2 putih menunjukkan kanser Mr A sudah kritikal.

Saya menangis sorang-sorang dalam bilik. Mr A masih berehat di bawah bersama anak2. Saya rasa semuanya ibarat mimpi dan saya sedang bermimpi. Mimpi ngeri yang secara nakal mengusik saya. Saya istighfar, masuk ke bilik air dan mengambil wuduk, saya solat hajat, mengadu pada Allah setulus hati, sambil menangis, menangis dan menangis. Saya cuba kuat dan tidak mahu menangis bila Mr A naik dan masuk ke bilik nanti. 

Tiba-tiba Mr A masuk, melihat saya duduk di atas sejadah. Mungkin muka saya bengkak dengan kesan menangis, beliau tanya "Kenapa Za menangis?, in sya Allah, takde apa2. Jangan bimbang"

Beliau duduk di birai katil, saya buka telekung dan duduk bersamanya. 

"Za takut bang" dan air mata saya tumpah seperti empangan pecah. Saya menangis teresak2. Mr A peluk bahu saya dan berkata, " In sya Allah, takde apa2, jangan bimbang Za, dont worry"


Dan saya tidak menceritakan apa yang saya sudah tahu.... 



Saturday 1 January 2022

2021 yang menyakitkan (Pt.03)

 12/02/2021 Jumaat


Sepanjang Mr A berada di dalam klinik, saya di dalam kereta menunggu. Saya bagitahu beliau, jangan bimbang. In sya Allah tiada apa-apa. Sungguh, masa itu tiada kebimbangan langsung dalam hati saya. Mr seorang yang fit, tidak pernah sakit. Mengamalkan gaya hidup sihat. Tidak merokok dan suka bersenam. Yang selalu sakit dan berbelas-belas kali masuk hospital adalah saya. Mr A memang sentiasa sihat, kalau ada masalahpun hanya kolestrol tinggi. Sambil menunggu sambil mengaji Surah Al Kahfi, sambil menjawab WA Mr A. Agaknya beliau risau sangat pd masa tu. 

Seingat saya, Mr A agak lama di dalam klinik dan bacaan Al Kahfi saya hampir habis atau sempat habis, tiba-tiba Mr A WA, 

"Za, bad news!!"

Saya, seorang yang mudah panik dan hysterical...bila membaca mesej tersebut, terus call Mr A. Beliau menyuruh saya bersabar dan tunggu beliau keluar.

Mr A keluar dari klinik. Sambil mengeluh... "Bad news Za, ada sesuatu pada hati saya. Ada tompok2 putih. Dr kata, minta maaf En Azhar, saya terpaksa refer awak kepada specialist", sambil menunjukkan kepada saya salinan ultrasound. 

Saya ambil salinan tu, dan bagitahu Mr A. Jangan bimbang bang, esok kita ke KPJ. Mek dulupun macam ni, ada nanah kat hati. Mek sembuh dalam masa  4 hari sahaja selepas dirawat, saya mengingatkan beliau kisah arwah Mek dulu. Yang terkena jangkitan kuman di hati.

Mr A terdiam dan berkata... in saya Allah, mudah-mudahan tiada yang serius.

Kami balik ke rumah dan bersedia untuk ke KPJ pd esoknya.



2021 yang menyakitkan (Pt.02)

 01/01/2020

Seperti setiap tahun, saya dan anak-anak akan memasak hidangan istimewa bagi menyambut hari ulangtahun Mr A. 

Kali ini saya menyediakan hidangan Nasi Kerabu, siap dengan ayam bakar dan juga kek. Disebabkan PKP kami hanya menyambutnya anak-beranak, tanpa menjemput keluarga yang lain. Bersemangat sungguh anak-anak, siap setting ambil gambar keluarga. Cukup semuanya, 6 orang ahli keluarga kami. Allahu!! rupa-rupanya, ini adalah gambar keluarga kami yang terakhir bersama Mr. A. 

Sepanjang Januari, berat badan Mr A makin susut dan beliau tidak berselera makan. Kadang-kadang beliau akan demam pd waktu malam. Tapi dalam kesibukan dan tidak sedap badan tu, beliau tidak pernah missed menghantar dan menjemput saya dari sekolah. Mr A bagi alasan, sebab WFH dia boleh hantar dan ambil saya setiap hari. Saya dilayan mcm princess!!

Mr A ke klinik, tapi mcm biasa, doktor syak Mr A burn out. Saya menggesa beliau berjumpa pakar, tapi mcm biasa Mr A susah nak ke hospital. Sejenis penakut dan fobia dengan hospital dan bau hospital. Beberapa kali saya menggesa beliau tapi tidak diendahkan. 

Sehinggalah pada Jumaat 12/02/2021, Mr A minta saya bawa dia ke klinik. Saya bawa dia ke klinik, saya siap tulis simptom2 perubahan kesihatan beliau untuk diberitahu kepada doktor. Saya tahu, kalau saya tidak buat begitu, beliau tidak akan ceritakan simptom tu dan hanya akan gelak2 dengan doktor, maklumlah, kami sekeluarga dah biasa dengan doktor2 di klinik tu daripada anak-anak kami kecil hingga sekarang. Dah macam kawan-kawan. Saya tulis dan saya ingatkan beliau utk bagitahu doktor semua simptom tu. Kalau saya boleh masuk sama-sama ke klinik, senang sbb  saya boleh ceritakan, tapi sebab PKP hanya pesakit yang boleh masuk ke klinik.

Allahuakbar, pada Jumaat yang penuh barokah itu...bermulalah sejarah pahit keluarga kami. 


2021 yang menyakitkan. (Pt.01)

 Assalamualaikum.

Sungguh, 2021 menjadi tahun yang paling perit untuk kami sekeluarga. 

Tidak tahu bagaimana saya boleh memulakan kata2. 

Hampir setahun tiada apa-apa update di dalam blog ini. 

Adakah saya perlu menceritakan semuanya di sini???  Perlukah? 


01 Januari 2022, saya buat keputusan untuk mencatatkannya di sini, sebagai catatan memori pahit dalam kehidupan kami sekeluarga. Sudah beberapa hari saya menahan tangis, entahlah....sepanjang peristiwa pahit yang bermula 12/02/2021, tiga  kali saya meraung, tiga kali sahaja. Sekali pada hari Mr A didiagnosed mengidap kanser, dua kali selepas pemergian Mr A. Sehari selepas dan tiga hari selepas arwah pergi. Ya!!!, Mr A sudah tiada, pergi meninggalkan kami anak-beranak tepat pd pukul 7:50 malam Jumaat 25 Ramadhan 1443H. bersamaan 06 Mei 2021 selepas 4 bulan disahkan mengidap Kanser Usus Tahap 4. Kanser Usus yang sudah merebak ke hati. 

Mr. A telah menunjukkan tanda-tanda tidak sihat sejak bulan Disember 2020 lagi. Kerap keletihan dan kurang berselera makan. Dua kali juga Mr A ke klinik dan hanya diberi ubat angin  dan vitamin kerana doktor syak Mr. A mengalami burn out kerana terlalu sibuk bekerja tambah-tambah pula secara WFH. Jadual kerja yang padat dan tidak menentu menyebabkan Mr A kepenatan dan tidak bermaya. 

Waktu kerja daripada pagi hingga ke malam. Dari meja kerja, ke meja makan, ke bilik studio bunga dan kerap juga sambil meniarap di lantai, memang Mr A sangat komited dengan kerja, hingga ke akhir hayat beliau. Sebenarnya, pada ketika itu, Mr sudah berasa tidak selesa dan perut kerap kembung dan kerap kentut. Sepatutnya Mr A membuat rutin medical check up pada bulan 11 tu, tapi disebabkan PKP, beliau tidak pergi, bila dikenangkan kembali...kalaulah Mr A pergi buat medical check up tu, mesti penyakitnya dapat dikesan awal. Tapi tiada guna kita menggunakan kata-kata "kalaulah"...semuanya memang sudah  dalam perancangan Allah SWT. 

Kami sempat balik kampung untuk menziarahi emaknya di kampung pada 25 Disember 2020. Acara wajib Mr A setiap tahun. Asalnya saya tidak ingin balik bersama kerana sibuk dengan kerja-kerja sekolah di akhir tahun dan Mr A akan balik dengan Zahirah dan Zikry saja. 

Tapi saya bimbang, jika saya tidak balik sama-sama, mungkin Mr A tidak jadi balik kampung sebab dia memang tidak seronok kalau saya tidak balik sekali. Last minute, saya surprisekan Mr A dan bagitahu saya akan balik sama-sama. Mr A happy dan bersemangat sungguh nak balik. Allah, syukur saya buat keputusan untuk balik. Itu adalah kepulangan Mr A yang terakhir ke kampung kelahirannya.

Semasa di kampung, saya sempat membuat perancangan membawa MIL utk bercuti dan makan-makan. Teringat lagi Mr A mengucapkan terima kasih kepada saya.  

"Terima kasih Za, mujur ada awak. Saya tak pandai nak plan2 program mcm ni". Allah!!

Masa ni Mr A dah menunjukkan tanda-tanda keletihan dan kurang aktif. Lebih banyak melihat daripada join bersama-sama dalam aktiviti jalan-jalan. 

27 Disember 2020 kami balik ke KL. 


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...