Sunday 24 February 2013

Ayam Madu Cikgu Wan


Ini resepi untuk dua ekor ayam seperti kat atas tu..boleh tambah-tambah dan ejas ikut suka ye.. sebab malam tadi pukul 12 saya main campak-campak je hhehehe. Semalam saya guna rempah serbuk semuanya, saya rasa yang paling baik beli yang biji dan blend baru baunya ada uummph!!

Bahan untuk ayam goreng;

4 sudu serbuk kunyit
2 sudu garam-agak2 yer, kalau nak tambah lagipun boleh, tgk saiz ayam.
3 sudu serbuk kari daging
3 sudu serbuk cili
2 sudu serbuk ketumbar
2 sudu serbuk jintan manis
1 senduk tepung beras
1/2 senduk tepung jagung
* gandum dgn tepung jagung ni agak2 boleh salut ayam tu lah..semalam saya pakai tuang jer hehehe
sedikit pewarna merah jika suka.

Cara-cara;
Gaul semua bahan dengan ayam. Masukkan dalam beg plastik dan perap dalam peti ais (bukan freezer) dalam  7-8 jam. Goreng dalam minyak yang banyak.
*Kalau hendak makan terus tanpa sos madu boleh campurkan dengan daun kari sejurus sebelum diangkat dari minyak.

Sos Madu.
Yang ni saya reka sendiri tak tahu betul atau tak caranya. Dah banyak kali buat eksperimen dan yang ni paling best dan hampir sama dengan restoran yang biasa kami pergi tu,kata juri dalam rumah saya.. hehehe. Boleh ejas juga mana yang patut. Saya memang tak masukkkan apa-apa bawang atau halia bagai yer.

Bahan-bahannya;
3 sudu serbuk kari
5 sudu serbuk cili
2  sudu garam
2 senduk gula
1 senduk madu
1 senduk sos cili
3 sudu sos tiram
1 sudu asam jawa dibancuh dengan sedikit air.
1 cawan air

Cara membuatnya;
  1. Bancuk serbuk cili dan serbuk kari dengan sedikit air.
  2. Tumiskan bancuhan di atas hingga naik minyak.
  3. Masukkan sos tiram dan sos cili. tumis sekejap.
  4. Masukkan semua bahan lain (garam, gula, madu dan air asam jawa serta air)
  5. Masak sehingga larutan berkilat jadi sedikit pekat. Tutup api. Siap.
  6. Celup ayam satu persatu dalam sos madu. 
  7. Tuang sos berlebihan atas ayam tadi. Siap.
*Sepatutnya lepas celup dengan sos tadi, potong kecik-kecik ayam. Susun dalam pinggan dan tuang sos lebih. Semalam kelam kabut tak teringat nak potong kecik-kecik...tapi alhamdulillah..selesai jugakk...hehehe



Thursday 21 February 2013

Sup Siam

Yang ni sup mudah untuk dimakan bersama-sama dengan butter prawn tadi. Ini resepinya;

Bahan-bahannya:
½ kg daging + tulang
1 labu bawang besar-dimayang
3 ulas bawang putih-dimayang
1 batang serai-diketuk
1 inci lengkuas-diketuk
1 biji ubi kentang- dipotong (saya tak letak malam ni)
2 batang celery-(saya tak letak malam ni)

Rempah kasar-
2 kuntum bunga cengkih
2 kuntum buah pelaga
Sekeping kecil kulit kayu manis
1 kuntum bunga lawang
5 biji lada hitam
1 sup bunjut

Garam
Ajinomoto-kalau suka
Hiasan:
Daun sup
Limau nipis
Bawang goreng
Cili padi

Cara-caranya.
1.       Tumis bawang besar dan bawang putih. Sudah garing masukkan rempah.
2.       Masukkan daging dan tulang.
3.       Goreng daging sebentar.
4.       Masukkan serai dan lengkuas. Kacau sekejap.Masukkan sup bunjut.
5.       Masukkan air ikut sukatan yang disukai.
6.       Senduk keluar buih lemak+minyak/kelodak yang terkumpul dipermukaan sup.
7.       Rebus daging hingga empuk. Semasa separuh masak, masukkan kentang dan celery.
8.       Masukkan garam dan ajinomoto.
9.       Rebus hingga masak.
10.   Semasa menghidang, taburkan dengan bahan-bahan hiasan. Siap.

Butter Prawn

Malam ni dinner berlaukkan butter prawn dan sup tulang..adehh, hancus plan tak nak makan nasi malam ni....tak apalah , makan sesudu dua nak temankan udang ni..hehehe.

Resepi ada kat Calamari Butter  ni, tapi malam ni macam terlebih butter sedikit. Ini gara-gara nak habiskan  butter yang lebih tu. Tapi rasanya tetap sedap dan lebih creamy gitu..kejap aje dah lesap 10 ekor udang tu..hehehe :-)

Tuesday 19 February 2013

Kerabu udang Dengan Suhun


Entah mengapa teringin sangat nak makan kerabu hari ni. Agaknya disebabkan semalam tak masak, mulalah bercambah macam-macam idea. Tambah2 sakit hati kena ketuk mahal sangat kat restoran tengah hari semalam menyebabkan saya bertekad nak masak sendiri balik sekolah tadi..tak apa, simple2pun puas hati..hehehe. Bertemankan ikan kerisi goreng dan air asam..lengkaplah hidangan tengah hari saya dan Alis hari ni..alhamdulillah. Resepinya dah ada sebelum ni kat  sini.

Yang berbeza hari ni saya tambahkan suhun dan saya potong semua sayur mayurnya memanjang...ubah suai sikit..hehehe
Selamat mencuba yerr :-)

Sunday 17 February 2013

Nasi Goreng Kerabu

Mama punya..:-)

Nasi goreng mudah tapi menyelerakan. Kesukaan saya dan suami tetapi anak-anak tak berapa suka mungkin kerana sayur yang digunakan. Jadi saya terpaksa ubahsuai sikit cara penyediaannya.

Bahan-bahannya;
4 mangkuk nasi sejuk
6 ulas bawang putih
5 biji cili padi
1 kiub pati ikan bilis (boleh gantikan dengan segenggam ikan bilis)
Sesudu sos tiram
10 ekor udang yang telah dibersihkan
1 mangkuk ikan bilis digoreng terlebih dahulu (separuh untuk masuk dalam nasi, separuh untuk hiasan)
Kubis
Sawi
Karet
Bunga kantan-hiris nipis
Serai-hiris nipis
Sos Ikan + garam (atau salah satu daripadanya)
Gula


Hiasan:
Daun kesum
Timun
Kubis
Bunga
Kantan
-semua bahan dihiris halus macam nasi kerabu
Keropok

Cara penyediaannya;
  1. Tumbuk bawang putih dan cili padi (tumbuk sekali ikan bilis kalau tak guna kiub)
  2. Tumiskan bahan tumbuk hingga wangi dan naik minyak. Masukkan serai dan bunga kantan yang dihiris.
  3. Masukkan udang.
  4. Masukkan sos tiram dan kiub ikan bilis. Kacau rata.
  5. Masukkan sayur-sayuran, kacau sedikit dan terus masukkan nasi. Masukkan sos ikan. Kacau.
  6. Rasa nasi, kalau kurang masin tambahkan garam. Masukkan gula. Kacau hingga nasi nampak berkilat.
  7. Masukkan ikan bilis goreng. Kacau. Siap.
  8. Masa hidang, hiaskan dengan sayur kerabu dan keropok. 
*anak saya tak suka kalau saya campurkan serai dan bunga kantan dalam nasi, jadi saya hanya masukkan dalam sayur kerabu sahaja. Sebenarnya lebih sedap kalau kedua-duanya dimasukkan semasa menumis lagi.
Ni siapa punya?




Saturday 16 February 2013

Pajeri Terung Kelantan

Lihat cara belahan terung yer..

Saya suka pajeri terung, tapi husband pulak suka pajeri nanas..nasib lah, hari ni saya layan tekak saya dulu ye...lenkali kita masak pajeri nanas pulak :-)

Bahan-bahannya;
4 biji terung - potong dua dan belah hujung tapi jangan putus. Kalau terung tu kecik, tak payah potong tapi terus belah dua dari hujung hingga hampir ke tangkai, tak putus juga..hehehe memang kat Kelantan stail dia macam tu. Kalau nak potong stail sendiripun boleh...tak de masalah.

3 labu bawang merah besar (bawang kecikpun boleh..tadi dah habis hehehe..apa lah chef ni!!)
4 ulas bawang putih
1/2 inci halia
4 biji cili kering
3 sudu kerisek
Garam
Gula melaka
2 mangkuk santan pekat dari sebiji kelapa.
Rempah 4 sekawan (3 kuntum cengkih, 3 biji pelaga, 1 kuntum lawang dan sekeping kecik kayu manis)
3 sudu serbuk kari daging- kat kelantan ada jual rempah pajeri yang dah siap.
Sedikit air asam jawa.

Cara-caranya;
  1. Mesinkan 2 labu bawang besar, 2 ulas bawang putih, separuh halia dan cili kering.
  2. 1 labu bawang besar lagi dimayang bersama-sama dengan 2 ulas bawang putih dan baki halia.
  3. Panaskan sedikit minyak.
  4. Masukkan semua bahan no.2. Tumis hingga wangi.
  5. Masukkan rempah 4 sekawan tadi. Tumis hingga bawang tadi jadi brown.
  6. Masukkan bahan mesin, tumis hingga naik minyak
  7. Sudah naik minyak masukkan rempah kari yang dibancuh dengan air.
  8. Tumis dan masukkan juga air asam jawa, garam dan hirisan gula melaka.
  9. Sudah naik minyak masukkan kerisek dan santan.
  10. Sekali menggelegak, masukkan terung. Rasakan kuahnya. Mesti ada manis, masin dan masam... tapi lebihkan rasa manis.
  11. Kacau hingga kuah pekat. Siap.
*dulu saya suka buat langkah 5 baru diikuti langkah 4. Sekarang saya suka wangikan dulu bawang baru rempah....selalu tengok tv macam tu, suka niru hehehe)
Ratahpun sedap..




Sotong Goreng Kunyit

Hari ni masak simple sahaja. Sotong goreng dengan kunyit .Rasanya semua orang tahu macam mana nak masak ni kan..tapi untuk adik-adik yang tak biasa atau yang baru kahwin atau baru belajar masak, jom kita tengok bahan dan caranya.

Bahan-bahannya;
Beberapa ekor sotong- dibuang tulang, dakwat dan giginya hehehe. Yang suka buang kulitnya pun boleh, terpulang masing-masing. Potong ikut suka juga. Toskan.
Sedikit serbuk kunyit.
Garam.

Bawang besar dimayang.
Cili  merah dipotong
Kacang panjang dipotong-hari ni yang ada bendir je hehehe...boleh juga.

Cara-caranya;
Gaulkan sotong dengan serbuk kunyit dan garam.
Panaskan minyak, masukkan sotong dan goreng hingga masak.(Air sotong jadi kering dan tinggal minyak sahaja)
Masukkan bahan-bahan sayur yang dipotong tadi. Goreng sekejap. Siap.




Thursday 14 February 2013

Ikan Bakar Air Asam lagi..

Assalamualaikum.
Alhamdulillah, saya masih cuti lagi hari ini. Dapatlah siapkan sedikit sebanyak urusan yang dah lama tertangguh..aduhh jem sungguh di Kajang sekarang ni..cari parking berpusing-pusing, tapi alhamdulillah settele jugak kerja nya.

Balik tadi dalam keadaan lapar singgah untuk beli makanan di Restoran Ayu yang baru sebulan bukak di Saujana Impian ni..banyak betul lauknya dan sedap-sedap nampaknya. Terpandang ikan yang sedang dibakar..alamak kecur air liur..dan-dan tu terdetik dalam hati..best ni balik buat ikan bakar cicah air asam..hahahaha tapi sebab dah masuk menengok-nengok saya beli jugaklah sayur lemak pucuk paku ..hehehe alang-alang la kan?

Terus saya pecut kereta ke kedai basah Acheh tak jauh dari situ...terpandang ikan lolong @ mata besar, apa lagi kena sianglah 5 ekor. Teringat si Alis nak balik sekolah kejap lagi...memang senyum meleretlah anak dara tu nanti. Ini dia hidangan untuk Alis dan saya tengah hari ini..

Ulam-ulam ringkas bagi kawan kat ikan bakar..



Air asamnya..resepi kat sini yer
Ikan Lolong@mata besar bakar/panggang..
Harap-harap betul lah jadi menu sihat...risau takut nasi bertambah-tambah pulak aduiii!!! selamat memasak yer :-)

Wednesday 13 February 2013

Nasi Lemak Hijau Pandan

Assalamualaikum..lama tak upload resepi. Bukan tak masak cuma masa tak mengizinkan. Pagi ni suami ajak makan di Restoran Narakth di Sekamat tu tapi malas pulak nak bersiap-siap ke sana. Alang-alang ada banyak ikan bilis yang diberi kawan yang pergi ke Sabah baru-baru ni maka saya masakkan nasi lemak hijau. First time masak nasi lemak hijau ni, selalu tengok kat FB dan blog je...haa, hari ni kita cuba pulak tengok macam mana rasa. Alhamdulillah..anak-anak dan suami suka...lain kali bolehlah tukar-tukar nasi lemak putih dan hijau.

Bahan untuk nasi;
5-6 helai daun pandan (mesin jadikan air pandan-tapis)
3 pot beras basmathi (beras biasapun boleh)
1 biji kelapa (saya blend kelapa dengan air daun pandan tadi- jadikan 4 1/2 pot air)
1 sudu garam
3 helai daun pandan dikoyak dan simpul

Cara-cara;
Basuh bersih beras dan toskan.
Masukkan dalam rice cooker bersama-sama dengan semua bahan tadi.
Tanak macam biasa. Bila hampir kering kacaukan agar santannya sebati dengan nasi. Bila dah kering@ rice cooker tukar dari cook ke warm, gemburkan nasi dan tutup suis. Biarkan nasi masak menggunakan wapnya sendiri. (ini juga mengelakkan nasi berkerak)
Tunggu sekejap hingga nasi masak.

Sambal bilis.
Bahan-bahannya;
1 mangkuk kecil ikan bilis basuh bersih.
1 mangkuk kecil cili kering dipotong dan rendam air panas(jika suka boleh tambah cilinya)
3 labu bawang besar
1 sudu kecil asam jawa
1 genggam ikan bilis
Garam
Gula
sedikit kicap manis.

Cara-caranya;
Mesin cili kering, 2 labu bawang dan segenggam ikan bilis tadi. 1 labu bawang lagi dihiris sahaja. Panaskan minyak di dalam kuali. Masukkan semua bahan dan tumiskan hingga naik minyak. Masukkan garam, gula dan air asam jawa. Bila dah agak nampak hanya tinggal minyak yang menggoreng bahan tumis (air dah kering) masukkan ikan bilis dan sedikit air. Tumis hingga ikan bilis masak dan agak-agak banyak mana kuah yang kita suka. Masukkan kicap. Siap.

Ikan bilis goreng dan kacang tanah goreng.
Basuh dan toskan semangkuk kecil kacang tanah-goreng hingga garing
Untuk ikan bilis yang garing macam kat kedai tu, kita kena goreng ikan bilis tu tanpa di basuh, ini petua yang diberi oleh mak mertua saya...memang garing dan tahan lama. (kalau tak suka bolehlah dibasuh dan ditoskan kering sebelum digoreng)

Timun dan telur rebus macam biasa....done!!!
Selamat memasak yer..
Bismillah... 

Saturday 2 February 2013

Pulut Kuning

Petang tadi pergi melawat Aifaa di asramanya. Pikir-pikir nak bawak apa untuk dimakan bersama nanti. Malas nak pergi beli  barang, jengok-jengok apa yang ada di dapur yang boleh digodekkan..hehehe maka terjumpalah sebungkus beras pulut. Selamat.....pulut kuning dengan rendang ayam serta telur dadar hiris hijau pandan untuk Aifaa dan kengkawannya. Sempat juga kami sekeluarga berkelah di depan aspuri sambil menikmati angin petang. Resepinya pernah saya tulis sebelum ini. Rujuk di sini.

Selamat bercuti dihujung minggu .... esok nak gantung periuk kuali, kita makan di luar yer. Ke mana agaknya ...hehehehe!!!

Nasi Kerabu Tradisional Mok Mok Joh


Nasi kerabu lagi, biasalah kalau tidak bukan orang kelate namanya hehehehe.
Resepi dah bagi sebelum ni. Tapi tak apa..hari ni saya bagi detail sikit. Senang je, resepi dah ada dalam album FB..copy jer hehehe
Tapi ni versi rajin tau!..kalau ada masa saya bagi resepi versi cepat macam masak megi tu..tapi sedap juga dan sesuai untuk yang nak berniaga dan masak banyak-banyak. Tungguuuu!!ok, salin dulu resepi ni.

Sambal Kelapa

Bahan-bahannya:
Sebiji kelapa parut disangai garing (warna dark brown) dan ditumbuk lumat (jangan sampai pecah minyak)
4-5  ekor isi ikan selayang/sardin atau kembung (paling baik dibakar kerana akan kurang hanyir berbanding dikukus atau direbus)
6 ulas bawang merah
10 biji lada hitam
3-4 batang serai (lihat saiz)
gula/gula melaka, garam secukup rasa

Cara:
Tumbuk halus/lumat semua bahan. Gaulkan hingga sebati/mesra. Sudah siap, tekan-tekankan hingga rapat dan disendukkan ke dalam pinggan waktu menghidang nanti.

Sambal Tumis
Dua paket kecil santan/ agak-agak 1 atau 11/2 biji kelapa-saya lebih suka gunakan santan yg diperah sendiri. Kadang2 bila guna santan tumis ni tak berapa menjadi, tak tahu kenapa :-(
5-7 ulas bawang merah
2 ulas bawang putih
sedikit halia
3-4 batang serai
5-6 biji cili kering
Gula/gula melaka
Asam keping/asam jawa
Budu
Garam- hati-hati dengan garam, jika kuah telah masin dengan budu, garam tidak perlu.

Cara memasak:
Masukkan santan dalam periuk. Biarkan hingga menggelegak tanpa perlu dikacau.Mesinkan semua bahan kecuali asam keping. Masukkan dalam santan yang sedang menggelegak tadi, masukkan asam keping. Kacau sekali-sekala.Masukkan gula,budu dan garam. Masak sampai kuah pekat dan pecah minyak. Rasanya mesti masam, manis dan masin.

*kalau nak tumispun boleh. Caranya; Tumiskan semua bahan mesin hingga garing. Masukkan santan, asam keping, garam/budu dan gula. Masak hingga pekat.


Sayur Ulam

Bahan-bahannya yang boleh digunakan;
Timun
Kacang panjang
Kubis
Bunga Kantan
Daun kesum
Daun kunyit muda
Taugeh
Daun selasih

Hiris halus-halus dan gaul bersama.


Air Lada
 (Jika masak nasi kerabu hitam, tapi saya tak pernah tinggal air lada ni, tak kira nasi biru, kuning atau putih)

10 biji cili padi merah
Cuka
gula
garam
Cili ditumbuk/dimesin bersama-sama dengan gula dan garam (1 bhgn garam, 2 bhgn gula) dan dibancuh dengan cuka.


Nasi
Boleh memasak nasi biasa.
Boleh masak nasi warna biru( gunakan pewarna atau bunga nasi kerabu/telang)
Boleh masak nasi berwarna kuning guna kunyit.
Boleh masukkan serai dan daun limau purut untuk mewangikan nasi dan menambahkan selera.

Siap. Selamat mencuba yer!!!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...