Showing posts with label Ramadhan. Show all posts
Showing posts with label Ramadhan. Show all posts

Thursday, 21 May 2020

Udang Galah Bakar ala Thai



Asalamualaikum dan salam sejahtera. Salam Ramadhan yang ke -28. Hari ke sembilan  PKPB Fasa 5. Semoga kita semua dalam lindungan Allah SWT. Sihat sejahtera dan ceria bersama keluarga tercinta.
Hari ini Cik Wan nak share resepi ringkas Udang Galah Bakar ala Thai kesukaan keluarga Cik Wan. Pastikan udang yang digunakan fresh ya bagi menjamin kesedapan resepi ni heheh.

Bahan-bahannya:

1 kg udang secukupnya
3 ulas bawang putih
Sedikit garam
Sedikit madu- boleh ganti dengan gula
1/2 biji lemon
2 pokok daun ketumbar
4-5 sudu minyak zaiton- boleh ganti dengan minyak lain

Cara-cara:

  1. Bersihkan udang, belah dua tapi jangan putus. 
  2. Tumbuk semua  bawang putih dan daun ketumbar.
  3. Gaulkan dengan garam, madu, air lemon dan minyak zaiton.
  4. Gaulkan dengan udang hingga sebati. 
  5. Masukkan dalam bekas dan perap dalam peti ais sekurang2nya 2 jam.
  6. Bakar udang dan hidangkan dengan sos Thai. Cik Wan gunakan magic pan. Sekejap je.


Sos pencicah (Sambal Thai) 

2-5 biji cili padi- boleh tambah/kurang 
4 ulas bawang putih 
2 tangkai ketumbar-hiris 
2 sudu besar sos ikan- boleh guna garam 
2 biji limau nipis- ambil airnya 
2 sudu gula Thai- boleh guna gula pasir 

  1. Tumbuk cili dengan bawang putih. 
  2. Masukkan dalam mangkuk. 
  3. Campurkan dengan semua bahan lain. 
  4. Siap.






Friday, 15 May 2020

Udang Tepung versi restoran Thai


Asalamualaikum dan salam sejahtera. Salam Ramadhan yang ke -22. Hari ketiga   PKPB Fasa 5. Semoga kita semua dalam lindungan Allah SWT. Sihat sejahtera dan ceria bersama keluarga tercinta.

Sudah beberapa hari Cik Wan tidak update apa2 masakan. Agak sibuk dengan aktiviti menyiapkan tempahan bunga orkid daripada kawan2 rapat. Hari raya dah makin hampir, semua orang sibuk dengan kuih raya dan juga hiasan rumah. Alhamdulillah..walaupun dalam PKPB, semangat menyambut Hari Raya Aidil Fitri tetap meriah walaupun ada di antara kita yang dalam kesedihan kerana tidak dapat pulang berhari raya bersama ibu dan ayah. Bersabarlah... semoga kita berpeluang untuk menyambut hari raya Aidil Adha bersama mereka nanti.

Hari ini Cik Wan nak kongsikan resepi terbaik Udang Tepung ala restoran Thai. Udangnya gemuk bersalut tepung tapi rasanya sangat sedap dan sesuai dicicah dengan sos cili Thai. Jom Kita tengok resepi dan cara membuatnya.

Bahan-bahannya;

Udang - dibuang kepala, kulit dan belah belakangnya. Ekor jangan buang. Basuh bersih, toskan hingga kering dan perap dengan lada sulah serta sedikit garam.

1/2 cawan tepung beras
1/2 cawan tepung gandum
2 sudu tepung jagung
1 sudu teh soda bikarbonat
2 sudu minyak masak
1 biji putih telor
1/2 cawan air sejuk (dari peti ais)/Air sejuk mesin penapis air.
garam
lada sulah

Cara-caranya;
  1. Bancuhkan semua bahan seperti bancuhan tempura/goreng pisang. Jika mahu udang tepung kita gemuk/banyak tepung, kurangkan sedikit air. 
  2. Pegang ekor udang, celupkan udang ke dalam batter tadi.
  3. Masukkan dalam minyak panas yang banyak. 
  4. Goreng hingga kekuningan. Angkat. Siap.

Selamat mencuba and happy cooking :)

Saturday, 9 May 2020

Air Asam Daging Rebus


Asalamualaikum dan salam sejahtera. Salam Ramadhan yang ke -16. Hari ke-11  PKP Fasa 4. Semoga kita semua dalam lindungan Allah SWT. Sihat sejahtera dan ceria bersama keluarga tercinta.

Makin lama bersahur, makin tidak berapa selera pulak sekarang. Anak2 pun makan simple2 sahaja tapi nanti mereka akan rasa lapar sedikit di siang hari. Mr A pulak tak boleh lari daripada nasi. Pening juga memikirkan nak masak apa untuk sahur.

Lepas terawih semalam, Cik Wan rebus daging, plan nak buat masak kicap ataupun air asam sahaja untuk sahur. Bangun dinihari tu, Cik Wan buat keputusan untuk buat air asam saja. Wahhh...disebabkan rasa masam masin manis dan daging yang lembut, bertambah2 pulak mereka makan. Sempat Cik Wan ambik gambar sebelum mula bersahur tadi hehehe...demi follower Cik Wan Kitchen kan...jom tengok resepi mudah tapi menyelerakan ini.




Bahan-bahannya:

Daging secukupnya- rebus empuk.
3 ulas bawang merah kecil-mayang nipis
5 biji cili padi- boleh tambah/kurang ikut kepedasan disukai
Sedikit belacan
2 biji asam limau nipis- ambil airnya
Garam
Ajinomoto- atau apa2 perasa yang disukai
Air rebusan daging secukupnya

Cara menyediakannya.

  1. Masukkan bawang hiris, cili, belacan dan air asam limau dalam mangkuk. Gaulkan sebati.
  2. Masukkan air rebusan daging. Kacau dan rasa sesedapnya. Masam mesti lebih ya.
  3. Masukkan daging yang telah dihiris nipis.
  4. Siap.
Selamat mencuba and happy cooking :)

Wednesday, 6 May 2020

Puding Roti Karamel yang sedap.



Asalamualaikum dan salam sejahtera. Salam Ramadhan yang ke -13. Hari ke lapan  PKP Fasa 4. Semoga kita semua dalam lindungan Allah SWT. Sihat sejahtera dan ceria bersama keluarga tercinta.

Pagi ni Cik Wan nak share satu resepi yang mudah dan sedap. Puding Roti Karamel. Bulan puasa ni roti sandwich yang dibeli lambat habis. Dalam rumah Cik Wan ni hanya Zikry yang bersahur dengan roti bakar. Tapi kalau tiap2 hari dia muak juga. Itu yang roti sandwich lambat habis. Sebelum expired  kita godek2 buat juadah berbuka puasa. Cik Wan tahu, kuih ni tak berapa laku di rumah, tapi boleh dihadiahkan pada jiran2 untuk juadah berbuka puasa. Jom kita lihat resepinya.


Bahan bahan Puding:

8 keping roti sandwich – carik carik
2 cawan air suam
2 cawan susu cair
1 cawan susu pekat
5 biji telur - kalau gred C, boleh tambah jadi 6/7 biji
2 sk esen vanilla
3 sudu oren sunquik-optional

  1. Carik2kan roti-masuk dalam mangkuk besar.
  2. Masukkan semua bahan lain kecuali telur.
  3. Gaul sebati dan biarkan sekejap.
  4. Boleh buat karamel dahulu.

Bahan Karamel:

1/2  atau 3/4 cawan gula pasir bergantung kepada tahap kemanisan yang disukai. Cik Wan buat 3/4 cawan.

  1. Masukkan dalam pan. Cairkan gula.
  2. Tunggu sampai gula cair dan warna perang. Boleh dikacau2 guna sudip.
  3. Tuang dalam bekas utk mengukus puding. 
  4. Pastikan lapisan keras sebelum dituang bahan puding.


Langkah menyediakan puding:
  1. Gunakan blender untuk mengisar semua bahan yang direndam tadi bersama dengan telur. Bahan ini agak banyak, buat 3 batch atau 3 kali blend. 
  2. Pastikan semua bahan diblend LUMAT. Kalau tidak, puding tak cantik dan tidak nampak halus.
  3. Tuang bahan puding ke dalam bekas mengandungi karamel tadi. 
  4. JANGAN tuang direct atas karamel, tuang atas sudip supaya lapisan karamel tidak pecah.
  5. Kukus puding dalam 30-35 minit. Pastikan puding masak elok ya. Kalau acuan yang digunakan kecil dan lapisan puding tinggi, pastikan kukus lebih lama. 
  6. Angkat dan sejukkan.
  7. Pastikan puding dah sejuk/beku baru masukkan dalam peti ais jika sukakan puding yang sejuk.
  8. Siap.

Selamat mencuba and happy cooking :)

Sunday, 3 May 2020

Bubur Tepung Ubi Kayu atau Krong Krang Nam Ka Ti



Asalamualaikum dan salam sejahtera. Salam Ramadhan yang ke -10. Hari ke lima PKP Fasa 4. Semoga kita semua dalam lindungan Allah SWT.

Hari ni Cik Wan nak share satu menu dari Thailand yang sangat sedap dan menyegarkan. Krong Krang Nam Ka Ti yang menggunakan tepung ubi kayu. Pertama kali melihat kuih ini ialah masa sekolah rendah dulu apabila seorang jiran yang datang dari Selatan Thai membuatnya untuk juadah moreh di balaisoh/ surau di kampung. Cik Wan lihat beliau menyediakannya tapi tidak sempat merasa juadah itu. Selalu teringin nak buat, selagi tak buat selagi tu keinginan tu timbul. Bayangkan, dah berpuluh-puluh tahun kenangan melihat kuih ni. Dengan kemudahan media sosial yang ada sekarang ni kita dapat belajar pelbagai resepi sama ada dalam negeri mahupun luar negeri. Namun begitu, belajar online/youtube tidak akan sama dengan belajar secara berguru.

Begitu jugalah bila Cik Wan nak buat kuih ni semalam. Dua adunan terpaksa dibuang kerana tidak menjadi. Begitu sensitif sekali pembuatannya. Cik Wan ingat senang je membuatnya disebabkan bahannya yang simple. Jika ada yang berminat membuatnya, sila baca langkah2 yang Cik Wan terangkan dengan teliti ya.

1. Air yang digunakan untuk menguli MESTI air panas yang mendidih.
2. Mesti diuli dengan cepat untuk mengelakkan air menjadi sejuk.
3. Adunan mesti elastik/kenyal kerana telah separuh masak dan BUKAN seperti adunan untuk membuat onde2.
4. Jika menggunakan warna-cthnya bunga telang/pewarna- mesti direbus/dimasak bersama air yang hendak digunakan untuk menguli.
5. Gunakan acuan menerap untuk kuih siput.

Jom kita tengok bahan dan cara membuatnya:

Bahan untuk satu warna Krong Krang . Jika buat dua warna, buat lagi satu adunan.

1 cawan tepung ubi kayu
1/2 cawan air panas mendidih
#kuantiti di atas ditambah sehingga adunan jadi kenyal dan boleh ditekan pada acuan.

  1. Masukkan tepung dalam mangkuk menguli.
  2. Masukkan air panas mendidih, kacau sebati. Adunan akan melekat2. Tambahkan air atau tepung ubi hingga mendapat adunan yang kenyal.
  3. Potong kecil adunan untuk ditekan menggunakan acuan kuih siput.
  4. Bila habis diterap, rebus dalam air panas.
  5. Toskan bila sudah terapung dan masuk dalam air sejuk.
  6. Sedia untuk digunakan.



Bahan Kuah: (Untuk 2 adunan Krong Krang)

5 cawan santan
3/4 cawan gula
1 sudu kecil garam
1 sudu besar bijan yang telah digoreng tanpa minyak (optional)
1 cawan isi kelapa muda (optional)

  1. Masukkan santan bersama gula dan garam.
  2. Kacau hingga sekali mendidih sahaja. Sehingga gula telah larut.
  3. Masukkan isi kelapa.
  4. Masukkan Krong Krang.
  5. Tabur bijan. Siap.

Untuk lebih jelas lagi cara membuatnya, Cik Wan sharekan sekali video penyediaan kuih ini ya. Cik Wan selalu rujuk chanel ini untuk masakan Thai. 



Selamat mencuba ya. #stayathome #staysafe



Saturday, 2 May 2020

Aiskrim Vanilla Pisang Karamel


Asalamualaikum dan salam sejahtera. Salam Ramadhan yang ke sembilan. Hari ke empat PKP Fasa 4. Semoga kita semua dalam lindungan Allah SWT.

Pagi ini Cik Wan nak share menu pencuci mulut yang sangat mudah dan sedap. Panjang namanya tapi masa makan kejap je habis. Ais krim ni agak muak sedikit mungkin kerana rasanya yang lemak manis begitu. Kuantiti seperti dalam gambar tu kami makan berempat. Nanti boleh agak2 porsi untuk keluarga ya. Jom tengok bahan dan cara membuatnya. Langkah membuat dessert ni kena cepat ya sebab karamel tu cepat keras.

Bahan-bahannya:

Pisang secukupnya (boleh guna pisang berangan/emas/montel/nangka)
Aiskrim vanilla secukupnya
Kacang yang telah dibakar/goreng - badam/gajus/walnut

3 sudu gula pasir- untuk dikaramelkan
3-4 sudu air



Cara membuatnya:

  1. Sediakan pisang.
  2. Masukkan gula dalam pan-tunggu hingga jadi karamel. Masukkan air (hati-hati kerana air gula akan merecik)
  3. Bila dah cair semunya, masukkan pisang-golek2kan buah pisang sekejap hingga pisang dah tersalut dengan karamel.
  4. Cepat2 tuang ke dalam bekas hidangan.
  5. Letakkan aiskrim dan taburkan kacang2 pilihan.
  6. Siap..yummy.
Selamat mencuba and happy cooking :)

Thursday, 30 April 2020

Kerabu Ikan Dory


Asalamualaikum dan salam sejahtera. Salam Ramadhan yang ke tujuh. Hari kedua PKP Fasa 4. Semoga kita semua sihat dan ceria bersama keluarga dan dapat memanafaatkan Ramadhan ini dengan  perkara-perkara yang membawa kebaikan. Amiin.

Petang ni Cik Wan kongsikan resepi mudah menggunakan isi ikan dory atau boleh ganti dengan pelbagai jenis seafood yang lain. Sedap dan sangat mudah menyediakanya. Jom tengok resepinya.

Bahan Ikan:

3 keping isi ikan dori di potong kiub
Tepung serbaguna Bestari secukupnya.

  1. Defrost ikan dori dan potong kiub- toskan kering.
  2. Ikut panduan dalam penggunaan Tepung Bestari dan goreng isi ikan. 
  3. Sedia untuk digunakan.

Bahan salad/kerabu:

Kubis disagat halus memanjang
Carrot disagat halus memanjang
Daun Ketumbar secukupnya
2 biji cili padi -dipotong
1/2 labu bawang besar dimayang nipis

#atau mana-mana sayur kegemaran.


Bahan sos untuk kerabu/salad

2 sudu besar sos ikan 
2 sudu besar air asam limau nipis- Cik Wan guna sebiji yang saiz sedang 
2 sudu kecil gula pasir- Cik Wan guna gula somtam

Gaulkan dengan sayur salad tadi. Siap untuk digunakan.
Hidang seperti gambar di bawah


Tuang sos Thai Maepranom ke atas ikan. Siap!!!
Gambar ihsan Google

Selamat mencuba and happy cooking:)






Wednesday, 29 April 2020

Akok Kedut Kelate


Assalamualaikum dan salam sejahtera. Salam Ramadhan ke enam. Hari pertama  PKP Fasa 4. Semoga kita semua sihat dan sejahtera di samping keluarga tersayang.

Semalam Cik Wan masak nasi kerabu dan juga akok. Tak berapa puas hati buat akok sebab hanya gunakan santan kotak (brand yang tidak pernah guna) dan juga tiada air kelapa. Takpelah, musim PKP ni kita redha dan banyak2 bersyukur dengan apa yang ada. Diberi kesihatan dan kemampuan untuk menyediakan juadah untuk keluarga. Banyaknya nikmat yang Allah beri. Semoga kita menjadi hambaNya yang sentiasa bersyukur.

Kejadiannya masih elok walaupun nampak tidak berapa lemak. Alhamdulillah. Sedap juga rasanya. Cik Wan ubah sedikit resepinya seperti menambahkan tepung beras sedikit bersama tepung gandum. Sepupu Cik Wan ada jual akok di Kelantan. Cik Wan ada tanya mak saudara bahan untuk buat akok yang dijual, dia kata gunakan tepung beras dan gandum. Patutlah akok yang dijual di kampung ada body tidak terlalu gebu. Jom kita tengok resepinya ya.

6 biji telur 
200 ml pati santan
100 ml air/air kelapa
120 gram gula melaka -2 keping gula nise yng kecil (lebih kurang 60 gm sekeping)

2 sudu gula putih
20 gram tepung gandum (dua sudu makan tidak membukit)
10 gram tepung beras (satu sudu makan tidak membukit)
3 helai daun pandan- disiat-siat
1/2 sudu kecil garam halus





Cara cara:

  1. Masak air/air kelapa bersama gula melaka, gula dan daun pandan hingga semuanya larut. Tutupkan api. Sejukkan.
  2. Masukkan santan dalam mangkuk besar bersama telur dan air gula melaka. Pukul/whisk lembut.
  3. Masukkan tepung, whisk lembut sehingga sebati. Tapiskan. 
  4. Adunan akan berbuih tapi sedikit sahaja berbanding kalau kita guna blender, mesti keluarkan buih tadi jika tidak akok kita tak akan berkedut cantik.
  5. Panaskan oven pada suhu 180C. 
  6. Masukkan sedikit minyak dalam setiap acuan.
  7. Tuang adunan akok separuh penuh dan boleh dibakar selama 11 minit.
  8. Akok akan menggelembung macam belon dan bila dikeluarkan akan mengecut menjadi kedut2.
  9. Siap.
Selamat mencuba and happy cooking :)

Monday, 27 April 2020

Air Asam Kelantan



Assalamualaikum. Entry kedua pagi ini. Air Asam yang sangat sedap. Semalam Cik Wan masak Nasi daging untuk berbuka puasa. Tapi sebab dah lewat sangat siapnya, tak sempat nak ambil gambar. Entah kenapa semalam, pukul 6:00 petang baru masuk dapur hehehe. Mungkin sebab Cik Wan masak gunakan Noxxa, jadi masuk lewat sikitpun sempat siap masak.

Air asam ini sesuai dimakan bersama Nasi Daging, ikan bakar atau seafood bakar malahan juga dengan seafood rebus contohnya kerang rebus. Sedap sungguh makan lepas terawih. Jom tengok resepi dan cara membuatnya.



Bahan-bahannya;

4-5 biji cili padi
4-5 biji cili merah besar
2 sudu besar asam jawa dibancuh dengan 1/2 cawan air masak
Sedikit belacan dibakar dahulu(Kalau tak makan belacan boleh ganti dengan udang geragau/udang kering)
1 sudu garam
3 sudu gula
Sedikit ajinomoto kalau suka
-semua bahan diblend halus.

1 labu bawang besar-dimayang halus
1 biji tomato-dipotong nipis
-ramas2 bawang dengan tomato hingga hancur

Sedikit sahaja air limau nipis
3 sudu sos cili

Cara-cara;

  1. Masukkan bahan yang diblend dalam mangkuk.
  2. Masukkan buah tomato dan bawang besar yang telah diramas. Masukkan sos cili.
  3. Perahkan asam limau nipis. Kacau, kalau pekat sangat boleh tambah air masak lagi.
  4. Perisakan supaya ada rasa masin, manis dan masam. (Lebihkan rasa manis berbanding masin)
  5. Siap.
Happy cooking :)

Kek batik Nestum Original


Assalamualaikum dan salam sejahtera. Salam Ramadhan ke empat , hari ke-13 PKP Fasa 3. Alhamdulillah. Syukur alhamdulillah di atas semua nikmat yang dikurniakan Allah SWT.

Pagi ini Cik Wan nak share resepi Kek Batik Nestum yang sangat sedap. Kegemaran anak2 Cik Wan. Sebulan dua ni banyak kali buat, Kak Alis pun dah pandai buat sendiri. Kek dalam gambar ni hasil air tangan Kak Alis, Zahirah dan Zikry. Mama hanya touch up sahaja.

Masa belajar di UUM tahun 1990an dulu, kek ini jadi viral untuk student2 di kolej kami. Mungkin sebab kek ni boleh dibuat menggunakan rice cooker sahaja. Sebab dah biasa makan kek batik nestum, Cik Wan agak tidak suka kalau Kek Batik tidak menggunakan nestum, macam tak capai KPI je hehehe. Jom, kita tengok bahan dan cara untuk membuatnya. Boleh buat juadah berbuka hari ini.

Bahan-bahannya:

Bahan basah:
1 cawan susu pekat
1 cawan butter
1 sudu esen vanilla
3 biji telor

Bahan kering:
2 cawan milo
1 cawan nestum
1 sudu serbuk koko

1  1/2 bungkus besar biskut marie (kalau beli yg 190gm @ 175gm-pakai 3 peket)
Nak sedap campurkan Biskut Marie Ori dengan Biskut Marie Coffee

Note: Jumlah biskut yang digunakan bergantung kepada liquid dlm kek ni, jadi masukkan sedikit2 biskut dan kawal supaya tidak terlalu kering dan tidak terlalu basah. Agak2 semua biskut bersalut dengan bahan milo dah cukup. 


Cara-cara memasak;

  1. Sediakan bekas yang dialas dengan baking sheet atau cling plastic wrap supaya kek tidak melekat.
  2. Gunakan api perlahan cairkan butter, masukkan semua bahan basah yang lain. Kacau sebati.
  3. Masukkan bahan kering, kacau hingga rata.
  4. Tutup api. Masukkan biskut marie yang telah dipatah-patahkan. Masuk sedikit2 dan kacau rata.Kalau nampak kering, kurangkan biskut. Kalau nampak basah sangat, tambahkan biskut.
  5. Tuang dalam bekas.
  6. Tutup dengan cling plastic wrap- tekan2 supaya padat.
  7. Sejukkan. Siaapppp.

Selamat mencuba  and happy cooking :)

Sunday, 26 April 2020

Acar Masak Pisang Ggalo



Assalamualaikum dan salam sejahtera. Salam Ramadhan ketiga, hari ke- 12 PKP Fasa 3. Alhamdulillah, cuaca sangat baik sehari dua ni. Pagi ni pun redup sahaja..sejuk. Rahmat Allah di bulan Ramadhan yang mulia. Semoga semua sihat hendaknya.

Masakan hari ini betul2 authentic Pantai Timur..Kelantan dan Terengganu. Masakan yang sangat popular terutama pada bulan Ramadhan. Banyak dijual di pasar2 dan gerai2. Menggunakan Pisang Ggalo/Galo. Pisang ni hanya boleh dimakan semasa putik untuk dibuat ulam atau acar masak. Ada banyak biji dan kalau masak, langsung tak boleh makan oleh kerana bijinya yang keras dan banyak. Pokok pisang ni hanya ditanam khas untuk daunnya yang lebar dan kuat, sesuai untuk membungkus kuih. Masa kecik dan remaja dulu, Cik Wan selalu temankan arwah mek mencari daun pisang untuk buat kuih tepung Serunai/Kuih Pasung dan Tepung Pelita. Selalunya aktiviti mengait daun pisang ni dibuat pada setiap hari Sabtu, agar daun pisang lembut dan mudah untuk dibuat sarung Tepung Serunai dan Tepung Pelita pada hari Ahad. Mek akan berjualan pada hari Selasa di Pasar Selasa/ Kedai Selasa.

Enam  atau tujuh tahun yang lepas, arwah mek beri anak pokok pisang galo dan pokok kari untuk Cik Wan tanam. Tahu benar anaknya yang sorang ni rajin masak kuih. Alhamdulillah..dua2 pokok tu masih hidup subur di depan rumah sekarang. Pokok pisang ni juga dah banyak kali berbuah, tapi disebabkan sibuk, Cik Wan tak sempat nak masak acar pisang. Tengok2 dah tua dan tak boleh dimakan lagi. Jadilah rezeki pada burung, tupai dan monyet pula. Tak sangka duduk di bandar tapi monyet dan tupai ada juga di sini hehehe.

Bila nampak pisang ni berbuah lagi, Cik Wan dah ingatkan Mr A, supaya cepat2 ambil supaya dapat masak acar pisang kegemaran Cik Wan ni. Maka, dua hari lepas, jadilah acar masak yang sedap ni. Namanya pun acar, jadi rasanya masam, manis, masin dan lemak. Sangat sedap bagi orang yang biasa makan acar ni. Selain daripada pisang galo, kita juga boleh gantikan dengan pisang muda, timun, kubis dan taugeh. Kalau ada pula lada solok, uuhhh memang mengancam.


Pisang yang Cik Wan tanam ni  tidak lebat berbuah. Yang ni hanya ada tiga sikat sahaja. Buahnya pun agak kecil, besar dua jari sahaja. Comel2 buahnya.

Buah pisang mesti dibuang kulit tepinya (yang bersegi), dipotong nipis, halus2 tapi tak putus dan direndam dengan air garam. Dicelur sekejap dan diperah keluar airnya. Siap untuk dimasak.

Bahan-bahannya:

Pisang Galo
5 ulas bawang merah
3 ulas bawang putih
1/2 mangkuk kecil cili kering potong/rendam
Sedikit halia
1/2 labu bawang besar- belah kasar
1/2 biji kelapa- ambil santan. @ 1 kotak santan 200ml dicampur 1/2 cawan air. (Kuah mesti pekat)

Sedikit cuka (dalam 2-3 sudu besar)
Garam
Gula

Cara membuatnya;

  1. Kisar semua bahan bawang, cili dan halia.
  2. Tumis hingga pecah minyak.
  3. Masukkan santan, kacau.
  4. Masukkan garam, gula dan cuka.
  5. Masukkan buah pisang dan hirisan bawang besar.
  6. Kacau hingga menggelegak dan rasakan agar ada masam, manis dan masin.
  7. Siap.
Kalau tak ada pisang ni, Cik Wan cadangkan guna timun dicampur dengan kubis dan taugeh. Sedapnya..boleh cuba untuk yang tidak biasa makan ya. Yang dah biasa makan, Cik Wan harap bila tengok entry ni, boleh cuba buat sendiri..mesti akan terkenang mak ayah di kampung, betul tak? Jangan sedih, semoga wabak ni cepat berakhir dan kita dapat balik ke kampung menjengah mereka. In sya Allah, semoga kita semua sihat dan ceria. 


Saturday, 25 April 2020

Poli Ubi Kayu atau Tepung Poli


Assalamualaikum dan salam sejahtera semua. Salam Ramadhan yang kedua hari ini bersamaan hari ke-11 PKP Fasa 3. Allahuakbar..semoga kita semua dilindungi di bawah rahmat Yang Maha Esa. Semoga bulan yang mulia dan penuh keberkatan ini membawa pergi musibah Wabak Covid 19 ini..amiin YRA.

Pagi ni Cik Wan dapat khabar duka..pemergian suami sahabat lama malam tadi selepas terjatuh semasa mengambil wuduk untuk solat maghrib..Allah, orang hebat orang baik Allah sayang. Semoga arwah bersama dengan orang2 yang dirahmati Allah di syurga yang kekal abadi. Semoga Nurul dan anak2 tabah dan redha dengan ujian perpisahan ini..amiin YRA.

Berbalik kita pada menu yang Cik Wan share pada hari ini. Tepung Poli atau Kuih Poli. Berpuluh tahun tak menikmati juadah ini. Masa kecik2 selalu buat dengan arwah mok. Dulu senang je nak buat sebab ubi ditanam sendiri dan ubinya masih segar dan manis. Masa dulu, kita parut ubi ni, gaul dengan gula nise, bungkus kecik2 dalam daun pisang dan kukus. Dah masak potong kecik2 makan dengan kelapa muda parut. Kalau rajin, boleh buat macam dalam gambar di atas tu. Ubi parut dicampur dengan air daun pandan untuk warna dan baunya yang wangi. Cik Wan tak berapa suka sebab lebih sukakan ubi kayu rebus cicah dengan kelapa parut gaul dengan garam dan gula.

Sebenarnya Cik Wan teringin nak makan ubi kayu rebus, Mr bawak balik ubi kayu tapi ubinya, masya Allah..besar2 sungguh hehhe. Katanya itu je yang ada, kesiankan kat wife yang teringin, dia beli juga. Takpelah..kita godek2 untuk buat juadah buka puasa Ramadhan pertama. Jom kita tengok resepi dan cara menyediakannya.

Besar betul ubi ni.

Selepas diparut, sedulang kecil ni dapat. Dalam 20 minit juga Cik Wan parut, excercise
mengecilkan lengan hehe.


Bahan-bahannya:

Ubi kayu diparut dan diperah keluar airnya.- Cik Wan dapat 5 cawan.
1 sudu kecil garam
2 sudu besar gula
1/2 kotak santan- resepi asal tidak letak santan
1/4 cawan air

Cara membuatnya:

  1. Gaul semua bahan sebati.
  2. Kukus hingga masak; cara kukus sama ada boleh dibungkus kecik menggunakan daun pisang atau,
  3. Cik Wan guna loyang yang dialas dengan daun pisang.
  4. Ubi akan masak jika dicucuk dengan chopstik/garfu, keluar bersih atau tidak melekat.

Cara menyediakannya:

  1. Sediakan kelapa parut yang digaul dengan garam dan sedikit gula - seperti nak golek buah melaka.
  2. Potong kecil2 tepung poli dan golek2 dalam kelapa parut. 
  3. Siap.


Poli yang dipotong agak kenyal  dan tidak lembik macam tepung boko ya. Poli dihidangkan dengan air gula melaka dan beras pulut yang disangrai atau goreng tanpa minyak. Pure authentic dish!



Khas untuk sahabat Kelantan yang dah lama tak makan juadah ni dan juga sahabat2 yang belum pernah merasai kuih tradisional Kelantan. Selamat mencuba dan selamat berpuasa...:)






Saturday, 2 June 2018

Spagheti Bolognaise yang ringkas tapi sedap sungguh



Assalamualaikum. Kelmarin anak-anak request untuk berbuka dengan spagheti bolognaise..apa lagi, seronok la mama. Mana taknya, resepi paling mudah kan? Campak2 saja..walla, dah siap.



Cik Wan nak kongsikan di sini, kalau nakkan rasa yang sedap dan sihat , gunalah daging/isi ayam yang kita cincang sendiri. Kalau boleh jangan beli daging kisar yang siap sebab memang isinya bukan 100% daging/isi ayam. Memang telah dicampurkan dengan lemak dan sebagainya.

Untuk resepi yang mudah, semestinya kita gunakan sos readymade sama ada Prego atau Kimbal..mana2 pilihan hati. Lihat resepi Cik Wan ya..resepi ala melayu. Pandai2 kitalah, tekak kita kan.

Bahan-bahan untuk 1 peket Spagheti.

3 tin sos Prego (2 tin hijau dan 1 tin merah)
2 labu bawang besar Holland- dadu
2 ulas bawang putih- dadu
1 sudu serbuk cili- optional
4 biji tomato saiz sederhana- dadu
3 helai daun bay
1 sudu kecil serbuk oregano
Garam
Gula
1/2 tin cendawan butang- saya guna ayam brand- hiris
2 sudu daun parsley/1 tangkai besar- nak letak lebih pun boleh, lagi sedap
2 keping dada ayam-cincang

Cara-caranya;

  1. Tumiskan bawang besar dan bawang putih hingga layu.
  2. Masukkan 1 sudu serbuk cili. Kacau.
  3. Masukkan ayam cincang + garam+gula +daun bay+parsley. Kacau hingga separuh masak.
  4. Masukkan buah tomato- kacau dan masukkan  bersama sedikit air. 
  5. Masak hingga tomato hancur  dan naik minyak (untuk pastikan isi ayam benar2 masak)
  6. Masukkan sos prego. Basuh tin prego untuk mengeluarkan baki sos yang terlekat- lebih kurang 1/2 tin air untuk setiap tin sos.(maksudnya air lebih kurang 1 1/2 tin keseluruhannya). Kalau suka pekat, kurang sedikit airnya.
  7. Kacau dan masukkan hirisan cendawan dan oregano. 
  8. Rasakan masin dan manisnya. Tambah garam dan gula jika perlu. Masak hingga menggelegak.
  9. Siap.
Selamat mencuba.

Mee Celup Legend


Assalamualaikum dan selamat pagi. Salam Nuzul Quran untuk semua. Salam Ramadhan ke 17 hari ini. Semoga makin bersemangat untuk meningkatkan ibadah dan seterusnya mengejar malam agung Malam Lailatul Qadar.

Malam tadi Cik Wan sekeluarga berbuka dengan Mee Celup, Kueh Tiew Celup dan Maggie Celup...ikut selera masing-masing. Bukannya susah, kuahnya sama kan?



Semalam condimentnya cukup..ada semua sayur, kacang tanah tumbuk dan ikan bilis goreng..sungguh menyelerakan sekali.

Untuk resepinya, mohon ke link SINI untuk resepi lengkap ya. Selamat mencuba..

Friday, 25 May 2018

Ikan Bakar Thai

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Apa menu untuk berbuka hari ini?. Cik Wan nak rekomen satu menu istimewa yang sangat mengancam sedapnya..sabor je lah. Ikan Siakap Bakar ala Thai yang nampak rumit tapi sebenarnya mudah, ringkas dan cepat je. Jom tengok resepinya.


Ikan siakap/talapia/haruan- dibersihkan tanpa dibuang sisiknya.
1 batang serai diketuk dan daun limau purut- sumbat dalam perut ikan.



1/2 peket garam, dua sudu tepung gandum dan sedikit air- gaul sebati hingga
 jadi lembab  sikit supaya melekat pada ikan nanti.


Lumur/gosok/tempek pada ikan jangan masukkan dalam perutnya. 
Bakar dengan api yang perlahan supaya ikan masak sekata.

 Dah siap bakar. Hidangkan dengan air asam Thai dan ulam-ulam.


Resepi sos Thai:

2-5 biji cili padi- boleh tambah/kurang
4 ulas bawang putih
2 tangkai ketumbar-hiris
2 sudu besar sos ikan- boleh guna garam
3 sudu air limau nipis
2 sudu gula 

  1. Tumbuk cili dengan bawang putih.
  2. Masukkan dalam mangkuk.
  3. Campurkan dengan semua bahan lain. Siap.

Selamat mencuba..salam sayang daripada Cik Wan @ Cikguwan


Sunday, 20 May 2018

Kengsom Siakap Sihat


Assalamualaikum.

Ini salah satu lagi menu sihat Cik Wan ya. Orang tak diet pun suka makan ni. Boleh buat banyak-banyak terus. Bukan kita sahaja dapat manafaat makan makanan sihat tapi seluruh ahli keluarga yang kita sayang.

Bahan-bahannya:

1 ekor siakap- dibersihkan dipotong
Buah betik muda secukupnya-Cik Wan tak ada betik muda, letak je yang hampir masak
Kangkung-jika suka


Untuk bahan rempahnya:

1 inci kunyit hidup
4 ulas bawang putih
2 ulas bawang merah kecil
3-4 biji cili padi- boleh tambah/kurang
1/2 sudu kecil belacan-boleh tambah/kurang
Garam secukupnya
1-2  biji limau nipis ambik jusnya- lihat saiznya
Air secukupnya untuk kuah

Untuk portion ni, Cik Wan dah tak ambil nasi ya..kenyang, alhamdulillah. Ini dah cukup seimbang.


Cara menyediakannya:


  1. Blend semua bahan rempah kecuali air limau nipis dan garam.
  2. Masukkan ke dalam periuk bersama air untuk kuah.
  3. Hidupkan api dan kacau- masukkan hirisan betik.
  4. Masukkan garam, biar menggelegak.
  5. Masukkan ikan- kacau perlahan jangan sampai ikan pecah
  6. Bila hampir masak masukkan kangkung.
  7. Tutup api, masukkan air limau nipis. 
  8. Siap.
Selamat mencuba..salam sayang daripada Cik Wan@ Cikgu Wan




Ikan Bakar dan Air Asam Sihat



Assalamualaikum dan salam Ramadhan ke - empat hari ini. Semoga kita semua sihat hendaknya..in sya Allah.

Hari ini Cik Wan kongsikan antara menu sihat yang Cik Wan sedang amalkan sekarang. Ikan Bakar dengan Air Asam Sihat. Untuk pengetahun semua, Cik Wan sekarang lebih slim (tak nak guna perkataan kurus heheh) dan badan rasa lebih sihat. Alhamdulillah. Rasa lebih ringan dan lebih mudah memilih pakaian tidak risau ketat dan nampak bentuk badan. Berat Cik Wan turun lebih 10kg dalam masa 3 bulan amalkan pemakanan sihat. Terima kasih kepada coaches Cik Wan yang sentiasa membantu tanpa jemu. Boleh follow ig coachismailayu kalau ada yang berminat ye hehehe. Chewahhh..promote sikit. Tak caya tengok gambar kat bawah ni hehehe.


Dua gambar kat bawah ni ialah selepas turun lebih 10 kg. Seronok dapat pakai baju2 lama hehee. Baju kurung oren tu dah 8 tahun tak pakai, sempat pakai sekali dua saja..dok terperap dalam almari sebab tak muat. Simpan kot2 anak2 dara nak pakai..macam mimpi je bila boleh pakai balik, nothing is imposibble kan?.


Apa lagi? Nak kurus sihat masa raya nanti kan? jom kita amalkan pemakanan sihat sepanjang Ramadhan ni.



Jangan lupa resepi ikan bakar ni hahaha..

Ikan bakar:
Ikan tongkol kecik- basuh bersih, rendam dengan air asam jawa atau asam limau nipis. Kemudian bakar tawar sahaja. (boleh pilih ikan lain- kalau dah try ikan tongkol ni, memang taknak yang lain dah)

Air Asam Sihat:

2 biji cili api- suka pedas boleh tambah lagi
1 tangkai daun ketumbar
1 ulas bwang putih
1/2 biji tomato @ 5 biji tomato untuk rasa yang lebih manis
1/2 biji limau nipis
Sedikit garam.

Tumbuk/blend semua bahan. Siap!.


Hidangkan dengan ulam-ulaman dan segenggam nasi parboile atau beras perang atau beras perang Thai yang Cik Wan guna dalam gambar ni. Selamat mencuba.

Salam sayang dari Cik Wan @ Cikgu Wan.

**** resepi sihat tiada gula ya. Manis natural dari tomato @ kalau suka bawang merah.

Saturday, 19 May 2018

Butter Prawn yang lazat



Asalamualaikum dan salam Ramadhan..hari ketiga hari ini. Apa khabar? Semoga terus sihat dan ceria hendaknya. Jom kita sama-sama belajar masak udang mentega cara Cik Wan.

Bahan-bahannya:

Udangnya,

15 ekor udang. Belah belakang buang urat najisnya (devein) dan toskan  kering.
Perap dengan garam dan lada sulah.


Sarang telur/egg floss,

4 biji telur kuning
Secubit garam
Sedikit lada sulah
Minyak untuk menggoreng- agak banyak dan mesti guna kuali yang besar, kalau tak minyaknya akan melimpah keluar.
senduk-untuk kacau kuning telur dalam kuali nanti

Cara-cara;

Langkah 1: sediakan egg floss dulu.
  1. Pukul telur kuning bersama garam dan lada sulah dalam mangkuk kecil.
  2. Panaskan minyak.
  3. Tangan kiri pegang mangkuk berisi telur, tangan kanan pegang senduk, sedia untuk menggoreng.
  4. Angkat tinggi sedikit mangkuk yang berisi telur kuning, sambil kacau dulu minyak secara bulatan tanpa henti, baru tuangkan telur secara halus jatuhannya ke dalam minyak hingga habis.
  5. Kacau dengan arah yang sama tanpa henti.
  6. Bila masak, minyak akan berbuih dan telur akan garing. 
  7. Jika suka warna agak kekuningan goreng sebentar sahaja tapi saya suka warna agak perang.
  8. Ambil senduk dan penapis santan/besi.
  9. Tuang semua telur ke dalam penapis santan beralaskan bekas lain dan toskan.

Langkah ke-2: 
  1. Menggunakan minyak yang sama , goreng pula udang hingga garing.
  2. Siap, toskan kering.

Langkah ke-3: Menyediakan butter prawn.

Bahan-bahan 

Udang yang digoreng garing.
Sarang telur/egg floss

2 sudu mentega
2 sudu minyak masak-untuk elakkan mentega hangus
2 biji cili padi-potong
1 tangkai daun kari
1/4 cawan susu segar-kalau mahu berkuah, boleh tambahkan susu
Secubit dua gula.

Cara-caranya;
  1. Cairkan mentega dan minyak.
  2. Kacau.
  3. Masukkan daun kari dan cili padi yang dipotong.Kacau lagi.
  4. Masukkan susu. Kacau hingga berbuih/menggelegak.
  5. Masukkan udang dan separuh sarang telur/egg floss. Kacau sebati.
  6. Taburkan sedikit gula.
  7. Boleh angkat dan masukkan dalam pinggan hidangan. Taburkan dengan lebihan sarang telur/egg floss. Siap.
  8. Sedap ratah macam tu saja...



Siap..as easy as 1,2,3...hehehehe. Selamat mencuba. 

Salam sayang dari Cik Wan akak Cikgu Wan.

Thursday, 17 May 2018

Selamat Menyambut Ramadhan



Assalamualaikum dan salam Ramadhan.

Selamat berpuasa Cik Wan ucapkan kepada semua sahabat Cik Wan Kitchen. Semoga kita semua sihat dan dapat menjalani ibadah puasa yang berkualiti, lebih baik daripada Ramadhan2 sebelum ini.

Jaga diri, jaga kesihatan..rancang aktiviti dan perbelanjaan di dapur agar tidak berlebihan dan menyebabkan pembaziran. Berpada-pada jika membeli belah di bazar Ramadhan dan masak sendiri adalah lebih baik.

Masak lebih sedikit agar dapat dikongsi dengan jiran tetangga..orang berbudi kita berbahasa, orang memberi kita merasa.

Jangan lupa bersahur dan makanlah makanan yang sihat demi kesihatan yang baik.

Salam sayang dari Cik Wan.


Monday, 12 June 2017

Daging Lada Hitam Berkicap ala Cik Wan


Assalamualaikum. Entry kedua hari ni. Sekali harung hehehe. Jom tengok resepi daging blackpepper yang sangat menyelerakan sesuai di makan semasa berbuka mahupun bersahur.

Bahan-bahannya;

1/2 kg daging
5 ulas bawang merah*
3 ulas bawang putih*
1 sudu lada hitam*
3 sudu sos tiram
3 sudu kicap pekat
*tumbuk lumat/mesin

  1. Satukan semua bahan dalam mangkuk.
  2. Perap 30 minit.
Bahan sampingan;

1/2 cawan air asam jawa
1 labu bawang besar-mayang kasar
3 biji cili merah/hijau
Garam
Gula
  1. Masukkan daging ke dalam kuali. Masukkan air.
  2. Masak daging hingga lembut, Tambahkan air jika daging belum lembut.
  3. Masak hingga air kering.
  4. Masukkan minyak. Kacau.
  5. Masukkan air asam jawa, garam dan gula. Hati2 kerana sos tiram dan kicap sudah masin.
  6. Kacau. 
  7. Masukkan hirisan bawang besar dan cili. Kacau sebentar.
  8. Siap!!.

Selamat mencuba dan selamat berbuka. 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...