Tuesday 4 December 2018

#cikwanbunga :)


Assalamualaikum dan salam sejahtera. Salam sayang semuanya.

Dah berapa bulan Cik Wan tak update blog tersayang..baru hari ini berkesempatan. Hanya sekali sekala update untuk lihat komen2 yang dikirim oleh sahabat2 yang setia mengikuti blog ni. Maklumlah risau juga kalau ada pertanyaan2.

Tahun ini tahun yang sibuk untuk Cik Wan dan juga untuk cikgu2 semua. Entah kenapa tahun ini berlalu dengan sangat pantas hingga terkejar2 kita semua dengan semua program untuk meningkatkan kecemerlangan prestasi akademik dan sahsiah murid. Rasa lelah hingga tak sempat update blog dengan menu2 baru.

Selain daripada hal2 sekolah..Cik Wan juga sibuk dengan dua benda lain..warna warni sungguh tahun ini hehehe. Awal tahun 2018, seperti yang Cik Wan ceritakan sebelum ini, Cik Wan sibuk dengan program diet sihat..alhamdulillah..dah dapat berat ideal setelah hampir 4 bulan mengamalkan pemakanan sihat. Sekarang hanya cuba untuk mengekalkan berat tersebut dan tak mahu lagi turun berat badan. Maklumlah, kita ni dah tua, kalau kurus lagi nampak sangat cengkungnya..lagi la nampak tua.

Hal yang kedua ialah...jeng..jeng...jeng...lihat gambar orkid di atas?. Ini ialah di antara gubahan orkid Cik Wan untuk client. Cik Wan memang minat menggubah bunga dari muda..cuma sekarang ni bila dah masuk kelas, rasa lebih yakin dan lebih tahu ilmu menggubah bunga. Alhamdulillah..sekarang ni dah jadi sumber pendapatan kecil-kecilan. Terima kasih kepada Sifu Cik Wan iaitu Awienaz Mustaffa. Nama yang tidak asing lagi dalam dunia gubahan bunga. Beruntung kerana dapat mengikuti kelas menggubah intensif dengan beliau.



Kalau nak lihat gubahan Cik Wan, boleh follow IG cikguwanz_cikwanbunga ya.





Macam mana? cantik tak? hehehe..kalau berminat boleh tempah daripada Cik Wan ya.

Bagaimana dengan masakan...ishhh..masih on lagi. Cik Wan dan memasak berpisah tiada. In sya Allah..Cik Wan akan update menu2 terbaru dalam masa terdekat ni. Tengah berangan nak update pasal Puding Raja. Nak cari pisang lemak manis dulu...Jala Mas dah ada..in sya Allah, sehari dua lagi ya. Tungguuuu.

Byeee...:)

cikguwanz_cikwanbunga


Saturday 15 September 2018

Laksa Nyonya sedap Chef Rosli Umar



Assalamualaikum dan salam sejahtera.
Hari ni Cik Wan nak tunjuk gambar Laksa Nyonya yang Cik Wan buat minggu lepas. Kali pertama masak laksa ni, selalu makan di kopitiam je. Puas hati masak sendiri berbanding dengan beli di kedai.

Cik Wan belajar masak laksa ni daripada kelas PJJ Rosli Umar, boleh pakat2 follow FB beliau untuk dapatkan pelbagai kelas PJJ sama ada untuk masak di rumah ataupun untuk berniaga. Ada kelas roti dan kek, ada kelas bauhulu , apam dan macam-macam lagi. Boleh try sekodeng FB beliau ya. Cik Wan dijemput percuma ke kelas tersebut..maka dapatlah Cik Wan masak Laksa Nyonya ni..puas hati sungguh.


Rasa-rasanya tengok gambar kat atas dah boleh tahu sedap ke tidak kan?. Cik Wan bagi 5 bintang hehehe. Cik Wan minta maaf tak dapat nak sertakan resepinya di sini sebab segan nak minta kebenaran untuk share di sini, dah la kita diberi percuma resepi dan video cara memasaknya beserta tips menyedapkan lagi Laksa Nyonya ni. Jadi kalau berminat boleh follow FB Rosli Umar ya..


Tapi resepi Laksa Nyonya banyak di internet kan? boleh tanya pakcik gugel juga. Selamat memasak ya...

Tuesday 14 August 2018

Telur Kukus



Assalamualaikum dan salam sejahtera.
Jom kita tengok resepi yang ringkas sebagai pengubat sepi blog Cik Wan ni. Resepi sihat yang sangat mudah dan sedap.

Bahan-bahannya:
2 biji telur- kacau bersama garam dan lada sulah/lada hitam

Bahan sayur:
Daun kucai
Buah Tomato
Bawang besar
Cili Capsicum
Cendawan
- semua didadu

1 ulas bawang putih
1 sudu minyak zaiton

Cara-cara menyediakannya:

  1. Panaskan minyak, masukkan bawang putih. Tumis hingga wangi.
  2. Masukkan sayur yang telah didadu. Kacau sekejap, tutup api.
  3. Masukkan sayur tadi ke dalam telur yang telah dikacau dengan garam dan lada sulah/lada hitam.
  4. Sedia untuk dikukus.
  5. Siap!!. Selamat mencuba.


Saturday 2 June 2018

Spagheti Bolognaise yang ringkas tapi sedap sungguh



Assalamualaikum. Kelmarin anak-anak request untuk berbuka dengan spagheti bolognaise..apa lagi, seronok la mama. Mana taknya, resepi paling mudah kan? Campak2 saja..walla, dah siap.



Cik Wan nak kongsikan di sini, kalau nakkan rasa yang sedap dan sihat , gunalah daging/isi ayam yang kita cincang sendiri. Kalau boleh jangan beli daging kisar yang siap sebab memang isinya bukan 100% daging/isi ayam. Memang telah dicampurkan dengan lemak dan sebagainya.

Untuk resepi yang mudah, semestinya kita gunakan sos readymade sama ada Prego atau Kimbal..mana2 pilihan hati. Lihat resepi Cik Wan ya..resepi ala melayu. Pandai2 kitalah, tekak kita kan.

Bahan-bahan untuk 1 peket Spagheti.

3 tin sos Prego (2 tin hijau dan 1 tin merah)
2 labu bawang besar Holland- dadu
2 ulas bawang putih- dadu
1 sudu serbuk cili- optional
4 biji tomato saiz sederhana- dadu
3 helai daun bay
1 sudu kecil serbuk oregano
Garam
Gula
1/2 tin cendawan butang- saya guna ayam brand- hiris
2 sudu daun parsley/1 tangkai besar- nak letak lebih pun boleh, lagi sedap
2 keping dada ayam-cincang

Cara-caranya;

  1. Tumiskan bawang besar dan bawang putih hingga layu.
  2. Masukkan 1 sudu serbuk cili. Kacau.
  3. Masukkan ayam cincang + garam+gula +daun bay+parsley. Kacau hingga separuh masak.
  4. Masukkan buah tomato- kacau dan masukkan  bersama sedikit air. 
  5. Masak hingga tomato hancur  dan naik minyak (untuk pastikan isi ayam benar2 masak)
  6. Masukkan sos prego. Basuh tin prego untuk mengeluarkan baki sos yang terlekat- lebih kurang 1/2 tin air untuk setiap tin sos.(maksudnya air lebih kurang 1 1/2 tin keseluruhannya). Kalau suka pekat, kurang sedikit airnya.
  7. Kacau dan masukkan hirisan cendawan dan oregano. 
  8. Rasakan masin dan manisnya. Tambah garam dan gula jika perlu. Masak hingga menggelegak.
  9. Siap.
Selamat mencuba.

Mee Celup Legend


Assalamualaikum dan selamat pagi. Salam Nuzul Quran untuk semua. Salam Ramadhan ke 17 hari ini. Semoga makin bersemangat untuk meningkatkan ibadah dan seterusnya mengejar malam agung Malam Lailatul Qadar.

Malam tadi Cik Wan sekeluarga berbuka dengan Mee Celup, Kueh Tiew Celup dan Maggie Celup...ikut selera masing-masing. Bukannya susah, kuahnya sama kan?



Semalam condimentnya cukup..ada semua sayur, kacang tanah tumbuk dan ikan bilis goreng..sungguh menyelerakan sekali.

Untuk resepinya, mohon ke link SINI untuk resepi lengkap ya. Selamat mencuba..

Friday 25 May 2018

Ikan Bakar Thai

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Apa menu untuk berbuka hari ini?. Cik Wan nak rekomen satu menu istimewa yang sangat mengancam sedapnya..sabor je lah. Ikan Siakap Bakar ala Thai yang nampak rumit tapi sebenarnya mudah, ringkas dan cepat je. Jom tengok resepinya.


Ikan siakap/talapia/haruan- dibersihkan tanpa dibuang sisiknya.
1 batang serai diketuk dan daun limau purut- sumbat dalam perut ikan.



1/2 peket garam, dua sudu tepung gandum dan sedikit air- gaul sebati hingga
 jadi lembab  sikit supaya melekat pada ikan nanti.


Lumur/gosok/tempek pada ikan jangan masukkan dalam perutnya. 
Bakar dengan api yang perlahan supaya ikan masak sekata.

 Dah siap bakar. Hidangkan dengan air asam Thai dan ulam-ulam.


Resepi sos Thai:

2-5 biji cili padi- boleh tambah/kurang
4 ulas bawang putih
2 tangkai ketumbar-hiris
2 sudu besar sos ikan- boleh guna garam
3 sudu air limau nipis
2 sudu gula 

  1. Tumbuk cili dengan bawang putih.
  2. Masukkan dalam mangkuk.
  3. Campurkan dengan semua bahan lain. Siap.

Selamat mencuba..salam sayang daripada Cik Wan @ Cikguwan


Tuesday 22 May 2018

Dada Ayam Bakar Sihat Bersayur



Assalamualaikum dan salam sejahtera. Cik Wan kongsikan menu #eatclean Cik Wan ya. Dada ayam bakar dengan sayur bayam tumis. Sedap dan mengenyangkan.

Bahan perapan ayam:

Sekeping dada ayam- buang kulit dan kelarkan sedikit
1/3 sudu kecil serbuk oregano
1/3 sudu kecil serbuk paprika
1/3 sudu kecil cajun spices
1 sudu minyak zaiton
Sedikit garam
Sedikit madu

*boleh bakar dalam magic pan atau oven.

  1. Perap ayam dengan semua bahan dan biarkan sebentar. 
  2. Sediakan bekas untuk membakar ayam ini.
  3. Balut ayam dengan aluminium foil
  4. Bakar ayam dengan suhu 180 celcius selama 35-40 minit.
  5. 5-10 minit terakhir, buka aluminium foil dan bakar hingga masak/brow di atasnya.
  6. Keluarkan dari oven dan tutup semula aluminium foil dan biarkan sekejap.

Tumis Bayam:

1/2 ikat bayam- bersihkan dan potong
1 ulas bawang putih
3 biji tomato ceri
1 sudu minyak zaiton
Garam
  1. Tumiskan minyak zaiton dan bawang putih hingga wangi. Masukkan tomato ceri yang dibelah. Kacau.
  2. Masukkan sayur bayam dan garam.
  3. Kacau hingga masak.
*boleh tambah rempah2 kegemaran dalam sayur bayam ni seperti paprika/cayene/lada hitam/dll

Selamat mencuba.


Nasi Kerabu Sedap



Assalamualaikum dan salam sejahtera. Ramadhan ke enam hari ini. Semoga kita semua dapat mengerjakan ibadah berpuasa dengan lebih baik dan sempurna. Ibu-ibu mungkin sibuk menyusun dan merancang menu untuk keluarga, walaupun nampak remeh tetapi sebenarnya tidaklah semudah yang disangka. Citarasa suami dan anak-anak mahupun citarasa isteri berbeza-beza dan cuba dipenuhi walaupun tidak serentak. Bergilir-gilir menentukan menu harian adalah lebih adil kan. Yang penting jangan berlebih-lebihan, jangan membazir dan pilihlah menu yang sihat untuk keluarga tersayang.

Semalam CIk Wan masak nasi kerabu biru bunga telang. Resepi dah banyak Cik Wan kongsikan detail di dalam entri yang lepas-lepas. Semalam Cik Wan sediakan daging bakar, ikan celup tepung , telur masin dan keropok untuk lauk nasi kerabu. Cik Wan hanya gunakan air lada dan budu dan tiada tumis. Sebenarnya, nasi kerabu biru tak perlukan tumis, cukup dengan air lada dan budu sahaja.

Ulam pula Cik Wan gunakan daun kunyit, daun kesum, kacang panjang, timun, bunga kantan dan kubis sahaja. Memang menyelerakan sekali.


Nasi kerabu ni salah satu menu sihat yang boleh diamalkan. Bila makan nasi kerabu, porsi nasi biasanya akan kecil sahaja kerana lebih banyak makan ulam-ulaman dan lauk. Cuma hati-hati dengan telur masin serta budu..hehehe. Elakkan atau kurangkan makanan masin ya. Boleh menyebabkan penyakit jantung dan darah tinggi.

Okay...selamat mencuba dan semoga terus sihat sepanjang Ramadhan ini. Salam sayang daripada Cik Wan @Cikgu Wan.

Sunday 20 May 2018

Kengsom Siakap Sihat


Assalamualaikum.

Ini salah satu lagi menu sihat Cik Wan ya. Orang tak diet pun suka makan ni. Boleh buat banyak-banyak terus. Bukan kita sahaja dapat manafaat makan makanan sihat tapi seluruh ahli keluarga yang kita sayang.

Bahan-bahannya:

1 ekor siakap- dibersihkan dipotong
Buah betik muda secukupnya-Cik Wan tak ada betik muda, letak je yang hampir masak
Kangkung-jika suka


Untuk bahan rempahnya:

1 inci kunyit hidup
4 ulas bawang putih
2 ulas bawang merah kecil
3-4 biji cili padi- boleh tambah/kurang
1/2 sudu kecil belacan-boleh tambah/kurang
Garam secukupnya
1-2  biji limau nipis ambik jusnya- lihat saiznya
Air secukupnya untuk kuah

Untuk portion ni, Cik Wan dah tak ambil nasi ya..kenyang, alhamdulillah. Ini dah cukup seimbang.


Cara menyediakannya:


  1. Blend semua bahan rempah kecuali air limau nipis dan garam.
  2. Masukkan ke dalam periuk bersama air untuk kuah.
  3. Hidupkan api dan kacau- masukkan hirisan betik.
  4. Masukkan garam, biar menggelegak.
  5. Masukkan ikan- kacau perlahan jangan sampai ikan pecah
  6. Bila hampir masak masukkan kangkung.
  7. Tutup api, masukkan air limau nipis. 
  8. Siap.
Selamat mencuba..salam sayang daripada Cik Wan@ Cikgu Wan




Ikan Bakar dan Air Asam Sihat



Assalamualaikum dan salam Ramadhan ke - empat hari ini. Semoga kita semua sihat hendaknya..in sya Allah.

Hari ini Cik Wan kongsikan antara menu sihat yang Cik Wan sedang amalkan sekarang. Ikan Bakar dengan Air Asam Sihat. Untuk pengetahun semua, Cik Wan sekarang lebih slim (tak nak guna perkataan kurus heheh) dan badan rasa lebih sihat. Alhamdulillah. Rasa lebih ringan dan lebih mudah memilih pakaian tidak risau ketat dan nampak bentuk badan. Berat Cik Wan turun lebih 10kg dalam masa 3 bulan amalkan pemakanan sihat. Terima kasih kepada coaches Cik Wan yang sentiasa membantu tanpa jemu. Boleh follow ig coachismailayu kalau ada yang berminat ye hehehe. Chewahhh..promote sikit. Tak caya tengok gambar kat bawah ni hehehe.


Dua gambar kat bawah ni ialah selepas turun lebih 10 kg. Seronok dapat pakai baju2 lama hehee. Baju kurung oren tu dah 8 tahun tak pakai, sempat pakai sekali dua saja..dok terperap dalam almari sebab tak muat. Simpan kot2 anak2 dara nak pakai..macam mimpi je bila boleh pakai balik, nothing is imposibble kan?.


Apa lagi? Nak kurus sihat masa raya nanti kan? jom kita amalkan pemakanan sihat sepanjang Ramadhan ni.



Jangan lupa resepi ikan bakar ni hahaha..

Ikan bakar:
Ikan tongkol kecik- basuh bersih, rendam dengan air asam jawa atau asam limau nipis. Kemudian bakar tawar sahaja. (boleh pilih ikan lain- kalau dah try ikan tongkol ni, memang taknak yang lain dah)

Air Asam Sihat:

2 biji cili api- suka pedas boleh tambah lagi
1 tangkai daun ketumbar
1 ulas bwang putih
1/2 biji tomato @ 5 biji tomato untuk rasa yang lebih manis
1/2 biji limau nipis
Sedikit garam.

Tumbuk/blend semua bahan. Siap!.


Hidangkan dengan ulam-ulaman dan segenggam nasi parboile atau beras perang atau beras perang Thai yang Cik Wan guna dalam gambar ni. Selamat mencuba.

Salam sayang dari Cik Wan @ Cikgu Wan.

**** resepi sihat tiada gula ya. Manis natural dari tomato @ kalau suka bawang merah.

Saturday 19 May 2018

Butter Prawn yang lazat



Asalamualaikum dan salam Ramadhan..hari ketiga hari ini. Apa khabar? Semoga terus sihat dan ceria hendaknya. Jom kita sama-sama belajar masak udang mentega cara Cik Wan.

Bahan-bahannya:

Udangnya,

15 ekor udang. Belah belakang buang urat najisnya (devein) dan toskan  kering.
Perap dengan garam dan lada sulah.


Sarang telur/egg floss,

4 biji telur kuning
Secubit garam
Sedikit lada sulah
Minyak untuk menggoreng- agak banyak dan mesti guna kuali yang besar, kalau tak minyaknya akan melimpah keluar.
senduk-untuk kacau kuning telur dalam kuali nanti

Cara-cara;

Langkah 1: sediakan egg floss dulu.
  1. Pukul telur kuning bersama garam dan lada sulah dalam mangkuk kecil.
  2. Panaskan minyak.
  3. Tangan kiri pegang mangkuk berisi telur, tangan kanan pegang senduk, sedia untuk menggoreng.
  4. Angkat tinggi sedikit mangkuk yang berisi telur kuning, sambil kacau dulu minyak secara bulatan tanpa henti, baru tuangkan telur secara halus jatuhannya ke dalam minyak hingga habis.
  5. Kacau dengan arah yang sama tanpa henti.
  6. Bila masak, minyak akan berbuih dan telur akan garing. 
  7. Jika suka warna agak kekuningan goreng sebentar sahaja tapi saya suka warna agak perang.
  8. Ambil senduk dan penapis santan/besi.
  9. Tuang semua telur ke dalam penapis santan beralaskan bekas lain dan toskan.

Langkah ke-2: 
  1. Menggunakan minyak yang sama , goreng pula udang hingga garing.
  2. Siap, toskan kering.

Langkah ke-3: Menyediakan butter prawn.

Bahan-bahan 

Udang yang digoreng garing.
Sarang telur/egg floss

2 sudu mentega
2 sudu minyak masak-untuk elakkan mentega hangus
2 biji cili padi-potong
1 tangkai daun kari
1/4 cawan susu segar-kalau mahu berkuah, boleh tambahkan susu
Secubit dua gula.

Cara-caranya;
  1. Cairkan mentega dan minyak.
  2. Kacau.
  3. Masukkan daun kari dan cili padi yang dipotong.Kacau lagi.
  4. Masukkan susu. Kacau hingga berbuih/menggelegak.
  5. Masukkan udang dan separuh sarang telur/egg floss. Kacau sebati.
  6. Taburkan sedikit gula.
  7. Boleh angkat dan masukkan dalam pinggan hidangan. Taburkan dengan lebihan sarang telur/egg floss. Siap.
  8. Sedap ratah macam tu saja...



Siap..as easy as 1,2,3...hehehehe. Selamat mencuba. 

Salam sayang dari Cik Wan akak Cikgu Wan.

Thursday 17 May 2018

Selamat Menyambut Ramadhan



Assalamualaikum dan salam Ramadhan.

Selamat berpuasa Cik Wan ucapkan kepada semua sahabat Cik Wan Kitchen. Semoga kita semua sihat dan dapat menjalani ibadah puasa yang berkualiti, lebih baik daripada Ramadhan2 sebelum ini.

Jaga diri, jaga kesihatan..rancang aktiviti dan perbelanjaan di dapur agar tidak berlebihan dan menyebabkan pembaziran. Berpada-pada jika membeli belah di bazar Ramadhan dan masak sendiri adalah lebih baik.

Masak lebih sedikit agar dapat dikongsi dengan jiran tetangga..orang berbudi kita berbahasa, orang memberi kita merasa.

Jangan lupa bersahur dan makanlah makanan yang sihat demi kesihatan yang baik.

Salam sayang dari Cik Wan.


Saturday 3 March 2018

Azam 2018


Assalamualaikum dan salam sejahtera. Lama betul Cik Wan tak update blog. Bizi manjang. Hari ni Cik Wan nak share sesuatu. Target Cik Wan tahun 2018 hehehe. Hidup kena ada targetkan? Sedikit atau banyak bergantung kepada keperluan masing-masing. Target atau sasaran fizikal dan  spiritual bagi tahun 2018. Mudah-mudahan hidup kita lebih berfokus dan bermakna.

Cik Wan berazam untuk turun berat badan pada tahun ini. Maklumlah bila dah berusia macam-macam penyakit akan muncul. Harapan Cik Wan ibarat pepatah "prevention is better dan cure". Jaga badan untuk elakkan penyakit family Cik Wan iaitu kencing manis dan darah tinggi. Cik Wan belum ada tanda-tanda penyakit itu lagi tetapi risau juga bila dah nak masuk 50an ni. Tapi Cik Wan bukan sekadar nak kurus tau...nak kurus sihat gitu. In sya Allah..doakan Cik Wan ya.

Cik Wan ada mengikuti satu program kurus sihat. Alhamdulillah bermula 5 Februari dan baru selesai sesi pertama pada 1 Mac semalam. Cik Wan berjaya turunkan berat badan exactly 5.0kg. Surprise tak? Cik Wan pun tak sangka..sambil makan boleh kurus hehehehe. Makan dan bersenam sekurang-kurangkan 15 minit sehari. Sekarang Cik Wan akan teruskan lagi ke sesi kedua untuk mencapai berat badan ideal. Sesi kedua ni agak sukar kerana kita kena turunkan berat badan dengan mengeluarkan/menghilangkan lemak2 tepu dalam badan. Sesi pertama agak mudah kerana proses detox mengeluarkan air berlebihan dalam badan. Lemak2 yang tersembunyi di sekeliling organ dan di bawah kulit ni agak payah nak diuruskan hehehehe...ye lah..bertahun2 dok jaga dok bela dia sampai tebal..:)

Nanti  Cik Wan sharekan menu2 makanan yang Cik Wan ambil sepanjang bulan Februari ni. Untuk permulaan boleh tengok beberapa menu ni dahulu ya..

Omelette denga roti whole meal

Ikan dori panggang, ulam dan sambal belacan

Omelette bersayur


Aglio Olio fetuchini

Tom Yam Seafood

Grilled Salmon dan ulam


Chicken breast sandwich
Steam Salmon bersayur


Kengsom Siakap
Alhamdulillah...sebenarnya banyak lagi gambar2 menu yang Cik Wan ambik...nanti kalau ada masa Cik Wan sertakan dengan resepi sihat sekali ya. Jom!!!! kita sama2 kurus, langsing dan ramping cara sihat..

Wassalam.

Wednesday 31 January 2018

Ikan Tongkol Bakar dengan Cicah Air Asam


Assalamualikum dan salam sejahtera.
Tak kenal maka tak cinta. Ramai yang tidak biasa makan ikan tongkol bakar. Ikan Tongkol yang kecik2 tu..bukan ikan tongkol besar yang biasa buat gulai nasi dagang dan nasi berlauk tu. Isinya putih dan rasanya lembut manis. Cicah pulak air asam..Allahuakbar!!! memang sedap sungguhlah rasanya. Bagi Cik Wan lebih sedap daripada ikan jeket/cencaru dan ikan kembung.

Caranya mudah sahaja. Basuh bersih, rendam dengan air yang bercampur cuka/asam jawa sebentar. Bilas dan panggang.


Cicahlah dengan air asam atau sambal kicap atau sambal belacan atau budu..pergghhh. Kena pulak ada ulam-ulam kampung dan nasi panas2..adoi..terlajak tambah...gemuk la jawabnya hihihi.

Resepi untuk air asam :

Bahan-bahannya:

6 biji cili padi
4 biji cili merah besar
1 biji tomato-belah 4
2 sudu besar asam jawa- bancuh dengan air masak dalam 1/2 mangkuk kecil
2 sudu kecil garam
2 sudu besar gula
Sedikit belacan
1/2 sudu kecil ajinomoto jika suka
*semua bahan di atas diblend.

1 biji tomato
1 labu bawang besar
*hiris nipis dan ramas2.
  1. Masukkan air asam yang telah diblend ke dalam mangkuk.
  2. Tambahkan dengan tomato dan bawang yang telah diramas tadi
  3. Kacau sebati
  4. Tambahkan dengan sedikit perahan air limau nipis....siap.
Selamat mencuba...

Monday 29 January 2018

Kek Mentega Lemon


Assalamualaikum dan salam sejahtera.
Tiba-tiba mood rajin datang semalam walaupun badan masih lemah dan penat menguruskan mesyuarat agung pibg belum hilang. Kadang-kadang aktiviti memasak ni dapat mengurangkan stress dan hati jadi happy je hehehe. Tambahan pula Cik Wan ada dua orang helper Alis dan Aifaa, kerja manyak senang lho hehehe. 


Resepi ni Cik Wan dapat dari IG yatiekitchen. Terima kasih banyak2 ye dik yatie. Mohon maaf sebab ada ubah suai sedikit bahannya, ikut apa yang ada di dapur Cik Wan. Boleh rujuk ig beliau ya utk resepi sebenar.

Bahan-bahannya;

250gm mentega- Cik Wan guna Tatura unsalted
200gm gula kaster
4 biji telur- Cik Wan guna gred B
1 sudu besar jus lemon
parutan kulit lemon daripada sebiji buah lemon
1 sudu esen vanila
2 sudu minyak jagung
1 sudu besar susu pekat
230 gm tepung naik sendiri


Cara membuatnya;
  1. Satukan mentega dan gula- pukul hingga putih kembang
  2. Masukkan telur satu persatu sambil dipukul
  3. Masukkan esen vanila, minyak dan susu pekat-pukul lagi
  4. Masukkan air lemon dan parutannya-pukul
  5. Masukkan tepung sedikit demi sedikit dan pukul dengan kelajuan paling perlahan.
  6. Sedia untuk dibakar dalam oven kepanasan 180 'C selama 35-40 minit ikut oven masing-masing.

Memang gebus gebas keknya. Selamat mencuba.

Pulut Jagung Kukus



Assalamualaikum dan salam sejahtera. Selamat untuk semuanya semoga sihat dan ceria sentiasa. Sekarang ni cuaca tak menentu, ramai yang tidak sihat. Cik Wan pun dah bersambung demam dari minggu lepas. Sekarang batuk pula tak henti2. Mr A pun baru kebah dari demam agaknya jangkit dari Cik Wan. Mujurlah budak2 semuanya sihat. Agaknya antibodi mereka kuat berbanding kami berdua yang dah tua ni. Jaga kesihatan ya, banyakkan minum air dan elakkan daripada terkena hujan.

Musim hujan ni galak pula bunga telang Cik Wan berbunga. Nak buat nasi kerabu tak berapa rajin pula. Bila Mr bawak balik jagung, apa lagi terus terbit idea nak buat pulut jagung. Resepi biasa tak gunakan bunga telang tapi pandai2 Cik Wan je masukkan air bunga telang dalam santan. Jadilah macam dalam gambar. Jom tengok resepi dan caranya.



Bahan-bahannya;

2 gelas beras pulut
1 1/2 gelas jagung segar
1 gelas santan pekat
3/4 gelas gula- boleh kurangkan ikut keperluan
1 sudu teh garam
1 helai daun pandan.
15 kuntum bunga telang
1 cawan kelapa parut putih yang digaul sedikit garam

*masak santan dengan bunga telang + santan + gula +garam + daun pandan hingga gula cair.




Cara-caranya;

  1. Rendam beras pulut sekurang-kurangnya 1 jam
  2. Toskan beras pulut, gaulkan dengan isi jagung dan kukus hingga naik wap.
  3. Keluarkan pulut dan masukkan dalam bekas.
  4. Tuangkan santan ke dalam bekas pulut  dan kacau sebati.
  5. Kukus sekali lagi hingga naik wap dan pulut masak serta berkilat.
  6. Taburkan kelapa parut sebelum dihidangkan. Siap.
Mudahkan?. Selamat mencuba.




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...