Monday 30 March 2020

Kerabu Taugeh Ringkas


Assalamualaikum dan salam sejahtera. Hari ke 13 PKP. Semoga kita semua dilindungi  dan wabak ini diangkat pergi oleh Allah SWT. Jangan putus2 berdoa dan memohon pertolongan daripadaNya. Dialah sebaik2 Pelindung dan Dialah sebaik2 Pemberi Pertolongan. Amiin.

Cik Wan ambil kesempatan semasa PKP ini untuk buat taugeh sendiri. Masih ada sepeket kacang hijau dalam 200gm agaknya. Separuh peket Cik Wan semai untuk dapatkan taugeh. Tak berapa menjadi dan taugeh Cik Wan pendek2. Semalam Cik Wan semai lagi tapi dalam bekas yang lebih besar. Mudah-mudahan , kejadiannya lebih panjang dan lebih gemuk hehehe.


Dapatlah sebanyak seperti dalam gambar di atas. Cik Wan buat kerabu je sebab hanya Cik Wan dgn Mr A yang makan taugeh, anak2 memang tak suka. Jom kita tengok resepi ringkas Kerabu Taugeh ni. Sangat sedap untuk diratah atau dimakan dengan nasi.

Bahan-bahannya:

Semangkuk taugeh- celur sebentar dan toskan airnya.
3 sudu kelapa disangrai*
Sedikit belacan digoreng tanpa minyak- guna kuali yang sama selepas goreng kelapa.*
3 ulas bawang merah dimayang
1 biji cili padi*
Segenggam ikan bilis- rendam dengan air panas sekejap dan toskan*
Garam
Gula
Air asam limau

Cara-caranya:

  1. Tumbuk semua bahan bertanda *. Masukkan dalam mangkuk taugeh.
  2. Gaul sebati bersama garam, gula, asam limau dan bawang hiris.
  3. Siap.
Kalau tak ada taugeh, boleh je ganti dengan sayur lain seperti timun, selom, peria, kacang panjang, daun bayam brazil dan macam2 sayur lagi sama ada nak buat mentah ataupun dicelur dahulu. Sangat sedap dan membuka selera. Pastikan rasanya masam2 manis..sedap untuk diratah. Selamat mencuba.

p/s : Masa menggaul tu Cik Wan suapkan sejemput dalam mulut Alis yang tak suka makan taugeh sebelum ni. Hahaha...lepas tu separuh mangkuk memang habis kat dia je. Siap suruh mamanya semai lagi yang baki separuh peket. Haa..ambik..penangan kerabu mamanya...

Friday 27 March 2020

Laksam Sedap



Assalamualaikum dan salam sejahtera. Menu kedua yang Cik Wan update pagi ni. Gambar lama, harap2 belum ada gambarnya dalam entry sebelum ini. Resepi masih sama, cara yang sama setiap kali Cik Wan buat laksam. Anak tokey Laksam kg Kedai Menanti ni..anak arwah Hjh Mek Embong. Saya buat laksam seperti mana arwah mek ajar..cuma sukatan dan bahan agak berbeza kerana arwah mek menggunakan tepung yang dimesin daripada beras yang direndam semalaman. 

Tapi kaedah penyediaannya masih sama dan boleh bertahan tanpa dimasukkan ke dalam  peti ais melebihi 24 jam. Boleh tengok di SINI untuk step by step membuat laksam. Tapi resepi terbaik yang pernah Cik Wan cuba dan terus gunakan hingga sekarang adalah resepi INI. Memang terbaik sekali. 

Musim2 darurat ni, kalau tak cukup semua bahan pun takpe. Ulam sekadar timun dan kubispun dah mencukupi. Kuahpun tak payah letak ikan banyak, santanpun pakai je santan kotak. Lebih tahan lama dan lambat basi. Resepi di bawah boleh dijadikan sebagai panduan sahaja. Pandai2 lah kita adjust ikut yang ada di dapur sendiri ya. Semoga kita semua dipermudahkan ALlah SWT..amiiin.
Ini resepinya ya..Cik Wan CnP semula

Bahan-bahan laksamnya;

1 peket tepung beras biasa
4 cawan air sejuk
4 cawan air panas mendidih
1 cawan nasi sejuk- campur dengan 1 cawan air sejuk- blend lumat.
Secubit garam.
* bahan di atas adalah resepi asal- tapi saya tambah 1 cawan lagi air suam kerana sukakan laksam yang lembut.

Cara menyediakannya:

  1. Masukkan tepung dalam bekas yang agak besar.
  2. Tambah dengan 4 cawan air sejuk. Kacau sebati.
  3. Tambahkan 4 cawan air mendidih. Kacau sebati. Masukkan garam.
  4. Masukkan nasi yang telah diblend tadi. Kacau lagi.
  5. Sedia untuk dikukus.
  6. *Jika didapati laksam agak keras, boleh tambah 1 cawan air suam. Kalau sudah lembut, tak perlu tambah. 
  7. Siap.

Untuk kuahnya:

Bahan-bahan;
2 biji kelapa parut- ambil santan kepekatan biasa
5 ekor ikan sardin segar- direbus dengan garam dan asam keping. Diambil isinya.(Nak kuah yang pekat dengan isi ikan, boleh tambah kuantiti ikannya)
4 ulas bawang merah
2 ulas bawang putih-bakar atas api gas sebentar
1/2 inci halia- bakar seperti bawang putih
1/2 sudu lada hitam- tumbuk halus dulu.
4 keping asam keping
Garam
Perasa yang digemari.
*jika suka manis, boleh letakkan gula. Saya tak letak.

Cara-caranya;
  1. Sediakan santan ke dalam periuk. Hidupkan api kecil dan kacau sekali-sekala.
  2. Sambil itu kita blend semua bahan isi ikan, bawang merah, bawang putih, halia dan lada hitam.Pastikan lumat betul.
  3. Masukkan ke dalam santan.
  4. Masukkan asam keping, garam dan perasa.
  5. Kacau hingga menggelegak. Siap!.
  6. *ada orang yang blend tulang ikannya untuk rasa yang lebih manis. Sayapun sama. Tapi hasilnya kuah tidak putih melepak tetapi  agak gelap warnanya. Terpulanglah :-)


Ulam-ulam:

Kacang panjang
Kubis
Taugeh
Daun kesum
Bunga kantan

Sambal lada

15 biji cili padi
1 sudu kecil garam
Tumbuk hingga lumat.



Lempeng Berinti


Assalamualaikum dan salam sejahtera. Hari ke-10 PKP. Salam Jumaat Saiyyidul Ayyam dan salam 2 Syaaban. Apa khabar sahabat semua?. Didoakan semoga semuanya dalam keadaan selamat bersama keluarga tercinta. Alhamdulillahhh...syukur selalu, walaupun kita berada dalam keadaan tertekan dan resah gelisah. Syukur banyak2 dan bersangka baiklah dengan Allah SWT kerana tidak Allah menjadikan sesuatu itu, melainkan ada hikmah di sebaliknya. In sya Allah.

Resepi ni dah ada dalam blog. Malam tadi dalam pukul 11, Zikry masuk bilik bagitahu dia lapar sangat. Zikry dah makan nasi, dah makan cucur udang tapi Zikry teringin nak makan tuna...Zikry lapar. Alamak, sayu pulak mama mendengarnya. Nasib baik tuna ada dalam 2 tin, tapi roti pulak tak ada. Teringat menu lempeng berinti yang pernah Cik Wan share kat SINI . Apa lagi, malam2 mama masuk dapur. Zikry makan 2 biji dan Zahirah makan sekeping lempeng tanpa inti, cicah dengan sos coklat je. Kenyang mereka dua beradik dan dapat tidur lena lepas tu.

Jom tengok resepinya ya.

Bahan lempeng:

1 gelas tepung gandum
1 1/2 gelas air (boleh tambah kalau adunan terlalu pekat/lempeng terlalu tebal) *yang 1/2 gelas tu tuangkan sikit2 ye. Kalau perlu, habiskan, kalau tak, jangan.
1 biji telur
1 1/2 sudu gula
1 sudu kecil garam.

Bahan untuk inti;

1 mangkuk isi udang yang telah direbus/ 1 tin tuna/1 mangkuk isi ayam yg telah direbus.
1 labu bawang merah besar/boleh juga guna bawang Holland
1 mangkuk kecil mayonis
Sedikit lada sulah
1 sudu serbuk cili kasar
Sedikit air asam limau nipis
Secubit garam

*Gaul sebati semua di atas.


1 mangkuk kecil hirisan karet
1 mangkuk hirisan kubis/ daun salad
1 mangkuk kecil hirisan daun ketumbar


Gambar lama.
Cara menyediakannya.
  1. Gaulkan inti tuna dengan mayonis, garam, lada sulah dan air asam limau.
  2. Boleh mula menggulung lempeng..bukan macam popiah tapi hanya gulung sahaja.
  3. Mula-mula letakkan hirisan kubis yang dicampur hirisan karet di atas lempeng, bubuh inti  dan gulung.
    Gambar lama, gunakan salad. Malam tadi CIk Wan gunakan hirisan kubis dan karet.
  4. Sapu sedikit mayonis dan tabur serbuk cili di atasnya. 
  5. Dah siap!!.
Selamat mencuba ya...stay safe and stay at home please.

Tuesday 24 March 2020

Roti Jala dengan Ayam Kerutuk.


Assalamualaikum dan salam sejahtera. Hari ke tujuh Perintah Kawalan Pergerakan. Semoga semunya akan berakhir dengan kebaikan..amiin.

Setiap hari jika dizinkan Allah, Cik Wan akan update menu2 simple yang boleh dimasak dengan mudah oleh ibu atau ayah di rumah. Roti jala ni kalau takde acuan, boleh tebuk lubang kecik kat beg palstik..jadikan sebagai acuan roti jala. In sya Allah, boleh. Dah ada orang tunjukkan kat FB.

Untuk kuah, Cik Wan ada lebihan kerutuk semalam, boleh je digantikan dengan sebarang lauk lain seperti kari, gulai, masak lemak, sardin, sambal ikan bilis atau apa2 sambal tumis malahan boleh juga dimakan dengan susu pekat. Zaman2 darurat seperti ini, jangan berkira sangat dan jangan berlebih2an. Jadikan aktiviti memasak ini sebagai aktiviti gotong royong bersama keluarga semoga dapat mengalihkan perhatian anak2 daripada tekanan atau keresahan. Sambil2 tu bolehlah mengingatkan anak2 supaya nanti di masa hadapan sentiasa bersedia dengan keperluan asas malahan sebarang kemahiran hidup asas. Nanti jika berlaku lagi perkara2 seperti ni mereka ada keupayaan untuk survival. Pepatah melayu selalu mengingatkan beringat sebelum kena, sediakan payung sebelum hujan dan banyak lagi.

Resepi roti jala ini sangat istimewa kerana Cik Wan dapat daripada taukeh Roti Jala Kampung Banggol, Kota Bharu. Semasa mereka giat berniaga roti jala dulu, Cik Wan selalu oder 4-5kg untuk jamuan hari raya. Separuh untuk rumah Mek dan separuh lagi untuk rumah Mok. Boleh dikatakan setiap tahun Cik Wan oder dengan dia. Roti jala mereka boleh tahan sampai tiga hari, tak basi dan lembut elok je. Sekarang, kedua2 suami isteri sudah uzur dan anak2pun semuanya bekerja. Maka pernigaan mereka dihentikan. Tapi Cik Wan dapat resepi ni daripada anak mereka..sahabat Cik Wan , Wan Sidqi. Jazakallahukhoiran kathira. Semoga mendapat keberkatan daripada Allah SWT.

Resepi yang diberi untuk 1 kg tepung, tapi tadi Cik Wan buat 200gm sahaja. Dapat 12 biji roti jala. Cukuplah untuk pagi ni. Dah goreng juga cucur udang semalam dan pancake coklat untuk Zahirah. Alhamdulillah. Jom tengok resepinya ya.

Bahan-bahannya:

1 kg tepung
100 gm minyak sapi
5 biji telor
Air secukupnya
Garam
Pewarna kuning

Cara membuatnya:
  1. Masukkan semua bahan ke dalam blender.
  2. Blend sehingga sebati.
  3. Sedia untuk dijalakan.
Nota: Tadi Cik Wan buat 200gm tepung,1 biji telor dan sesudu kecil minyak sapi. Guna secubit garam dan 2 cawan +- air. Alhamdulillah..jadi cantik kejadiannya. 

Selamat mencuba ya.





Monday 23 March 2020

Nasi Hujan Panas dan Ayam Masak Kerutuk



Assalamualaikum dan salam sejahtera. Semoga dalam keadaan sihat dan selamat bersama keluarga. Jaga diri, jaga keluarga dan jaga kesihatan bersama. Hari ke enam Perintah Kawalan Pergerakan. Semoga bala ini diangkat oleh Allah SWT secepat yang mungkin. Amiiinnn.

Tengah hari ni CIk Wan masuk awal ke dapur sebab pagi tadi hanya bersarapan dengan cucur udang sahaja. Pukul 12 anak2 dah mula rasa lapar. Mr A mintak nasi minyak semalam, maka hari ni Cik Wan masakkan as requested. Senang masak nasi ni, dalam sejam lebih dah boleh hidang dah. Buat kerja ramai2 dengan anak2 ni, semua berjalan cepat dan lancar. Alhamdulillah.

Jom tengok resepinya ya.

Nasi Hujan Panas 

Bahan-bahannya;

2 pot beras Basmathi-dibasuh, rendam dalam air suam dicampur sedikit garam untuk 10-15 minit. Kemudian toskan kering.

3 pot yang sama air - 1.5 pot air untuk 1 pot beras.
2 sudu minyak sapi
3 sudu minyak masak
1/2 cawan susu sejat/susu segar
2 helai daun pandan
1 labu bawang besar dimayang halus/dadu
3 ulas bawang putih dimayang nipis/dadu
1 inci halia dimayang halus
3 kuntum cengkih
1 inci kulit kayu manis
3 biji buah pelaga
1 kuntum bunga lawang
2 helai daun pandan
1/2 cawan kismis kuning/hitam-rendam dalam air panas-optional
1/2 cawan biji gajus -digoreng terlebih dahulu-optional
Pewarna hijau, merah dan kuning
Garam
Sedikit gula

Cara memasaknya;

  1. Panaskan periuk/ricecooker, masukkan minyak sapi dan minyak masak.
  2. Bila dah cair, masukkan bahan bawang dan halia. Kacau hingga jernih dan masukkan rempah kasar. Tumis sekejap.
  3. Masukkan daun pandan. Kacau hingga naik bau daun pandan.
  4. Masukkan air, garam dan gula. Masak hingga menggelegak.
  5. Masukkan susu. Masak sekejap.
  6. Masukkan beras, kacau dan tutup periuk.
  7. Bila nasi dah  kering dan 3/4 masak, kacau dan masukkan kismis serta biji gajus.
  8. Titikkan beberapa spot untuk setiap warna merah hijau dan kuning. Biarkan nasi masak.
  9. Bila nasi masak, gemburkan nasi dengan garfu...dah siap.


Ayam Kerutuk


Bahan-bahan;

1  ekor ayam potong kecil
1 biji kelapa ambil santan secukupnya
1 sudu besar kerisek
2 sudu besar rempah kerutuk dan 1 sudu serbuk kari - bancuh dengan air panas
Rempah 4 sekawan secukupnya-cengkih, lawang, pelaga dan bunga lawang
5-7 biji cili kering/ 2 sudu serbuk cili
6 ulas bawang merah
4 ulas bawang putih
Seinci halia
Seinci lengkuas diketuk
1 batang serai diketuk
Gula melaka/gula
Garam
Sedikit air asam jawa
Ubi kentang secukupnya.


Cara-cara :
          Sediakan bahan tumis:

  •           Rempah kasar 4 sekawan
  •          2 ulas bawang merah dimayang
  •          2 ulas bawang putih dimayang
  •          Sedikit halia dimayang


Bahan lain selebihnya dimesin (bawang, cili kering, halia)
  1.  Panaskan minyak. 
  2.  Masukkan bahan tumis,  tumis hingga wangi. 
  3.  Masukkan bahan mesin , kacau hingga naik minyak.
  4.  Masukkan rempah kerutuk, tumis hingga naik minyak sambil masukkan serai dan lengkuas  ketuk, garam, gula, kerisek dan air asam jawa. Kacau hingga pecah minyak.
  5.  Masukkan ayam dan kacau hingga keluar air daging ayamnya.
  6.  Masukkan ubi kentang.
  7.  Masukkan santan.
  8.  Masakkan sambil dikacau sekali sekala sehingga santan pekat seperti di dalam gambar di atas.

Selain sedap dimakan dengan nasi putih atau nasi minyak, kerutuk ni juga sedap dicicah dengan roti atau roti jala..memang best. Selamat mencuba and #stayathome #staysafe

Pancake Mudah


Assalamualaikum dan salam sejahtera. Permulaan hari ke enam RMO atau PKP akibat Covid 19. Hari ini mencatat 11 korban..innalillahiwainnailaihirojiunn. Alfatihah untuk mereka yang beragama Islam. Semoga mereka semua diampunkan Allah dan termasuk dalam golongan orang-orang yang dirahmatiNya. Aminn.

Semoga sahabat2 semua dapat patuh kepada arahan yang telah dikeluarkan oleh pihak berwajib..demi keselamatan kita semua. Kita berkorban duduk di rumah..tapi frontliners berkorban nyawa demi kita. Hargai mereka dan kasihani mereka dengan cara kita jaga diri dan keluarga kita masing-masing. Duduk di rumah!!!. Semoga rantaian wabak ini dapat dihentikan dan diangkat bala ini oleh Allah SWT..yang Maha Agong dan Yang Maha Berkuasa...amiiinn.

Subuh2 ni Cik Wan nak kongsikan resepi pancake mudah yang boleh dibuat sarapan nanti. Guna bahan yang simple yang mana rata2 ada di rumah. Cik Wan share resepi yang mudah2 je..semoga bermanafaat.

Bahan-bahannya:

2 cawan tepung
4 sudu teh baking powder
Atau boleh tukar dgn 2 cawan + 1 sudu besar selfraising flour

1/4 cawan gula
Secubit garam
1 biji telor
1 1/2 cawan susu segar
1 sudu esen vanilla
4 sudu butter utk memasak


Cara-caranya:

  1. Satukan bahan kering . Kacau rata.
  2. Masukkan semua bahan basah.
  3. Kacau sebati dan biarkan sebentar. Sedia untuk dimasak.
  4. Panaskan kuali, masukkan butter.
  5. Sapu butter tadi dengan tisu baru masukkan sesenduk adunan pancake.
  6. Masak kedua-dua belah. Siap.
Nota1:Klau ingin dimakan beramai-ramai secara bersama-sama, kita masak semua dahulu baru dihidangkan. Untuk mengekalkan kegebuan pancake, setiap kali siap dimasak, masukkan pancake ke dalam oven yang dipanaskan dengan suhu sederhana. Bila nak dihidangkan, baru keluarkan semuanya. Panas2 gitu.

Nota 2: Boleh dihidangkan dengan gula, madu, butter, nuttela, dan pelbagai lagi. Cik Wan gunakan sos coklat yang dibuat sendiri. Cuma cairkan cooking coklat bersama dengan butter, susu pekat dan susu segar. 

Selamat mencuba ya.

Friday 20 March 2020

Kengsom Siakap



Assalamualaikum dan salam sejahtera, Hari ketiga RMO akibat Covid 19. Semoga semuanya dalam keadaan sihat dan dalam perlindungan Allah SWT. Stay home and stay safe my dear friends.

Hari ini Cik Wan masak simple sahaja, cuba menjimatkan bahan masakan dan bahan mentah yang lain. Kalau boleh nak elakkan untuk keluar ke kedai dengan kerap. Kesian Mr A..bahaya untuknya dan kami semua.

Siakap masak kengsom atau Kaeng Som ni mudah sahaja tapi sangat sedap rasanya. Ada rasa pedas, masam,  masin dan manis. Cik Wan ambil resepi ni daripada blog Mark Wien yang popular tu. Boleh tengok di SINI . Selamat mencuba ya.

Bahan-bahannya:

1 ekor ikan Siakap- optional, boleh tukar dengan apa2 ikan yang digemari.
1/2 biji betik muda- boleh ganti dengan nanas atau kangkung

3 ulas bawang merah
5 ulas bawang putih
1 inci kunyit hidup
1 inci belacan
Segenggam cili padi- boleh ubah ikut kepedasan
Garam
Gula
Air limau nipis

Cara menyediakannya:

  1. Blend lumat semua bahan rempah.
  2. Masukkan dalam periuk. Masukkan air secukupnya.
  3. Masukkan betik yang telah dipotong.
  4. Masak hingga menggelegak. Masukkan gula, garam dan air limau.
  5. Masukkan ikan. Masak hingga menggelegak. Rasakan garam gula.
  6. Siap.


Untuk yang tidak suka ikan siakap, boleh gunakan ikan lain ya. Bahannya simple sahaja tapi wallahh sedap sangat. Jangan lupa cuba ya...plse stay home, stay put and stay safe ..happy cooking...byee.



Wednesday 18 March 2020

Pau Goreng atau Roti Goreng Kelate


Assalamualaikum dan salam sejahtera. Ini satu lagi resepi mudah dan pasti menjadi kalau ikut step by step resepi yang Cik Wan bagi. Resepi turun temurun keluarga Mr A. Mak dan adik Mr A buat sebagai jualan dan terkenal di kampungnya. Boleh guna resepi ni dan semoga beri manafaat kepada yang berminat untuk berniaga.

Resepi ni asalnya menggunakan inti kacang merah, tapi bila Cik Wan suruh Alis cek...inti dalam fridge tu dah expired pada tahun 2018 lagi hahahahahaha...teruk betul Cik Wan ni. Pandai betul menyimpan barang huhuhu. Nak keluar beli memang tak berbaloilah, kedai bakery pun dah tutup agaknya. Nasib baik ada kelapa parut putih yg Mr A beli untuk makan dengan pulut pagi. Apalagi, godek2 dan siaplah inti kelapa untuk pau goreng ni. Sebenarnya ada follower Cik Wan cakap, maknya tukarkan kepada inti Nutella..dan sangat sedap katanya. So, siapa yang ada Nutella di rumah tu, boleh cuba ya.


Bahan-bahannya:

1 kg tepung gandum
1 paket yis mauripan (bancuh dengan 1 cawan air suam kuku)
4 sudu margarin/mentega
1 sudu besar soda bikarbonat dan 1 sudu kecil garam (bancuh dengan 1 cawan air)
1 cawan gula
Air secukupnya untuk menguli (sehingga adunan tidak melekat ditangan)
Sedikit pewarna kuning jika suka.
Inti kacang merah/inti kacang hijau/inti kelapa/inti Nutella

Cara-caranya.

  1. Masukkan semua bahan ke dalam bekas dan uli sehingga adunan tidak melekat di tangan.
  2. Biarkan doh naik 2 kali ganda.
  3. Uli/tumbuk  sekejap doh tadi untuk keluarkan angin.
  4. Bulat-bulatan doh mengikut saiz yang dikehendaki. (Jangan besar sangat sebab sebelum digoreng akan dileperkan dahulu, jadi saiznya akan jadi makin besar)
  5. Masukkan inti  ke dalam doh (macam buat ondeh-ondeh)
  6. Susun dalam dulang/loyang.
  7. Panaskan minyak.
  8. Sebelum  menggoreng, tekan-tekankan sedikit doh sehingga leper (jangan kuat sangat) dan terus masukkan ke dalam minyak.
  9. Roti akan tenggelam, mengembang dan timbul semula. Balik-balikkan sehingga masak/warna perang. Siap.


Selamat mencuba ya. Resepi ni agak banyak, dalam 30 biji lebih juga. Jadi kalau ahli keluarga kecil, bolehlah dikurangkan dan buat 1/2kg tepung sahaja dan bahan yg lain bahagikan 2.

Cakoi yang enak


Assalamualaikum dan salam sejahtera semua. Semoga dalam keadaan sihat dan selamat. Dalam suasana Perintah Kawalan Pergerakan ni, patuhilah arahan dan sedaya mungkin berada di rumah. Semoga wabak ini dapat dikawal dan seterusnya dihapuskan. Amiinnn.

Petang ni Cik Wan kongsikan resepi cakoi..ni pun request anak-anak. Dah lama sangat tak buat kuih ni, skodeng blog dan youtube...Cik Wan buatlah dan inilah hasilnya. Tapi masih tidak sama seratus peratus yang dijual di kedai tu...sungguh..ada rahsia mereka tersendiri hehehe. Tapi bolehlah dikatakan hampir2 sama. Boleh cuba untuk yang suka..sebagai idea menu anak2 untuk minum petang atau supper malam nanti.

Bahan-bahannya:

3 gelas tepung
1 sudu besar yis
2 sudu besar gula
1 sudu kecil garam
1 biji telur
3 sudu besar minyak masak
Air secukupnya - Cik Wan guna dalam 3 gelas air +- (bergantung pada jenis tepung yang digunakan)


Cara membuatnya;

  1. Campurkan semua bahan dan uli sehingga hampir tidak melekat di tangan- adunan agak lembik ya.
  2. Tutup adunan dengan kain/dulang dan perapkan 2 jam.
  3. Selepas 2 jam, uli untuk dibentuk. Canai doh dan potong dalam 5 ke 6 inci panjangnya.
  4. Lapikkan dua potongan dan tekan ditengahnya dengan chopstik/belakang pisau (rujuk gambar)
  5. Biar sebentar dan sedia untuk digoreng.
  6. Panaskan minyak, bila minyak dah panas, ambil potongan doh, tarik panjang sikit dan lepaskan ke dalam minyak.
  7. Goreng hingga berwarna perang/kuning gelap. 
  8. Angkat dan toskan minyak. Siap.




Selamat mencuba ya. Sedap di cicah dalam teh tarik panas-panas..yummm.

Tuesday 17 March 2020

Carrot Cake yang simple sangat



Assalamualaikum dan salam sejahtera. Semoga sihat semuanya. Semoga kita semua dilindungi dan diselamatkan Allah SWT daripada wabak Covid 19 yang semakin meruncing sekarang ni. Walaupun masing2 sibuk dengan acara yang telah dirancang awal, silalah ambil langkah keselamatan yang telah diberikan.

Musim cuti ni macam-macam pula request daripada anak-anak. Asyik lapar memanjang..maknya terpaksalah lebih rajin. Nasib baik Alis dan Aifaa dah hebat menolong mama di dapur..buat kek ni sekejap sahaja dah siap.

Masih menggunakan resepi asal dalam blog ni, boleh rujuk di SINI, tapi Cik Wan kurangkan sukatan gulanya. Jom kita lihat resepinya,

Bahan-bahannya:

2 cawan tepung naik sendiri
1 1/2  cawan gula halus/caster
4 biji telor
1 1/4 cawan minyak jagung/sayur
1 cawan kacang walnut/badam dipanggang dahulu
1 sudu kecil garam
4 cawan karet parut- tabur sedikit garam, biarkan 30 minit dan perah airnya.
2 sudu besar sunquick
2 sudu kecil esen vanilla menggantikan serbuk kulit kayu manis

Cara-cara
1. Siapkan bekas untuk bakar, griskan dengan butter dan alaskan dengan kertas kek.
2. Pukul gula dengan minyak hingga kembang. Masukkan telur, pukul lagi hingga kembang.
3. Perlahan-lahan masukkan tepung. Kaup balikkan.
4.Masukkan parutan karet, sunquick dan kacang, kacau kaup balik.
5.Siap untuk dibakar dalam api 180c selama sehingga 35 hingga 40 minit.

Bahan-bahan cream cheese
250gm cream cheese
30gm butter
1 sudu besar perahan lemon @  sunquick oren.
1 sudu besar esen vanilla
1 sudu besar susu segar
100gm gula ising
Pukul hingga kembang cream cheese dan butter. Masukkan gula dan semua bahan lain. Siap untuk disapukan atas kek yang sudah disejukkan.


Saya belah dua kek dan sapukan cream cheese di bahagian tengah dan atas kek. Mudah sahaja. Kuantiti cream cheese ni tak cukup utk menutup keseluruhan kek..so, kalau nak tutup semua , gandakan sukatannya ya.

Dah makan Carrot Cake..tiba2 Zahirah dah request pulak Red Velvet.....huhuhu..alahai anakkk

Monday 9 March 2020

Siakap Bakar dengan Sambal Thai


Assalamualaikum dan salam sejahtera. Semoga sihat dan ceria semua sahabat Cik Wan Kitchen semua.

Hari ni Cik Wan share gambar ikan siakap bakar yang dah lama buatnya, baru sempat dan upload. Senang je nak masak..balik dari sekolah..solat Zohor dan terus ke dapur. Kebetulan dah suruh kakak defrost siap2 ikannya. Maka cepatlah sedikit siapnya. Jom, tengok resepi dan bahannya;

Bahan-bahannya:

1 ekor Siakap- potong butterfly dan lumur dengan garam dan lada sulah. Terus bakar.

Sos pencicah (Sambal Thai)

2-5 biji cili padi- boleh tambah/kurang
4 ulas bawang putih
2 tangkai ketumbar-hiris
2 sudu besar sos ikan- boleh guna garam
2 biji limau nipis- ambil airnya
2 sudu gula Thai- boleh guna gula pasir

  1. Tumbuk cili dengan bawang putih.
  2. Masukkan dalam mangkuk.
  3. Campurkan dengan semua bahan lain. Siap.


Hidanglah dengan ulam-ulaman pilihan hati. Hari tu Cik Wan cuma ada timun dan daun selom je. Kalau ada pucuk selasih dan kemangi, terung bulat hijau dan daun Cha Om..adoiii..memang best.

Selamat mencuba ya...makan sedap tapi sihat..byee
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...