Saturday 26 July 2014

Selamat Hari Raya Aidil Fitri


 
Assalamualaikum..wbrt.

Selamat Hari Raya Aidil Fitri Maaf Zahir Batin kepada semua yang selalu berkunjung ke blog Cik Wan ni. Selamat bergembira bersama keluarga di hari lebaran ini. Cik Wan memohon ampun dan maaf sekiranya ada tersilap kata dan bicara. Cik Wan ucapkan jutaan terima kasih kerana anda semua sudi berkunjung dan singgah di blog yang serba sederhana ini.

Kepada yang balik kampung Cik Wan doakan agar semuanya selamat dalam perjalanan, berhati-hati memandu dan sebagai isteri di sebelah, nasihatkan agar suami kita memandu dengan berhati-hati, jangan kita pulak yang lebih2  dan menggalakkan suami pandu laju, potong q dan sebagainya hahahahaha...jangan marah...nak raya ni :-)

Dalam kita bergembira, sama-samalah kita mendoakan keselamatan dan kesejahteraan saudara-saudara kita di Gaza, di Syria, di Myanmar, di Thailand dan di mana sahaja. Cik Wan baru sahaja menghadiri Ceramah Gaza dan Palestine Khamis lepas...subhanaAllah..betapa dasyatnya siksaan dan kekejaman yang dihadapi oleh saudara kita di Gaza dan beratus-ratus kali dasyat lagi saudara kita di Syria...masyaAllah...Mereka semua adalah saudara kita yang wajib kita sama-sama tolong dan bertanggungjawab. Jadi bersederhanalah dalam menyambut hari lebaran ini. Kenanglah mereka dan hulurlah walau sedikit cuma bantuan kepada mereka. Banyak saluran yang boleh anda gunakan sama ada Aman Palestine, MAPIM dan sebagainya...semoga di akhirat nanti kita tidak disoal oleh Allah tentang apa tindakan dan bantuan yang telah kita hulurkan bagi membantu suadara seislam kita yang disiksa dan dizalimi ini...

Sekali lagi..Cik Wan mohon maaf dan mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Fitri Maaf Zahir dan Batin. Doakan perjalanan Cik Wan sekeluarga sebentar lagi selamat pergi dan selamat kembali serta dipermudahkan Allah dalam menghadapi trafik jem yang teruk ni.
Wassalam.

Thursday 17 July 2014

Rubies In Coconut Milk @ Tub Tim Grob







Selalunya saya makan dessert ni di Restoran Steamboat Johny's atau di Restoran Thai Amarin. Saya lebih suka hidangan di Johny's sebab lebih segar dan ruby nya halus sahaja. Untuk yang tak pernah buat atau tak pernah makan boleh tonton video ini untuk lebih jelas cara penyediaannya. Yang berbeza dengan yang saya buat ialah saya dadu halus sengkuang cinanya.  Untuk pastikan hidangan ini lebih lazat, saya cadangkan hanya guna santan segar yang diperah daripada kelapa parut putih. Jangan gunakan santan segera ataupun santan kotak...jauh lari dia punya taste..selamat menonton dan selamat mencuba...





Kailan Ikan Masin


Segar dan menyelerakan. Mudah saja cara saya menggoreng kailan ni..jom tengok resepi.

Bahan-bahannya;

2 tangkai/pohon kailan- potong dan asingkan batang dan daunnya.
4 ulas bawang putih
3-4 biji cili padi
1 keping kecil ikan tenggiri masin
2 sudu sos tiram
1 ekor sotong- potong ikut suka
1/2 labu bawang besar- dimayang

Cara-caranya;
  1. Tumbuk  bawang putih bersama dengan cili padi (jika tak mahu pedas sangat boleh dipotong sahaja)
  2. Tumis bahan tumbuk hingga wangi.
  3. Masukkan isi ikan tenggiri masin- tumis hingga isi ikan agak garing
  4.  Baru masukkan sos tiram dan sotong.
  5. Kacau dalam 30 saat, jangan lama sangat nanti sotong liat.
  6. Masukkan batang kailan dan sedikit air jika terlalu kering.Kacau sebentar.
  7. Akhir sekali masukkan bawang besar dan daun kailan. Kacau sebentar sahaja dan tutup api. Siap!.
Nota- jika kurang  masin boleh tambahkan sedikit garam.
        - selalunya sayur ini saya goreng paling akhir sebelum menghidangkan nasi..suka makan panas2.



Daging Merah Thai


Ringkas sungguh menu daging merah ni...bahanpun mudah sahaja.  Jom, tengok resepi paling ringkas tapi menyelerakan ini.

Bahan-bahan;

Daging secukupnya direbus (dalam 200-300gm sahaja) - saya guna daging segar tempatan, sekejap je rebus kemudian dipotong nipis.
4 ulas bawang putih- cincang
1/2 sudu serbuk cili
1/2 labu bawang besar Holland
1/2 biji capsicum merah
2 helai daun limau purut
2 sudu sos tiram
5 sudu sos cili
2 sudu sos tomato
Sedikit sahaja garam.

Cara-caranya;
  1. Panaskan minyak.
  2. Tumis bawang putih hingga kekuningan.
  3. Masukkan serbuk cili, kacau sebentar.
  4. Masukkan sos cili, sos tomato dan sos tiram.
  5. Masukkan juga daun limau purut. Kacau sebentar.
  6. Masukkan daging dan sedikit air, kacau sebati - rasakan, jika kurang masin boleh tambah garam.
  7. Masukkan bawang besar dan capsicum, kacau. Siap.




Tuesday 15 July 2014

Spagheti Aglio Olio Seafood yang marvellous...


Cukup dengan pasta ni saja untuk juadah berbuka kami berdua...pedas berapi hahaha. Kesian pulak Zikry dgn Zahirah tak boleh menikmati pasta ni, nasib baik ada nasi dengan ikan tenggiri goreng kicap..cukuplah untuk mereka.

Jom tengok resepi yang mudah tapi lazat ni.

Bahan-bahannya;
1 peket 500 gm pasta spagheti- saya pakai dalam 350gm sahaja.

7 ulas bawang putih- dicincang halus
1 sudu chilli flakes - kalau tak ada boleh guna cili kering, potong dua atau tiga sahaja.
5-6 ekor udang- saya belah dua udangnya
5 biji cendawan butang segar
5 biji tomato ceri- hiris nipis- boleh guna tomato biasa yang dipotong kecil2.
2 tangkai daun parsley
2 tangkai daun sweet basil
minyak zaiton- agak banyak
Parutan keju parmesan.
Serbuk lada hitam- kalau suka, saya punya dah cukup pedas jadi tak letak.


Cara menyediakannya;
  1. Rebus pasta seperti arahan dalam peket- saya letak 2 sudu kecil garam.
  2. Panaskan minyak zaiton.
  3. Masukkan bawang putih cincang- kacau hingga kekuningan.
  4. Baru masukkan chilli flakes.- kacau lagi- jaga2 jangan sampai hangus.
  5. Masukkan udang. Kacau sebentar.
  6. Masukkan cendawan dan tomato ceri.
  7. Kacau sebentar.
  8. Masukkan hirisan daun sweet basil dan parsley dan terus masukkan pasta yang telah ditoskan.
  9. Masukkan sedikit garam dan 2 sudu keju parmesan.
  10. Kacau sebentar dan wallaaa...siap!!.
  11. Semasa hidang, boleh tabusrkan baki hirisan daun dan juga tabur keju parmesan. Kalau suka  boleh juga taburkan serbuk lada hitam.

Friday 11 July 2014

Mee dan Kueh Tiew Celup yang sangat mengancam..

Alhamdulillah...buka puasa hari ini simple sahaja lepas dah tak ada idea untuk masak hehehe..juadah ini sangat sesuai untuk berbuka sebab tidak terlalu berat dan juga tidak ringan sangat...sedang-sedang gitu. Semangkuk ni dah cukup untuk saya. Berangan nak makan lagi lepas terawih..sluuurrppppp memang sedap tau.


Resepi ada di SINI, tapi saya buat separuh sukatan sahaja. Selamat berbuka..

Akok Kedut Kelantan






Alhamdulillah..akhirnya menjadi juga akok saya. Memang sedap sangat-sangat dan sama seperti akok dari Tumpat hehehe..betul!!!! Tak percaya boleh cuba.

Sebenarnya saya menggunakan resepi asas dari blog Azie Kitchen tapi saya buat beberapa perubahan berdasarkan citarasa kelate saya serta RAHSIA paling SULIT yang baru saya saya ketahui iaitu menggantikan air dengan AIR KELAPA...subhanaAllah...memang tak terkata bila saya makan akok ni..sebiji seperti rasa akok dari kelate. Terima kasih kak Faridah yang secara tak sengaja bertanya saya , "Za tak letak air kelapa ke?"..rupa-rupanya Kak Faridah pernah mengajar di Tumpat dan sangat baik dengan tauke akok di pekan tu..apa lagi, hari tu jugak saya buat akok ni.

Jom, kita tengok semula resepi akok yang telah saya ubah suai..

Resepi Asal : Azie Kitchen

Bahan-bahannya;

5 biji telur - saya tambah jadi 6 biji
200 ml pati santan- saya guna 1 biji kelapa yang diperah menggunakan air kelapa untuk mendapatkan 200ml pati santan
100 ml air - saya gantikan dengan 100ml air kelapa
150 gram gula melaka - saya tambah 2 sudu besar gula pasir
30 gram tepung gandum
3 helai daun pandan- disiat-siat
2 cubit garam halus - saya guna 1/2 sudu kecil

Cara cara:
 
  1. Masak air kelapa bersama gula melaka, gula dan daun pandan hingga mendidih. Tutupkan api.Sejukkan.
  2. Masukkan santan dalam blender, masukkan telur dan tepung dan masukkan gula melaka tadi. Blender sehingga rata. Tapiskan. 
  3. Adunan akan berbuih, mesti keluarkan buih tadi jika tidak akok kita tak akan berkedut cantik.
  4. Panaskan oven pada suhu 180C. 
  5. Masukkan sedikit minyak dalam setiap acuan.
  6. Tunag adunan akok separuh penuh dan boleh dibakar selama 11 minit.
  7. Akok akan menggelembung macam belon dan bila dikeluarkan akan mengecut menjadi kedut2.
Saya harap anda semua kan mencuba untuk buat sendiri dan kalau menjadi...yehaaaa!! tak payah beli kat kedai dah hahaha..

Yang ini ialah contoh akok yang tak menjadi kedutnya jika buih tidak dikeluarkan dahulu...sedap tapi tak cantik....


Monday 7 July 2014

Sagupal @ asamgupal


Menu authentic kelantan lagi hehehe..tekak ni jadi 100% tekak kelantan bila time bulan Ramadhan. Banyak versi  sebenarnya juadah ini. Ada yang berinti kacang hijau dan ada yang dimasak dulu sagunya, disejukkan kemudian dipotong-potong sebelum dituangkan kuahnya. Yang ini resepi klasik keluarga saya , cuma yang berbeza saiznya sahaja..hahahahha..kalau arwah nenek saya dulu, setiap biji sagupal ni sebesar penumbuk dan sangat kenyal ..memang kalau telan boleh lekat..agaknya sebab itu dulu saya hanya makan kuahnya. Dah pandai buat sendiri, saya buatkan buah sagu nya lebih kecil dan lembut. senang nak makan.  Jom tengok resepinya;

Bahan-bahannya;

Untuk sagunya;

1 peket (RM1.00) biji sagu halus.- dalam satu cawan.
1/2 cawan air panas(baru mendidih)
Air secukupnya untuk merebus

Cara-caranya;
  1. Masukkan sagu ke dalam mangkuk yang mudah untuk dikacau.
  2. Tuangkan air panas dan kacau dengan cepat.
  3. Kacau hingga sagunya bergentel dan boleh dibentuk.
  4. Gunakan sudu kecil, ambil 1/2 sudu dan gentelkan (tak perlu bulat sangat pun)
  5. Terus masukkan dalam air panas yang menggelegak (api perlahan)
  6. Tunggu sampai sagunya terapung dan jernih bijinya.
  7. Sambil itu, sediakan kuahnya.




Untuk kuahnya;

1 biji kelapa - ambil 5 cawan santan
1/2 sudu halba
2 helai daun pandan
1/2 sudu kecil garam
3-4 senduk kecil gula (ikut suka manisnya)

Cara-caranya;
  1. Kacau kuahnya di atas api hingga menggelegak (api sederhana sahaja)
  2. Tapiskan buah sagupal.
  3. Masukkan ke dalam kuah yang sedang menggelegak.
  4. Kacau sebentar. Siap.

* Jika kuah kurang pekat, boleh tambahkan bancuhan 1 sudu kecil tepung jagung atau tepung beras.

Mee Goreng Mudah @ Mee Goreng Talam

Assalamualaikum.
Selamat berpuasa. Hari ni saya sekeluarga hanya berbuka puasa dengan mee goreng mudah terlajak hehehe bersama dengan Sagupal sebagai pemanis mulut. Sepeket mee pun tak habis untuk kami berempat. Semangkuk seorang bubur sagupal melengkapkan juadah berbuka kami hari ini. Alhamdulillah..
Resepi untuk mee goreng talam yang mudah ringkas tetapi sedap  ni boleh dirujuk di SINI . Selamat mencuba...

Saturday 5 July 2014

Tomyam Campur Ringkas


Buka puasa hari kedua bersama-sama dengan kawan-kawan Aifaa dari SMAP. Alhamdulillah..berselera betul budak-budak tu makan. Saya sediakan tomyam campur, siakap masam manis dan telur dadar. Abahnya belikan murtabak, roti john dan akok ..layan selera budak-budak hahaha. 

Resepi tomyam ini sama seperti yang ada kat SINI tapi saya tambahkan sambal tumis Thai untuk warna merah dan saya juga masukkan ayam dan fishball sebab budak-budak memang sukakan fishball ni..

Bahan-bahannya;

Isi ayam, udang dan fishball secukupnya.
8 cawan air
1 labu bawang besar dimayang kasar
2 batang serai diketuk
1 kiub pati ayam
2 sudu sambal tumis Thai
7-8 cili padi diketuk- boleh tambah /kurang
3 helai daun limau purut
2 tangkai ketumbar-akar dan batang diketuk/daun disimpan untuk digunakan masa menghidang nanti
1 hiris lengkuas
2 sudu besar gula
1 sudu besar sos ikan
2 sudu kecil garam
2 biji limau nipis yang agak besar-ambil airnya.
Sayur-sayuran yang digemari- tadi saya ada carrot, kubis dan tomato ajer.

Cara-caranya;
  1. Masukkan air ke dalam periuk.
  2. Masukkan bawang, serai, daun limau purut, lengkuas, cili, akar ketumbar dan pati ayam.
  3. Mendidih sekejap masukkan gula, garam dan sos ikan.
  4. Bila menggelegak betul tu, masukkan ayam dulu. Masak hingga menggelegak sekali lagi.
  5. Kemudian masukkan seafood dan sayur yang agak keras dulu seperti carrot.
  6. Masukkan air asam limau.
  7. Masukkan sayur lain. 
  8. Masukkan daun ketumbar. Tutup api. Siap.



Sira Tapai Ubi

Satu lagi menu dessert kelate mari hahaha..ada orang suka, ada orang tak..siapa yang belum pernah rasa boleh cuba ye..jangan buat banyak..cuba dulu satu bekas tapai ubi kayu yang dijual di pasar tani.
Hampir sama dengan sira pisang tapi tak letak cengkih dan step dia berbeza sikit di mana kita masak dulu air gula hingga pekat baru masukkan tapai. Jom, tengok cara dan bahannya;

Bahan-bahannya;

1 bekas plastik tapai ubi kayu
1  1/2 senduk gula
2 helai daun pandan- koyak dan simpul
1/2 cawan air

Cara-caranya;
  1. Satukan gula, air dan daun pandan. Masak hingga menggelegak dan pekat sedikit.
  2. Masukkan tapai ubi. Biar sebentar (dalam seminit dua)
  3. Matikan api, sejukkan. Siap.

Thursday 3 July 2014

Akok Kedut 1


Pertama kali saya buat akok menggunakan resepi dari blog kak Azie di Azie Kitchen. Masalahnya saya ni tak berapa teliti dalam menyukat bahan sentiasa ada lebih sini dan lebih sana. Jadi akoknya tak berapa menjadi sepertimana dibuat oleh Kak Azie. Rasa nak buat semula esok dan saya akan pastikan sukatannya betul seperti yang ada dalam resepi..jom kita tengok resepi dan caranya.


Akok
Sumber asal: Azie Kitchen


Bahan-bahan (21 biji)
5 biji telur
200 ml pati santan
100 ml air
150 gram gula melaka 
30 gram tepung gandum
3 helai daun pandan- disiat-siat
2 cubit garam halus 

Cara cara:
Masak air bersama gula melaka dan daun pandan hingga mendidih. Tutupkan api.

Masukkan santan. Tunggu suam sedikit, kemudian masukkan telur dan tepung. Blender sehingga rata. Tapiskan.

Panaskan oven pada suhu 200C. Panaskan acuan baulu/muffin ke dalamnya. Masukkan sedikit minyak dalam setiap acuan.

Isi penuh acuan dan bakar selama 10 minit. Kuih ini akan mengembang. Bila dikeluarkan dari oven ia akan sedikit mengecut. 

Selamat mencuba ye...Cik Wan pun akan buat sekali lagi.

Pajeri Terung Bersama Nanas (2)

Ahad pertama Ramadhan saya ke Pasar Borong Selangor, terjumpa terung kampung terus teringat nak buat pajeri untuk disedekahkan kepada kawan dan jiran.
Alhamdulillah, semalam sempat saya masakkan pajeri ni selepas balik dari sekolah. Tapi kali ini saya campurkan dua keping nanas lebih gulai ikan ikan masin kelmarin.. Merasalah kawan-kawan dan jiran pajeri terung kelantan ni..harap-harap sedaplah ye ..

Seperiuk besar pajeri terung sama nanas.
Resepi masih yang asal, boleh tengok di SINI. Tapi untuk mudahkan tengok, saya copypaste dari asal dan ada sedikit penambahan

Bahan-bahannya;

20 biji terung kampung yang kecil2.
2 keping nanas
1 labu bawang besar untuk menumis
8 ulas bawang merah kecil.
4 ulas bawang putih
1/2 inci halia (saya tak letak hari ni)
4 biji cili kering
1 peket kerisek
3 sudu kecil garam
1 keping besar gula nise kelantan
2 kotak 200ml santan
Rempah 4 sekawan (3 kuntum cengkih, 3 biji pelaga, 1 kuntum lawang dan sekeping kecik kayu manis)
4 sudu besar serbuk kari daging- kat kelantan ada jual rempah pajeri yang dah siap.
Sedikit air asam jawa.

Cara-caranya;
  1. Mesinkan bawang dan  cili kering.
  2. 1 labu bawang besar  dimayang bersama-sama dengan 2 ulas bawang putih..
  3. Panaskan sedikit minyak.
  4. Masukkan semua bawang besar hiris dengan bawang putih. Tumis hingga wangi.
  5. Masukkan rempah 4 sekawan tadi. Tumis hingga bawang tadi jadi brown.
  6. Masukkan bahan mesin, tumis hingga naik minyak
  7. Sudah naik minyak masukkan rempah kari yang dibancuh dengan air.
  8. Tumis dan masukkan juga air asam jawa, garam ,hirisan gula melaka dan kerisek.
  9. Kacau hingga berminyak dan masukkan nanas. Kacau perlahan sekejap hingga nanas agak masak.
  10.  Baru masukkan santan .
  11. Sekali menggelegak, masukkan terung. Rasakan kuahnya. Mesti ada manis, masin dan masam... tapi lebihkan rasa manis.
  12. Kacau hingga terung masak dan kuah pekat. Siap.

Tuesday 1 July 2014

Singgang Tulang Kelantan

Hari Sabtu sebelum Ramadhan tu saya dapat membeli daging dan tulang segar..dah terbayang untuk masak singgang sahaja. Mudah sangat ..

Bahan-bahannya;

1/2 kg tulang (dalam 4 ketul je)
10 ulas bawang putih- diketuk sahaja
4 ulas bawang merah- dihiris nipis
2 inci lengkuas-hiris nipis
1 inci halia-hiris nipis
1 biji cili kering- potong 3
3 keping asam
1 sudu biji ketumbar- ditumbuk halus
Garam
Gula melaka

Cara-caranya;
  1. Masukkan kesemua bahan ke dalam periuk kecuali gula dan garam.
  2. Masukkan air hingga tenggelam tulangnya.
  3. Rebus hingga air menjadi separuh. Masukkan gula dan garam. (Jika suka boleh dimasukkan semasa langkah 1 lagi)
  4. Masukkan air sekali lagi hingga menutup tulang.
  5. Masakkan hingga kuah tinggal mengikut kuantiti yang disukai.
  6. Siap.

Seeloknya tutup periuk semasa merebus agar cepat empuk...selamat mencuba ye..

Sira Pisang Nangka

Salah satu menu kegemaran saya...memang kalau bulan ramadhan ni, tekak saya akan terliurkan menu2 Kelantan asli hehehehe. Macam-macam cara orang buat sira pisang ni, tapi ini cara saya turun temurun dari mak dan nenek saya. Mudah sahaja...jom, tengok..

Alaskan periuk dengan daun pandan dan 2 kuntum bunga cengkih.
Potong dua (ikut suka) pisang dan atur ke dalam periuk tadi. saya guna 1 sikat pisang (dalam 12 biji)
Masukkan dalam 2 senduk kecil gula dan 1 cawan air. Hidupkan api, rebus dalam 10 minit sahaja.

Masak guna api sederhana dan buka sikit penutupnya takut kuahnya terkeluar waktu menggelegak.
Waktu menggelegak...10 minit aja lepas tu tutup api ye.
Jeng..jeng..jeng...dah sejuk, masukkan dalam bekas dan simpan dalam peti ais. kuah ada kat bawah tu ye...tuang atas pisang waktu menghidang...bessttt!!

Biji Sagu Cendol

Salam Ramadhan...alhamdulillah hari ni baru sempat mengadap komputer untuk upload menu berbuka puasa. Sudah seminggu sibuk dengan kerja sekolah...walau belum siap 100%, saya mabik juga masa untuk update blog hari ni.
Cendol adalah menu wajib kami sekeluarga, simple tapi sangat menyejukkan tekak. Selalunya saya buat cendol dan sagu sendiri tapi semenjak dua ni saya beli saja cendol tapi sagunya tetap saya masak sendiri..susah nak cari yang seperti dijual di Kelantan. Jom tengok cara memasak sagu.

Panaskan air hingga mendidih.
Saya guna sagu halus..3 peket (saya tambah lagi satu heheh)
Masukkan sagu dan kacau selalu.
Masak hingga tanda putih dalam biji sagu tinggal sedikit sahaja atau kalau jernih 100%...kena tambah air dari masa ke masa supaya cepat masak.
Tapiskan kanjinya di bawah air paip hingga kanjinya hilang dan boleh disimpan di dalam peti sejuk.



Ini cara saya hidangkan cendol sagu. Sediakan dalam 15-10 minit sebelum berbuka.
  1. Mula2 cuci dan tapiskan cendol.
  2. Masukkan dalam mangkuk besar.
  3. Basuh buah kabung dan masukkan dalam mangkuk.
  4. Masukkan sagu.
  5. Masukkan/taburkan gula pasir (dalam 2 senduk kecil)
  6. Tutup dengan ais.
  7. Bila masa nak berbuka, kacau semua bahan dan masukkan ke dalam mangkuk. (Pada masa ini gula sudah cair, begitu juga ais...sejuuukkkkk)
  8. Selamat mencubaaa.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...