Showing posts with label Ikan. Show all posts
Showing posts with label Ikan. Show all posts

Wednesday, 14 April 2021

Siakap Masam Manis atau Pla Raad Prik


 

Assalamualaikum dan salam Ramadhan. Selamat berpuasa semua pengunjung dan sahabat Cik Wan Kitchen. Pagi ini Cik Wan kongsikan resepi kegemaran family Cik Wan iaitu Siakap Raadprik atau Siakap Masam Manis. Jom lihat bahan dan caranya.



Bahan-bahannya ;


Bahan lain:

3 sudu sos ikan
3 sudu cuka
2 sudu gula- Cik Wan gunakan gula somtam.
1/4 cawan air.
*tambah/kurang ikut sesuai

Seekor ikan siakap- paling sedap filletkan, dadu kasar, perapkan dengan garam dan lada sulah.
Bila nak goreng, gaulkan dengan sedikit tepung jagung/tepung gandum.
Kalau tidak, goreng ikan macam biasa selepas diperapkan dengan garam dan lada sulah.

Cara membuatnya;
  1. Tumbuk/blend kasar semua bahan dalam gambar.
  2. Panaskan minyak. 
  3. Tumis bahan tumbuk hingga garing.
  4. Masukkan cuka, gula dan sos ikan. Kacau sebentar.
  5. Masukkan sedikit air. Masak hingga sos pekat.
  6. Tuang atas ikan yang telah digoreng. Siap!!.

Untuk video cara membuatnya, boleh ke FB saya Siakap Rad Prik . Selamat mencuba.

Friday, 20 November 2020

Ikan Percik Kelantan

 


Assalamualaikum dan selamat pagi. Alhamdulillah, semoga sahabat dan tetamu cikwankitchen sihat dan bahagia sentiasa. Jom kita tengok resepi dan cara buat ikan percik. 

Bahan-bahannya;


6 ekor ikan kembung/mata besar-  lumurkan dan perap dengan kunyit, halia, bawang putih dan garam yang ditumbuk lumat dan bakar ikan hingga masak.


1 biji kelapa parut ambil santan pekat (saya guna 1 1/2 biji kelapa untuk kuah lebih)
5- 7 ulas bawang merah
2 ulas bawang putih
1/2 inci halia
3-4 biji cili kering
2  keping asam keping
Gula
Garam


  1. Blend semua bahan kecuali asam keping.
  2. Masukkan dalam santan.
  3. Masukkan asam, garam dan gula.
  4. Kacau hingga pekat dan pecah minyak.
  5. Bila ikan sedang dibakar, sapukan sedikit kuah percik- macam kita bakar satay.
  6. Bila siap bakar, letak ikan atas pinggan hidang dan tuangkan baki kuah percik.
  7. Siap!!.

Thursday, 30 April 2020

Kerabu Ikan Dory


Asalamualaikum dan salam sejahtera. Salam Ramadhan yang ke tujuh. Hari kedua PKP Fasa 4. Semoga kita semua sihat dan ceria bersama keluarga dan dapat memanafaatkan Ramadhan ini dengan  perkara-perkara yang membawa kebaikan. Amiin.

Petang ni Cik Wan kongsikan resepi mudah menggunakan isi ikan dory atau boleh ganti dengan pelbagai jenis seafood yang lain. Sedap dan sangat mudah menyediakanya. Jom tengok resepinya.

Bahan Ikan:

3 keping isi ikan dori di potong kiub
Tepung serbaguna Bestari secukupnya.

  1. Defrost ikan dori dan potong kiub- toskan kering.
  2. Ikut panduan dalam penggunaan Tepung Bestari dan goreng isi ikan. 
  3. Sedia untuk digunakan.

Bahan salad/kerabu:

Kubis disagat halus memanjang
Carrot disagat halus memanjang
Daun Ketumbar secukupnya
2 biji cili padi -dipotong
1/2 labu bawang besar dimayang nipis

#atau mana-mana sayur kegemaran.


Bahan sos untuk kerabu/salad

2 sudu besar sos ikan 
2 sudu besar air asam limau nipis- Cik Wan guna sebiji yang saiz sedang 
2 sudu kecil gula pasir- Cik Wan guna gula somtam

Gaulkan dengan sayur salad tadi. Siap untuk digunakan.
Hidang seperti gambar di bawah


Tuang sos Thai Maepranom ke atas ikan. Siap!!!
Gambar ihsan Google

Selamat mencuba and happy cooking:)






Wednesday, 8 April 2020

Ikan Selar Masak Kicap

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Hari ke-lapan PKP Fasa ke-dua. Semoga kita semua terus kuat dan tabah dan dipermudahkan semua urusan. Amiinn.

Hari ni Cik Wan nak share menu simple sahaja. Mungkin bagi kita simple tapi bagi kawan-kawan yang lain agak susah dan tidak berapa mahir. Kalau tak, takkan lah resepi Ikan Kembung Kicap Cik Wan sampai 68k carian. Semoga yang telah melihat dan belajar resepi itu diberi keberkatan dan dah boleh masak dengan baik. Resepi yang diberi boleh diolah, ditambah dikurang mana2 yang patut, sesuaikan dengan selera sendiri dan selera keluarga kita. Jom kita tengok resepi mudah ni.

Bahan-bahannya;
4 ekor ikan Selar (apa2 ikanpun boleh)- kelar halus dan letak garam kunyit. Goreng garing. Kalau tak suka garing, boleh goreng macam biasa. Angkat dari kuali.

5 ulas bawang merah kecil
2 ulas bawang putih
1 atau lebih sudu besar serbuk cili - boleh guna cili kering mesin
Kicap secukupnya
Sedikit air asam jawa
1 labu bawang besar dimayang bulat
1/2 cawan air- boleh tambah jika inginkan lebih kuah.
Garam
Gula
Ajinomoto atau apa2 perisa jika suka.

Hiasan

Cili hijau besar
1 biji buah tomato dipotong ikut selera


Cara-caranya;
  1. Blend bawang putih, bawang kecil dan cili kering.
  2. Tumiskan dalam kuali yang digunakan untuk menggoreng ikan tadi (keluarkan sedikit minyak kalau banyak sangat)
  3. Tumis hingga wangi dan naik minyak. Masukkan air asam jawa.
  4. Masukkan bawang besar. Kacau hingga naik minyak. 
  5. Masukkan kicap. Masukkan 1/2 cawan air.
  6. Rasakan kuahnya cukup masin, masam dan manis.
  7. Masukkan  ikan yang telah digoreng tadi. Kacau kuahnya perlahan.
  8. Masukkan cili hijau dan buah tomato. 
  9. Kacau sedikit dan tutup api. Siap.
Cik Wan masak ni dan makan dengan ulam dan budu. Ada lagi belen sayur lemak labu dengan pucuk manis. Alhamdulillah..ini menu lunch dan dinner kami. Selamat mencuba ya. 


Tuesday, 7 May 2019

Siakap Kukus Limau Nipis


Assalamualaikum dan salam Ramadan ke dua hari ini. Selamat berpuasa, semoga sihat semuanya.

Alhamdulillah, Cik Wan berbuka dengan Siakap Kukus Limau Nipis yang diminta oleh Zikry sejak semalam. Ramadan pertama berbuka dengan hidangan Siakap Raad Prik. Sengaja masak makanan kegemaran anak-anak supaya mereka bersemangat untuk berpuasa dan berselera semasa berbuka. Jom tengok bahan-bahan yang mudah ni. Resepi ini simple sahaja, tak banyak bahan dan flavour. Sesuai untuk budak-budak dan juga rasanya yang fresh.

Bahan-bahannya;

1 ekor ikan siakap -dilumur dengan garam dan lada putih/lada sulah.Perap seketika.

Bahan kuah :
1 cawan air atau lebih jika sukakan kuah yang banyak.
4 biji limau nipis ambik airnya-bergantung kepada saiznya.
5 ulas bawang putih dimayang nipis
1 inci halia dimayang nipis
1 kiub ikan bilis
2 biji cili api dipotong kasar- boleh tambah jika suka pedas
daun ketumbar
garam- Cik Wan guna sos ikan
gula-Cik Wan guna gula somtam

Masukkan semua bahan ke dalam periuk- panaskan sekejap. Rasakan. Pastikan masam lebih, manis dan masin secukupnya.

Cara menyediakannya;



  1. Kukus ikan hingga masak- dalam 10-15 minit menggunakan api besar.
  2. Bila dah masak, tuangkan kuah yang siap dimasak ke atas ikan.
  3. Hiaskan dengan hirisan limau nipis dan daun ketumbar.
  4. Hidangkan.Slurppp!!! hehehe.


Selamat mencuba...happy iftar semua



Wednesday, 31 January 2018

Ikan Tongkol Bakar dengan Cicah Air Asam


Assalamualikum dan salam sejahtera.
Tak kenal maka tak cinta. Ramai yang tidak biasa makan ikan tongkol bakar. Ikan Tongkol yang kecik2 tu..bukan ikan tongkol besar yang biasa buat gulai nasi dagang dan nasi berlauk tu. Isinya putih dan rasanya lembut manis. Cicah pulak air asam..Allahuakbar!!! memang sedap sungguhlah rasanya. Bagi Cik Wan lebih sedap daripada ikan jeket/cencaru dan ikan kembung.

Caranya mudah sahaja. Basuh bersih, rendam dengan air yang bercampur cuka/asam jawa sebentar. Bilas dan panggang.


Cicahlah dengan air asam atau sambal kicap atau sambal belacan atau budu..pergghhh. Kena pulak ada ulam-ulam kampung dan nasi panas2..adoi..terlajak tambah...gemuk la jawabnya hihihi.

Resepi untuk air asam :

Bahan-bahannya:

6 biji cili padi
4 biji cili merah besar
1 biji tomato-belah 4
2 sudu besar asam jawa- bancuh dengan air masak dalam 1/2 mangkuk kecil
2 sudu kecil garam
2 sudu besar gula
Sedikit belacan
1/2 sudu kecil ajinomoto jika suka
*semua bahan di atas diblend.

1 biji tomato
1 labu bawang besar
*hiris nipis dan ramas2.
  1. Masukkan air asam yang telah diblend ke dalam mangkuk.
  2. Tambahkan dengan tomato dan bawang yang telah diramas tadi
  3. Kacau sebati
  4. Tambahkan dengan sedikit perahan air limau nipis....siap.
Selamat mencuba...

Sunday, 9 April 2017

Siakap Rad Prik lagi...sedapnyaaa


Assalamualaikum dan salam sejahtera...

Lama tak jumpa hehehe..terima kasih kerana sudi singgah. Hari ni Cik Wan kongsikan gambar Siakap Masak Rad Prik atau Tumis Cili. Resepi dan cara membuatnya dah ada di SINI. Lauk kegemaran Zikry dan Zahirah. Cik Wan potong dua  supaya mudah mereka nak makan. Separuh untuk lunch dan separuh lagi untuk dinner...akhirnya lauk ni tak sempat nak bawak ke dinner..habis bila mereka berdua makan bertambah-tambah masa lunch tadi, alhamdulillahhh. Ada rezeki mama beli lagi ikan siakap ya..

Jangan lupa untuk mencuba ya...

Sunday, 22 January 2017

Siakap Kukus Bawang putih



Assalamualaikum dan salam sejahtera.
Harga ikan melambung tinggi sekarang ni. Cik Wan terpaksa ke Pasar Borong Selangor kerana sakit hati dengan harga ikan yang melampau2 tinggi di kedai acheh dekat dengan rumah ni. Bayangkan ikan sardinpun RM14.50 sekg...tak payah cakap harga ikan lain la. Jadi lepas subuh pagi  Sabtu semalam Cik Wan ajak Mr A ke Pasar Borong Selangor..huhh RM200 penuh peti ais lengkap dengan sayur-sayuran dan buah-buahan lagi. Jimatlah seminggu dua ni.

Zahirah dan Zikry memang sukakan ikan siakap. Paling digemari ialah Siakap Radd Prik tetapi Cik Wan teringin nak makan cara kukus..esok lusalah mama masak Raad Prik tu ya. Jom, tengok resepi dan cara memasaknya. Senang sangat!




Bahan-bahannya;

1 ekor ikan siakap- bersihkan dan lumur dengan garam dan sedikit lada sulah.

Bahan kuah;

1 labu bawnag putih- cincang
5 biji cili padi- cincang
2 batang serah- ketuk/hiris
2 tangkai daun ketumbar
1 kiub ayam
2 biji limau nipis
2 sudu gula somtam/gula biasa
3 sudu soso ikan
1 gelas air suam

Masukkan semua bahan di dalam periuk. Panaskan sekejap sahaja untuk cairkan gula.
PENTING: Pastikan rasanya sempurna masam, masin dan manis.
Kukus ikan selama 20 minit. Angkat dan tuang semua bahan sos. Siap!!.

Wallahhhh....
 Selamat mencuba...

Saturday, 21 January 2017

Sardin Goreng Mengancam Sedapnya


Assalamualaikum dan salam sejahtera.
Sedap sungguh makan ikan sardin goreng ni . Balik dari sekolah semalam, tanpa sempat tukar baju Cik Wan dah masuk dapur. Kelaparan sangat. Nak masak lauk yang dalam freezer lambat pulak defrostnya. Maka Cik Wan pun campak2 la bahan untuk goreng sardin ni. Habis setin sardin Cik Wan, Alis dan Zikry makan. Betullah orang kata, makan yang paling sedap ialah makan masa lapar. Kita tak banyak komplen..telan je hehehe.

Terpikir pulak nak masak apa untuk Mr A petang nanti..tak apalah, apa yang sedap untuk kita diharapkan sedap juga untuk dia hahaha. Cik Wan goreng lagi setin sardin dimakan bersama semangkuk tumis kubis. Cukup dah..alhamdulillah. Mr A puji sedap kedua-duanya. Kembang semangkuk Cik Wan yang dah kembang semacam ni :p Jom tengok bahan dan resepi bergambar ni. Selamat mencuba ya.

Nak lagi pedas, kasi tambah cilinya ya..ummpphh


Tumbuk..kalau malas, dadu jer. Jangan blend takut banyak air, lama pulak nak kena tumis.


Tumis agak2 nak brown ya

Masukkan garam dan perah asam limau nipis.


Kacau hingga kuahnya kering dan ikannya garing2 manja hehe. Siap!!!


Makan dengan nasi panas2 atau roti..hujan pulak kat luar tu, alamak!! Sedar2 dua pinggan habis hahaha

Selamat mencuba ya..

Wednesday, 12 October 2016

Gulai Tumis Darat Ikan Talang Masin.



Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Malam ni Cik Wan masak lambat sikit..gambar panas-panas tu hehehe. Sebenarnya Cik Wan dah makan awal tapi macam biasa lauk Cik Wan ni Mr A tak berapa berselera. Cik Wan dah plan untuk masak gulai ikan Talang untuknya. Lepas dia solat Maghrib, terus Cik Wan hidangkan dengan nasi panas-panas. Berselera jugak dia dan Zikry makan walaupun first time Cik Wan masak gulai begini. Tadi sebelum memasak Cik Wan telefon Kak Kalbi kawan baik yang berasal dari Tanjung Malim...kira lauk ni kepakaran dia sekeluarga lah. Selalunya Cik Wan hanya masak lemak kuning dengan nanas tapi dah lama teringin nak masak kari gulai darat. Malam ni dah tercapai impian, terima kasih kak Bi. Jom tengok resepi mudah ni.



Bahannya;

Bahan A
Beberapa keping ikan Talang masin- kalau jenis yang masin sangat, rebus dulu atau sekadar rendam dahulu sekejap baru ditoskan airnya.
1 biji kelapa- perah santannya sekadar tenggelam ikan Talang dan sayurnya.
2 sudu besar serbuk kari ikan- bancuh dengan air/santan.

Bahan B
2 biji terung bulat kecil -potong
1/2 biji nanas - potong

Bahan C
6 ulas bawang merah-mayang
3 ulas bawang putih-mayang
2 tangkai daun kari

Perasa
Garam- jika perlu
Gula
Asam keping- jika nanas tak cukup masam.

Cara membuatnya;

  1. Masukkan ikan ke dalam periuk.
  2. Masukkan santan (hingga tenggelam ikannya)
  3. Masukkan bancuhan serbuk kari.Masak dengan api sederhana.
  4. Bila hampir menggelegak masukkan bahan B iaitu  hirisan nanas dan terung.
  5. Masak hingga menggelegak sambil dikacau sekali sekala.
  6. Sambil kuah menggelegak, tumiskan bahan C dalam kuali dengan minyak hingga bawang garing, masukkan daun kari.
  7. Tuang bahan C ke dalam kuah.
  8. Kacau sebentar dan rasakan masin manis dan masamnya. Tambahkan apa yang patut. Siap!!


Wednesday, 27 April 2016

Siakap Masak Raad Prik (Pla Raad Prik)

Cili tidak dibuang biji.


Cili dibuang biji.

Assalamualaikum...selamat berjumpa kembali kawan-kawan semua.

Hari ini Cik Wan kongsikan masakan paling mudah tetapi tersangatlah sedap. Cik Wan sediakan dua keping gambar kerana selepas memasak kali pertama, anak-anak request lagi pada keesokkannya. Sedap kata mereka. 

Cik Wan pertama kali makan Siakap Raad Prik (Raad- tuang) Prik (cili) semasa ke Krabi baru-baru ini. Oleh kerana tukang masaknya berbangsa Melayu Yala yang boleh bertutur bahasa Kelantan dengan baik, Cik Wan sempat belajar dengannya dan dia juga sangat bermurah hati untuk menceritakan resepinya. Balik ke Malaysia, Cik Wan google resepi2 Raad Prik yang sebenarnya salah satu makanan tradisi Thai yang sangat popular. Kalau tempat kita selalu kita makan Siakap Tiga Rasa atau Siakap Masam Manis. 

Yang seronoknya, bahan untuk resepi ini sangat mudah. Cuma yang susahnya, semua bahan kena tumbuk...tak dimesin halus menggunakan blender. Sifat sambal cilinya agak kasar2 dan ditumis tanpa air. Air hanya dimasukkan selepas semua bahan lain garing dan mesra.

Gambar yang pertama tu Cik Wan tumbuk cili tanpa membuang bijinya. Yang kedua dibuang biji. Personally Cik Wan suka yang tak dibuang bijinya. Kalau suka pedas gunakan cili padi. Macam Cik Wan yang ada anak kecil, Cik Wan gunakan cili merah besar. Jom tengok bahan2nya..

Sebiji cili api, 7 ulas bawang putih, 6 biji cili merah besar, 2 batang akar ketumbar (optional) tak letakpun takpe. Yang ni bukan akarpun tapi umbinya.

Ikan diperap dengan garam dan lada sulah. goreng garing.

Bahan asas untuk perasanya;

3 sudu sos ikan
3 sudu cuka
2 sudu gula- Cik Wan gunakan gula somtam.
1/4 cawan air.
*tambah/kurang ikut sesuai


Cara membuatnya;
  1. Tumbuk semua bahan dalam gambar jangan lumat.
  2. Panaskan minyak. 
  3. Tumis bahan tumbuk hingga garing.
  4. Masukkan cuka, gula dan sos ikan. Kacau sebentar.
  5. Masukkan sedikit air. Masak hingga sos pekat.
  6. Tuang atas ikan yang telah digoreng. Siap!!.




Wednesday, 9 September 2015

Ikan Singgang Tradisional Kelantan


Assalamualaikum. Ini resepi ikan singgang paling mudah di dunia hahaha...apa tak mudahnya..ketuk2 campak2 jer ..dah siap. Macam2 versi ikan singgang ni..tapi yang ini versi Cikgu Wan. Setakat ni, siapa2 yang pernah makan kata ikan singgang ni sedap. Alhamdulillah. Perfect practice makes perfect hehehe betul dak? Jom, tengok bahannya.

Bahan-bahannya:

1 ekor ikan tongkol- basuh dengan cuka dan siram bersih.
1 labu bawang putih-ketuk je dan buang kulit.
1 inci lengkuas
4-5 keping asam gelugor/asam keping bergantung pada saiz.
2 inci nise/gula melaka
Garam secukupnya.
Lada hijau solok secukupnya- boleh letak cili api juga
Bendir jika suka


*serai tidak dibubuh dalam singgang kelate
*tapi kunyit dan halia ada yang suka bubuh like  my mum always do..awet muda katanya hehe.


Cara-caranya:

  1. Masukkan ikan dan air secukupnya ke dalam periuk- biar tenggelam ikannya.
  2. Masukkan bawang putih, lengkuas, cili dan asam.
  3. Masukkan terus gula nise/gula melaka dan garam.
  4. Masak dengan api perlahan dalam 20 minit. Tambah air jika kuahnya berkurang.
  5. Bila hampir ditutup apinya, boleh masukkan bendir. Siap.

Makanlah dengan nasi panas bersama ulam dan budu ataupun sambal belacan. 
Beware!!!!! amaran keras kepada sesiapa yang sedang diet...anda dilarang masak singgang ni kerana sudah pasti anda akan bertambah2 nasi hehehehehe...

Sunday, 8 March 2015

Ikan Panggang dan Salad



Menu sihat ni...Cik Wan sebenarnya dah give up nak kurus..tapi sekarang ni lebih kepada cuba makan makanan sihat. Kurangkan nasi dan lebihkan sayur-sayuran dan buah-buahan, maklumlah dah tua-tua ni macam-macamlah .

Ni menu Cik Wan untuk tengah hari balik dari sekolah..memang tengah lapar. Kalau ikut hati memang 3 pinggan makan nasi dengan budu dan ulam-ulam hahahaha...

Cik Wan suka ikan merah..lemak2 gitu.. letak garam dan lada hitam, perap sekejap dan panggang dalam magic pan..tak sampai 10 minit siap.

Sambil tunggu ikan Cik Wan buatkan salad simple2,  kadang2 stail mat saleh sikit, kadang2 stail siam..ikut suka jer hahaha.

Kalau stail mat saleh tu Cik Wan guna minyak zaiton, lada hitam, garam dan lemon. Kalau stail siam Cik Wan guna lemon, sos ikan/garam, gula dan daun ketumbar. Main campak2 je...gaul2 dan makan dengan ikan bakar. Lebihkan sikit sosnya supaya dapat dicicah dengan ikan..beresss!!!!!

Berat badan tak turun jugak sebab tak pi senaman..aduyaiiii....

Sunday, 22 February 2015

Siakap Kukus Mudah Sesangat.

Satu lagi menu diet Cik Wan. Mudah sesangat, takde bahan sangat pun takpe. Jom tengok bahan-bahannya.

Bahan-bahannya;
1 ekor ikan siakap- dibersihkan dan dilumur dengan garam dan serbuk lada sulah.
7 ulas bawang putih- mayang nipis
2 batang serai- potong nipis
3 inci halia- potong nipis
Lobak merah- potong
Buah tomato-potong
Cendawan- potong
Lemon- dalam 2 hiris
Cili padi- jika suka pedas- potong
Daun Ketumbar- potong
Daun bawang-potong

Garam
Lada sulah
Minyak bijan secukupnya- dalam 1/2 sudu kecil.

Cara-caranya;
  1. Sediakan pengukus yang sesuai.
  2. Letak ikan di dalam mangkuk.
  3. Tabur dan sisipkan bawang putih, halia dan serai pada ikan.
  4. Taburkan sedikit lada sulah dan garam serta minyak bijan.
  5. Masukkan sedikit air.
  6. Kukus ikan.
  7. Bila nampak ikan hampir masak, taburkan semua sayuran yang telah dipotong ke atas ikan kecuali lemon.Kukus lagi.
  8. Dah masak, boleh angkat dan hiaskan dengan hirisan lemon. Siap. Mudah dan cepat.



Saturday, 20 December 2014

Grilled Dory With Salad

Anak-anak makan Fish and Chips, mamanya makan ikan bakar dengan salad je. Agak-agak berapa lama boleh tahan kenyangpun tak tahu hehehehe, you all bukan tak tahu, Cik Wan ni perut nasi.

Untuk hidangan ni boleh sediakan ikan dahulu, sambil2 tu boleh buat salad. Nanti ikan dah masak, salad baru siap..fresh gitu. Tapi kalau tak cekap, sediakanlah salad dahulu terutama dressingnya, sayur2 dipotong dan simpan dalam peti ais. Ikan hampir masak, baru gaulkan sayur dengan dressingnya. Ok, jom tengok resepinya.

Salad (untuk 2 hidangan)

1 biji tomato-potong baji
1/2 labu bawang- mayang kasar
Daun salad hijau dan merah- dikoyak kasar
1 tangkai daun ketumbar- dipotong kasar
1 biji cili padi dipotong kasar

1/4 biji lemon- diperah airnya (lebih kurang 1 sudu besar air lemon)
2 cubit garam
2 sudu besar minyak zaiton
5 biji lada hitam- tumbuk kasar

Cara-caranya:
  1. Satukan air lemon, minyak zaiton, garam dan lada hitam. Kacau hingga sebati. Sedia untuk digunakan ke atas salad.

Grilled Fish

Bahan-bahannya:

4 keping ikan dory yang telah didefrost (lap dengan kertas tisu dapur hingga kering)
Lada hitam secukupnya
Sedikit garam

Cara-caranya:
  1. Tumbuk halus lada hitam.
  2. Lumurkan lada hitam dan garam hingga rata.
  3. Bakar ikan hingga masak. Boleh gunakan nonstick pan. Cik Wan gunakan magic pan Vantage. Sapukan sedikit minyak ke dalam pan dan bakar ikan hingga masak.
Hidangkan ikan dengan salad tadi. Yummy!!!

Fish and Chips ala Cik Wan.


Hari ni Cik Wan layan selera anak-anak. Masakan yang ringkas sahaja tapi mengenyangkan. Si Zikry dengan Zahirah memang akan makan kentang goreng dahulu sehingga kenyang..akhirnya ikan tak dijamah. Zikry baik sikit sebab akan makan juga coleslaw manakala Zahirah tak akan sentuh langsung sayur ni. Alis dengan Aifaa akan menikmati makanan ni sambil mulut tak henti-henti sedapnya ma...sedapnya ma hehehehe...
Jom tengok resepinya...

Langkah pertama mesti sediakan salad/coleslaw dahulu.

Coleslaw

Bahan-bahannya;
1/2 biji kubis segar- disagat memanjang
1 batang karet- disagat
1/2 labu bawang besar- Cik Wan guna bawang Holland- didadu
2 biji cili padi- dipotong kasar
5 sudu mayonis
1/2 biji limau nipis
2-3 cubit garam.

Cara-caranya:
  1. Satukan mayonis, air limau nipis, garam dan cili padi potong dalam mangkuk.
  2. Masukkan semua sayuran dan gaul sebati.
  3. Simpan dalam peti sejuk dan keluarkan masa menghidang nanti.

Ikan

Bahan-bahannya:

1 peket ikan Dory- kena defrost (Cik Wan ambik masa dalam 2 jam untuk defrost hingga semua air
batu keluar)
1 1/2 cawan tepung gandum
1/2 cawan tepung beras
1 1/2 cawan aiskrim soda- kalau takde, gunakan air sejuk dari peti ais.
2 biji telur putih
Sedikit garam (lebihkan sikit jika guna aiskrim soda kerana rasanya sedikit manis)
Sedikit lada sulah.
Minyak yang banyak untuk menggoreng

Cara-caranya;
  1. Sediakan bater dengan memasukkan semua tepung ke dalam mangkuk.
  2. Masukkan telur putih, garam dan lada sulah.
  3. Masukkan aiskrim soda dan kacau agak-agak sebati tapi tak perlu sebati semua. Biarkan jika ada bintil2 yang mana ini akan merangupkan gorengan.
  4. Pastikan minyak benar-benar panas, 
  5. Perlahankan api sambil celup ikan ke dalam bater, masukkan ke dalam minyak dan goreng hingga golden brown/ masak/garing.
  6. Toskan atas tisu dapur dan hidangkan terus.
Kentang Goreng
Goreng kentang yang readymade sahaja. Kalau rajin boleh buat sendiri :-)


Nota:
Hidangkan bersama hirisan lemon dan sos cili. Selamat menjamu selera...


Friday, 12 December 2014

Asam Pedas Ikan Pari


Banyak resepi dan rahsia memasak asam pedas, lain tempat lain resepi dan caranya. Kalau di Kelantan, asam pedas kami mesti dimasukkan lengkuas dan kunyit hidup...dan asam jawa ditukar kepada asam keping.
Hari ini saya masak asam pedas ala-ala Melaka, saya tak berani nak cakap Asam Pedas Melaka sebab tak pasti betul atau tidak bahannya hahaha. Setahu saya Asam Pedas Melaka ni akan berbeza sedikit bahannya bergantung kepada jenis lauk yang digunakan. Tak apalah..kira ni Asam Pedas Stail Cikguwan  lahhh...senang citer!!. Yang pasti ia tetap lazat dan menyelerakan.

Bahan-bahannya;

1 keping besar ikan pari- saya potong menjadi 6 ketul dan saya tambah 2 keping tenggiri.
2 ulas bawang putih
5 ulas bawang merah kecil
15 biji cili kering- gunting dan rendam air panas
1/2 inci halia
1/2 inci belacan
1 sudu halba campur
1 kepal (sebesar penumbuk) asam jawa- bancuh dengan air menjadi 2 1/2 mangkuk air asam jawa.
2 sudu kecil garam- saya guna sudu aiskrim plastik
3 sudu kecil gula

Daun kesum
Bunga kantan- hiris
Bendir secukupnya
1 biji buah tomato- potong 4 - saya tak guna tadi

Cara-caranya;
  1. Blend bawang merah , bawang putih, halia dan cili kering serta belacan hingga lumat.
  2. Panaskan minyak, tumiskan halba campur hingga wangi.
  3. Masukkan bahan yang telah diblend dan tumis hingga naik minyak.
  4. Masukkan air asam jawa, garam dan gula. Kacau hingga menggelegak.
  5. Masukkan daun kesum dan bunga kantan. Kacau lagi.
  6. Masukkan ikan pari. Bila menggelegak, masukkan bendir dan buah tomato. Kacau sekejap dan tutup api. Siap.



Sunday, 9 November 2014

Ikan Tamban Goreng


Haaaaaa!!!! ikan goreng pun nak masuk blog ke? Hahahaa...hanya jauhari mengenal manikam..goreng bukan sebarang goreng hahaha..
Namapun masak ringkas-ringkaskan?

Banyak cerita pasal ikan tamban ni..ikan yang saya paling tidak suka sebab banyak tulangnya. Arwah nenek dan mok memang suka ikan ni. Saya memang anti kalau mereka masak ikan singgang menggunakan ikan tamban..saya tidak pandai makan.

Dah tua2 ni baru saya tahu, ikan yang banyak tulang merupakan ikan yang paling sedap kerana isinya lebih manis dan lemak. tengoklah ikan parang, ikan terubuk dan ikan2 air tawar yang sedap dan mahal harganya.

Jadi..sesiapa yang belum cuba ikan tamban goreng..boleh pi cari ikan ni hari ni hahaha.
Tapi nak menggoreng ikan ni ada caranya.

Pertama, dibuang bahagian kiri kanan kepalanya (pipi?)
Kemudian di potong sisi bahagian perutnya- selalunya perut ikan dibelahkan?
Tarik keluar perut ikan dan bersihkan dalamnya.
Bersihkan ikan dan kelar halus badan ikan- macam gambar di atas.
Bersihkan ikan dan lumurkan dengan garam dan kunyit- kasi rata2 tau..macam kita pakai bedak tu..hahaha
Siap untuk digoreng.
Panaskan minyak.
Goreng ikannya.
Bila garing dan hampir diangkat, masukkan hirisan bawang merah (lagi banyak lagi sedap)
Goreng sehingga bawangnya agak garing..siap!!!

ps: Sila makan dengan nasi panas bertemankan budu/sambal belacan dan ulam...alamak!!!! mertua lalu kat belakang memang tak nampak hihihihi... Selamat mencubaaa!!!

Monday, 10 March 2014

Ikan Percik Putih




Selalu buat ikan percik kaler merah tapi kali ini saya buat versi zaman2 dulu, warna putih tanpa letak cili kering. Resepi yang pernah saya tunjukkan boleh lihat di SINI.
Jom tengok bahannya serta gambar step by step cara membuatnya.

Bahan-bahannya;
6 ekor ikan sardin/selayang-garam kunyitkan
1 biji kelapa parut ambil santan pekat (saya guna 1 1/2 biji kelapa untuk kuah lebih)
5 ulas bawang merah
2 ulas bawang putih
1/2 inci halia
5-8 biji buah keras
1 batang serai-ketuk saja
1 keping asam
Gula
Garam

Cara-caranya;
Siang ikan. Padat dengan telor ikan sardin hari ni

Letak garam kunyit
Blend semua bawang, halia dan buah keras masuk dalam santan bersama dengan serai dan asam keping.
Masukkan garam dan gula, kacau hingga pekat dan pecah minyak sedikit.            
  
                  Panaskan magic pan, baru letak ikan dan bakar. (Jangan tutup pan)                                                                          
                                                
  
Sambil ikan dibakar, tuangkan sedikit kuah sambil dibalik-balikkan. Kuah selebihnya dituang semasa menghidang nanti.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...