Thursday, 27 December 2012

Kari Kicap Ayam

Waduhhh, hari ini hati manyak susah...buat apapun tak boleh..alahaiii.
Daripada dok tension-tension tu, baik saya tulis resepi yang bagus ni..supaya masa cepat berlalu dan tak adalah kepala dok pikir benda-benda yang hempeh tu...insyaAllah ada jalannya..:-)

Resepi ni saya belajar daripada seorang kawan semasa sambung Master di UKM tahun 2006 dulu..cikgu ni dari Batu Pahat dan keluarganya memiliki restoran dan perniagaan katering. Mudah saja cara memasak dan bahan-bahannya tapi rasanya sangat sedap dan sesuai untuk dihidang bersama nasi, roti jala, roti biasa ataupun roti Arab.

Bahan-bahannya;
1 ekor ayam dipotong kecil- bersihkan dan letak garam kunyit.

6-10 ulas bawang merah
3 ulas bawang putih
Seinci halia
5-7 biji cili kering
(Semua bahan di atas diblender)

1 peket serbuk kari ayam/daging-bancuh dengan air
Sedikit air asam jawa
3 helai daun limau purut
2 biji tomato, potong empat
1 labu bawang besar dipotong.
2 biji cili merah dan hijau dibelah dua
Kicap manis secukupnya
Garam dan gula jika perlu.

Cara memasaknya:
1. Goreng ayam separuh masak untuk hilangkan hanyir sahaja.
2. Tumiskan bahan blender hingga naik minyak dan berbau wangi. Masukkan daun limau purut.
3. Masukkan bancuhan rempah kari, tumis lagi hingga naik minyak.
4. Masukkan ayam yang telah digoreng tadi. Masukkan juga air asam jawa dan semangkuk air. Kacau
5. Masukkan kicap manis hingga warna kuah menjadi hitam kemerahan. Perisakan.
6. Kacau hingga ayam masak dan kuah pekat. Masukkan bahan hiasan seperti bawang dan buah tomato serta cili yang telah dibelah. Siap.

*dalam versi asal resepi ini, ayam tidak digoreng dahulu, tetapi saya dapati lebih baik kalau digoreng kerana isi ayamnya lebih pejal dan berbau wangi.
Boleh ditukar kepada daging tetapi kalau gunakan daging tidak perlu digoreng terlebih dahulu.



No comments:

Post a comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...