Sunday 3 May 2020

Bubur Tepung Ubi Kayu atau Krong Krang Nam Ka Ti



Asalamualaikum dan salam sejahtera. Salam Ramadhan yang ke -10. Hari ke lima PKP Fasa 4. Semoga kita semua dalam lindungan Allah SWT.

Hari ni Cik Wan nak share satu menu dari Thailand yang sangat sedap dan menyegarkan. Krong Krang Nam Ka Ti yang menggunakan tepung ubi kayu. Pertama kali melihat kuih ini ialah masa sekolah rendah dulu apabila seorang jiran yang datang dari Selatan Thai membuatnya untuk juadah moreh di balaisoh/ surau di kampung. Cik Wan lihat beliau menyediakannya tapi tidak sempat merasa juadah itu. Selalu teringin nak buat, selagi tak buat selagi tu keinginan tu timbul. Bayangkan, dah berpuluh-puluh tahun kenangan melihat kuih ni. Dengan kemudahan media sosial yang ada sekarang ni kita dapat belajar pelbagai resepi sama ada dalam negeri mahupun luar negeri. Namun begitu, belajar online/youtube tidak akan sama dengan belajar secara berguru.

Begitu jugalah bila Cik Wan nak buat kuih ni semalam. Dua adunan terpaksa dibuang kerana tidak menjadi. Begitu sensitif sekali pembuatannya. Cik Wan ingat senang je membuatnya disebabkan bahannya yang simple. Jika ada yang berminat membuatnya, sila baca langkah2 yang Cik Wan terangkan dengan teliti ya.

1. Air yang digunakan untuk menguli MESTI air panas yang mendidih.
2. Mesti diuli dengan cepat untuk mengelakkan air menjadi sejuk.
3. Adunan mesti elastik/kenyal kerana telah separuh masak dan BUKAN seperti adunan untuk membuat onde2.
4. Jika menggunakan warna-cthnya bunga telang/pewarna- mesti direbus/dimasak bersama air yang hendak digunakan untuk menguli.
5. Gunakan acuan menerap untuk kuih siput.

Jom kita tengok bahan dan cara membuatnya:

Bahan untuk satu warna Krong Krang . Jika buat dua warna, buat lagi satu adunan.

1 cawan tepung ubi kayu
1/2 cawan air panas mendidih
#kuantiti di atas ditambah sehingga adunan jadi kenyal dan boleh ditekan pada acuan.

  1. Masukkan tepung dalam mangkuk menguli.
  2. Masukkan air panas mendidih, kacau sebati. Adunan akan melekat2. Tambahkan air atau tepung ubi hingga mendapat adunan yang kenyal.
  3. Potong kecil adunan untuk ditekan menggunakan acuan kuih siput.
  4. Bila habis diterap, rebus dalam air panas.
  5. Toskan bila sudah terapung dan masuk dalam air sejuk.
  6. Sedia untuk digunakan.



Bahan Kuah: (Untuk 2 adunan Krong Krang)

5 cawan santan
3/4 cawan gula
1 sudu kecil garam
1 sudu besar bijan yang telah digoreng tanpa minyak (optional)
1 cawan isi kelapa muda (optional)

  1. Masukkan santan bersama gula dan garam.
  2. Kacau hingga sekali mendidih sahaja. Sehingga gula telah larut.
  3. Masukkan isi kelapa.
  4. Masukkan Krong Krang.
  5. Tabur bijan. Siap.

Untuk lebih jelas lagi cara membuatnya, Cik Wan sharekan sekali video penyediaan kuih ini ya. Cik Wan selalu rujuk chanel ini untuk masakan Thai. 



Selamat mencuba ya. #stayathome #staysafe



4 comments:

  1. Ada bunyi krong krang tu dah memang menu dari negara gajah putih ni... heheeee.

    ReplyDelete
  2. sis nak tanya. kalau nak letak pewarna ,masa dalam periuk masa nk rebus tu nnt ke?

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...