Thursday, 30 April 2020

Kerabu Ikan Dory


Asalamualaikum dan salam sejahtera. Salam Ramadhan yang ke tujuh. Hari kedua PKP Fasa 4. Semoga kita semua sihat dan ceria bersama keluarga dan dapat memanafaatkan Ramadhan ini dengan  perkara-perkara yang membawa kebaikan. Amiin.

Petang ni Cik Wan kongsikan resepi mudah menggunakan isi ikan dory atau boleh ganti dengan pelbagai jenis seafood yang lain. Sedap dan sangat mudah menyediakanya. Jom tengok resepinya.

Bahan Ikan:

3 keping isi ikan dori di potong kiub
Tepung serbaguna Bestari secukupnya.

  1. Defrost ikan dori dan potong kiub- toskan kering.
  2. Ikut panduan dalam penggunaan Tepung Bestari dan goreng isi ikan. 
  3. Sedia untuk digunakan.

Bahan salad/kerabu:

Kubis disagat halus memanjang
Carrot disagat halus memanjang
Daun Ketumbar secukupnya
2 biji cili padi -dipotong
1/2 labu bawang besar dimayang nipis

#atau mana-mana sayur kegemaran.


Bahan sos untuk kerabu/salad

2 sudu besar sos ikan 
2 sudu besar air asam limau nipis- Cik Wan guna sebiji yang saiz sedang 
2 sudu kecil gula pasir- Cik Wan guna gula somtam

Gaulkan dengan sayur salad tadi. Siap untuk digunakan.
Hidang seperti gambar di bawah


Tuang sos Thai Maepranom ke atas ikan. Siap!!!
Gambar ihsan Google

Selamat mencuba and happy cooking:)






Wednesday, 29 April 2020

Akok Kedut Kelate


Assalamualaikum dan salam sejahtera. Salam Ramadhan ke enam. Hari pertama  PKP Fasa 4. Semoga kita semua sihat dan sejahtera di samping keluarga tersayang.

Semalam Cik Wan masak nasi kerabu dan juga akok. Tak berapa puas hati buat akok sebab hanya gunakan santan kotak (brand yang tidak pernah guna) dan juga tiada air kelapa. Takpelah, musim PKP ni kita redha dan banyak2 bersyukur dengan apa yang ada. Diberi kesihatan dan kemampuan untuk menyediakan juadah untuk keluarga. Banyaknya nikmat yang Allah beri. Semoga kita menjadi hambaNya yang sentiasa bersyukur.

Kejadiannya masih elok walaupun nampak tidak berapa lemak. Alhamdulillah. Sedap juga rasanya. Cik Wan ubah sedikit resepinya seperti menambahkan tepung beras sedikit bersama tepung gandum. Sepupu Cik Wan ada jual akok di Kelantan. Cik Wan ada tanya mak saudara bahan untuk buat akok yang dijual, dia kata gunakan tepung beras dan gandum. Patutlah akok yang dijual di kampung ada body tidak terlalu gebu. Jom kita tengok resepinya ya.

6 biji telur 
200 ml pati santan
100 ml air/air kelapa
120 gram gula melaka -2 keping gula nise yng kecil (lebih kurang 60 gm sekeping)

2 sudu gula putih
20 gram tepung gandum (dua sudu makan tidak membukit)
10 gram tepung beras (satu sudu makan tidak membukit)
3 helai daun pandan- disiat-siat
1/2 sudu kecil garam halus





Cara cara:

  1. Masak air/air kelapa bersama gula melaka, gula dan daun pandan hingga semuanya larut. Tutupkan api. Sejukkan.
  2. Masukkan santan dalam mangkuk besar bersama telur dan air gula melaka. Pukul/whisk lembut.
  3. Masukkan tepung, whisk lembut sehingga sebati. Tapiskan. 
  4. Adunan akan berbuih tapi sedikit sahaja berbanding kalau kita guna blender, mesti keluarkan buih tadi jika tidak akok kita tak akan berkedut cantik.
  5. Panaskan oven pada suhu 180C. 
  6. Masukkan sedikit minyak dalam setiap acuan.
  7. Tuang adunan akok separuh penuh dan boleh dibakar selama 11 minit.
  8. Akok akan menggelembung macam belon dan bila dikeluarkan akan mengecut menjadi kedut2.
  9. Siap.
Selamat mencuba and happy cooking :)

Tuesday, 28 April 2020

Sambal Kelapa Nasi Kerabu


Assalamualaikum dan salam sejahtera. Salam Ramadhan ke lima. Hari ke-14 PKP Fasa 3. Semoga kita semua sihat dan sejahtera di samping keluarga tersayang.

Hari ni Cik Wan nak share resepi Sambal Kelapa Nasi Kerabu khas resepi turun temurun keluarga Cik Wan. Belajar daripada arwah Mok (nenek) Mokjoh Bukit Abal. In sya Allah, memang sedap wangi je bau sambal ni. Cik Wan dah share sebelum ini, boleh godek2 dalam blog ni ya. Kali pertama Cik Wan buat nasi kerabu sendiri ialah masa dalam darjah 6. Sebelum itu, hanya tolong Mok menyediakannya saja. Jadi tukang goreng kelapa atau tumbuk kelapa dan semua bahan yang lain. Standard Mok memang tinggi, memang kena lumat cantik tapi taklah sampai pecah minyak hehehe. Sebab itu agaknya Cik Wan agak cerewet bila makan nasi kerabu terutama di kedai2 makan. Jom kita tengok resepinya, secara visual boleh lihat gambar di atas.

Bahan-bahannya:

1/2 biji kelapa parut- digoreng tanpa minyak hingga perang
2 batang serai-hiris halus
1 sudu lada hitam
8-9 ulas bawang merah kecil
2 ekor ikan selar bakar- boleh guna ikan sardin/kembung
3 sudu kecil garam
3 sudu besar gula/boleh campur dengan gula nise/kabung



Cara membuatnya:

  1. Tumbuk kelapa hingga lumat- masukkan dalam mangkuk besar
  2. Tumbuk serai dengan lada hitam hingga lumat-masukkan dalam mangkuk kelapa
  3. Tumbuk bawang hingga lumat- masuk dlm mangkuk
  4. Tumbuk isi ikan hingga lumat- masukkan dalam mangkuk
  5. Gaul dan ramas semua bahan tumbuk sambil masukkan gula dan garam. Perisakan secukup rasa. 
  6. Sambal yang siap digaul dan diramas boleh digunakan terus TAPI jika mahu tahan lebih lama, kacau sekejap di dalam kuali. Untuk pastikan sambal jadi sedikit kering. 
  7. Siap!
Seperti yang Cik Wan nyatakan sebelum ini, resepi Nasi Kerabu ni agak berbeza bergantung kepada kawasan di Kelantan. Nasi Kerabu kawasan Tumpat mungkin lain dengan Nasi Kerabu Pasir Putih dan sebagainya. Tambahan pula jika ada pengaruh dari Thailand. Lain pula Nasi Kerabunya. Apa2 pun, rasanya hampir sama dan sedap2 belaka. Kita raikan perbezaan dan tiada yang salah atau yang betul...bila kita tengok rupa..kita tetap panggil Nasi Kerabu walaupun warnanya putih, biru, hitam mahupun kuning. 

Selamat mencuba ya dan happy cooking. #staysafe #stayathome





Monday, 27 April 2020

Air Asam Kelantan



Assalamualaikum. Entry kedua pagi ini. Air Asam yang sangat sedap. Semalam Cik Wan masak Nasi daging untuk berbuka puasa. Tapi sebab dah lewat sangat siapnya, tak sempat nak ambil gambar. Entah kenapa semalam, pukul 6:00 petang baru masuk dapur hehehe. Mungkin sebab Cik Wan masak gunakan Noxxa, jadi masuk lewat sikitpun sempat siap masak.

Air asam ini sesuai dimakan bersama Nasi Daging, ikan bakar atau seafood bakar malahan juga dengan seafood rebus contohnya kerang rebus. Sedap sungguh makan lepas terawih. Jom tengok resepi dan cara membuatnya.



Bahan-bahannya;

4-5 biji cili padi
4-5 biji cili merah besar
2 sudu besar asam jawa dibancuh dengan 1/2 cawan air masak
Sedikit belacan dibakar dahulu(Kalau tak makan belacan boleh ganti dengan udang geragau/udang kering)
1 sudu garam
3 sudu gula
Sedikit ajinomoto kalau suka
-semua bahan diblend halus.

1 labu bawang besar-dimayang halus
1 biji tomato-dipotong nipis
-ramas2 bawang dengan tomato hingga hancur

Sedikit sahaja air limau nipis
3 sudu sos cili

Cara-cara;

  1. Masukkan bahan yang diblend dalam mangkuk.
  2. Masukkan buah tomato dan bawang besar yang telah diramas. Masukkan sos cili.
  3. Perahkan asam limau nipis. Kacau, kalau pekat sangat boleh tambah air masak lagi.
  4. Perisakan supaya ada rasa masin, manis dan masam. (Lebihkan rasa manis berbanding masin)
  5. Siap.
Happy cooking :)

Kek batik Nestum Original


Assalamualaikum dan salam sejahtera. Salam Ramadhan ke empat , hari ke-13 PKP Fasa 3. Alhamdulillah. Syukur alhamdulillah di atas semua nikmat yang dikurniakan Allah SWT.

Pagi ini Cik Wan nak share resepi Kek Batik Nestum yang sangat sedap. Kegemaran anak2 Cik Wan. Sebulan dua ni banyak kali buat, Kak Alis pun dah pandai buat sendiri. Kek dalam gambar ni hasil air tangan Kak Alis, Zahirah dan Zikry. Mama hanya touch up sahaja.

Masa belajar di UUM tahun 1990an dulu, kek ini jadi viral untuk student2 di kolej kami. Mungkin sebab kek ni boleh dibuat menggunakan rice cooker sahaja. Sebab dah biasa makan kek batik nestum, Cik Wan agak tidak suka kalau Kek Batik tidak menggunakan nestum, macam tak capai KPI je hehehe. Jom, kita tengok bahan dan cara untuk membuatnya. Boleh buat juadah berbuka hari ini.

Bahan-bahannya:

Bahan basah:
1 cawan susu pekat
1 cawan butter
1 sudu esen vanilla
3 biji telor

Bahan kering:
2 cawan milo
1 cawan nestum
1 sudu serbuk koko

1  1/2 bungkus besar biskut marie (kalau beli yg 190gm @ 175gm-pakai 3 peket)
Nak sedap campurkan Biskut Marie Ori dengan Biskut Marie Coffee

Note: Jumlah biskut yang digunakan bergantung kepada liquid dlm kek ni, jadi masukkan sedikit2 biskut dan kawal supaya tidak terlalu kering dan tidak terlalu basah. Agak2 semua biskut bersalut dengan bahan milo dah cukup. 


Cara-cara memasak;

  1. Sediakan bekas yang dialas dengan baking sheet atau cling plastic wrap supaya kek tidak melekat.
  2. Gunakan api perlahan cairkan butter, masukkan semua bahan basah yang lain. Kacau sebati.
  3. Masukkan bahan kering, kacau hingga rata.
  4. Tutup api. Masukkan biskut marie yang telah dipatah-patahkan. Masuk sedikit2 dan kacau rata.Kalau nampak kering, kurangkan biskut. Kalau nampak basah sangat, tambahkan biskut.
  5. Tuang dalam bekas.
  6. Tutup dengan cling plastic wrap- tekan2 supaya padat.
  7. Sejukkan. Siaapppp.

Selamat mencuba  and happy cooking :)

Sunday, 26 April 2020

Acar Masak Pisang Ggalo



Assalamualaikum dan salam sejahtera. Salam Ramadhan ketiga, hari ke- 12 PKP Fasa 3. Alhamdulillah, cuaca sangat baik sehari dua ni. Pagi ni pun redup sahaja..sejuk. Rahmat Allah di bulan Ramadhan yang mulia. Semoga semua sihat hendaknya.

Masakan hari ini betul2 authentic Pantai Timur..Kelantan dan Terengganu. Masakan yang sangat popular terutama pada bulan Ramadhan. Banyak dijual di pasar2 dan gerai2. Menggunakan Pisang Ggalo/Galo. Pisang ni hanya boleh dimakan semasa putik untuk dibuat ulam atau acar masak. Ada banyak biji dan kalau masak, langsung tak boleh makan oleh kerana bijinya yang keras dan banyak. Pokok pisang ni hanya ditanam khas untuk daunnya yang lebar dan kuat, sesuai untuk membungkus kuih. Masa kecik dan remaja dulu, Cik Wan selalu temankan arwah mek mencari daun pisang untuk buat kuih tepung Serunai/Kuih Pasung dan Tepung Pelita. Selalunya aktiviti mengait daun pisang ni dibuat pada setiap hari Sabtu, agar daun pisang lembut dan mudah untuk dibuat sarung Tepung Serunai dan Tepung Pelita pada hari Ahad. Mek akan berjualan pada hari Selasa di Pasar Selasa/ Kedai Selasa.

Enam  atau tujuh tahun yang lepas, arwah mek beri anak pokok pisang galo dan pokok kari untuk Cik Wan tanam. Tahu benar anaknya yang sorang ni rajin masak kuih. Alhamdulillah..dua2 pokok tu masih hidup subur di depan rumah sekarang. Pokok pisang ni juga dah banyak kali berbuah, tapi disebabkan sibuk, Cik Wan tak sempat nak masak acar pisang. Tengok2 dah tua dan tak boleh dimakan lagi. Jadilah rezeki pada burung, tupai dan monyet pula. Tak sangka duduk di bandar tapi monyet dan tupai ada juga di sini hehehe.

Bila nampak pisang ni berbuah lagi, Cik Wan dah ingatkan Mr A, supaya cepat2 ambil supaya dapat masak acar pisang kegemaran Cik Wan ni. Maka, dua hari lepas, jadilah acar masak yang sedap ni. Namanya pun acar, jadi rasanya masam, manis, masin dan lemak. Sangat sedap bagi orang yang biasa makan acar ni. Selain daripada pisang galo, kita juga boleh gantikan dengan pisang muda, timun, kubis dan taugeh. Kalau ada pula lada solok, uuhhh memang mengancam.


Pisang yang Cik Wan tanam ni  tidak lebat berbuah. Yang ni hanya ada tiga sikat sahaja. Buahnya pun agak kecil, besar dua jari sahaja. Comel2 buahnya.

Buah pisang mesti dibuang kulit tepinya (yang bersegi), dipotong nipis, halus2 tapi tak putus dan direndam dengan air garam. Dicelur sekejap dan diperah keluar airnya. Siap untuk dimasak.

Bahan-bahannya:

Pisang Galo
5 ulas bawang merah
3 ulas bawang putih
1/2 mangkuk kecil cili kering potong/rendam
Sedikit halia
1/2 labu bawang besar- belah kasar
1/2 biji kelapa- ambil santan. @ 1 kotak santan 200ml dicampur 1/2 cawan air. (Kuah mesti pekat)

Sedikit cuka (dalam 2-3 sudu besar)
Garam
Gula

Cara membuatnya;

  1. Kisar semua bahan bawang, cili dan halia.
  2. Tumis hingga pecah minyak.
  3. Masukkan santan, kacau.
  4. Masukkan garam, gula dan cuka.
  5. Masukkan buah pisang dan hirisan bawang besar.
  6. Kacau hingga menggelegak dan rasakan agar ada masam, manis dan masin.
  7. Siap.
Kalau tak ada pisang ni, Cik Wan cadangkan guna timun dicampur dengan kubis dan taugeh. Sedapnya..boleh cuba untuk yang tidak biasa makan ya. Yang dah biasa makan, Cik Wan harap bila tengok entry ni, boleh cuba buat sendiri..mesti akan terkenang mak ayah di kampung, betul tak? Jangan sedih, semoga wabak ni cepat berakhir dan kita dapat balik ke kampung menjengah mereka. In sya Allah, semoga kita semua sihat dan ceria. 


Saturday, 25 April 2020

Poli Ubi Kayu atau Tepung Poli


Assalamualaikum dan salam sejahtera semua. Salam Ramadhan yang kedua hari ini bersamaan hari ke-11 PKP Fasa 3. Allahuakbar..semoga kita semua dilindungi di bawah rahmat Yang Maha Esa. Semoga bulan yang mulia dan penuh keberkatan ini membawa pergi musibah Wabak Covid 19 ini..amiin YRA.

Pagi ni Cik Wan dapat khabar duka..pemergian suami sahabat lama malam tadi selepas terjatuh semasa mengambil wuduk untuk solat maghrib..Allah, orang hebat orang baik Allah sayang. Semoga arwah bersama dengan orang2 yang dirahmati Allah di syurga yang kekal abadi. Semoga Nurul dan anak2 tabah dan redha dengan ujian perpisahan ini..amiin YRA.

Berbalik kita pada menu yang Cik Wan share pada hari ini. Tepung Poli atau Kuih Poli. Berpuluh tahun tak menikmati juadah ini. Masa kecik2 selalu buat dengan arwah mok. Dulu senang je nak buat sebab ubi ditanam sendiri dan ubinya masih segar dan manis. Masa dulu, kita parut ubi ni, gaul dengan gula nise, bungkus kecik2 dalam daun pisang dan kukus. Dah masak potong kecik2 makan dengan kelapa muda parut. Kalau rajin, boleh buat macam dalam gambar di atas tu. Ubi parut dicampur dengan air daun pandan untuk warna dan baunya yang wangi. Cik Wan tak berapa suka sebab lebih sukakan ubi kayu rebus cicah dengan kelapa parut gaul dengan garam dan gula.

Sebenarnya Cik Wan teringin nak makan ubi kayu rebus, Mr bawak balik ubi kayu tapi ubinya, masya Allah..besar2 sungguh hehhe. Katanya itu je yang ada, kesiankan kat wife yang teringin, dia beli juga. Takpelah..kita godek2 untuk buat juadah buka puasa Ramadhan pertama. Jom kita tengok resepi dan cara menyediakannya.

Besar betul ubi ni.

Selepas diparut, sedulang kecil ni dapat. Dalam 20 minit juga Cik Wan parut, excercise
mengecilkan lengan hehe.


Bahan-bahannya:

Ubi kayu diparut dan diperah keluar airnya.- Cik Wan dapat 5 cawan.
1 sudu kecil garam
2 sudu besar gula
1/2 kotak santan- resepi asal tidak letak santan
1/4 cawan air

Cara membuatnya:

  1. Gaul semua bahan sebati.
  2. Kukus hingga masak; cara kukus sama ada boleh dibungkus kecik menggunakan daun pisang atau,
  3. Cik Wan guna loyang yang dialas dengan daun pisang.
  4. Ubi akan masak jika dicucuk dengan chopstik/garfu, keluar bersih atau tidak melekat.

Cara menyediakannya:

  1. Sediakan kelapa parut yang digaul dengan garam dan sedikit gula - seperti nak golek buah melaka.
  2. Potong kecil2 tepung poli dan golek2 dalam kelapa parut. 
  3. Siap.


Poli yang dipotong agak kenyal  dan tidak lembik macam tepung boko ya. Poli dihidangkan dengan air gula melaka dan beras pulut yang disangrai atau goreng tanpa minyak. Pure authentic dish!



Khas untuk sahabat Kelantan yang dah lama tak makan juadah ni dan juga sahabat2 yang belum pernah merasai kuih tradisional Kelantan. Selamat mencuba dan selamat berpuasa...:)






Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...