Assalamualaikum dan salam sejahtera. Salam Ramadhan ketiga, hari ke- 12 PKP Fasa 3. Alhamdulillah, cuaca sangat baik sehari dua ni. Pagi ni pun redup sahaja..sejuk. Rahmat Allah di bulan Ramadhan yang mulia. Semoga semua sihat hendaknya.
Masakan hari ini betul2 authentic Pantai Timur..Kelantan dan Terengganu. Masakan yang sangat popular terutama pada bulan Ramadhan. Banyak dijual di pasar2 dan gerai2. Menggunakan Pisang Ggalo/Galo. Pisang ni hanya boleh dimakan semasa putik untuk dibuat ulam atau acar masak. Ada banyak biji dan kalau masak, langsung tak boleh makan oleh kerana bijinya yang keras dan banyak. Pokok pisang ni hanya ditanam khas untuk daunnya yang lebar dan kuat, sesuai untuk membungkus kuih. Masa kecik dan remaja dulu, Cik Wan selalu temankan arwah mek mencari daun pisang untuk buat kuih tepung Serunai/Kuih Pasung dan Tepung Pelita. Selalunya aktiviti mengait daun pisang ni dibuat pada setiap hari Sabtu, agar daun pisang lembut dan mudah untuk dibuat sarung Tepung Serunai dan Tepung Pelita pada hari Ahad. Mek akan berjualan pada hari Selasa di Pasar Selasa/ Kedai Selasa.
Enam atau tujuh tahun yang lepas, arwah mek beri anak pokok pisang galo dan pokok kari untuk Cik Wan tanam. Tahu benar anaknya yang sorang ni rajin masak kuih. Alhamdulillah..dua2 pokok tu masih hidup subur di depan rumah sekarang. Pokok pisang ni juga dah banyak kali berbuah, tapi disebabkan sibuk, Cik Wan tak sempat nak masak acar pisang. Tengok2 dah tua dan tak boleh dimakan lagi. Jadilah rezeki pada burung, tupai dan monyet pula. Tak sangka duduk di bandar tapi monyet dan tupai ada juga di sini hehehe.
Bila nampak pisang ni berbuah lagi, Cik Wan dah ingatkan Mr A, supaya cepat2 ambil supaya dapat masak acar pisang kegemaran Cik Wan ni. Maka, dua hari lepas, jadilah acar masak yang sedap ni. Namanya pun acar, jadi rasanya masam, manis, masin dan lemak. Sangat sedap bagi orang yang biasa makan acar ni. Selain daripada pisang galo, kita juga boleh gantikan dengan pisang muda, timun, kubis dan taugeh. Kalau ada pula lada solok, uuhhh memang mengancam.
Pisang yang Cik Wan tanam ni tidak lebat berbuah. Yang ni hanya ada tiga sikat sahaja. Buahnya pun agak kecil, besar dua jari sahaja. Comel2 buahnya.
Buah pisang mesti dibuang kulit tepinya (yang bersegi), dipotong nipis, halus2 tapi tak putus dan direndam dengan air garam. Dicelur sekejap dan diperah keluar airnya. Siap untuk dimasak.
Bahan-bahannya:
Pisang Galo
5 ulas bawang merah
3 ulas bawang putih
1/2 mangkuk kecil cili kering potong/rendam
Sedikit halia
1/2 labu bawang besar- belah kasar
1/2 biji kelapa- ambil santan. @ 1 kotak santan 200ml dicampur 1/2 cawan air. (Kuah mesti pekat)
Sedikit cuka (dalam 2-3 sudu besar)
Garam
Gula
Cara membuatnya;
- Kisar semua bahan bawang, cili dan halia.
- Tumis hingga pecah minyak.
- Masukkan santan, kacau.
- Masukkan garam, gula dan cuka.
- Masukkan buah pisang dan hirisan bawang besar.
- Kacau hingga menggelegak dan rasakan agar ada masam, manis dan masin.
- Siap.
Kalau tak ada pisang ni, Cik Wan cadangkan guna timun dicampur dengan kubis dan taugeh. Sedapnya..boleh cuba untuk yang tidak biasa makan ya. Yang dah biasa makan, Cik Wan harap bila tengok entry ni, boleh cuba buat sendiri..mesti akan terkenang mak ayah di kampung, betul tak? Jangan sedih, semoga wabak ni cepat berakhir dan kita dapat balik ke kampung menjengah mereka. In sya Allah, semoga kita semua sihat dan ceria.
Acar ini selalu dimakan dirumah nenek. Sungguh menyelerakan bila dimakan dengan ikan masin/ jeruk
ReplyDelete