Friday 10 June 2016

Nasi Kerabu di Bulan Ramadhan..



Assalamualaikum dan salam sejahtera. Ramadhan ke lima hari ini. Semoga ibadah kita diterima Allah SWT hendaknya.

Petang semalam Cik Wan masak nasi kerabu hitam/biru. Orang Kelantan panggil nasi kerabu hitam. Lama dah tak dengar panggilan tu. Teringat-ingat Nasi Kerabu Kambing Bakar di Berek 12 Kelantan..memang sedap sangat dan rasanya lebih sedap daripada nasi kerabu lain di Kota Bharu. Beratur panjang pembeli yang nak membelinya. Kebanyakan untuk dibungkus kerana hanya 5 buah meja disediakan bagi yang hendak menikmatinya di situ. Cik Wan dan adik dibawa oleh anak saudara kami Si Syakur  yang turut datang menjaga tok meknya di hospital. Jauh datang dari Perak mengejarkan hari hujung minggu untuk turut sama menjaga mek di hospital Kota Bharu dulu. Semuanya tinggal kenangan..

Jom kita tengok resepi..resepi yang sama dan selalu Cik Wan gunakan..

Sambal Kelapa

Bahan-bahannya:
1/2 biji kelapa parut disangai garing (warna dark brown) dan ditumbuk lumat (jangan sampai pecah minyak)
4-5  ekor isi ikan selayang/sardin atau kembung (paling baik dibakar kerana akan kurang hanyir berbanding dikukus atau direbus)- hari ni Cik Wan rebus saja
6 ulas bawang merah
1 sudu lada hitam
3-4 batang serai (lihat saiz)
gula/gula melaka, garam secukup rasa

Cara:

  1. Tumbuk halus/lumat semua bahan. 
  2. Gaulkan hingga sebati/mesra. (Gaul ramas)
  3. Sudah siap, tekan-tekankan hingga rapat dan disendukkan ke dalam pinggan waktu menghidang nanti.


Sambal Tumis

1 biji kelapa-ambil santan pekat
5-7 ulas bawang merah
2 ulas bawang putih
sedikit halia
2 batang serai
5-6 biji cili kering
2 keping asam keping

Gula/gula melaka
Budu
Garam- hati-hati dengan garam sebab budu dah masin.

Cara memasak:


  1. Masukkan santan dalam periuk. 
  2. Biarkan hingga menggelegak tanpa perlu dikacau.
  3. Mesinkan semua bahan kecuali asam keping. 
  4. Masukkan dalam santan yang sedang menggelegak tadi, masukkan asam keping. 
  5. Kacau sekali-sekala.
  6. Masukkan gula,budu dan garam. 
  7. Masak sampai kuah pekat dan pecah minyak. 
  8. Rasanya mesti masam, manis dan masin.


*kalau nak tumispun boleh. Caranya;

  1. Tumiskan semua bahan mesin hingga garing.
  2.  Masukkan santan, asam keping, garam/budu dan gula. 
  3. Masak hingga pekat.



Sayur Ulam

Bahan-bahannya yang boleh digunakan;

Timun
Kacang panjang
Kubis
Bunga Kantan
Daun kesum- wajib ada untuk bangkitkan bau
Daun kunyit muda- wangi baunya
Taugeh
Daun selasih
Daun selom

Hiris halus-halus (kecuali taugeh) dan gaul bersama.


Air Lada (jika suka)

10 biji cili padi merah
Cuka
gula
garam
Cili ditumbuk/dimesin bersama-sama dengan gula dan garam (1 bhgn garam, 2 bhgn gula) dan dibancuh dengan cuka.

Budu
 Perahkan limau nipis serta patah2kan cili api ke dalam budu.


Nasi

Boleh memasak nasi biasa.
Boleh masak nasi warna biru( gunakan pewarna atau bunga nasi kerabu/telang)
Boleh masak nasi berwarna kuning guna kunyit.

(masukkan sedikit garam dan 2 helai daun limau purut semasa memasak nasi)


Bahan lauk yang boleh dihidangkan bersama nasi kerabu;

  1. Telur masin
  2. Keropok keping
  3. Keropok lekor
  4. Sambal ikan bilis
  5. Ikan bakar/percik
  6. Ikan celup tepung
  7. Ayam bakar/percik
  8. Daging bakar/percik
  9. Etok
  10. Ikan rebus goreng
  11. Kerutuk
  12. Dan macam-macam lagi.....ada yang hidangkan dengan ketam..hebat dah nasi kerabu zaman millenium ni..Selamat mencubaa.


3 comments:

  1. sedapnya nasi kerabu cikwan
    mcm nak kena buat lagi nasi kerabu lah ni nampak nya

    ReplyDelete
    Replies
    1. hehehe buat banyak kali pun takpe kak Noor..menu sihat berkhasiat ni.

      Delete
  2. wah...meriah.makan suka nak buat tu je bercinta heheh

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...