Tuesday, 14 January 2014

Cakoi Mudah

Entah apa mimpinya orang rumah asyik dok minta supaya buatkan cakoi. Dari semalam lagi dok suruh buatkan..sebenarnya malas nak masuk dapur sebab pagi tadi dah masakkan brunch nasi lemak, sengaja masak 2 in 1 kononnya nak siapkan kerja sekolah tanpa gangguan.adehhh nampak gayanya kerja sekolah tak siap la gamaknya heheh..

Saya jumpa resepi ni beberapa tahun lepas dan dah beberapa kali mencubanya. Resepi dari Secubit Garam Sesudu Gula...cuma kali ni saya tambahkan 1/2 sudu kecil alum dalam bancuhan.

Bahan-bahannya;
(A)
300 gm tepung gandum high protin
50 gm tepung biasa
1/2 sudu kecil baking powder
1 sudu kecil gula

(B)
1/2 sudu kecil gula
2 sudu besar air suam kuku
2 sudu kecil (7gm) yis mauripan

(C)
250 ml air
1/2 sudu kecil soda bikarbonat
1 sudu kecil garam
1/2 sudu kecil serbuk alum
1/2 sudu kecil serbuk amonia

Cara membuatnya;
  1. Ayak bersama bahan (A) ke dalam mangkuk besar.
  2. Dalam bekas lain, satukan (B), biar 10 minit @ hingga berbuih.
  3. Satukan bahan (C) dalam bekas lain.
  4. Buat lubang di tengah2 campuran tepung gandum.
  5. Curahkan bahan (B) dan (C)..gaul sekata dan uli hingga licin dan kenyal.
  6. Simpan dalam bekas tertutup dan biarkan doh naik 2 kali ganda.
  7. STaburkan sedikit tepung ke tempat mencanai, uli semula 1 minit .
  8. Bentukkan 4 segi dan potong menjadi lajuran.
  9. Gunakan chopstik/lidi, masukkan dalam air, tekankan di atas 1 lajur. Ambil lajur lain dan tekan ke atas lajur yang diletakkan air supaya melekat dua (bertindan)
  10. Sebelum itu panaskan minyak yang banyak, sedia utk menggoreng.
  11. Angkat lajur yang telah bertindan tadi, tarik panjang sikit dan jatuhkan perlahan ke dalam minyak.
  12. Balik-balikkan hingga warna perang. Angkat dan toskan. Siap.
Nota; Kalau untuk keluarga yang besar, boleh gandakan ukuran bahan, sebab bancuhan ini hanya dapat buat cakoi saiz besar dalam 8-10 biji sahaja :-)

Uli kali pertama, tutup dan biarkan hingga naik dua kali ganda.

Dah naik..

Siap..sedap makan panas2

Monday, 13 January 2014

Alhamdulillah..Mek dah sihat :-)



Alhamdulillah...syukur kami sekeluarga mek sudah sihat.

Terima kasih kawan di atas doa kalian.
Selepas 9 hari di wad ICU, 2 hari di wad HDW dan 4 hari di wad biasa, Hospital Sultanah Zainab Kota Bharu, mek dah di discharge hari ini.
Alhamdulillah..syukur kepada Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang, masih memberi peluang untuk kami semua berkasih sayang dan bermanja dengan ibu kami yang tercinta.

Subhanallah!!!
Di saat getir ini semuanya teruji...yang sakit mahupun kami semua. Saya sangat terharu dan berasa sangat beruntung kerana dianugerahi adik beradik dan ahli keluarga yang sangat prihatin, bertoleransi, sayang menyayang serta langsung tidak berkira dengan satu sama lain, daripada segi tanggungjawab tenaga, masa dan wang ringgit..alhamdulillah.

Kawan,
Kasihilah ibu kita..selagi dia masih ada...dia merupakan rahmat dari Allah.
Doanya makbul..
Dia hanya satu tiada galang gantinya..


Tuesday, 31 December 2013

Doakan Mek

Salam,

Dah lama saya tidak memasukkan entri baru...sejak balik kampung baru-baru ni memang tak boleh update sebab line di sana memang slow. Lepas balik kampung sibuk dengan kerja-kerja sekolah yang bakal dibuka pada 2/1/2014.

Mungkin saya akan ambil masa yang agak lama untuk memasukkan entri baru. Saya tahu bukan ramai sangat yang singgah di blog kerdil ini tapi untuk pengunjung yang setia dengan saya..saya tidak mahu kecewakan anda setiap kali klik masuk masih gambar yang sama tak bertukar ganti entrinya. Maafkan saya. Sebenarnya bonda saya dalam keadaan yang agak kritikal dengan pelbagai komplikasi kesihatan dan seluruh sekeluarga dalam situasi yang agak tegang,  risau bimbang dan macam-macam lagi.

Kawan,
Doakan Mek saya..semoga Allah sembuhkan beliau kembali seperti sediakala, dan semoga Allah permudahkan segala-galanya untuk beliau..amin.

Mek yang ceria..

Semoga Mek sembuh kembali..

Wednesday, 18 December 2013

Rendang Daging Utara Lagi (2)


.
.
.
.
.

.
.
.
.
.

Saja jer nak tunjuk rendamg utara live dari kuali  di atas dapur.
Ni tengah nak tunggu daging empuk sebelum dimasukkan santan dan bahan2 lain.
Resepi ada kat SINI ye....sedap betul tadi kami makan buat teman nasi lemak...alhamdulillah.

Sup Cendawan Ringkas Mudah dan Sedap


Memang mudah dan ringkas sesangat dan sangat sedap kerana saya memang sukakan masakan cendawan, pendek kata semua jenis cendawanlah hehehe.

Bahan-bahannya;

1/2 peket besar cendawan tiram- saya beli kat Tesco, ada jual peket besar. Kalau tak, guna 2 peket kecil.
2 ulas bawang putih
1 kiub ayam
1 tangkai akar ketumbar-optional

untuk hiasan;
Limau nipis
Cili api

Cara-caranya;
  1. Tumiskan bawang putih hingga perang.
  2. Masukkan 2 1/2 mangkuk air.
  3. Masuukkan kiub ayam dan akar ketumbar
  4. Masak hingga menggelegak.
  5. Masukkan cendawan. Tunggu sekali menggelegak. Angkat. (kalau kurang masin boleh tambah garam)
  6. Hiaskan dengan hirisan cili padi dan perahan asam limau...slurrppp!!!

Kerabu Mangga dengan Peria

Selalunya saya jadikan buah peria sebagai ulam mentah sahaja, setiap minggu saya akan beli dalam 3-4 biji peria segar dari Pasar Borong Selangor. Tapi hari ni rasa teruja nak buat kerabu bila melihat ACAR PERIA dari blog Amie's Little Kitchen, bukan tak mahu buat acar tapi bahannya tak cukup..tambah2 ada pulak dalam peti sejuk buah mangga muda dan daun ketumbar. Apa lagi, kerabu siamlah jadinya hehehe.

Bahan-bahannya;
2 biji mangga muda di sagat
1 biji buah peria- hiris nipis, rendam dan ramas dengan air garam utk kurangkan pahit. Perah kering.
2 biji cili padi-potong kecil2
1 tangkai daun ketumbar-hiris kasar
2 ulas bawang merah-mayang nipis
Sos ikan- boleh ganti dengan garam
Gula secukupnya
1 biji asam limau nipis di ambil airnya.

Cara-caranya;

  1.  Satukan semua bahan sayur dalam mangkuk.
  2. Masukkan sos ikan, gula dan air asam limau nipis.
  3. Gaul sebati, rasakan masam manis masin. Siap.

Tuesday, 17 December 2013

Pulut Sekaya


Bila ralit dok blogwalking. macam2 resepi kita nampak..mulalah tekak teringin itu dan ini ...tak pasal2 cari pasal dan cari kerja..hahaha. Ini penangan ternampak Resepi Pulut Sekaya atau Tok Aji Serban dalm blog Azie Kitchen..tekak terus teringin nak makan.

Dah bertahun saya tak buat kuih ini sebab anak2 tak suka dan selalu kalau buat mesti ada lebih sebab saya tak pandai nak kurangkan kuantiti..maklumlah..alang2 buat biar seloyang betul tak?.

Tapi biasalah, kalau dah lama tak buat..macam2 kesilapan boleh berlaku. Jumlah sukatan yang saya gunakan memang tak ada masalah, memang menjadilah..masalahnya teknik saya silap. Sepatutnya bahan telur mesti ditapis sebelum dituang ke atas pulut..tapi saya lupa. Mungkin sebab air gula melaka saya dah tapis dulu, tu yang tak ingat..aduh..sedar2 lapisan telur dah beku baru nampak bertompok2 tak cantik. Jadi kalau sesiapa nak cuba, tolong tapis yer..kalau tak, jadi macam ni...


Tak apalah, lain kali bila nak buat kena beringat2 supaya hasilnya puas hati..betul tak?
Jom kita tengok bahan-bahannya.

 Bahan untuk lapisan atas/telur;
1 ketul gula melaka
1 senduk gula
1 cawan air
1 helai daun pandan
2 kuntum bunga cengkih
 *semua bahan diatas disatukan dan dimasak hingga likat. Sejukkan sebelum dimasukkan ke dalam telur.
6 biji telur ayam

Cara-caranya;
  1. Satukan telur di dalam bekas. Pukul sekejap.
  2. Tuang air gula melaka ke dalam telur. Kacau sebati.
  3. Tapiskan bancuhan ke dalam bekas lain sebelum dituang ke atas lapisan pulut.
  4. Masukkan semula bunga cengkih tadi ke dalam bancuhan telur dan akan dikukus bersama.


Bahan untuk lapisan pulut;

2 cawan beras pulut direndam sejam dua, bersihkan dan tos kering.
1 kotak santan 200ml- saya guna kotak yang warna putih hijau
1 sudu kecil garam
Sedikit air.

Cara-caranya;
  1. Sediakan kukusan.
  2. Masukkan beras pulut ke dalam loyang.
  3. Masukkan santan + air + garam supaya lapisan santan separas dengan lapisan pulut.
  4. Kukus pulut hingga masak.- sambil2 di kacau sedikit supaya santan + pulut sekata.
  5. Keluarkan loyang.
  6. Kacaukan pulut di dalam loyang dengan garfu untuk sebatikan santan.
  7. Bungkus tangan dengan tuala, masukkan dalam plastik bersih dan tekan2 lapisan pulut hingga padat.
  8. Dah padat dan rata, cucukkan dengan garfu, sedia untuk dituangkan bancuhan telur.
  9. Kukus hingga lapisan telur beku.
  10. Keluarkan dari kukusan...lebihan air di atas lapisan telur boleh dilapkan dengan tisu dapur. Siap.

Rasanya lemak manis dan wangi dengan daun pandan serta bunga cengkih.
 Selamat mencuba..
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...